REMANG DARI KUALA,
PROSES
KREATIF SEBUAH NOVEL
PROSES
KREATIF adalah jejak perjalanan dan laluan penerokaan yang ditempuhi seseorang
karyawan dalam menghasikan sesebuah karya seni, tidak kira dalam apa bidang
sekalipun. Ia merupakan satu sisi pengalaman seni bersifat subjektif dan penuh
kerahsiaan yang hanya dimaklumi dan dirasai oleh karyawan itu sendiri; Bermula
dari cetusan idea/ ilham sehinggalah sesebuah karya itu siap dihidangkan kepada
khalayak. Tempoh masa yang diambil tidak menentu. Ada karya yang mampu
dilahirkan dalam masa yang singkat. Ada yang memakan masa bertahun-tahun. Ia
boleh merupakan suatu pengalaman yang selesa dan menyeronokkan tidak kurang
juga sebaliknya. SN A.Samad Said ketika
menukangi karya sulungnya, Salina, pernah menyimpulkannya sebagai satu
tempoh derita yang bahagia
Dalam
tradisi penulisan di negara kita tidak banyak buku-buku yang digarap oleh
pengarang khusus menceritakan proses kepengarangan yang dilalui dalam
menghasikan sesebuah karya. Begitu pun kita menghargai kehadiran beberapa buah
buku dalam kategori ini yang dapat dijadikan sumber rujukan khususnya kepada
karyawan muda yang mahu berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Di antara yang
sempat dikesan termasuklah; Dari Salina Ke Langit Petang oleh SN
A.Samad Said (DBP, 1979). Jejak Kreatif,
Arenawati (DBP, 1996), Dari Banggol Besi
ke Jalan Lain Ke Hamovniki, A.Rahmad (Majlis Kebudayaan Negeri Kedah, 2005), Kuras-Kuras
Kreatif, Azizi Haji Abdullah (DBP,2007), Proses Kreatif, Satu Pengalaman Rohani, SN Abdullah Hussain (DBP,
2010) atau Bagaimana Saya Menulis,
proses penciptaan cerpen oleh 17 orang
penulis mutakhir, selenggaraan Mawar Safei dan Nisah Haji Haron (DBP, 2011), Pengakuan Penyair, Proses Kepenyairan
34 Penyair Malaysia, ITBM, 2012. Selebihnya terselit di sana sini dalam
buku-buku biografi atau memoir yang dihasilkan oleh beberapa pengarang.
Ada pendapat yang mengangggap proses
kreatif dalam penulisan adalah satu seni (art
of writing ) bukan keahlian maupun kemahiran dalam menukangi sesebuah karya
(craft of writing). Oleh yang demikian sebagai satu proses seni,
sudah pasti aspek-aspek pengalaman hidup
dan persekitaran sosial, nilai, budaya, geografi, ekonomi, politik dan
lain-lain seputar kehidupan karyawan ini mempunyai kesan langsung terdapat penglahiran sesebuah karya.
Secara kasar proses penulisan atau lebih tepat proses pengkaryaan dari awal
sehingga sempurna dihidangankan kepada khalayak pembaca melalui lima peringkat
iaitu persediaan sebelum penulisan atau mengarang (prewriting), penulisan (writing),
semakan/ menulis semula (revision/ rewriting), suntingan (editing) dan akhir sekali menerbitkan
karya tersebut (publishing).
Peringkat persediaan sebelum memulakan penulisan (prewriting) adalah sangat penting dan menjadi asas keunggulan
sesebuah karya. Ia melibatkan cetusan idea, percambahan idea di mana idea pokok
itu dibangunkan, merancang bentuk
pencerekaannya. Seterusnya dalam
proses penulisaan, pengarang akan
melalui fasa pembinaan jaluran naratif
berdasarkan idea-idea pencerekaan terdahulu sehingga terbangunnya sebuah
fiksyen. Dalam fasa cetusan idea awal
yang akhirnya melahirkan sebuah fiksi dapat dipadankan dengan teori sastera yang pada asasnya di cetuskan
oleh Plato dan Aristotle iaitu;
o Teori Mimesis (peniruan/ imitasi).
o Teori Effect ( Kesan) dan
o
Teori Ekspresi/ Perasaan
Melalui Mimesis, sastera dianggap sebagai hasil pantulan dari cermin
kehidupan (pengalaman manusia) yang ditafsirkan semula oleh pengarang. Teori Effect pula karya sastera lahir daripada
pengamatan pengarang dari pembacaan, penontonan atau pendengaran yang
melibatkan kesan psikologi, emosi perasaan atau mood. Lewat Teori Ekspresi
pula karya sastera dianggap sebagai kebijaksanaan dalaman yang diilhamkan Tuhan
secara spontan ke dalam diri pengarang.
Terdapat kelainan, mungkin pertama
dalam arena pernovelan tanahair bila proses kreatif dalam menghasilkan sebuah
novel diangkat sebagai subjek utama. Inilah yang ditemui seusai mengkhatami
novel Remang Dari Kuala (RDK) oleh Zulkefle Dollah (Asasi. 2018),
Aspek-aspek pengkaryaan bermula daripada cetusan dan garapan idea, pemilihan
serta pembinaan watak dan perwatakan, latar peristiwa, rujukan-rujukan dan
isu-isu lain dalam kraf ketukangan sebuah fiksi dihuraikan secara mendalam.
RDK ialah salah sebuah karya yang memenangi hadiah dalam Sayembara Penulisan Karya Kreatif , anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi), 2017. Ia merupakan novel kedua dari Zulkefle Dollah yang sebelum ini muncul dengan karya sulungnya sebuah novel autobiogrfi, Sejarah Putih Batas Rindu (UUM Press, 2016). Seterusnya Anissa (Asasi, 2019), merupakan novel beliau yang ketiga.
Zolkefle Dollah |
Remang Dari Kuala sebenarnya judul kepada sebuah
novel yang sedang dalam perancangan dan bakal ditulis oleh watak utama, Che
Morad Pora Hashim, seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Che
Morad, 50 tahun, tiba-tiba begitu teruja untuk menghasilkan karya kreatif
berlatarkan sejarah Negeri Kedah.
Segalanya
timbul kesan dari pembacaan buku yang dihadiahkan isterinya, Aisyah Osborn,
iaitu The Blockade of Kedah In 1838, A
Midshipman’s Exploits in Malayan Water oleh Sherard Osborn ( naskah asal: My Journal in Malayan Water or The
Blockade of Quedah by Captain Sherard Osborn, Longman, 1857).
Aishah Osborn atau nama asalnya
Shirley Osborn, wanita Inggeris, lepasan School of Oriental and African Studies
(SOAS), London, begitu mencintai budaya timur. Jiwa dan pendiriannya amat
kontras dengan nenek moyangnya yang pernah menjajah negeri ini suatu ketika
dulu. Berkenalan dan berkahwin dengan Che Morad Pora Hashim, ketika beliau
menuntut dalam bidang kejuruteraan di sana. Hidup bahagia dan dikurniakan tiga
orang anak.
Pembaca jangan keliru, Aishah Osborn
@ Shirley Osborn bukanlah anak kepada Sherard Osborn pengarang The Blockede of
Kedah. Kebetulan saja nama bapanya sama namanya dengan pengarang tersebut yang
telah meninggal 143 tahun dahulu (lahir: 1822, meninggal: 1875). Sedangkan novel
Remang Dari Kuala berlatarkan era millennium, di mana ada disebut isu-isu
semasa seperti 1MDB, Bersih 5, Donald Tump dan lain-lain.(saya tidak
menjangkakan novel Remang Dari Kuala berkonsepkan aliran realism margis)
“Ketika 15000 tentera Sukhotai dengan
kelengkapan perang termasuk 3000 ekor gajah menyerang dari darat dengan
ganasnya, dari laut pula dibantu oleh bedilan meriam bertalu-talu dari armada
laut British dari kapal induk HMS Hyacinth, maka ranaplah Kota Kuala Bahang
sebagai benteng terakhir Kedah. Angkatan Tunku Muhammad Saad yang bertahan di
dalam kota hanya tinggal 200 orang terus berjuang hingga titisan darah terakhir.”Kota Kuala Bahang @ Kota Kuala Kedah
Perlukisan penuh kejujuran tanpa
berselindung oleh Sherard Osborn, seorang anggota armada laut British
berpangkat kapten yang terlibat dalam pengkhianatan membantu tentera Dinasti
Chankri menumpaskan pertahanan Kedah dalam perang 1838, menerusi bukunya The
Blockade of Kedah, cukup mendera perasaan Che Morad. Berbagai bentuk
penyeksaan oleh penjarah-penjarah Sukhotai ke atas rakyat Kedah dibayangkannya
tidak ubah seperti yang ditimpakan pada umat Rohingya oleh
penjenayah-penjenayah perang Mynmar. Semangat nasionalisme Che Morad
bercerucupan menyemarak ketika membaca pernyataan Sherard Osborn, tentang
kehebatan semangat pejuang-pejuang Kedah; “Like spaniels, the native of the whole sea-board of the
Indian peninsula lick the hand the that chastises them. Not so the Orang Melayu
and we the Englishmen should be the first to honors race who will not basely
submit to abuse the tyranny”.
Bagi Che Morad, untuk memadukan
unsur-unsur sejarah, yang sarat dengan fakta bersama imaginari fiksi dalam
sebuah cereka kreatif mengenai tumbangnya Kota Kuala Bahang iaitu sebuah kota
terakhir bagi Kesultanan Kedah, bukanlah mudah. Beliau sedaya upaya berusaha
untuk memantapkan pembinaan naratif fiksi yang bakal digarapinya kelak dengan
perbagai cara, termasuk dengan menghadiri seminar sejarah, menemu-bual
tokoh-tokoh yang berwibawa dalam sastera dan persejarahan, berdiskusi dengan
kawan-kawan dan kenalan selain dengan isterinya sendiri, Aisyah Osborn, selaku
rakan runding tetap.
Aisyah Osborn yang berpengalaman
dalam penulisan kreatif iaitu penterjemahan novel-novel barat ke bahasa Melayu,
pernah meyarankan kepada suaminya, “
penulisan kreatif bukan kerja main-main. Ini kerja pemikiraan. Abang kena
berfikir ayat demi ayat, perenggan demi perenggan bab demi bab. Dalam wacana itu pula abang
perlu fikir mengenai kekuatan bahasa, keberkesanan watak, kesesuaian latar dan
jalinan peristiwa yang koheran!”
Dalam satu seminar sejarah, khusus
mengenai perjuangan wira-wira Kedah menentang penjajahan Siam dalam Perang
Musuh Bisik (1821-1842), Che Morad Pora Hashim begitu tertarik dengan
penampilan seorang peserta seminar termuda, Nur Faedah Mohd Kamil, yang bangun
dan dengan lantang mempersoalkan kenapa sejarah perjuangan rakyat Kedah yang begitu
hebat seolah dipinggirkan dari jalur persejarahan nasional dan tidak dimasukkan
dalam kurikulum yang dipelajari pelajar-pelajar sekolah. Sebagai contoh,
katanya ketokohan pejuang-pejuang seperti Dato Maharaja Lela, Bahaman, Dol
said, Abd.Rahman limbung, Mat Salleh atau Sharif Mashor ditonjolkan sebagai
nasionalis bangsa; namun tiada siapa pun peduli dengan kehebatan wira-wira
Kedah seperti Syed Zainal Abidin (Tengku Kudin), Tunku Mohammad Saad, Tok Moris
(Syed Idris) dan lain-lain yang bangkit mempertaruhkan jiwa raga menentang
penjajahan tentera Sukhothai yang menjajah hampir 88 tahun.
Sebaik selesai seminar Che Morad
merapati peserta seminar termuda tapi lantang menyuarakan pendapat dan
pendirian itu. Dalam diam-diam beliau berhasrat mengheret masuk watak Nur
Faedah, pelajar tahun dua dari Universiti Malaya itu ke dalam fiksi Remang Dari
Kuala yang sedang berkembang dalam mindanya sebagai watak utamanya. Kebetulan
pula Nur Faedah merupakan anak kelahiran Kuala Kedah,di mana bertempatnya
lokasi tragis Kota Kuala Bahang,
Kunjungan Che Morad ke Kota Kuala
Bahang seterusnya, turut menjebaknya ke dalam situasi dan konfliks kekeluargaan
Nur Faedah yang terperangkap dalam kemerlut sosial mutakhir yang mengharukan.
Namun bagi Che Morad segala yang ditempuhi itu dapat dijadikan rempah rencah
untuk dieksploit ke dalam novel yang sedang rancak berkembang dalam minda
kreatifnya.
Berjayakah Che Morad Pora Hashim
memadukan semua fakta-fakta sejarah dan bahan-bahan terkumpul dalam sebuah
wacana kreatif. Berhasilkah seorang jurutera JPS merealisasikan hasratnya
menyiapkan penulisan novelnya dalam tempoh enam bulan seperti yang
dirancangkan. Bersetujukah Nur Faedah yang perwatakan dan sisi kehidupan
peribadinya mahu diseret masuk ke dalam kancah kehidupan sebuah fiksi. Semuanya
terjawap dengan membaca RDK hingga halaman akhir.
Yang nyata RDK tidak digarap secara
santai berlandaskan inspirasi dan imaginasi pengarang semata-mata, tapi
terhasil dari kajian, penyelidikan dan rujukan yang teliti daripada perbagai
sumber, termasuk teori dan disiplin dalam penulisan dan pengkaryaan sastera. Ini tidaklah menghairankan kerana
pengarangnya, Zulkefle Dollah, graduan
lulusan Universiti Sains Malaysia ini, merupakan seorang guru yang terlibat lebih
tiga dekad dalam pengajaran subjek Kesusasteraan Melayu peringkat SPM dan STPM.
Selain daripada itu giat dalam penulisan makalah, kritikan sastera dan resensi
buku sekitar era 1980an,1990an hingga kini, yang banyak tersiar dalam majalah
Dewan Sastera. Dalam penulisan beliau pernah menggunakan nama pena sebagai M.I.
Zulkif dan Zulfarda MD.
Remang Dari Kuala wajar sekali
menjadi bahan bacaan peminat-peminat sastera dan sejarah, terutama
penulis-penulis muda yang berjinak-jinak dengan bidang penulisan dan ingin
menekuni jalur dan laluan proses kreatif sebuah karya fiksi.
(Peminat kesusasteraan yang berminat
memilik novel Remang dari Kuala boleh berhubung terus dengan pengarangnya)
Rujukan:
1. Remang Dari Kuala, Zulkefle Dollah, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi), 2018
2. Pengenalan Kritikan Sastera,
M.K.Danziger & W.S.Johnson, DBP, 1991.
No comments:
Post a Comment