Saturday, May 22, 2021

DUNIA BUKU: 5

SENJAKALA, SEBUAH KARYA MONUMENTAL

 

Senjakala, DBP 1986

 
NOVEL
ini diterbitkan pertama kali pada tahun 1986, oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kemudian diulang cetak beberapa kali. Naskah milik saya ini adalah cetakan ke 7 (1990). Novel berhalaman 183 ini, ketika itu cuma berharga RM6.00. (nilai semasa saya kira tidak kurang dari RM25.00/ RM30.00).
Senjakala turut terpilih (dari novel-novel yang pernah dihasilkan antara 1925-1996) dan diterbitkan dalam Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20, sebuah koloborasi antara Dewan Bahasa dan Pustaka dan Rhythm Consolidated Berhad. Sejumlah 26 buah novel yang dianggap sebagai karya monumental mewakili dekad masing-masing diterbitkan dengan berkulit tebal.

      Senjakala  yang pernah dijadikan teks kajian sastera SPM, 1988-1992, (bukan Komsas seperti sekarang) adalah novel sulung Baharuddin Kahar setelah prolifik dalam penghasilan cerpen sejak awal 1970-an (sebahgian karya awal beliau dapat dibaca dalam Kumpulan  cerpen Kampung Halaman (DBP, 1982).

    Membaca Senjakala dan cerpen-cerpen Baharuddin, segera mengembalikan saya kepada karya-karya Malim Ghozali Pk. Kedua-dua buah-tangan sasterawan kelahiran Perak (Malim, di Malim Nawar manakala Baharuddin di Tanjung Rambutan) sarat bermuatan nuansa dan elemen-elemen antropologi dan sosiologi. Merakamkan suasana dan iklim pewarnaan setempat sezaman yang penuh bumbuan nostalgik.

Baharuddin Kahar,
 (Foto:Ssegamat.com. 2011)

         Baharuddin Buyung Kahar, lahir 24 Disember 1946, di Pekan Lama, Tanjung Rambutan, Perak. Mendapat pendidikan di Sekolah Anderson, Ipoh. Pernah berkerja dalam pelbagai bidang sebelum menjadi guru di Sekolah Menengah Tsung Wah, Kuala Kangsar. Minat dalam penulisan menyebabkan beliau berhenti dari kerjaya sebagai guru dan berkerja dalam sebuah penerbitan. Beliau berpeluang mengikuti kursus penerbitan di Italy dan England (di bawah Skim Latihan Usahawan Bumiputera, anjuran Jabatan Perdana Menteri),1985. Pada tahun yang sama beliau berjaya mendapat Zamalah Sastera Berita Harian berupa geran/ pembiayaan  membolehkan beliau menyiapkan novel Menerjang Gelombang dan diterbitkan oleh Berita Publishing (1989).

          Pernah menangi Hadiah Karya Sastera 1976/77(cerpen Capa Rengat), 1982/83 (Cerpen Sempana Ganja Iras), 1984/85 (Kumpulan Cerpen Terima Kasih Tuhanku) dan Sayembara Cepen Esso-Gapena 1976, 1981) Novel remaja beliau, Cerita Adam, memenangi Hadiah Sastera Malaysia 2004/2005).

        Senjakala mengikut Baharuddin hanya mengambil masa dua minggu untuk disiapkan dengan tulisan tangan kemudian ditaip semula dengan pertolongan seorang sahabatnya, Beliau terpaksa menulis terus menerus dari pagi ke malam kerana terpaksa berlepas ke Turin Italy dan Hertlepool, England mengkuti kursus penerbitan.(lihat laman Web Komuniti Segamat.Com)

The Old Man and The Sea

           Bagi bacaan ulangan kali ini, saya dapat mengkhataminya dalam sehari suntuk saja (Senjakala adalah sebuah fiksi beraliran realisme tanpa perlu bermenung panjang). Mengikuti jalur naratif Senjakala segera mengingatkan saya kepada kegigihan (kedegilan) watak Santiago dalam The Old Man and The Sea (Hemingway, 1952) dan watak Pawang Kri dalam Arus (Anwar Ridhwan, Pustaka Cipta Sdn.Bhd., 1985). Senjakala Kisah kegigihan seorang pemburu tua, Kinto yang menjelajahi rimba raya, hutan belukar, turun naik bukit, meranduk sungai dan paya lebih seratus hari memburu rusa untuk memenuhi keinginan anak gadisnya, Noor, yang mahu makan daging rusa. Noor sedang menderita sakit yang mengikut doktor cuma berpeluang lima bulan saja untuk hidup.

          

ARUS, Anwar Rihdwan

Kinto waktu mudanya merupakan seorang pemburu handal. Memiliki ilmu dan pengetahuan luas mengenai dunia haiwan, hutan dan perburuan. Bukan saja berhasil menewaskan mangsa-mangsa perburuannnya setiap kali turun berburu malah Kinto berjaya menawan hati Dasima, gadis manis, anak kepada rakan seperburuannya, Pak Awang Lodin ketika berburu di Kampung Sayung (kuala Kangsar). Kinto yang cedera tertikam buluh dibawa pulang oleh Awang Lodin untuk  dirawat. Di sinilah dia berkenalan dengan Dasima, jatuh cinta kemudian berkahwin. Bagaimanapun Dasima meninggal selepas melahirkan Noor. Kinto kemudian meninggalkan Sayung membawa anaknya kembali kampung asalnya. Noor membesar dibawah jagaan Sapiah adik Kinto yang tinggal serumah dengannya. Sapiah yang kematian suami  mempunyai seorang anak lelaki, Damid, sebaya dengan Noor.

Baharuddin tetap berkarya di samping berjual satey
 di sebuah restoran di Segamat (foto: Segamat.com) 

       Baharuddin Kahar memperlihatkan keterampilan bakatnya membina jalur naratifnya yang memiikat dengan debaran demi debaran selepas doktor mengesahkan yang anak gadisnya, Noo,r mengidap sejenis penyakit seumpama leukemia. Sehari demi sehari Noor kelihatan lemah, bersedih, murung dan kerap pengsan. Bermulalah episod keazaman( kedegilan ) seorang pemburu tua turun berburu setiap hari untuk melunaskan keinginan terakhir anak gadis kesayangannya.

            Novel tanpa antagonis ini adalah sebuah pelukisan tentang kecekalan hati seorang manusia yang enggan menerima kekalahan. Tentang harga diri dan kasih sayang. Mencakupi hubungan manusia dengan Tuhan, alam dan sesama manusia. Tersimpan falsafah tentng proses pencarian diri. Tentang kewujudan kita yang perlu menerima kekalahan bersandarkan kesedaran pada kegungan Tuhan. Cinta  yang patah, rendah diri seorang lelaki dan cinta yang tidak sampai turut terungkap dalam fiksi ini (blurb Senjakala).

          Tidak rugi menghabiskan sedetik masa menelaah sebuah novel yang sarat dengan pengetahun selok-belok dunia perburuan, hutan rimba dengan flora-faunanya termasuk ranah kehidupan dan budaya masyarakat orang asal. Seorang pengarang yang tidak pernah terlibat secara lansung dengan aktiviti perburuan dan alam rimba raya tidak mungkin berhasil melukiskan jalur naratifnya dengan lancar dan fakta-fakta yang tidak meragukan. Saya percaya Baharuddin Kahar mempunyai ilmu, pengetahuan dan pengalaman serta penglibatan langsung dalam subjek garapannya.

Bersama novelis SAGA, Abd.Talib Hassan dalan suatu acara sastera
di J0hor, 2011.(foto: Segamat ,com)

             Selepas  berjaya mendapat rusa yang diburunya lebih seratus hari dengan merebutnya dari mulut seekor harimau ganas, sempatkah Noor, anak gadis kesayangan Kinto menjamah daging rusa yang diingininya. Semuanya terjwap di halaman 183, di mana Baharuddin Kahar menokhtahkan fiksinya. (khabarnya DBP ada membuat cetakan semula, kumpulan cerpen termasuk novel Senjakala; sempena produksi telefilem Capa Rengat Gulai Rawo sebuah kolaborasi DBP dan RTM) adaptasi dari dua buah cerpen beliau

 

 ZAINOL IDRIS,

19 Mei 2021,

Jitra, Kedah.

 


  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...