Wednesday, September 30, 2020

 DUNIA BUKU 2


CINTA FANSURI,

SEBUAH KOLAJ MISTERI CINTA

Tidak pasti pula, ini adalah ulang bacaannya buat kali ke berapa.  Saya jarang mencatatkan tarikhnya setiap kali saya membaca kembali  mana-mana buku.  Tapi yang pasti  saya menatapnya buat kali pertama ialah kira-kira 25 tahun yang lalu berdasarkan tarikh pemilikannya, 5 Mei 1995. Novel karya SN A.Samad Said ini pertama kali terbit  pada tahun 1994 oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd., ISBN 9676526738.

 Buku setebal  156 halaman ini terbahagi kepada dua bahagian: Bahagian 1 ialah Cinta Fansuri Sebuah Novella. Manakala Bahagian 2 mengandungi dua buah cerpen;  Tasik Syahdu dan Kafilah Ledang (catatan perjalanan-P).

 Seperti biasa saya terdera oleh keletihan setiap kali menelaah novel ini, kerana pembacaannya seolah-olah terpaksa merangkak-rangkak. Mengunyah Daerah Zeni (Fajar Bakti, 1985) dan Hujan Pagi (DBP, 1987) tidak sesukar menguliti Cinta Fansuri, walaupun ketiga-tiganya berada dalam wilayah nuansa yang sama; Realisme Margis. Menelaah Cinta Fansuri seolah sedang berhadapan  dengan  teka-teki , permainan silangkata, kadang-kadang seperti bermain Dam Ular atau permainan Naik Tangga, Turun Tangga pula; kerana, ada ketikanya kita terpaksa  undur kembali dan membaca bab-bab terdahulu semula. Saya seringkali hilang punca.  Untuk mendapatkan kembali kontinuitinya,  terpaksalah menyelak kembali helaian-helaian sebelumnya. Begitu pun setelah mula melangkah kaki ke dalamnya, kita mulai merasa keasyikannya dan mahu terus mengembara ke nokhtah terakhirnya, walaupun beberapa kali seakan tersesat dalam rimba aksaranya.

        


Berbanding dengan lain-lain karya SN A. Samad Said, alur penceritaan dalam Cinta Fansuri tidak terlalu fokus kepada permasalahan satu watak utama, yang secara konvensionalnya mendominasi naratif sebuah karya fiksi yang mengalur lewat bab demi bab. Cinta Fansuri seolah sebuah kolaj, terdiri daripada cantuman  beberapa segmen yang menjurus kepada sebuah tema tentang kemisterian cinta. Membaca Cinta Fansuri seakan mengulangi pengalaman menonton atau membaca beberapa naskah drama SN Noordin Hassan yang sering memanfaatkan teknik kolaj dalam kebanyakan karyanya.

Permulaannya kita disuakan dengan watak aku (Juram) dan temannya Milyukadar sedang menunggu penerbangan dari Kucing ke kuala Lumpur (kedua-duanya  anthropologist?) Aku(Juram) terkenangkan kisah pertemuan dengan seorang perempuan berusia 92 tahun dari Edang Epala, ketika mereka sedang menunggu bot di sisi Sungai Matu (Mukah, Sarawak?), yang bercerita tentang datuknya yang pernah membunuh penjajah Inggeris. 

Ketika dalam penantian (di airport/ pengkalan bot ?) sedang Milyukadar tenggelam dalam buku antropologinya, Aku (Juram)pula asyik menatap lembar-demi lembar surat dan catatan-catatan yang terkandung dalam sebuah bungkusan. Dia mengakui sering terganggu dengan kandungannya yang mengundangnya kepada satu peristiwa cinta yang luar biasa - cinta sang pemergi.

Saya berkeyakinan yang Aku (Juram) bertindak sebagai narrator mengisahkan kembali kisah percintaan sebagaimana yang terkandung dalam kolaj-kolaj misteri cinta dalam novel ini. Sekali gus mengingatkan saya kembali kepada Zeni dan adiknya Zedi yang sering tenggelam dalam naskah novel ayah mereka, Lazri Meon (lihat novel Daerah Zeni).

Secara ringkasnya terdapat beberapa kisah cinta dalam novel ini yang berpusar mengorbit kisah percintaan dua zaman, Fansuri dan  Fahiyaton, di mana terselit kisah percintaan Damri dan Wan Siriyah, percintaan Bambrio (Suradi Othman) dan Ratna Murni (Pensyarah di Universitas Gajahmada). Malah kisah Namzirah (peserta bengkel) yang diam-diam jatuh hati pada Damri.

Damri, seniman, pengarang, penulis skrip dan  penolong pengarah yang mula dikenali  ramai tiba-tiba bertindak meninggalkan bengkel drama dan penulisan yang sedang dikelolakan bersama Bambrio di Sabah. Damri secara tergesa-gesa bertolak ke Paris menyahut tugasan yang diberikan oleh Wan Siriyah (kekasihnya) untuk mencari seorang manusia yang bernama Fansuri, demi memenuhi permintaan emak saudaranya, Fahiyaton. Fahiyaton yang kini terlantar di wad hospital, menyesal sangat kerana pernah  mempermainkan cinta Fansuri.  Pembaca terlebih dahulu diperingatkan oleh watak Aku (Juram) bahawa Fansuri yang dikisahkan adalah Fansuri lain - bukan  Fansuri (Hamzah Fansuri) penyair filosuf abad ke 16 itu)

Fansuri mulai berkenalan dengan Fahiyaton dalam satu perteman social di Joo Chiat Place, Singapura. Kemudian mendapat tahu yang Fahiyaton adalah berasal dari kalangan keluarga bangsawan. Pernh bersumpah untuk hidup semati bersaman Fansuri, tiba-tiba memilih untuk berkahwin dengan seorang tuan punya ladang lada hitam yang sedarjat dengan keluarganya. Apabila suaminya mati, Fahiyaton yang sudah janda sekali lagi mempermainkan cinta Fansuri bertindak berkahwin dengan bapa saudara arwah suaminya. Fahiyaton kemudian diceraikan suami keduanya itu, selepas mengahwini teman sosialnya yang lebih muda. Fansuri seterusnya dikecewakan untuk kali ketiga , bila Fahiyaton tidak muncul-muncul  di pejabat Kadi Kandahar Street, sedangkan mereka telah berjanji untuk bernikah.

Foto dari WARKAH EROPAH

Fansuri yang patah hati  belayar mengikuti sebuah kapal kargo di Tanjung Pagar, Singapura dan bersumpah tidak akan mengenali lagi seorang wanita bernama Fahiyaton. Fansuri akhirnya terlantar meladeni kesunyian hidupnya di tengah kota Paris. Fansuri dikisahkan oleh A.Samad Said sebagai menjalankan perniagaan bersama rakan niaganya Shakeel Alim (Sha-Al). Apabila didesak oleh temannya agar mendapatkan pasangan hidup, Fansuri dengan tegasnya berkata, “…kau jangan cuba menjadi ayah dan ibuku.  Cukup kita berniaga saja. Jangan cuba menjodohkan aku dengan sesiapa…”


Ketika mendengar khabar ada seorang lelaki dari Malaysia (Damri) sedang mencarinya, Fansuri terus mengelak,menjauhi dan enggan ditemui.

Lukisan Persekitaran dalam novel ini sebahagian besarnya berkisar pada lokasi iaitu di Sabah tepat berlangsungnya bengkel drama dan penulisan dan Paris di mana Fansuri membuangkan dirinya di samping sepintas lalu menyorotkan kembali perkenalan Fansuri dan Fahiyaton dalam latar masa zaman selepas perang di Singapura  dan  Johor. Jika di amati SN A.Samad Said  dalam proses kreatif menukangi Cinta Fansuri memanfaatkan keseluruhan pengalamannya yang dipungut lewat lawatannya ke Perancis (lihat Warkah Eropah, DBP, 1991) serta pengalamannya mengendalikan Bengkel Drama dan Puisi di seluruh Sabah selama sebulan bersama Marzuki Ali dan Ismaily Bungsu (lihat Diari Kembara SN A.Samad Said, Marwilis Publisher, 1989). Seandainya diperhalusi oleh sesiapa yang pernah membaca  catatan dairi bengkel di Sabah tersebut, dia pasti dapat menebak, perwatakan siapakah yang diasosiasikan dalam watak Bambrio.


Foto dari WARKAH EROPAH

Apakah Damri yang bersusah payah menjejaki manusia misteri itu berjaya menemuinya di Paris. Semuanya akan terjawab( masih dalam berteka-teki) bila dalam Bab 1 yang hanya sepanjang enam baris , kita ketemui ayat “ Dia tidak lagi di katil 28 wad 6. Dia tidak bercinta lagi. Damri berdoa di sisi katil. Kali terakhir seorang jururawat terdengar pesakit itu mngucapkan ‘Sha-Al, kau jangan cuba jodohkan aku dengan sesiapa pun. Aku senang begini…”

Bagaimana pula dengan Fahiyaton, dapatkah dia bertemu semula dengan Fansuri untuk melunaskan kesalannya (yang diusahakan oleh anak saudaranya, Wan Siriyah melalui Damri ?) Pada Bab 19, yang relatifnya juga pendek - cuma terdiri dari empat baris ayat, kita jumpai: “Dia memang tidak lagi di katil 26 Wad 8. Dia memang tidak bercinta lagi. Wan Siriyah  menangis di sisi katil. Kali terakhir seorang doktor melihatnya membasuh cangkir dengan kasar dan berulang kali menjerit, ‘Aku tak kan kahwin seorang pembunuh.’

Selesai menelaahnya; Saya yakin para pembaca juga mempunyai konklusi tersendiri berpandukan interpretasi masing-masing. Dan sudah semestinya ianya masih tidak terlepas dari kerangka teka-teki juga.

 

ZAINOL IDRIS,

Jitra, 30 September 2020.

 



  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...