KRITIKAN:
KUMPULAN
CERPEN SEKALI AIR BAH
Buah Karya Cerpenis Realis Terbaik Mutakhir Ini
Oleh: Ibnu Din Assingkiri
Pandangan Awal Tentang Naskah Ini
NASKAH ini menghimpunkan 17 buah cerpen yang ditulis rentang masa antara tahun 1980 –
2013 yang membawa kepelbagaian tema. Di antara cerpen yang dimuatkan dalam
naskah ini ada yang memenangi hadiah sastera di peringkat kebangsaan. Membaca
tulisan “blurb” pada naskah pasti meletakkan satu sasaran yang agak tinggi
terhadap mutu tulisan Zainol Idris, seorang pesara guru Sains yang berkhidmat
selama 32 tahun. Sebelum memulakan pembacaan, saya sudah meletakkan sasaran
tinggi dan merasakan patut berbuat demikian dek kerana reputasi penulisnya yang
pernah meraih Hadiah Penulisan Cerpen Berunsur Islam (1985), Hadiah Penulisan
Skrip Drama TV Berdasarkan Cerpen (1991), Hadiah Karyawan Darul Aman
(1996/1997) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 (Cerpen).
Pandangan Saya tentang Genre Cerpen
Secara
umumnya cerpen adalah cerita yang relatif pendek. Ia adalah prosa naratif yang
selalunya berkisar dalam satu kejadian (“event”). Skopnya terhad dan terdapat
pengenalan, isi dan kesimpulan. Walaupun cerpen ada banyak persamaan dengan
novel, tetapi ia ditulis dengan ketepatan yang lebih berbanding novel. Cerpen
terbina dari elemen-elemen latar, watak serta perwatakan, plot serta struktur,
narator dan sudut pandang, konflik serta klimaks, tema serta amanat, gaya serta
nada dan mematuhi aliran penulisan tertentu.
Latar
Walaupun
“Dendam Apai” (Anugerah Sastera Perdana 2013) ditulis berdasarkan kisah benar
yang dibaca oleh penulis dalam akhbar (beliau memberitahu ketika saya tanya
beliau di sebuah majlis anjuran ASASI) dan kemudian ditokok imaginasi kreatif
penulis, saya yakin ia bukan sekadar “backdrop” kepada aksi-aksi yang berlaku
dalam cerita. Latar di dalam naskah ini dicipta dengan ‘detail’ dan
kebanyakannya memakai teknik memperlihat (visualisasi atau pencitraan
-“visualize”) melebihi teknik memberitahu (“telling”). Teknik memperlihat ini
memerlukan kemahiran menukangi bahasa dan alat susastera (“literary
devices”).
Latar
“Sekali Air Bah” ‘memperlihatkan’ rumah kampung dengan bergaya dan hampir
sempurna, “Tiang rumah mak tinggi....Kolong rumah mak bukan sahaja lulus budak
berlari, kerbau lembu pun boleh memboloskan diri, tak bimbang tanduknya
tersangkut kayu rasuk. Sekali-sekala kalau Kifli balik, kereta lampu mata
belalangnya berlengkar di bawah kolong rumah itu.” Perbandingan kerbau lembu
dan kereta Mercedez yang mampu melepasi kolong rumah Mak itu memperlihatkan
ketinggian tiangnya dan (secara pra sedar) meminimakan kebimbangan pembaca
terhadap keselamatan rumah itu dari ditenggelami air bah. Inilah teknik
memperlihat (visualisasi) yang saya maksudkan. Latar di Kedah mempengaruhi
dialek dalam dialog dan ia membantu merealisasikan nuansa kedaerahan dan
tentunya menambah kekuatan atmosfera dan keadaan sosial (“sosial
circumstances”) cerpen-cerpen dalam naskah ini.
Watak dan Perwatakan
Pemilihan
watak protagonis Apai yang merupakan seekor beruk spesis Macaca Nemestrina
(ejaan Namestrina dalam naskah) yang cerdik (dan bulat pula wataknya) adalah
alegori dan keterbalikan sifat manusia yang dikalahkan spesis beruk. Watak Apai
diperincikan melalui sikapnya yang sensitif dan penyayang terhadap Indai pada
salah satu kalimat yang berbunyi, “Semuanya membuatkan Apai turut tidak jerab
tidur. Apai turut menangis sendirian...” Dalam masa sama Apai juga gagah berani
dan sentiasa melindungi pasangannya seperti dalam kalimat ini, “Tetapi sesekali
amarah kejantanan menyirap naik, Apai dapat merasa urat darah, otot, sendi dan
tulang belulangnya seakan dijalari sesuatu...” Watak Apai bulat dan
berubah-rubah dan sangat manusiawi sedangkan Apai adalah seekor beruk. Inilah
yang saya maksudkan sebagai alegori (keterbalikan) sifat manusia.
Watak
Apai dan Indai juga diperincikan melalui dialog, “Kau nak makan apa, biar aku
cari,” menunjukkan bahawa Apai suami yang bertanggungjawab. “Jagung pulut muda,
wangi dan manis sungguh.... Tapi aku tak mahu menyusahkan kau.” Dialog Indai
pula sangat tipikal (dan manusiawi) dari kata-kata isteri yang mungkin ikhlas
tidak ingin menyusahkan suami atau mungkin mengumpan suami dengan kata-kata itu
agar suaminya belas kepadanya dan mendapatkan jagung yang diidamkannya. Penulis
berjaya memperincikan watak dengan keterampilan fizikal spesis beruk, fikiran
dan perasaan dan juga interaksi antara watak. Watak-watak hidup dan realistik
(“beleivable”) kerana penulis berusaha keras menghidupkan watak dan perwatakan
dengan elemen-elemen yang disebutkan tadi.
Plot dan Struktur
Saya mencabut secara rawak “Bukan Hentian Terakhir” terbit di tahun 1981 untuk
membincangkan tentang plot dan struktur cerpen. Kitaran kejadian (“events”)
dalam cerpen ini tertumpu kepada detik penting (“significant moment”) Tukiman
menunggu Jonah keluar mencari makanan. Berkisar dari detik penting itu ada
kilas balik kepada peristiwa yang baru berlaku semalam. “Kalau dapat boleh buat
bekalan. Roti tak mudah basi.” Itu lah kata-kata terakhir Jonah ketika meninggalkan
gerabak buruk, rumah persinggahan mereka senja tadi. Selain itu plot
cerpen ini dibina selari, secara urutan kronologi dan tidak berubah-ubah.
Plotnya realistik dan boleh dipercayai (“beleivable”), struktur seperti
yang selalu digemari oleh kebanyakan cerpenis realis.
Narator dan Sudut Pandang
Cerpen-cerpen
dalam naskah ini memakai sudut pandang ke 3 dan sudut pandang serba tahu. Tiada
cerpen yang ditulis memakai sudut pandang pertama. Nampaknya penulis tidak
memberi peluang kepada watak menjadi narator. Beliau lebih menyukai pandangan
dari mata ke 3 dan mata serba tahu.
Sudut pandang ke 3 (dia):
Dendam
Apai, Sepuntung Kaki untuk Cah, Pak Yet Politik, Hujan, Ustaz, Orang Kuat
Parti, Pingat, Bukit-bukit Gondol, Penunggu Fajar, Benteng Air.
Sudut pandang serba tahu:
Gadung,
Sekali Air Bah, Usul Tergempar, Jantan, Simandul Makin Tembun, Bukan Hentian
Terakhir, SiKeweh Masih di Caruk.
Sudut pandang pertama (aku):
Tiada.
Konflik dan Klimaks
Konflik
yang merupakan tekanan (“tension”) selalunya di jantung cerpen dan berkait
watak utama. Dalam cerpen selalunya ada satu perjuangan utama (“main
struggle”). Konflik utama mungkin disebabkan keadaan sekeliling atau
persekitan. Konflik utama mungkin juga berpunca dari konflik dalaman watak.
Dalam “Bukit-Bukit Gondol” konflik Kraktin yang terpaksa meragas bukit batu
kapur dalam musim hujan yang boleh meragut nyawa demi mencari baja tahi kelawar
kerana kesempitan wang diletakkan di permulaan cerita. Ini adalah salah satu
cara yang digemari oleh kebanyakan cerpenis realis. Cara ini juga berkesan
kerana telah disematkan awal-awal konflik dalam pemikiran pembaca, jadi langkah
seterusnya adalah peleraian konflik hingga ke akhir cerita. Pembaca dari awal
lagi sudah terkesan dan bersimpati dengan protagonis.
Klimaks
adalah titik puncak di mana tekanan paling tinggi berlaku dalam cerpen. Ia juga
boleh mengakibatkan titik perubahan (“turning point”) di mana berlaku perubahan
besar, seringkali yang tidak disangka sebelum semuanya berakhir dan disudahkan
oleh penulis. Dalam “Orang Kuat Parti,” penulis membuat titik perubahan yang
tak disangka-sangka oleh pembaca. Penulis menyudahkan ceritanya dengan klimaks
yang memberikan kejutan dan mengakibatkan terjadinya titik perubahan besar yang
mempengaruhi cerita, serta pandangan pembaca terhadap watak utama serta
watak-watak lain. Penulis telah berjaya melakukan terjahan mengejut dengan baik
dan hampir tidak disedari kerana ralit diulit kelancaran cerita.
Tema
Naskah
ini berkisar di tiga tema utama iaitu kasih sayang (kekeluargaan),
sosio-politik dan keagamaan. Tema kasih sayang (kekeluargaan) dan pengorbanan
dalam cerpen “Gadung”, “Dendam Apai”, “Sekali Air Bah”, “Sepuntung Kaki untuk
Cah”, “Jantan”, “Bukit-bukit Gondol”, “Si Mandul Makin Tembun”, “Bukan Hentian
Terakhir” dan “Penunggu Fajar”. Tema sosio-politik dalam “Pak Yet Politik”,
“Usul Tergempar”, “Orang Kuat Parti” dan “Si Keweh Masih di Caruk”. Tema
keagamaan dalam “Hujan” dan “Ustaz.” “Benteng Air” pula bertemakan perjuangan
hidup.
Tema
kasih sayang suami isteri terpancar dalam “Sepuntung Kaki untuk Cah”,
“Harapannya untuk melihat Cah melangkah ke sana sini akan terkabul tidak lama
lagi. Cah tidak lagi terkedang di tengah rumah....Yang penting Cah boleh boleh
membebaskan diri dari kejemuan yang memualkan...” Betapa kasih-sayang kepada
Cah akhirnya mengorbankan kaki Pok’heng sendiri. Kesudahan yang tragis itu
seakan pengukuhan kepada tema kasih sayang akhirnya melahirkan sub-tema
pengorbanan. “Dendam Apai” pula bukan sahaja bertemakan kasih sayang
(kekeluargaan), malah kisah cinta agung yang melahirkan sub-tema pengorbanan
dan sekaligus perjuangan spesis tertindas (simbol beruk) melawan ketidakadilan
spesis yang menindas (simbol pemburu).
Gaya dan Kepengarangan
Gaya penulisan ada ‘sedikit’ perbezaan jika dibandingkan karya awal di
tahun 80’an dengan karya terkini. Gaya bahasa, penggunaan bahasa
figuratif, citraan dan perkakas susastera lainnya dalam “Dendam Apai” tampak
lebih berkesan membentuk nada dan perasaan jika dibandingkan dengan “Ustaz”.
Teks dari “Dendam Apai,” “Kelompok-kelompok awan kelabu yang bergayutan di sana
sini menjadikan sinarnya tidak segarang biasa; hening dan malap. Sisa-sisa
malam masih menyelubungi lembah itu.” Penulis memanafaatkan perorangan dan
perlambangan yang secara simbolik memperlihat suasana hati protagonis.
Kata-kata dipilih dengan cermat dan berjaya menimbulkan kesan yang
diharapkan.
Cerpen “Ustaz” saya rasa amat dekat dengan penulis kerana ia
menceritakan tentang guru subjek Sains yang dikatakan sebagai ‘ustaz melebihi
ustaz.’ Sesuatu yang dekat dengan diri penulis akan menghasilkan latar, nada,
perasaan dan nuansa yang realistik dan berkesan. Petikan gaya bahasa
dalam “Ustaz,” - “Selesai mengemaskan buku-buku dan kertas nota yang berkecamuk
di atas meja, dia melangkah longlai lalu menolak pintu ke bilik persediaan.”
Walau agak berkesan memperlihat suasana hati, namun jika ingin dibandingkan
dengan “Dendam Apai” bagi pendapat saya, “Dendam Apai” lebih berkesan dalam
memperlihat suasana hati (“mood”) wataknya kerana kata-katanya ditukangi dengan
cermat dan memakai perkakas susastera yang bersesuaian.
Secara umumnya karya-karya dalam naskah ini tidak
terperangkap di dalam nada ‘monotoni’ yang boleh membuatkan penulis menjadi
klise dengan diri sendiri. Rentang masa 30 tahun pengkaryaan, mungkin salah
satu elemen yang membantu. Jelaslah bahawa rentang masa tiga dekad tidak
berlalu sia-sia kerana penulis telah berjaya menajamkan pisau karya dan
kepengarangannya.
Aliran Penulisan
Menurut
Mana Sikana (2013) aliran penulisan realisme ialah satu aliran besar dan
dianggap telah mencapai naratif besar (“grand narrative”). Menurut beliau lagi,
realisme amat akrab hubungannya dengan sosial dan masyarakat. Realisme banyak
berbicara tentang bidang ekonomi, pendidikan, status dan stratifikasi
masyarakat, politik dan apa juga yang berhubungan dengan pembentukan sosial,
kenegaraan dan kehidupan massa. Dalam naskah ini kita menemui hampir kesemua
elemen tadi dan ini menunjukkan aliran penulisan naskah ini secara umumnya
adalah realisme yang terpecah menjadi realisme formal yang mengemuka apa-apa
yang wujud dalam masyarakat, realisme protes yang mengkritik sesuatu gejala,
realisme sosialis yang menjadi alat propaganda politik sosialisme dan realisme
batin yang cuba meneroka ke alam bathiniah dan manusiawi.
“Gadung”
membawa pembaca jauh ke latar perkampungan orang asli dan telah berjaya
memperkenalkan pembaca dengan kehidupan masyarakat pedalaman yang jauh dari
kehidupan bandar dan juga kampung. Ceritanya berkait kehidupan sosial
masyarakat, maka ia merupakan prosa naratif aliran realisme. Begitu juga dengan
semua kisah lain yang membicarakan tentang kehidupan sosial masyarakat secara
langsung dan juga secara simbolik seperti dalam “Dendam Apai” dan
“Jantan.”
Kesimpulan
Dalam
menganalisis karya, selalunya kita tidak dapat lari dari membuat perbandingan
karya para penulis mapan dan para kanon sastera dengan karya atau naskah yang
diulas. Walaupun ia menjadi suatu perbandingan yang subjektif dan terkadang
tidak adil, tetapi kecenderungan melakukannya akan sentiasa berlaku. Hampir
tidak ada perbandingan ‘epal kepada epal’ dalam karya sastera kerana setiap
penulis adalah individu yang berbeza-beza dan tentunya memiliki latar belakang
dan pengalaman hidup yang juga berbeza-beza.
Setidak-tidaknya ia masih boleh dilakukan dengan membandingkan antara
aliran penulisan sama iaitu antara ‘realis vs realis.’
Dengan mengasingkan aliran ‘realisme
magis,’ saya suka membandingkan keterampilan mengarang Zainol Idris dalam
naskah ini dengan Che Husna Nazri, “Melor in Perspective” realisme berlatarkan
budaya dan sosio-politik negeri Kelantan. Seorang penulis lagi mungkin Azmi
Iskandar Merican, “Aci Patmabi” novel realisme berlatarkan zaman pendudukan
British di Pulau Pinang. Akan tetapi kedua-dua mereka hanya mendapat empat
bintang (saya beri di Goodreads) sedangkan Zainol Idris telahpun berjaya
mendapat pengiktirafan lima bintang. Demikianlah pendapat saya tentang Kumpulan
Cerpen Sekali Air Bah: Buah Karya Cerpenis Realis Terbaik Mutakhir Ini!
Bicara Karya ASASI 1 Mei 2016 |
Rujukan:
David CL Lim et al, 2011.
Introduction to Novel and Short Stories. Kuala Lumpur: Open University
Malaysia.
Mana Sikana, 2013. Dari Barat ke
Timur. Teori dan Kritikan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Roger Webster, 2004. Mengkaji Teori
Sastera, Satu Pengenalan (Terjemahan Shamsuddin Jaafar.) Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Catatan:
1. Pertama kali dibentangkan dalam Program Bicara Karya Angkatan sasterawan Nasional Kedah (ASASI) pada 1 Mei 2016, Pej.AVON, Jitra, Kedah.
2. Tersiar dalam Promosi, Ulasan dan Kritikan Prbukuan malaysia Blogspot.com, 26 Jun 2023.
No comments:
Post a Comment