Saturday, December 31, 2011

TRAVELOG GUANGZHOU 2


SEMINAR MEMBORONG 

SUBUH pertama di bumi Tiongkok itu kami dikejutkan melalui morning call jam 4.00 pagi. Ketika waktu begini kita di tanahair mungkin masih menarik selimut; kecualilah pada bulan Ramadhan untuk bangun sahur.  Namun di sini bagi umat Islam  adalah rutin kerana jam 4.35 sudah masuk waktu solat subuh. Manakala syuruknya pula jam 5.35 pagi. Sinar matahari pagi semakin menyelinap ufuk dilurah-lurah bukit yang landai.

Perbengkelan di Dewan Seminar
untuk sarapan pihak hotel menetapkan jam sehinga 8.00 pagi saja bagi hidangan halal food, selepas itu hidangan sarapan adalah non-halal. Bagi mengelakkaan was-was untuk minuman pagi dan petang juadah yang disediakan   pihak hotel  kebanyakan adalah dari sumber tumbuhan samada dari jenis kacangan, buahan segar atau kering.  Di kamar 15 tingkat 10; saya dan orang rumah lebih selesa bersarapan makanan dan minuman segera yang di bawa dari tanahair.


8.30 pagi bemula  Kursus memborong di China oleh En.Shabuddin  (Anzac Consultant )yang telah lama dan berpengalaman dalam selok belok  perniagaan  di China. Beliau mempunyai pejabat dan gudang  untuk urusan pembelian , pembungkusan  dan penghantaran  barangan ke tanahair. 
En.Shahabuddin  turut memperingatkan  peserta  keperluan membawa sebotol air  bila berjalan-jalan  (untuk keperluan berintinja) kerana kebanyakan tandas samada persendirian  atau awam  tidak menyediakan pili air.

Depan Nur Bostan
Guangzhou  menawarkan  barang dagangan yang sangat murah antara  4-8 kali ganda berbanding pasaran tempatan. Contohnya satu set Al Quran digital yang dijual antara RM450.00 – Rm500.00  di sini dapat dibeli secara borong   tidak sampai 300 Yuan. (RM 150). Bayangkan  keuntungan yang bakal diraih  sekiranya anda seorang pedagang.  Perlu diingat bahawa pembelian adalah secara borongan sekurang-kurannya melebihi 10 unit.  Istilah yang digunakan ialah “many-many” (beli banyak).  Tawar menawar di sini menggunakan calculator. Penjual akan menghulurkan  calculator yang telah dimasukkan harga tertentu. Terpulanglah kepada kita  untuk menawarnya dengan memasukkan harga baru.

Tengahari ini  kami akan lunch di Nur Bostan, sebuah restoran Turkey. Menunya hampir sama dengan lain-lain restoran yang memakai label Halal Abdullah.

Bersama Ust.Muhammad Abdullah
Petang ini  slot kursus di kendalikan oleh Ust Muhammad Abdullah, personaliti rancangan bercorak agama  Tv9 . Beliau sering muncul dalam rancangan Tanyalah Ustaz dan hos rancangan Usrah. Sempena kedatangannya ke Guangzhou turut serta ialah crew tv yang akan membuat rakaman usrah Berniaga Di China. Peserta seminar turut dipelawa sebagai  rakan usrah dalam program tv tersebut.
Ustaz Mohammad  membuat pembentangan  mengenai perniagaan, pengurusan kewangan dan pengurusan stress.

makan jangan tak makan
Malam ini terpaksa solat maghrib jamak tahkhir kerana kami diminta berkumpul di lobi jam 6.45 untuk dibawa makan malam dan akan terus ke night market meninjau jualan secara runcitan . Termasuk ke gedung-gedung perniagaan di Beijing Loo.
 

Sambil menikmati hidangan , pengunjung retoran dihiburkan dengan tarian dari penari-penari jalanan (berpindah dari sebuah hotel ke hotel lain untuk mengadakan pertunjukan) dari suku Uyhur.  Kebanyakan dari mereka adalah penganut Islam mendiami  bahagian baratdaya benua China.(kini dizalimi oleh kerajaan China kerana perjuangan mereka untuk mendapatkan kuasa autonomi).  Wajah mereka mirip bangsa uzbeg. Seakan-akan campuran arab-Cina.  Selain dari costume, rentak dan ritma muziknya  mirip Arabian music.

  


Friday, December 30, 2011

TRAVELOG GUANGZHOU 1


PERSARAAN BERSINERGI

Di luar dugaan apalagi dirancang, pada 25 Julai 2011, jam 1.45 tgh.,saya melangkah turun dari pesawat MAS NH376 ke Lapangan Terbang  Antarabangsa Baiyun, di Propinsi Kwantung, China selatan.  Perjalanan ini sebenarnya  adalah sebahagian dari package Seminar Pra Persaraan Bersinergi  anjuran Tabung Haji (TH) khusus bagi kakaitangannya  yang bakal memasuki alam persaraan, bersama pasangan masing-masing.( Kebetulan orang rumah saya  kakitangan TH dan telah memilih skim persaraan awal).
Ah Hong (dua dari kanan) sedia menunggu


Logiknya Guangzhou dipilih sebagai venue seminar, berkemungkinan besar  atas  pertimbangan  kota ini sebagai lokasi trading terbesar  dunia -  yang sudah pasti meransang  minda bakal para pesara  TH menceburi bidang perniagaan  yang mengikut Ust.Muhammad Abdullah,  salah seorang fasilitator program,mafhum hadis Rasulullah menyatakan; perniagaan menjanjikan 9/10 dari rezeki .
Bersama isteri di Baiyun International Airport



Bagi generasi lama, Guangzhou merupakan nama yang asing berbanding dengan Canton. Canton ialah nama yang diberikan oleh orang-orang barat kepada Guangzhou. Canton dikenali dalam sejarah dunia sebagai lokasi utama Perang Candu I (1839-1842) dan Perang Candu II (1856-1860).
Peperangan secara terbuka itu berlaku apabila pihak China (Dinasti Qing) cuba menyekat perdagangan candu  yang cuba dibawa masuk oleh pihak barat  . Dari satu pihak, barat mendapati Perdagangan ini sangat menguntungkan dan berjaya mengimbangi (dari segi tukaran wang) perdagangan dua hala China-Barat. Bagi China kemasukan candu yang tidak terkawal adalah gejala buruk yang dipaksakan kepada mereka. Peperangan yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada  barat yang dikepalai  British, Perancis dan US ini membwa kepada Perjanjian Nanjing  dan Perjanjian Tianjing.  Melalui perjanjian yang berat sebelah ini  berakhir dengan Hong  Kong dan Semenanjung Kowloon  terlepas dari kedaulatan China  lebih dari satu abad.
 Perang Candu mengorbankan 2800 di pihak Barat
 dan 47790 di pihak China


Perang Candu ini juga  menjadi titik tolak kepada dasar-dasar luar China;   China terpaksa membuka pintu kingdomnya  kepada dunia luar (untuk dilihat dan melihat ke luar) terutamanya dalam dunia perdagangan bebas. Ia juga membawa kepada bibit-bibit  kejatuhan dinasti terakhir China , Qing, menuju kepada  pemerintahan rakyat .

Sebelum mendarat  ,pilot kami  Faizal Ahmad,  menyampaikan maklumat mengenai cuaca yang ternyata tidak jauh bezanya dengan kita. Suhu antara 37-42 darjah celcius . Yang berbeza Cuma di sini panas tapi kering sedangkan cuaca negara kita panas dan lembab. Dengan kedudukannya dalam zon garisan lintang yang hampir sama dengan Malaysia menyebabkan kita tidak perlulagi mengubah jarum jam.
Di Baiyun International Airport, sedia menunggu En.Shabuddin dari Anzac Consultant, pihak yang diberikan tanggung jawap menguruskan program  tersebut. Kami dibawa dengan bas ke tempat kursus dan penginapan di Mandrin Hotel. Sebelum itu walaupun agak lewat  kami singgah makan tengahari  pada jam 3.30 ptg di Restoran Abdullah dengan menu masakan Cina Islamnnya.
Makan tengahari jam 3.30 ptg di Restoran Abdullah


Matahari senja di Guangzhou dari tingkat 10 Mandrin Hotel
Dalam perjalanan ke restoran  pemandu pelancung kami Ah Hong yang fasih berbahasa Indonesia sempat membekalkan sedikit informasi mengenai Guangzhou;  Sebuah kota metropolitan dengan kepadatan penduduk lebih 12juta. 7 juta adalah penduduk asal Kwantung yang berbahasa kantonis selebihnya adalah penghijrah-penghijrah dari propinsi lain China. Menurut Ah Hong, Guangzhou adalah daerah terkaya dan termaju di China. Terkenal dengan pertumbuhan industrial estate nya yang amat pesat. Canton Fair pula  sehingga kini dianggap sebagai  trading carnival terbesar didunia.  Disamping itu Ah Hong juga tidak lupa mengingatkan kami tentang budaya dan tipu daya masyarakat setempat khususnya mengenai duit palsu.
Bersama isteri untuk dinner
di Xinyue Muslim Restauran di Bostan Hotel


Hampir jam 5.00 ptg baru kami sampai di Mandrin Hotel. Malam nanti belum ada program resmi. Cuma para peserta seminar yang berjumlah 44 orang itu diminta berkumpul di lobi jam 8.00 malam untuk dibawa ke Xinyue Muslim Restaurant  di Bostan Hotel untuk makan malam. Jam 6.15 sudah masuk waktu maghrib.

Wednesday, December 21, 2011

Nostalgia 1

SEBUAH BANGGUL TERPENCIL Mudah untuk difahami; banggul hampir menyamai pulau. Kalau sebuah pulau dikelilingi laut. Banggul sekadar sebuah daratan yang dilengkungi oleh sungai atau sebuah tasik atau paya saja. Kadang-kadang bila berlaku banjir, ada kawasan yang tinggi tidak tenggelam; walhal di sekelilinginya dilengkungi banjir – ia juga dinamai banggul.
sawah yang melengkungi kampung kami


Di negeri kelahiran saya Kedah, banyak tempat yang dinamai banggul. Setengahnya menjadi sinonim dengan tokoh-tokoh terkenal anak kelahirannya, seperti Banggul Derdap, Sik (SN Dato’Shahnon Ahmad), Banggul Besi, Pendang (Allahyarham Sasterwan Dato’A.Rahmad). Desa kelahiran saya pula dinamai Banggul Senu (dalam bahasa pertuturan kami [Siam Sam Sam] dikenali dengan Khok Nai Nu. [Khok~banggul, Nai~ penghulu, Nu ~ Tok Senu].

Berjiran dengan banggul kami, ada beberapa lagi banggul, seperti Banggul Keling dan Banggul Kesinai. Tok Senu dikenangi sebagai peneroka terawal di sini. Saya menjangkakan penerokaan/penempatan di banggul ini telah bermula lebih awal dari tahun 1800-an, berdasarkan pengaruh budaya/bahasa Siam yang hampir mewarnai keseluruhan cara hidup di sini. Banggul Senu, sekadar sebuah desa kecil lagi terpencil (pinjam diskripsi Shahnon Ahmad ~ Ranjau Sepanjang Jalan. Tersorok jauh, kira-kira 40 km melalui jalan darat ke ibu negeri Kedah, Alor Setar. Terdapat 13 buah keluarga, hampir kebanyakan rumah berjejeran di tebing Sungai Kerbau ( cabang dari sungai Kedah). Di seberang sungai sebelah utara memanjang ke barat ialah Kampung Lubuk Keriang, di sebelah timur, Kampung Titi Kera dan di selatannya Kampung Sungai Mati (awal Januari 2010, sebuah rangka kapal layar kurun ke 19 dijumpai tertimbus di sebuah paya di sini).


Seperti kelaziman dengan kelompok masyarakat agraria dunia; sungai merupakan pusat pertumbuhan tamaddun dan budaya agrarian dengan pola tersendiri. Kawasan kediaman, pekan, bukit, sungai dan sebagainya dinamai dengan ciri, corak dan warna setempat ~ demikian di Negeri Kedah, banyak tempat mempunyai nama yang bermula dengan alor, banggul, guar, permatang, paya, kubang dan lain-lain. Banggul kami tidaklah luas, kira-kira 100 relung (70 ekar) saja. Tanah datar dengan hampir keseluruhannya dipenuhi dengan petak-petak sawah dan sedikit paya dan baruh di bahagian yang bersempadan dengan Sungai Mati.. Purata sawah milik sesebuah keluarga adalah kurang dari 10 relung kecuali seorang dua yang memiliki lebih daripada itu. Paling hujung disebelah utara terdapat sebidang sawah hamper 40 relung milik Haji Ali kaya (tidak menetap di sini.) Seingat saya telah pun melewati separuh abat tanah itu terus menerus menjadi pajakan Ah Chua dan Ah kaw dari pekan Tanah Merah, Pendang.


Sehingga 1970-an ( pembinaan Empangan Sungai Muda, Rancangan Penanaman padi 2 kali setahun dan penubuhan MADA mulai diperkenalkan) , jalan perhubungan ialah melalui sungai dengan sampan dan tongkang. Tidak lama kemudian bot berinjin sangkut diperkenalkan. Menerusi jalan darat ialah berbasikal melalui lorong bertanah merah dan batas-batas bendang (permatang). Tiada elektrik . Tiada air paip. Terus dipencilkan dari arus kemajuan sehinggalah dekat-dekat 80-an dan 90-an dimana jalur-jalur cahaya mulai sedikit berkelip – setelah kemerdekaan telah diproklamirkan 40 tahun yang lalu.

Monday, December 19, 2011

Dari Dalam Diri


KENAPA DARI HUJUNG KAMPUNG


 وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَ‌جُلٌ يَسْعَىٰ قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْ‌سَلِينَ ﴿٢٠﴾ اتَّبِعُوا مَن لَّا يَسْأَلُكُمْ أَجْرً‌ا وَهُم مُّهْتَدُونَ ﴿٢١﴾ وَمَا لِيَ لَا أَعْبُدُ الَّذِي فَطَرَ‌نِي وَإِلَيْهِ تُرْ‌جَعُونَ ﴿٢٢﴾ أَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِ آلِهَةً إِن يُرِ‌دْنِ الرَّ‌حْمَـٰنُ بِضُرٍّ‌ لَّا تُغْنِ عَنِّي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا وَلَا يُنقِذُونِ ﴿٢٣﴾ إِنِّي إِذًا لَّفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢٤﴾ إِنِّي آمَنتُ بِرَ‌بِّكُمْ فَاسْمَعُونِ 



Dan datanglah dari hujung kota, seorang laki-laki dengan bergegas-gegas Lalu ia berkata: "Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu". Ikutilah orang yang tiada minta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nya-lah kamu (semua) akan dikembalikan? Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selain-Nya jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki kemudharatan terhadapku, niscaya syafa'at mereka tidak memberi manfaat sedikitpun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku? Sesungguhnya aku kalau begitu pasti berada dalam kesesatan yang nyata. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku. (Ya-Sin :20-25)


 Menurut para mufassirin bandar tersebut bernama Antakiah dan lelaki itu dikenali sebagai Habib An-Najjar. Malang sungguh; sudahlah mereka tidak meyahut seruan agar mengikut jalan kebenaran yang dibawa para rasul, sebaliknya lelaki itu telah dibunuh oleh kaumnya sebaik saja beliau selesai menyampaikan seruannya. Ketika beliau berhadapan saat kematiannya,turun malaikat membawa khabar bahagia untuknya bahawa segala dosanya telah diampuni Allah dan dia akan masuk Jannah.. 

Pada tahun 1996 , DBP telah menerbitkan memoir SN Datuk Nordin Hassan, Saya Dari… Hujung Kota (SDHK). Menurut Tan Sri Awang Had Salleh yang menulis pengenalan memoir tersebut, ia bukan sekadar biografi biasa yang mencatat pelbagai sisi data hidup penulisnya, tapi ianya adalah pendirian dan pegangan hidup Nordin sendiri. Latar penghidupannya yang amat kaya-tidak saja dari pengalamannnya merentasi liku-liku dan warna hidup. Tetapi juga rakaman minda juga perjuangannnya, menyendiri dan menyepi untuk mengisi peribadinya sendiri.

Membaca SDHK samalah seperti kita menonton drama-drama pentasnya. Kita dibawa mengikuti kisah dalam kisah dan cerita dalam cerita. Kisah-kisah yang dipaparkan bagaikan kepingan gambar-gambar apabila dicantum menghasilkan kolaj kehidupan pribadi Nordin Si Anak Tanjung penuh tangis dan tawa mengiringi kelahiran naskah-naskah teaternya seperti BukanLalang Ditiup Angin, Jangan Bunuh Rama-Rama, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Cindai, Tiang Seri Tegak Berlima, Di Mana Setangginya dan banyak lagi.

Secara kebetulan pula saya sendiri pernah mendapat mendapat bimbingan daripada beliau dalam penulisan naskah drama ketika menuntut di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (MPPPP-1977/ 1978). SN Nordin Hassan ketika itu bertugas senagai pensyarah Bahasa Inggeris di institut perguruan tersebut. Dia adalah idola kami dalam dunia drama. Bertempat di Dewan Agung, MPPPP,inilah beberapa naskah drama beliau dipentaskan seperti Pintu dan Jangan Bunuh Rama-Rama dengan inisiatif seorang lagi pensyarah dan mentor kami En.Muthalib Hashim.

Dari pentas dan lantai Dewan Agung inilah juga saya mulai mengutip ilmu dalam bidang penulisan skrip drama dan pementasan. Alhamdulillah melalui tunjuk ajar dan bimbingan mereka berdua naskah sulung hasil tulisan saya Lampu telah meraih tiga hadiah utama dalam pestadrama maktab-maktab perguruan seluruh Malaysia 1978; Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik dan Drama Terbaik yang diadakah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai. Dari sinilah kemudiannya membuka laluan kepada saya untuk menulis naskah-naskah untuk drama televisyen.(saya akan menceritakannya di lain ruang).
Banggul Senu sebuah perkampungan kecil yang terapung di tengah persawahan

Berbalik kepada lembaran Saya …Dari Hujung Kampung (SDHK) Saya tidaklah bermaksud untuk menjadikannya setanding dengan memeoir idola saya Cikgu Nordin , Saya Dari Hujung Kota; cukuplah sekadar lebaran untuk saya mencoretkan fikiran, cebisan-cebisan kenangan, hobi dan nota-nota kecil buat dikongsi bersama sekadar yang bermanfaat. Oleh kerana saya lahir dan membesar dalam atmosfera masyarakat kampung (gambar sebahagian dari sawah padi yang melengkungi kampung saya)yang terpencil sudah tentulah corak dan cara hidup, pemikiran , sikap dan pegangan saya lebih kekampungan. Saya ibarat bangau desa yang sudah pasti terbangnya tidak jauh

.Wassalam
untuk menuju ke desa kelahiranku terpaksa melalui jalan (ban) taliair kira-kira 3km dari jalanraya

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...