Tuesday, July 4, 2023

DUNIA BUKU 9

 

JERANGKAP CINTA 

DALAM SERIBU JINJANG”

 


    
   
 Tarikh yang tercatat,menunjukkan buku ini dimiliki pada 25 November 1978; kira-kira 45 tahun lalu di terminal feri Pengkalan Raja Tun Uda, P. Pinang.  Ketika itu, sebelum memasuki Lorong pejalan kaki naik-turun feri, terdapat gerai yang menjual buku, majalah dan akhbar termasuk ole-ole mesti beli jika ke P.Pinang; jeruk dan halwa buah pala,.

      Sekitar 1977,1978, saya kerapkali menggunkan perkhidmatan feri kerana berulang-alik mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan (Malayan Teacher Collage @MTC), di Bukit Combe, Gelugor, P.Pinang. Dari kampung, saya menaiki kenderaan bas MARA hingga ke Alor Setar. Dan untuk  ke Butterworth boleh menggunakan sama ada Keretapi Tanah Melayu atau bas UTC (United Transport Company). Dari kedua-dua, stesen keretapi dan bas boleh berjalan kaki ke terminal feri (Pengkalan Sultan Abd.Halim) untuk menyeberang ke pulau. Tak jauh dari Pengkalan Raja Tun Uda ada Yellow Bus untuk sampai ke Gelugor.

     Buku kecil ini saya beli dengan harga RM3.50. (nilai RM semasa mugkin sekitar RM20.00/ RM25.00; berdasarkan perbandingan harga senaskah akhbar ketika itu cuma 25 sen, sekarang sudah RM2.00.) “Seribu Jinjang” diterjemahkan dengan baiknya oleh Ainon Muhammad berdasarkan “Thousand Cranes”, edisi terjemahan Inggeris oleh Edward Scidensticker. Novel karya Yasunari Kawabata ini asalnya dalam Bahasa Jepun, “Sembazuru”. Ia termasuk dalam senarai Siri Karya Sastera Jepun  dalam Kumpulan Terjemahan UNECO. Dialih-bahasa secara bebas oleh Ainon Muhammad menerusi projek Kelab Terjemahan Persatuan Penulis Nasional (PENA). Diterbitkan oleh Utusan Publication, 1978. Pada catatan penterjemah, Ainon menyatakan beliau mengambil masa setahun untuk menyempurnakannya.

        Dipandang dari aspek  fizikal novel ini relatifnya kelihatan nipis, 141 muka surat. Namun kecil-besar, nipis-tebal, bukan menjadi ukuran mutu sesebuah karya. Banyak karya nampak saja kecil tapi, mengungkapi gagasan seni yang besar, misalnya, The Old Man and the Sea [Jonathan Cape Ltd.,1952], karya Ernest Hemingway (109 ms), mengambil contoh dari kalangan sasterawan kita pula, novel “Arus” [Pustaka Cipta Sdn.Bhd.,1985] karya SN Anwar Ridhwan (121 m.s), layak meraih Hadiah Sastera Malaysia, 1984/1985)  


        Kawabata pemenang Hadiah Nobel 1968, merupakan anak Asia kedua menggondol anugerah kesusasastraan terunggul dunia itu, 55 tahun selepas Rabindranath Tagore dicalonkan oleh oleh penal Hadiah Nobel untuk tahun 1913. Kawabata lahir di Osaka, 11 Jun 1899. Anak seorang doktor yang mencintai seni dan sastera. Bagaimanapun sejak kecil beliau dibersarkan di bawah jagaan datuk dan neneknya apabila kedua ibubapanya meninggal. Walaupun pada mulanya Kawabata meminati seni lukis, bakatnya yang lebih besar dalam sastera menyebabkan ia beralih perhatian kepada bidang persuratan. Kawabata lulus dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris dari Tokyo Emperial University (1924).

        Kawabata memilih untuk menamatkan riwayatnya dalam berusia 72 tahun dengan menyedut gas beracun di Wisma Marini, Zushi, Tokyo, pada 16 April 1972. [Dua tahun sebelum itu, Yukio Mishima, pengarang Jepun yang disebut-sebut berkemungkinan menjejaki Kawabata menggapai anugerah Nobel, mencabut nyawanya menerusi peristiwa berdarah, Harakiri, bertempat di Markas Tentera Ichigaya, Tokyo.]

        Seibu Jinjang [1950], merupakan karya Kawabata yang menyerlah, selain daripada “Buku Harian Seorang Anak 16 Tahun”, diikuti dengan “Suasana Hari Perayaan” [1921], “Penari Izu” [1925], “Desa Salji” [1934], “Angin Gunung” [1949], Danau [1954] dan buah tangan terakhirnya, “Jelita Yang Lena /The Beuty of Sadness” [1963]. Seribu Jinjang mempamekan penguasaan Kawabata dalam arena kesusasteran apabila tepilih memenangi “Hadiah Akademi    Keseniaan Jepun”tiga tahun  setelah diterbitkan(1953).

        Dalam kebanyakan karya Kawabata, beliau nampaknya berkeghairahan menggarap jalinan watak-watak lelaki vs Wanita yang berkonfliks berada pada perbezaan, usia dan status sosial dengan berlatarkan suasana alam yang unik seperti Kawasan pergunungan bersalji, musim bunga, musim hujan, tempat mandian awam, kuil, istiadat minum teh dan lain-lain.

      Seribu Jinjang melakarkan kemelut konflik kejiwaan yang rencam antara 3 watak utama; iaitu Kikuji dengan perempuan-perempuan simpanan mendiang bapanya; Chikako dan Puan Ota. Turut terseret dalam konfliks itu ialah Fumiko, anak gadis Puan Ota.

         Pertemuan Kikuji (24 tahun) dengan Puan Ota (45 tahun) secara tidak dirancang tiba-tiba menjadi begitu kompleks/unik, yang meletakkan mereka dalam dilemma. Bermula dari motif melunaskan dendam di hati Kikuji terhadap Puan Ota, sebaliknya menjerumuskan kedua-duanya ke dalam jerangkap keanihan cinta. Puan Ota menganggap Kikuji sebagai jelmaan mendiang ayahnya, Tuan Mitani, sehingga tidak dapat membezakan antara kedua-duanya.  Kikuji pula yang pada mulanya semata-mata mahu mengambil kesempatan melangsaikan amarahnya yang terperam terhadap Puan Ota, kerana dianggap menjadi punca penderitaan mendiang ibunya  bertukar menjadi sebaliknya. Kelembutan fitrah semulajadi seorang Wanita ,ditambahi dengan  keayuannya, sehingga dirinya tidak berupaya mendustai bisikan hatinya sendiri. Fumiko yang menyedari apa yang sedang berlaku itu, menganggapnya sebagai suatu yang memalukan, akhinya mengambil keputusan menghalang(mengurung) ibunya yang membolehkan kedua-duanya bertemu.  Puan Ota yang terhimpit oleh perasaannya - antara cinta dan dosa akhirnya jatuh sakit, kurus kering lalu mengambil keputusan menamatkan riwayat hidupnya sendiri   melalui pengambilan pil yang berlebihan.

        Setelah kematian Puan Ota, Kikunji jatuh hati dan cuba menjlinkan hubungannya dengan Fumiko yang pada anggapannya Fumiko seolah-olah jelmaan mendiang ibunya, lebih-lebih lagi sebelum kematiannya Puan Ota berpesan agar Kikunji menjaga Fumiko, anaknya. Bagaimanapun Fumiko berusaha mengelakkannya kerana beliau sentiasa terbeban dengan dosa yang menganggap dirinya menyebabkan ibunya menderita membawa kepada kematiannya yang trajis.

        Di satu pihak lain, Chikako seorang guru pengajar adat/tradisi upacara minum teh, seorang  lagi perempuan simpanan Tuan Mitani, berazam membalas dendam terhadap Puan Ota yang dianggap menjadi penyebab dia diabaikan oleh Tuan Mitani.  Selepas kematian bapa dan ibu Kikunji, Chikako cuba mengatur untuk menjodohkan Kikunji dengn gadis pilihannya  walaupun ditolak oleh Kikunji. Di sebalik semuanya dia berbuat demikian bertujuan untuk menguasai harta peninggalan Tuan Mitani termasuk rumah gedung dan balai tempat upacara minum teh berlangsung.                                                              

        Satu keunikan Seribu Jinjang ialah kebolehan dan penguasaan Kawabata menjadikan adat dan upacara minum teh sebagai latar novel ini. Perlukisan yang rinci, jelas dengan peralatan dan tatacara sejarah upacara puja teh yang berusia ratusan tahun telah berhasil menampilkan tradisi warisan yang dikatakan bermula sejak abad ketiga-belas pada awal kedatangan Buddhisme Zen di Jepun.

        Seimbas pandang jika melihat kepada ilustrasi pada kulit depan yang dihasilkan oleh Zainal Buang Hussin, munkin ada yang membuat tebakan yang Seribu Jinjang adalah sebuah  novel pop. Lebih-lebih lagi bila membaca pada bulb di kulit belakang yang mencatatkan cuplikan berperisa;

“Ia merasa seolah-olah itulah kali pertama ia kenal

pada perempuan. Dan seolah-olah itulah kali pertama

ia kenal pada dirinya sebagai lelaki sejati. Dan

itu adalah satu kesedaran yang amat menakjubkan.

Ia tidak pernah tahu bahawa perempuan dapat

bersifat sedemikian lembut dan sedia menerima,

sanggup menjadi penurut tetapi di waktu yang

sama menggodanya dan dapat pula membuat

ia lemas dalam madu keharuman tubuhnya”.

        Sedangkan ramai penelaah sastera berpendapat Seribu Jinjang adalah sebuah novel yang walaupun kecil, tetapi padat, indah serta mengandungi ciri-ciri terbaik dalam karya-karya kesusasteraan Jepun; iaitu kehalusan rasa dan ketajaman penglihatan seorang seniman tulin. Sehinggakan pengkritik sastera berbelah bagi untuk meletakkan mana satu karya masterpiece Kawabata sama ada The Snow Country (Desa Salji) atau 

Thousand Cranes (Seribu Jinjang).

    Banyak aspek yang dapat dipelajari karyawan penulis terutama oleh lapisan pemula.  Keterampilan dan kerincian Kawabata dalam menguasai perlukisan watak yang terjalin dalam situasi dan latar alam dapat telaah. 

        Tidak pasti pula terdapat edisi ulang cetak novel terjemahan ini setelah cetakan pertamanya pada tahun 1978. Lebih-lebih lagi memandangkan Utusan Publication kini tidak lagi aktif dalam industri perbukuan. Iniasiatif wajar diambil oleh rumah penerbitan lain, seumpama yang berlaku pada novel besar SN Abdullah Husain, IMAM diterbitkan semula hari ini sempena produksi adaptasi filem IMAM oleh Sutradara Meor Hashim Manaf, diusahakan Nuha Books selepas cetakan pertama oleh Utusan pada tahun 1995. Peminat buku langka mungkin boleh mengintai dicelah-celah rak buku perpustakaan atau pada timbunan buku-buku usang di rare books shop. Manakala Versi Bahasa Inggeris masih mudah diperolehi menerusi  pembelian secara online seperti di Amazon Books Shop.

 

ZAINOL IDRIS,

2 Julai 2023, Jitra.

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...