Tuesday, November 21, 2023

DUNIA BUKU 14

 

                   REMANG DARI KUALA,

                           PROSES KREATIF SEBUAH NOVEL

 

                             

        

 

            PROSES KREATIF adalah jejak perjalanan dan laluan penerokaan yang ditempuhi seseorang karyawan dalam menghasikan sesebuah karya seni, tidak kira dalam apa bidang sekalipun. Ia merupakan satu sisi pengalaman seni bersifat subjektif dan penuh kerahsiaan yang hanya dimaklumi dan dirasai oleh karyawan itu sendiri; Bermula dari cetusan idea/ ilham sehinggalah sesebuah karya itu siap dihidangkan kepada khalayak. Tempoh masa yang diambil tidak menentu. Ada karya yang mampu dilahirkan dalam masa yang singkat. Ada yang memakan masa bertahun-tahun. Ia boleh merupakan suatu pengalaman yang selesa dan menyeronokkan tidak kurang juga sebaliknya. SN A.Samad Said  ketika menukangi karya  sulungnya, Salina, pernah menyimpulkannya sebagai satu tempoh derita yang bahagia

            Dalam tradisi penulisan di negara kita tidak banyak buku-buku yang digarap oleh pengarang khusus menceritakan proses kepengarangan yang dilalui dalam menghasikan sesebuah karya. Begitu pun kita menghargai kehadiran beberapa buah buku dalam kategori ini yang dapat dijadikan sumber rujukan khususnya kepada karyawan muda yang mahu berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Di antara yang sempat dikesan termasuklah;  Dari Salina Ke Langit Petang oleh SN A.Samad Said (DBP, 1979). Jejak Kreatif, Arenawati (DBP, 1996), Dari Banggol Besi ke Jalan Lain Ke Hamovniki, A.Rahmad (Majlis Kebudayaan Negeri Kedah, 2005),  Kuras-Kuras Kreatif, Azizi Haji Abdullah (DBP,2007), Proses Kreatif, Satu Pengalaman Rohani, SN Abdullah Hussain (DBP, 2010) atau Bagaimana Saya Menulis, proses penciptaan cerpen  oleh 17 orang penulis mutakhir, selenggaraan Mawar Safei dan Nisah Haji Haron (DBP, 2011), Pengakuan Penyair, Proses Kepenyairan 34 Penyair Malaysia, ITBM, 2012. Selebihnya terselit di sana sini dalam buku-buku biografi atau memoir yang dihasilkan oleh beberapa pengarang.

            Ada pendapat yang mengangggap proses kreatif dalam penulisan adalah satu seni (art of writing ) bukan keahlian maupun kemahiran dalam menukangi sesebuah karya (craft of writing).  Oleh yang demikian sebagai satu proses seni, sudah pasti  aspek-aspek pengalaman hidup dan persekitaran sosial, nilai, budaya, geografi, ekonomi, politik dan lain-lain seputar kehidupan karyawan ini mempunyai kesan  langsung terdapat penglahiran sesebuah karya. Secara kasar proses penulisan atau lebih tepat proses pengkaryaan dari awal sehingga sempurna dihidangankan kepada khalayak pembaca melalui lima peringkat iaitu persediaan sebelum penulisan atau mengarang (prewriting), penulisan (writing), semakan/ menulis semula  (revision/ rewriting), suntingan (editing) dan akhir sekali menerbitkan karya tersebut (publishing).     

            Peringkat persediaan sebelum memulakan penulisan (prewriting) adalah sangat penting dan menjadi asas keunggulan sesebuah karya. Ia melibatkan cetusan idea, percambahan idea di mana idea pokok itu dibangunkan, merancang bentuk  pencerekaannya.  Seterusnya dalam proses penulisaan, pengarang akan melalui fasa  pembinaan jaluran naratif berdasarkan idea-idea pencerekaan terdahulu sehingga terbangunnya sebuah fiksyen.  Dalam fasa cetusan idea awal yang akhirnya melahirkan sebuah fiksi dapat dipadankan dengan  teori sastera yang pada asasnya di cetuskan oleh Plato dan Aristotle iaitu;

o   Teori Mimesis (peniruan/ imitasi).

o   Teori Effect ( Kesan) dan

o   Teori Ekspresi/ Perasaan

           Melalui Mimesis, sastera dianggap sebagai hasil pantulan dari cermin kehidupan (pengalaman manusia) yang ditafsirkan semula oleh pengarang. Teori Effect pula karya sastera lahir daripada pengamatan pengarang dari pembacaan, penontonan atau pendengaran yang melibatkan kesan psikologi, emosi perasaan atau mood. Lewat Teori Ekspresi pula karya sastera dianggap sebagai kebijaksanaan dalaman yang diilhamkan Tuhan secara spontan ke dalam diri pengarang.

            Jarang ditemui sebuah karya fiksi sama ada novel, filem atau seumpamanya yang mengangkat proses kreatif sesebuah karya sebagai subjek utama lalu dibincangkan secara mendalam dalam jalur naratifnya dari awal ke akhir. Suatu yang lazim ditampilkan dan hampir menjadi klise ialah watak utama (lazimnya sang pengarang) pergi ke suatu destinasi atau lokasi tertentu, biasanya tempat peranginan atau sebuah rumah tua kebetulan muram dan menyeramkan bertujuan mencari idea penulisan. Tinggal di sana berapa hari. Di sini bermulalah kemunculan satu demi satu insiden misteri yang mohon dirungkaikan.

            Terdapat kelainan, mungkin pertama dalam arena pernovelan tanahair bila proses kreatif dalam menghasilkan sebuah novel diangkat sebagai subjek utama. Inilah yang ditemui seusai mengkhatami novel Remang Dari Kuala (RDK) oleh Zulkefle Dollah (Asasi. 2018), Aspek-aspek pengkaryaan bermula daripada cetusan dan garapan idea, pemilihan serta pembinaan watak dan perwatakan, latar peristiwa, rujukan-rujukan dan isu-isu lain dalam kraf ketukangan sebuah fiksi dihuraikan secara mendalam.

            RDK  ialah salah sebuah karya yang memenangi hadiah dalam Sayembara Penulisan Karya Kreatif , anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi), 2017. Ia merupakan novel kedua dari Zulkefle Dollah yang sebelum ini muncul dengan karya sulungnya sebuah novel autobiogrfi, Sejarah Putih Batas Rindu (UUM Press, 2016). Seterusnya Anissa (Asasi, 2019), merupakan novel beliau yang ketiga.

Zolkefle Dollah

Text Box:            Remang Dari Kuala sebenarnya judul kepada sebuah novel yang sedang dalam perancangan dan bakal ditulis oleh watak utama, Che Morad Pora Hashim, seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Che Morad, 50 tahun, tiba-tiba begitu teruja untuk menghasilkan karya kreatif berlatarkan sejarah Negeri Kedah.

Segalanya timbul kesan dari pembacaan buku yang dihadiahkan isterinya, Aisyah Osborn, iaitu The Blockade of Kedah In 1838, A Midshipman’s Exploits in Malayan Water oleh Sherard Osborn ( naskah asal: My Journal in Malayan Water or The Blockade of Quedah by Captain Sherard Osborn, Longman, 1857).

            Aishah Osborn atau nama asalnya Shirley Osborn, wanita Inggeris, lepasan School of Oriental and African Studies (SOAS), London, begitu mencintai budaya timur. Jiwa dan pendiriannya amat kontras dengan nenek moyangnya yang pernah menjajah negeri ini suatu ketika dulu. Berkenalan dan berkahwin dengan Che Morad Pora Hashim, ketika beliau menuntut dalam bidang kejuruteraan di sana. Hidup bahagia dan dikurniakan tiga orang anak.

            Pembaca jangan keliru, Aishah Osborn @ Shirley Osborn bukanlah anak kepada Sherard Osborn pengarang The Blockede of Kedah. Kebetulan saja nama bapanya sama namanya dengan pengarang tersebut yang telah meninggal 143 tahun dahulu (lahir: 1822, meninggal: 1875). Sedangkan novel Remang Dari Kuala berlatarkan era millennium, di mana ada disebut isu-isu semasa seperti 1MDB, Bersih 5, Donald Tump dan lain-lain.(saya tidak menjangkakan novel Remang Dari Kuala berkonsepkan aliran realism margis)

            Ketika 15000 tentera Sukhotai dengan kelengkapan perang termasuk 3000 ekor gajah menyerang dari darat dengan ganasnya, dari laut pula dibantu oleh bedilan meriam bertalu-talu dari armada laut British dari kapal induk HMS Hyacinth, maka ranaplah Kota Kuala Bahang sebagai benteng terakhir Kedah. Angkatan Tunku Muhammad Saad yang bertahan di dalam kota hanya tinggal 200 orang terus berjuang hingga titisan darah terakhir.”

Kota Kuala Bahang @ Kota Kuala Kedah

            Perlukisan penuh kejujuran tanpa berselindung oleh Sherard Osborn, seorang anggota armada laut British berpangkat kapten yang terlibat dalam pengkhianatan membantu tentera Dinasti Chankri menumpaskan pertahanan Kedah dalam perang 1838, menerusi bukunya The Blockade of Kedah, cukup mendera perasaan Che Morad. Berbagai bentuk penyeksaan oleh penjarah-penjarah Sukhotai ke atas rakyat Kedah dibayangkannya tidak ubah seperti yang ditimpakan pada umat Rohingya oleh penjenayah-penjenayah perang Mynmar. Semangat nasionalisme Che Morad bercerucupan menyemarak ketika membaca pernyataan Sherard Osborn, tentang kehebatan semangat pejuang-pejuang Kedah; “Like spaniels, the native of the whole sea-board of the Indian peninsula lick the hand the that chastises them. Not so the Orang Melayu and we the Englishmen should be the first to honors race who will not basely submit to abuse the tyranny”.

            Bagi Che Morad, untuk memadukan unsur-unsur sejarah, yang sarat dengan fakta bersama imaginari fiksi dalam sebuah cereka kreatif mengenai tumbangnya Kota Kuala Bahang iaitu sebuah kota terakhir bagi Kesultanan Kedah, bukanlah mudah. Beliau sedaya upaya berusaha untuk memantapkan pembinaan naratif fiksi yang bakal digarapinya kelak dengan perbagai cara, termasuk dengan menghadiri seminar sejarah, menemu-bual tokoh-tokoh yang berwibawa dalam sastera dan persejarahan, berdiskusi dengan kawan-kawan dan kenalan selain dengan isterinya sendiri, Aisyah Osborn, selaku rakan runding tetap.

            Aisyah Osborn yang berpengalaman dalam penulisan kreatif iaitu penterjemahan novel-novel barat ke bahasa Melayu, pernah meyarankan kepada suaminya, “ penulisan kreatif bukan kerja main-main. Ini kerja pemikiraan. Abang kena berfikir ayat demi ayat, perenggan demi perenggan  bab demi bab. Dalam wacana itu pula abang perlu fikir mengenai kekuatan bahasa, keberkesanan watak, kesesuaian latar dan jalinan peristiwa yang koheran!”

            Dalam satu seminar sejarah, khusus mengenai perjuangan wira-wira Kedah menentang penjajahan Siam dalam  Perang Musuh Bisik (1821-1842), Che Morad Pora Hashim begitu tertarik dengan penampilan seorang peserta seminar termuda, Nur Faedah Mohd Kamil, yang bangun dan dengan lantang mempersoalkan kenapa sejarah perjuangan rakyat Kedah yang begitu hebat seolah dipinggirkan dari jalur persejarahan nasional dan tidak dimasukkan dalam kurikulum yang dipelajari pelajar-pelajar sekolah. Sebagai contoh, katanya ketokohan pejuang-pejuang seperti Dato Maharaja Lela, Bahaman, Dol said, Abd.Rahman limbung, Mat Salleh atau Sharif Mashor ditonjolkan sebagai nasionalis bangsa; namun tiada siapa pun peduli dengan kehebatan wira-wira Kedah seperti Syed Zainal Abidin (Tengku Kudin), Tunku Mohammad Saad, Tok Moris (Syed Idris) dan lain-lain yang bangkit mempertaruhkan jiwa raga menentang penjajahan tentera Sukhothai yang menjajah hampir 88 tahun.

            Sebaik selesai seminar Che Morad merapati peserta seminar termuda tapi lantang menyuarakan pendapat dan pendirian itu. Dalam diam-diam beliau berhasrat mengheret masuk watak Nur Faedah, pelajar tahun dua dari Universiti Malaya itu ke dalam fiksi Remang Dari Kuala yang sedang berkembang dalam mindanya sebagai watak utamanya. Kebetulan pula Nur Faedah merupakan anak kelahiran Kuala Kedah,di mana bertempatnya lokasi tragis Kota Kuala Bahang,

            Kunjungan Che Morad ke Kota Kuala Bahang seterusnya, turut menjebaknya ke dalam situasi dan konfliks kekeluargaan Nur Faedah yang terperangkap dalam kemerlut sosial mutakhir yang mengharukan. Namun bagi Che Morad segala yang ditempuhi itu dapat dijadikan rempah rencah untuk dieksploit ke dalam novel yang sedang rancak berkembang dalam minda kreatifnya.

            Berjayakah Che Morad Pora Hashim memadukan semua fakta-fakta sejarah dan bahan-bahan terkumpul dalam sebuah wacana kreatif. Berhasilkah seorang jurutera JPS merealisasikan hasratnya menyiapkan penulisan novelnya dalam tempoh enam bulan seperti yang dirancangkan. Bersetujukah Nur Faedah yang perwatakan dan sisi kehidupan peribadinya mahu diseret masuk ke dalam kancah kehidupan sebuah fiksi. Semuanya terjawap dengan membaca RDK hingga halaman akhir.

            Yang nyata RDK tidak digarap secara santai berlandaskan inspirasi dan imaginasi pengarang semata-mata, tapi terhasil dari kajian, penyelidikan dan rujukan yang teliti daripada perbagai sumber, termasuk teori dan disiplin dalam penulisan dan pengkaryaan sastera.  Ini tidaklah menghairankan kerana pengarangnya,  Zulkefle Dollah, graduan lulusan Universiti Sains Malaysia ini, merupakan seorang guru yang terlibat lebih tiga dekad dalam pengajaran subjek Kesusasteraan Melayu peringkat SPM dan STPM. Selain daripada itu giat dalam penulisan makalah, kritikan sastera dan resensi buku sekitar era 1980an,1990an hingga kini, yang banyak tersiar dalam majalah Dewan Sastera. Dalam penulisan beliau pernah menggunakan nama pena sebagai M.I. Zulkif dan Zulfarda MD.

            Remang Dari Kuala wajar sekali menjadi bahan bacaan peminat-peminat sastera dan sejarah, terutama penulis-penulis muda yang berjinak-jinak dengan bidang penulisan dan ingin menekuni jalur dan laluan proses kreatif sebuah karya fiksi.

            (Peminat kesusasteraan yang berminat memilik novel Remang dari Kuala boleh berhubung terus dengan pengarangnya)

 

Rujukan:

 

1.      Remang Dari Kuala,  Zulkefle Dollah, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi),  2018

2.       Pengenalan Kritikan Sastera, M.K.Danziger & W.S.Johnson, DBP, 1991.

@@@@@

Monday, November 20, 2023

DUNIA BUKU 13

 KRITIKAN:

KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH

 Buah Karya Cerpenis Realis Terbaik Mutakhir Ini

Oleh: Ibnu Din Assingkiri

 

Pandangan Awal Tentang Naskah Ini

NASKAH ini menghimpunkan 17 buah cerpen yang ditulis rentang masa antara tahun 1980 – 2013 yang membawa kepelbagaian tema. Di antara cerpen yang dimuatkan dalam naskah ini ada yang memenangi hadiah sastera di peringkat kebangsaan. Membaca tulisan “blurb” pada naskah pasti meletakkan satu sasaran yang agak tinggi terhadap mutu tulisan Zainol Idris, seorang pesara guru Sains yang berkhidmat selama 32 tahun. Sebelum memulakan pembacaan, saya sudah meletakkan sasaran tinggi dan merasakan patut berbuat demikian dek kerana reputasi penulisnya yang pernah meraih Hadiah Penulisan Cerpen Berunsur Islam (1985), Hadiah Penulisan Skrip Drama TV Berdasarkan Cerpen (1991), Hadiah Karyawan Darul Aman (1996/1997) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 (Cerpen).

 Pandangan Saya tentang Genre Cerpen

            Secara umumnya cerpen adalah cerita yang relatif pendek. Ia adalah prosa naratif yang selalunya berkisar dalam satu kejadian (“event”). Skopnya terhad dan terdapat pengenalan, isi dan kesimpulan. Walaupun cerpen ada banyak persamaan dengan novel, tetapi ia ditulis dengan ketepatan yang lebih berbanding novel. Cerpen terbina dari elemen-elemen latar, watak serta perwatakan, plot serta struktur, narator dan sudut pandang, konflik serta klimaks, tema serta amanat, gaya serta nada dan mematuhi aliran penulisan tertentu.

 

Latar

            Walaupun “Dendam Apai” (Anugerah Sastera Perdana 2013) ditulis berdasarkan kisah benar yang dibaca oleh penulis dalam akhbar (beliau memberitahu ketika saya tanya beliau di sebuah majlis anjuran ASASI) dan kemudian ditokok imaginasi kreatif penulis, saya yakin ia bukan sekadar “backdrop” kepada aksi-aksi yang berlaku dalam cerita. Latar di dalam naskah ini dicipta dengan ‘detail’ dan kebanyakannya memakai teknik memperlihat (visualisasi atau pencitraan -“visualize”) melebihi teknik memberitahu (“telling”). Teknik memperlihat ini memerlukan kemahiran menukangi bahasa dan alat susastera (“literary devices”). 

            Latar “Sekali Air Bah” ‘memperlihatkan’ rumah kampung dengan bergaya dan hampir sempurna, “Tiang rumah mak tinggi....Kolong rumah mak bukan sahaja lulus budak berlari, kerbau lembu pun boleh memboloskan diri, tak bimbang tanduknya tersangkut kayu rasuk. Sekali-sekala kalau Kifli balik, kereta lampu mata belalangnya berlengkar di bawah kolong rumah itu.” Perbandingan kerbau lembu dan kereta Mercedez yang mampu melepasi kolong rumah Mak itu memperlihatkan ketinggian tiangnya dan (secara pra sedar) meminimakan kebimbangan pembaca terhadap keselamatan rumah itu dari ditenggelami air bah. Inilah teknik memperlihat (visualisasi) yang saya maksudkan. Latar di Kedah mempengaruhi dialek dalam dialog dan ia membantu merealisasikan nuansa kedaerahan dan tentunya menambah kekuatan atmosfera dan keadaan sosial (“sosial circumstances”) cerpen-cerpen dalam naskah ini.

 

Watak dan Perwatakan

            Pemilihan watak protagonis Apai yang merupakan seekor beruk spesis Macaca Nemestrina (ejaan Namestrina dalam naskah) yang cerdik (dan bulat pula wataknya) adalah alegori dan keterbalikan sifat manusia yang dikalahkan spesis beruk. Watak Apai diperincikan melalui sikapnya yang sensitif dan penyayang terhadap Indai pada salah satu kalimat yang berbunyi, “Semuanya membuatkan Apai turut tidak jerab tidur. Apai turut menangis sendirian...” Dalam masa sama Apai juga gagah berani dan sentiasa melindungi pasangannya seperti dalam kalimat ini, “Tetapi sesekali amarah kejantanan menyirap naik, Apai dapat merasa urat darah, otot, sendi dan tulang belulangnya seakan dijalari sesuatu...” Watak Apai bulat dan berubah-rubah dan sangat manusiawi sedangkan Apai adalah seekor beruk. Inilah yang saya maksudkan sebagai alegori (keterbalikan) sifat manusia. 

            Watak Apai dan Indai juga diperincikan melalui dialog, “Kau nak makan apa, biar aku cari,” menunjukkan bahawa Apai suami yang bertanggungjawab. “Jagung pulut muda, wangi dan manis sungguh.... Tapi aku tak mahu menyusahkan kau.” Dialog Indai pula sangat tipikal (dan manusiawi) dari kata-kata isteri yang mungkin ikhlas tidak ingin menyusahkan suami atau mungkin mengumpan suami dengan kata-kata itu agar suaminya belas kepadanya dan mendapatkan jagung yang diidamkannya. Penulis berjaya memperincikan watak dengan keterampilan fizikal spesis beruk, fikiran dan perasaan dan juga interaksi antara watak. Watak-watak hidup dan realistik (“beleivable”) kerana penulis berusaha keras menghidupkan watak dan perwatakan dengan elemen-elemen yang disebutkan tadi.

 

Plot dan Struktur

          Saya mencabut secara rawak “Bukan Hentian Terakhir” terbit di tahun 1981 untuk membincangkan tentang plot dan struktur cerpen. Kitaran kejadian (“events”) dalam cerpen ini tertumpu kepada detik penting (“significant moment”) Tukiman menunggu Jonah keluar mencari makanan. Berkisar dari detik penting itu ada kilas balik kepada peristiwa yang baru berlaku semalam. “Kalau dapat boleh buat bekalan. Roti tak mudah basi.” Itu lah kata-kata terakhir Jonah ketika meninggalkan gerabak buruk, rumah persinggahan mereka senja tadi.  Selain itu plot cerpen ini dibina selari, secara urutan kronologi dan tidak berubah-ubah. Plotnya realistik dan boleh dipercayai (“beleivable”), struktur  seperti yang selalu digemari oleh kebanyakan cerpenis realis.

 

Narator dan Sudut Pandang

            Cerpen-cerpen dalam naskah ini memakai sudut pandang ke 3 dan sudut pandang serba tahu. Tiada cerpen yang ditulis memakai sudut pandang pertama. Nampaknya penulis tidak memberi peluang kepada watak menjadi narator. Beliau lebih menyukai pandangan dari mata ke 3 dan mata serba tahu.

Sudut pandang ke 3 (dia):

Dendam Apai, Sepuntung Kaki untuk Cah, Pak Yet Politik, Hujan, Ustaz, Orang Kuat Parti, Pingat, Bukit-bukit Gondol, Penunggu Fajar, Benteng Air.

Sudut pandang serba tahu:

Gadung, Sekali Air Bah, Usul Tergempar, Jantan, Simandul Makin Tembun, Bukan Hentian Terakhir, SiKeweh Masih di Caruk.

 Sudut pandang pertama (aku):

Tiada.

 

Konflik dan Klimaks

            Konflik yang merupakan tekanan (“tension”) selalunya di jantung cerpen dan berkait watak utama. Dalam cerpen selalunya ada satu perjuangan utama (“main struggle”). Konflik utama mungkin disebabkan keadaan sekeliling atau persekitan. Konflik utama mungkin juga berpunca dari konflik dalaman watak. Dalam “Bukit-Bukit Gondol” konflik Kraktin yang terpaksa meragas bukit batu kapur dalam musim hujan yang boleh meragut nyawa demi mencari baja tahi kelawar kerana kesempitan wang diletakkan di permulaan cerita. Ini adalah salah satu cara yang digemari oleh kebanyakan cerpenis realis. Cara ini juga berkesan kerana telah disematkan awal-awal konflik dalam pemikiran pembaca, jadi langkah seterusnya adalah peleraian konflik hingga ke akhir cerita. Pembaca dari awal lagi sudah terkesan dan bersimpati dengan protagonis. 

            Klimaks adalah titik puncak di mana tekanan paling tinggi berlaku dalam cerpen. Ia juga boleh mengakibatkan titik perubahan (“turning point”) di mana berlaku perubahan besar, seringkali yang tidak disangka sebelum semuanya berakhir dan disudahkan oleh penulis. Dalam “Orang Kuat Parti,” penulis membuat titik perubahan yang tak disangka-sangka oleh pembaca. Penulis menyudahkan ceritanya dengan klimaks yang memberikan kejutan dan mengakibatkan terjadinya titik perubahan besar yang mempengaruhi cerita, serta pandangan pembaca terhadap watak utama serta watak-watak lain. Penulis telah berjaya melakukan terjahan mengejut dengan baik dan hampir tidak disedari kerana ralit diulit kelancaran cerita.

 

Tema

            Naskah ini berkisar di tiga tema utama iaitu kasih sayang (kekeluargaan), sosio-politik dan keagamaan. Tema kasih sayang (kekeluargaan) dan pengorbanan dalam cerpen “Gadung”, “Dendam Apai”, “Sekali Air Bah”, “Sepuntung Kaki untuk Cah”, “Jantan”, “Bukit-bukit Gondol”, “Si Mandul Makin Tembun”, “Bukan Hentian Terakhir” dan “Penunggu Fajar”. Tema sosio-politik dalam “Pak Yet Politik”, “Usul Tergempar”, “Orang Kuat Parti” dan “Si Keweh Masih di Caruk”. Tema keagamaan dalam “Hujan” dan “Ustaz.” “Benteng Air” pula bertemakan perjuangan hidup. 

            Tema kasih sayang suami isteri terpancar dalam “Sepuntung Kaki untuk Cah”, “Harapannya untuk melihat Cah melangkah ke sana sini akan terkabul tidak lama lagi. Cah tidak lagi terkedang di tengah rumah....Yang penting Cah boleh boleh membebaskan diri dari kejemuan yang memualkan...” Betapa kasih-sayang kepada Cah akhirnya mengorbankan kaki Pok’heng sendiri. Kesudahan yang tragis itu seakan pengukuhan kepada tema kasih sayang akhirnya melahirkan sub-tema pengorbanan. “Dendam Apai” pula bukan sahaja bertemakan kasih sayang (kekeluargaan), malah kisah cinta agung yang melahirkan sub-tema pengorbanan dan sekaligus perjuangan spesis tertindas (simbol beruk) melawan ketidakadilan spesis yang menindas (simbol pemburu).

 

           Gaya dan Kepengarangan

           Gaya penulisan ada ‘sedikit’ perbezaan jika dibandingkan karya awal di tahun 80’an dengan karya terkini.  Gaya bahasa, penggunaan bahasa figuratif, citraan dan perkakas susastera lainnya dalam “Dendam Apai” tampak lebih berkesan membentuk nada dan perasaan jika dibandingkan dengan “Ustaz”. Teks dari “Dendam Apai,” “Kelompok-kelompok awan kelabu yang bergayutan di sana sini menjadikan sinarnya tidak segarang biasa; hening dan malap. Sisa-sisa malam masih menyelubungi lembah itu.” Penulis memanafaatkan perorangan dan perlambangan yang secara simbolik memperlihat suasana hati protagonis. Kata-kata dipilih dengan cermat dan berjaya menimbulkan kesan yang diharapkan.  

            Cerpen “Ustaz” saya rasa amat dekat dengan penulis kerana ia menceritakan tentang guru subjek Sains yang dikatakan sebagai ‘ustaz melebihi ustaz.’ Sesuatu yang dekat dengan diri penulis akan menghasilkan latar, nada, perasaan dan nuansa yang realistik dan berkesan.  Petikan gaya bahasa dalam “Ustaz,” - “Selesai mengemaskan buku-buku dan kertas nota yang berkecamuk di atas meja, dia melangkah longlai lalu menolak pintu ke bilik persediaan.” Walau agak berkesan memperlihat suasana hati, namun jika ingin dibandingkan dengan “Dendam Apai” bagi pendapat saya, “Dendam Apai” lebih berkesan dalam memperlihat suasana hati (“mood”) wataknya kerana kata-katanya ditukangi dengan cermat dan memakai perkakas susastera yang bersesuaian. 

                Secara umumnya karya-karya dalam naskah ini tidak terperangkap di dalam nada ‘monotoni’ yang boleh membuatkan penulis menjadi klise dengan diri sendiri. Rentang masa 30 tahun pengkaryaan, mungkin salah satu elemen yang membantu. Jelaslah bahawa rentang masa tiga dekad tidak berlalu sia-sia kerana penulis telah berjaya menajamkan pisau karya dan kepengarangannya.

 

Aliran Penulisan    

            Menurut Mana Sikana (2013) aliran penulisan realisme ialah satu aliran besar dan dianggap telah mencapai naratif besar (“grand narrative”). Menurut beliau lagi, realisme amat akrab hubungannya dengan sosial dan masyarakat. Realisme banyak berbicara tentang bidang ekonomi, pendidikan, status dan stratifikasi masyarakat, politik dan apa juga yang berhubungan dengan pembentukan sosial, kenegaraan dan kehidupan massa. Dalam naskah ini kita menemui hampir kesemua elemen tadi dan ini menunjukkan aliran penulisan naskah ini secara umumnya adalah realisme yang terpecah menjadi realisme formal yang mengemuka apa-apa yang wujud dalam masyarakat, realisme protes yang mengkritik sesuatu gejala, realisme sosialis yang menjadi alat propaganda politik sosialisme dan realisme batin yang cuba meneroka ke alam bathiniah dan manusiawi.

            “Gadung” membawa pembaca jauh ke latar perkampungan orang asli dan telah berjaya memperkenalkan pembaca dengan kehidupan masyarakat pedalaman yang jauh dari kehidupan bandar dan juga kampung. Ceritanya berkait kehidupan sosial masyarakat, maka ia merupakan prosa naratif aliran realisme. Begitu juga dengan semua kisah lain yang membicarakan tentang kehidupan sosial masyarakat secara langsung dan juga secara simbolik seperti dalam “Dendam Apai” dan “Jantan.” 

 

Kesimpulan

            Dalam menganalisis karya, selalunya kita tidak dapat lari dari membuat perbandingan karya para penulis mapan dan para kanon sastera dengan karya atau naskah yang diulas. Walaupun ia menjadi suatu perbandingan yang subjektif dan terkadang tidak adil, tetapi kecenderungan melakukannya akan sentiasa berlaku. Hampir tidak ada perbandingan ‘epal kepada epal’ dalam karya sastera kerana setiap penulis adalah individu yang berbeza-beza dan tentunya memiliki latar belakang dan pengalaman hidup yang juga berbeza-beza.     Setidak-tidaknya ia masih boleh dilakukan dengan membandingkan antara aliran penulisan sama iaitu antara ‘realis vs realis.’

Dengan mengasingkan aliran ‘realisme magis,’ saya suka membandingkan keterampilan mengarang Zainol Idris dalam naskah ini dengan Che Husna Nazri, “Melor in Perspective” realisme berlatarkan budaya dan sosio-politik negeri Kelantan. Seorang penulis lagi mungkin Azmi Iskandar Merican, “Aci Patmabi” novel realisme berlatarkan zaman pendudukan British di Pulau Pinang. Akan tetapi kedua-dua mereka hanya mendapat empat bintang (saya beri di Goodreads) sedangkan Zainol Idris telahpun berjaya mendapat pengiktirafan lima bintang. Demikianlah pendapat saya tentang Kumpulan Cerpen Sekali Air Bah: Buah Karya Cerpenis Realis Terbaik Mutakhir Ini!

 

Bicara Karya ASASI 1 Mei 2016


Rujukan:

David CL Lim et al, 2011. Introduction to Novel and Short Stories. Kuala Lumpur: Open University Malaysia.

Mana Sikana, 2013. Dari Barat ke Timur. Teori dan Kritikan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roger Webster, 2004. Mengkaji Teori Sastera, Satu Pengenalan (Terjemahan Shamsuddin Jaafar.) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Catatan:

1. Pertama kali dibentangkan dalam Program Bicara Karya Angkatan sasterawan Nasional Kedah   (ASASI) pada 1 Mei 2016, Pej.AVON, Jitra, Kedah.

2. Tersiar dalam Promosi, Ulasan dan Kritikan Prbukuan malaysia Blogspot.com, 26 Jun 2023. 



Sunday, November 19, 2023

DUNIA BUKU 12

Pembentukan Nilai Dalam Novel PULAU KASIH
Karya Zainol Idris Menerusi Pemikiran Kerohanian Teori SPB4K

 

Oleh:
Dr.Husairi Hussin
(Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI)

 ( Di bentangkan di Simposium Penulis Utara, 26 – 28 Mei 2023 Di Resort Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar Perak)

 


Pengenalan

MEMBACA NOVEL sering memberi kesan kepada khalayak terutama dalam mencetuskan emosi. Dengan pembacaan yang berfokus dan penuh penghayatan sudah pasti khalayak dapat merasai segala denyut nadi atau perasaan atau intuisi yang hendak disampaikan oleh penulis. Kebanyakan penulis akan meletakkan agenda atau objektif tertentu sama ada tersirat mahupun tersurat dalam sesebuah karya mereka. Dalam keseronokan menghayati karya-karya tertentu agenda tersebut akan meresap ke dalam sanubari atau pemikiran pembaca. Hal ini seterusnyaakan membuahkan hasil untuk mendidik juga menyerapi pemikiran seseorang. Ternyata perkara ini sudah lama dilakukan terutama untuk mengkritik juga mendidik masyarakat terhadap sesuatu perkara.

       Dalam hal ini, novel yang mempunyai kepanjangan tertentu seperti jumlah perkataan antara 20 ribu patah perkataan sehingga 80 ribu patah perkataan itu sudah pasti mempunyai banyak ruang dan kesempatan untuk menyerapkan agenda tersebut. Besar harapan kita agar perkara yang hendak diberikan kepada pembaca adalah sesuatu yang baik dan boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan mereka.

       Mengikut Siti Emy Nor Shafeena Mohd Zain (2013), bahawa penulisan kreatif sentiasa menekan suasana yang menarik dalam semua aspek penulisan mereka agar pembaca terkesan. Oleh itu, pembentukan nilai terutama perkara yang murni adalah dituntut daripada penulis.

       Nilai sering kali juga dikaitkan dengan sesebuah buku. Sehingga ada kata-kata yang terbit seperti sejelik-jelik sebuah buku pasti ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan. Oleh itu, kita tidak boleh hanya menilai sesebuah karya hanya secara luaran seperti kata-kata yang sudah sebati dengan kita iaitu don’t judge book by a cover. Maka pembaca perlu mendalami dan menghayati sesebuah penulisan sebelum membuat ketetapan atau menjatuhkan hukuman sama ada buku atau karya tersebut baik atau sebaliknya. Sehubungan dengan itu, nilai merupakan satu aspek penting yang perlu ada dalam setiap diri manusia. Lebih jelas lagi nilai ini bermaksud suatu perlakuan, perangai atau tindakan yang baik atau murni sama ada dalam menjalinkan hubungan dengan manusia, alam dan Tuhan (Ezah Mat Hussain Et, al, 2021) .

      Perkara ini boleh dan mesti dijadikan pegangan dalam kehidupan. Nilai yang hendak diterapkan supaya dihayati oleh pembaca atau khalayak sudah tentulah yang murni atau yang baik-baik sahaja. Menurut teori SPB4K oleh Mohd Yusof Hasan(2001) dalam pendekatan kerohanian, perkara nilai ini melibatkan aspek ketuhanan yang suci dan tulus. Malah dijelaskan lagi aspek kerohanian ini harus diletakan pada tempat yang sepatutnya iaitu mulia disisi pencipta. Jadi aspek nilai ini akan diteliti berdasarkan teori Sistem Pemikiran Bersepadu (SPB4K) dalam karya sastera novel Pulau Kasih karya Zainol Idris (2022).

       Objektif kajian ini untuk mengenal pasti nilai murni yang terdapat dalam novel Pulau Kasih karya Zainol Idris menggunakan pendekatan pemikiran kerohanian, seterusnya melihat cara pembentukan nilai-nilai tersebut. sehubungan dengan itu, penganalisisan akan dijalankan secara kualitatif iaitu secara analisis tekstual untuk meneliti makalah, artikel dan buku-buku untuk menghimpunkan maklumat bagi menyokong dapatan kajian.

 

Teori SPB4K dalam Karya Sastera

       Teori yang diperkenalkan oleh Mohd Yusof Hasan melalui buku Teori Pendidikan Pemikiran Global (2007) ini bertujuan untuk penyelidikan serta kajian yang dijalankan bersesuaian dengan persekitaran negara kita yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya. Jadi sesuatu yang hendak dikaji atau diteliti itu seharunya menggunakan acuan kita sendiri. Sehubungan dengan itu, ramai pengkaji-pengkaji mula menerapkan teori ini dalam kajian dan juga penulisan mereka terutama apabila mengkaji karya penulis tempatan. Hal ini, selaras dengan tujuan pembentukan atau pembinaan teori pendidikan pemikiran global ini dikatakan bersepadu, holistik dan whole brain (Mohd Yusuf Hasan, 2007).

       Teori Sistem Pemikiran Bersepadu (SPB4K) meliputi empat kemahiran utama iaitu aspek kerohanian, kebitaraan, kesaintifikan dan kekreatifan. Kemahiran ini sudah pasti mencangkupi semua perkara dalam sesebuah karya sastera seperti novel terutama dalam meneliti aspek nilai-nilai kemanusiaan. Maka, kajian dan penelitian untuk karya yang dipilih boleh dilakukan secara intrinsik dan ekstrinsik. Jadual di bawah dapat menjelaskan dengan lebih terperinci padanannya untuk pemahaman bersama;

Teori SPB4K Kaedah Intrinsik Kaedah Ekstrinsik,

 

Pemikiran  Kerohanian

 

·         Tema dan Persoalan Falsafah dan kepercayaan

·         Pemikiran Kebitaraan Perwatakan manusia Psikologi dan

                    kemanusiaan

·         Pemikiran Kesaintifikan

·         Latar dan Suasana Sejarah dan Kemasyarakatan

·         Pemikiran   Kekreatifan

·         Teknik dan Stail Estetika dan Keindahan Seni

       Sehubungan itu, bagi melihat aspek nilai dalam novel Pulau Kasih karya Zainol Idris, kaedah ntrinsik atau pendekatan dalam pemikiran kerohanian sahaja akan digunakan. Persoalan nilai yang terkandung dalam pemikiran kerohanian akan diteliti untuk dianalisis dan dibuktikan kewujudannya dan penerapannya. Beberapa contoh nilai yang digunakan oleh penulis dalam karya ini akan dikutip untuk dianalisis seperti yang dilakukan oleh Mohd Yusof Hasan dalam kajiannya terhadap karya-karya Shahnon Ahmad (2009).

       Penulisan Siti Khariah Mohd Zubir dan Norol Nizam Sarkawi (2011), dalam kajian mereka bertajuk Pemikiran Pengarang dalam Novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abdul Rashid mengatakan teori ini sangat sesuai untuk mengkaji dan meneliti keseimbangan nilai yang perlu ada dalam diri seseorang melalui sesebuah karya. Selain itu menurut mereka lagi, sesebuah karya itu perlu diteliti atau dibaca dengan menghayati pemikiran yang hendak disampaikan oleh pengarang dan bukan semata-mata menumpukan kepada plot atau bahasa. Hal ini kerana melalui keseronokan menghayati pemikiran pengarang secara tidak langsung pengarang dapat mengutip nilai-nilai yang hendak disampaikan dalam sesebuah karya sama ada secara tersirat mahupun tersirat.

       Seterusnya, dalam penulisan oleh Siti Khairiah Mohd Zubair (2015) berjudul Pembangunan Sahsiah Belia dan Teori SPB4K dalam Novel Nisah Haron menjelaskan pendekatan kerohanian dapat mencungkil nilai-nilai baik untuk diteladani seperti bertanggungjawab, beradab, bercita-cita tinggi dan sebagainya. Sahsiah belia yang murni dan baik sudah tentu menjadi tunjang kepada pembentukan negara yang lebih baik pada masahadapan. Menurut beliau lagi, sering kita dengari bahawa untuk melihat masa depan sesebuah negara itu sama ada gemilang dan terbilang perlulah melihat anak-anak mudanya pada masa kini. Penulis menegaskan bahawa implikasi kajiannya dapat membangunkan sahsiah, membina jati diri dan menghayati nilai-nilai serta bercita-cita untuk berjaya dalam kehidupan. Maka,pengaruh pemikiran penulis dalam sesebuah karya sastera seperti novel sangat kuat dalam pembentukan nilai kepada khalayak.

     Kekuatan sesebuah novel itu tidak juga seratus peratus terjelma dari dalam diri pengarang. Hal ini juga bergantung kepada cara sesebuah karya itu dimanfaatkan sebagai bahan memperkembang nilai dan memperkasakan ilmu yang terdapat dalam karya tersebut. Perkara ini sudah tentulah meliputi nilai-nilai murni yang hendak disampaikan kepada pembaca. Menurut Kamaruzaman Abdullah (2000), nilai merangkumi perbuatan dan tingkah laku yang menjurus ke arah kebaikan. Cerita-cerita hikayat ini amat menekankan nilai murni dalam persoalan dan juga gerak laku watak-wataknya. Jadi hal ini menepati kehendak yang dijelaskan dalam pemikiran kerohanian dalam teori SPB4K melalui pendekatan intrinsik.  

      `Selain itu nilai juga menjadi kekuatan dalam sesebuah karya apabila dijelmakan melalui persoalan yang menarik dan berkesan oleh pengarang kepada masyarakat. Pelbagai cara atau lebih tepat teknik yang akan digunakan oleh pengarang untuk menerapkan nilai ini. Selalunya khalayak akan lebih tertarik kepada sesebuah karya apabila kisah atau cerita dalam karya itu menarik. Perkara ini dapat diteliti melalui penulisan Eizah Mat Hussain, Tengku Intan Marlina dan Zahir Ahmad (2021) melalui kajian mereka yang berjudul Analisis Nilai Murni dalam Manuskrip ‘Hikayat Saerah dengan Suami’. Mereka menyenaraikan nilai-nilai berikut seperti kasih sayang, ketaatan, amanah, beradab dan lain yang sangat perlu dalam kehidupan manusia.

Jadi persoalan nilai murni ini harus menjadi intipati utama dalam setiap karya selain daripada jalan cerita yang menarik.

       Sehubungan dengan itu, setiap nilai yang terkandung dalam novel Pulau Kasih akan dianalisis dan disesuaikan dengan Teori SPB4K menggunakan kaedah kerohanian melalui pendekatan intrinsik untuk melihat persoalan nilai.

 Sekilas tentang Novel Pulau Kasih

       Secara ringkasnya, novel Pulau Kasih merupakan sebuah kisah ataupun perjalanan yang panjang menerusi watak Leh atau Solleh atau nama sebenarnya Sollehudin, bersama Bibah atau Habibah dan juga Setopa atau Mustofa. Pengarang telah membawa kita menelusuri serta menghayati kehidupan anak muda yang terperangkap dalam arena percintaan. Cinta wujud dan pasti ada dalam diri semua orang. Walau bagaimanapun, cinta yang digarap oleh Zainol Idris bukanlah cinta yang nihil semata-mata. Bukan kosong, bukan buta atau bukan berlandaskan nafsu semata-mata.

       Bermula dengan persahabatan sejak zaman kecil kemudian ke sekolah rendah dan menengah berlatar belakangkan sebuah pulau kecil tempat tinggal mereka bertiga. Daripada persahabatan itu mereka membesar bersama dalam suka dan gembira lalu menerbitkan bibit-bibit percintaan. Cinta tiga segi ini digarap dengan unsur darjat, hubungan kekeluargaan, terikat  dengan agama juga darjat iaitu antara yang kaya dengan si miskin. Faktor-faktor inilah yang menjadikan novel ini semakin tinggi dengan nilai kemanusiaannya. Malah setelah remaja mereka bertiga dipertemukan lagi di universiti yang sama walaupun sudah berhijrah daripada pulau itu. Maka, konflik itu semakin menegang untuk pembaca terus meneliti jalan cerita kisah cinta ini.

      Cinta dalam novel ini sudah tentu dihiaskan dengan keindahan atau estetika yang luar biasa. Terutama pada latar tempat yang terpamer melalui beberapa gugusan pulau, tatkala meletuskan permainan emosi yang mengasyikkan. Juga ditambah dengan nilai murni yang terjaga dengan bijaksana oleh watak-wataknya. Malah kesudahan cerita ini juga pasti mengejutkan pembaca. Selalunya yang kaya akan berkuasa dan yang miskin akan dihina atau yang miskin selalu juga akan mengalah. Perkara itu dilakukan oleh pengarang untuk menjurus ke situ. Namun pengakhiran yang gembira dikejutkan oleh pengarang akhirnya dalam susah dan payah serta dugaan Bibah dan Leh bersatu juga. lebih indah dan mulia lagi apabila Setopa merestuinya walaupun dari awal cerita Setopa sentiasa menang dan tidak mahu mengalah. Nilai sebeginilah yang perlu diterapkan kepada khalayak iaitu kalah bukan bererti mengalah.

 

Nilai Murni dalam Novel Pulau Kasih

 Teori SPB4K meletakan pendekatan pemikiran kerohanian itu meliputi perkara atau perbuatan yang suci murni, tinggi darjat, kudus sifatnya dan syahdu martabatnya (Mohd Yusof Hasan, 2007). Jadi dalam pendekatan intrinsik atau penelitian langsung melalui karya Pulau Kasih, nilai-nilai baik seperti bertanggungjawab, kasih sayang, sabar, rajin dan tekun serta patuh kepada ajaran agama sangat jelas menonjol dan berkesan disampaikan oleh pengarang iaitu ZainolIdris (2022). Berikut adalah persoalan nilai baik dan contoh-contoh petikan yang terdapat dalam novel Pulau Kasih;

 

Nilai Bertanggungjawab

       Bertanggungjawab boleh difahami sebagai bersedia atau setia dalam melalukan sesuatu beban yang diamanahkan. Mohd Yusof Hasan (2007) mengatakan perkara ini berkaitan dengan keimanan yang jiwanya suci, dalam melakukan sesuatu tanggungjawab yang diamanahkan. Segala beban iaitu tanggungjawab yang dipikul dibahunya akan dilakukan dengan sebaik-baiknya. Malah sudah pasti tiada niat untuk mengkhianati atau merosakkan tanggungjawab yang diberikan itu. Petikan-petikan berikut menjelaskan tentang nilai bertanggungjawab yang terdapat dalam novel Pulau Kasih ini;

      Tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan lebih-lebih lagi binatang tersebut menjadi tempat bergantung untuk mencari rezeki. Contohnya dalam petikan berikut, iaitu bertanggungjawab memberi makanan kepada binatang peliharaan;

“Hari ini rehat,” kata Leh kepada Aguk ketika menggantung sesikat pisang kelat di jemuran rumah Aguk. “Kau boleh makan dan tidur sepuas-puasnya. ....”

                                                                                                      (Halaman 23.)

       Atas rasa bertanggungjawab yang diberikan, Leh sentiasa memastikan binatang peliharaannya iaitu beruk, diberi makanan yang secukupnya. Malah Leh juga menjaga kesihatan binatang itu agar dapat berehat yakni tidur yang sempurna. Seterusnya bertanggungjawab dalam menjalankan amanah yang diberikan sebaik dan

sedaya mampu. Contohnya dalam petikan berikut;

 Bagi Leh, Encik Lee Eng Wah bukan sahaja menguasai subjek yang diajarnya, tetapi seorang guru yang sangat gigih dan berdedikasi dengan tugasnya.

                                                                                                      (Halaman 26.)

      Petikan tersebut sudah jelas menyebut bahawa Encik Lee Eng Wah gigih dan berdedikasi yang bererti seorang yang bertanggungjawab dalam pekerjaannya. Gigih mengajardengan penuh tanggungjawab terhadap pelajar-pelajarnya, malah dengan penuh dedikasi yakni sepenuh hati mendidik.Selain itu, terdapat juga nilai bertanggungjawab membantu antara satu sama lain dalam kehidupan seharian. Contohnya;

 

Jambatan itu bukan setakat menghubungkan dua buah kawasan geografi, tetapimenjadi titian silaturahim bagi penduduk kedua-dua pulau. Sesuatu yang berlaku di Pulau Lada akan cepat sampai kepada penduduk Pulau Dayang dan sebaliknya. Mereka akan bertindak bersama-sama, tolong-menolong, bergotong-royong dalam hal-hal kemasyarakatan. Pendek kata, hubungan kedua-dua buah pulau itu terus kukuh sebagai sebuah komuniti.

                                                                                          (Halaman 49-50.)

 

   Terlalu mulia dan suci jiwa masyarakat di pulau itu apabila merasakan diri masing-masing bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara atau musibah yang berlaku. Penerapan rasa tanggungjawab ini sudah pasti dapat mendidik pembaca untuk menghayatinya dalam kehidupan. Selain itu terpadat juga nilai bertanggungjawab terhadap keluarga untuk memastikan keselamatan ahli keluarga terjamin seperti dalam petikan berikut;

“Eh, mana si Lutfi?” Bibah menggelabah mendapati adiknya tiba-tiba hilang.“Lutfi!!!” laung Bibah cemas.

                                                                                          (Halaman 64.)

Bibah yang tiba-tiba menyedari kehilangan adiknya menjadi runsing dan bimbang. Perasaan risau itu menunjukkan tanggungjawabnya untuk memastikan keselamatan adiknya sentiasa terjaga.

       Maka jelaslah bahawa aspek tanggungjawab ini menjadi nilai yang baik untukc diteladani oleh pembaca. Dalam menghayati cerita terutama secara intrinsik, khalayak dapat mencontohi nilai baik ini dalam kehidupan seperti yang dikatakan oleh Mohd Yusof Hasan (2007), pendekatan pemikiran kerohanian ini menjadikan jiwa seseorang yakni hati manusia lebih kudus.

 

Nilai Kasih Sayang

 Kasih sayang boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti kasih sayang kepadac keluarga, kepada sahabat, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Juga kasih sayangc merangkumi kepada alam sekitar dan makhluk lain seperti haiwan peliharaan. Hal inilah yang ditegaskan oleh Mohd Yusof Hasan (2007) dalam pendekatan pemikiran kerohanian secara intrinsik iaitu melibatkan ketakwaan dan kejiwaan.

Kasih sayang dalam persahabatan melibatkan aspek kejiwaan seperti perasaan suka atau jatuh cinta. Sebagai contoh dalam petikan berikut;

      Persahabatan Leh dengan Bibah berterusan sehingga melewati usia remaja.Mereka sama-sama belajar di sekolah rendah. Seringkali waktu rehat merekac duduk di meja batu bawah pokok Bintagor Laut, makan bersama bekalan yangdibawa dari rumah, saling membahagi makanan yang dibawa masing-masing antara mereka berdua.

                                                                                                      (Halaman 19)

      Pengarang secara langsung menjelaskan perasaan Leh dan Bibah berterusan sejak kecil hingga dewasa dan terus selama-lamannya kekal. Hal ini menjelaskan bahawa perasaan sayang dalam persahabatan itu adalah suci murni dan tinggi martabatnya (Mohd Yusof Hasan, 2007).           Seterusnya nilai kasih sayang kepada haiwan peliharaan juga tidak boleh diabaikan sewenang-wenangnya, seperti dalam petikan berikut;

Hari demi hari Agok bergelut tangan dan kaki. Berhempas-pulas menggugurkancbuah kelapa dari pokok ke pokok yang menyayup tinggi mencecah awan. Sudahc tentu Aguk juga perlukan rehat. Aguk pun tahu penat dan lelah. Leh tidak sampaichati mendera Aguk. Kerja menurunkan beratus-ratus biji kelapa seharicbukannya kerja mudah.

                                                                                                  (Halaman 21.)

Begitu juga dengan petikan berikut yang menjelaskan tentang perasaan suci murnic tentang kasih sayang kepada haiwan peliharaan;

 ...Pok Nik pasti datang dua tau tiga hari sekali untuk menjenguk Aguk. Mungkincmahu melepaskan rindu kepada haiwan yang dipeliharanya bertahun-tahun itu,cmalah Aguk, katanya telah dianggap seolah-olah anaknya.

                                                                                                   (Halaman 23.)

Walaupun Pok Nik sudah lama menyerahkan Aguk (Beruk) kepada Leh, namun

disebabkan aspek kejiwaannya kerana cinta dan sayang haiwan, beliau masih mengunjungi binatang itu. Manakala Leh pula sangat menyayangi Aguk dengan memberi layanan yang istimewa seperti makan telur dan kekacang serta tempat tinggal yang selesa. Selain menyayangi haiwan, kasih sayang sesama insan juga perlu dipupuk dan dipelihara sesuai dengan pemikiran kerohanian iaitu itu aspek kejiwaan manusia itu sendiri. Contohnya melalui petikan berikut;

Leh memang mesra dengan Pak Mid. Dia merasakan wujud keserasian ketikacberbual-bual dengan mantan sahabat karib arwah ayahnya itu. Mengikut ceritacPak Mid, dia dan arwah ayahnya bersahabat baik sejak kecil.

                                                                                                      (Halaman 28)

Keserasian yang dikatakan wujud ketika berbual atau bertemu menggambarkancpemikiran penulis untuk memperlihatkan nilai kasih sayang sesama insan. Aspek kejiwaan dalam diri manusia lumrahnya memerlukan perhatian terutama berkasih sayang. Tidak lupa juga dalam aspek kekeluargaan perkara ini juga diperlihatkan dengan jelas oleh pengarang. Sebagai contoh dalam petikan berikut;

 Setelah dipujuk dengan alasan kedatangan mereka nanti juga bersempenacdengan majlis pertunangannya, ibunya akhirnya lembut hati. Sebentar lagi akancberlaku pertemuan bersejarah, semestinya penuh beremosi antara anak dengancibu bapa yang terpisah hampir tiga dekat.

                                                                                                      (Halaman 224.)

 

Biarpun terpisah lama pertemuan itu telah mencantumkan kembali nilai kasih sayang yang sudah lama terhalang. Pengarang dengan sangat berhemah meletakan pemikiranckerohanian dari segi kejiwaan untuk menyentuh naluri pembaca agar menghargai kasih sayangdalam kekeluargaan, kasih sayang sesama insan dan juga kasih sayang kepada makhluk Allah yang lain (Siti Khairiah Mohd Zubair et. al., 2011)

 Nilai Sabar

     Ada kalanya dalam kehidupan ini, manusia akan diuji dengan dugaan dan cabaran untukmelihat ketakwaan kepada pencipta seperti dalam pemikiran kerohanian (Mohd Yusof Hasan, 2007).

     Sesekali akan manusia dihina atau dicerca, juga barangkali mendapat kecelakaan seperti kemalangan dan derita penyakit. Sedangkan semua itu belum pasti suatu kesilapan atau kesalahan yang insan itu lakukan. Hanya kerana perasaan tidak puas hati atau tidak suka di mata orang lain lalu dipandang hina (Siti Khariah Mohd Zubir, 2015). Jadi nilai kesabaran sangat dituntut agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti perbalahan atau pergaduhan. Sebagai contoh melalui petikan berikut;

 Bibah cuma membenamkan pandangannya ke mata Leh. Hairan dia melihat reaksi anak muda itu yang bersahaja, tanpa mempamerkan emosi marah atau terganggu dengan panggilan bernada ejekan, beraura menghina itu. Malah masih sempat melemparkan senyuman.

      Dalam keadaan diri Leh diejek, dia masih tersenyum, malah tidak beremosi seperti yang dikatakan oleh Bibah. Hal ini menunjukkan kesabaran yang tinggi dalam diri Leh bertepatan dengan keteguhan iman dalam dirinya yang menerima dengan reda segala ujian, iaitu aspek keimanan dalam pemikiran kerohanian (Mohd Yusof Hasan, 2007).

Seterusnya, masyarakat yang sabar dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh,

 penduduk kampung di pulau itu sabar menanti hujan untuk menanam padi; Padi cuma ditanam sekali setahun, jenis padi yang kurang memerlukan air seperti jenis padi bukit. Oleh demikian, selepas musim menuai, terdapat masa senggang hampir lima atau enam bulan, menggun musim hujan datang lagi.

                                                                                                      (Halaman 55)

         Apabila berurusan dengan alam, aspek ketakwaan (Mohd Yusof Hasan, 2007) sangatdituntut. Oleh itu pengarang menggambarkan bahawa penduduk pulau itu begitu tenang dan sabar untuk menempuh ujian tersebut. Selain itu juga, Leh sabar dalam debaran menanti jawapan kepada pengakhiran cintanya

dengan Bibah. Contohnya dalam petikan berikut;

“Hal-hal yang bersangkutan dengan perkara syariat jangan dipandang remeh. Kadang-kadang perkara yang kecil dan remeh-remeh itu mempunyai kesan yang besar dan tak mungkin dapat diundur kembali.”

                                                                                                      (Halaman 218.)

 

“Daripada penjelasan yang dinyatakan oleh Kakak Sidah tadi, dia masih dikira sekali saja menyusukan anak itu, ... Habibah tidak cukup syarat untuk dianggap anak susuan Kakak Sidah atau boleh diiktiraf sebagai saudara susuan kepada Solehuddin anak Kak Sidah.”

                                                                                                      (Halaman 222.)

      Maka penantian Leh dalam mengharungi suka duka percintaan berakhir dengan bahagian. Sabar itu buahnya indah, sangat realistik diungkapkan oleh pengarang melalui pemikiran kerohanian ini.

 

        Nilai Rajin dan Tekun

       Sikap rajin dan tekun juga dapat memupuk pembaca lebih bermotivasi dalam menempuh hidup yang semakin sukar masa kini. Ketidakstabilan politik juga menjejaskan ekonomi langsung memberi tekanan kepada semua orang. Jadi nilai tekun dan rajinlah yang dapat membantu seseorang hidup dengan lebih senang. Menurut Teori SPB4K dalam pendekatan kerohanian, hal ini boleh diteliti melalui aspek ketakwaan. Malah agama Islam juga menuntut manusiauntuk berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan lalu berserah kepada Allah (Mohd Yusof Hasan, 2007). Perkara ini jelas dapat dilihat melalui sikap rajin dan tekun  Leh boleh dijadikan   iktibar                                                                                                                                                                                                            

 Sudah beberapa hari Leh bersama-sama Aguk bertungkus-lumus menurunkan kelapa di ladang Tuan Soh .... Pendek kata, sejak selesai musim peperiksaan dua bulan lalu, tiada ruang masa langsung untuk Leh bersantai-santai. Apa lagi untuk berpelesiran sana sini ....

                                                                                                      (Halaman 8 - 9.)

 

Begitu juga dengan petikan berikut;

“Seorang bakal mahasiswa bertungkus-lumus bekerja memanjat dan menjual petai ke sana dan ke sini, semata-mata untuk mengumpul dana dan membolehkan dia mendaftar di universiti.”

                                                                                                      (Halaman 15.)

 

Dalam petikan-petikan di atas, pengarang jelas memperlihatkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki bagi memenuhi keperluan hidup. Dalam hal ini adalah untuk melanjutkan pelajaran. Selainnya mereka berserah yakni bertakwa kepada Allah. Sehubungan dengan itu, rajin dan tekun ini juga perlu ada keberanian dalam diri seseorang seperti yang dilakukan oleh Setopa. Petikan ini menjelaskan hal tersebut;

...cuma si pemberani sahaja berhak terhadap cinta. Dalam hal ini, Setopa sudah pasti telah membuktikan keberaniannya, lalu mendahuluinya.

                                                                                                      (Halaman 57.)

 

Bagi mencapai cita-cita dan hajat hati Setopa melangkah dengan berani untuk menyatakan hasrat hatinya. Urusan diterima atau sebaliknya semuanya terserah kepada takdir.

       Sikap terpuji sebegini harus ada dalam diri khalayak. Persoalan nilai baik ini yang hendak diterapkan oleh pengarang. Sikap rajin bekerja juga dapat dilihat pada watak ibu Leh. Setiap hari akan pergi bekerja di rumah Tuan Soh. Seperti dalam petikan berikut;

Sidah, ibu Leh, seperti biasa akan ke tempat kerjanya; di gedung beratap zink terletak tidak jauh di belakang rumah Tuan Soh.

                                                                                                      (Halaman 60-61.)

 

      Kegigihan yang ditunjukkan oleh ibu Leh pula memberi mesej kepada kita bahawa usaha dan terus berusaha tanpa mengenal lelah. Hasil dan kejayaannya terserahlah kepada

Allah. Pemikiran kerohanian ini harus menjadi titik-tolak yang utama dalam hidup semua orang. Jadi konsep hubungan manusia dengan pencipta (Hablumminallah) (Mohd Yusof Hasan, 2007), sangat jelas dalam novel Pulau kasih ini.

 

Nilai Patuh Ajaran Agama

 Menunaikan suruhan agama seperti mengerjakan solat, menunaikan haji, reda, bersedekah, bersyukur dan lain-lain adalah tanda keimanan seseorang (Mohd Yusof Hasan, 2007). Asas ini sangat dituntut dalam Teori SPB4K melalui pendekatan kerohanian ini. Pengarang yang bijak selalunya tidak bersembunyi, sebaliknya secara intrinsik meluahkan dalam karyanya untuk diteladani. Perkara ini jelas dilaksanakan dengan baik oleh Zainol Idris (2022). Petikan berikut menjelaskan hal tersebut;

 Dia tidak seharusnya ragu-ragu. Semuanya kekal asli, seperti titipan Tuhan sejak azali, bisiknya sendirian sambil meraba-raba raut mukanya.

                                                                                          (Halaman 7.)

 

      Leh (dia) reda malah bersyukur dengan nikmat yang Allah anugerahkan di pulau mereka. Walaupun dalam serba kekurangan. Perasaan syukur itu lebih jelas dalam petikan berikutnya;

 Dia gembira dan bersyukur, sekurang-kurangnya jeda masa menunggu keputusan peperiksaan dalam tiga hingga empat bulan, terisi dengan aktiviti bermanfaat.

                                                                                          (Halaman 9.)

     Begitu juga dengan petikan berikut;

‘Syukurlah kerana semuanya tidak berjangkit pada Bibah,’ bisik Leh sendirian, sambil menujah pedal basikal roda tiganya.

                                                                                          (Halaman 12.)

 

Seterusnya nilai patuh kepada ajaran agama ini adalah bersedekah seperti dalam petikan berikut;

Pak Mid memang melanggan surat khabar dari sebuah toko buku di Pulau Seri Negeri yang dipesannya melalui bot penambang. Senaskhah akhbar rumi dan senaskhah akbar jawi. Kata Pak Mid, menyediakan bahan bacaan untuk pelanggan pun dikira sedekah juga, selain daripada menggalakkan masyarakat membaca.

                                                                              (Halaman 15.)

       Seterusnya menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah menunaikan

ibadah haji seperti dalam contoh berikut; Beberapa bulan sebelum berangkat ke Mekah menunaikan fardu haji, Pok Nik menumpangkan Aguk di bawah jagaan Leh. Kemudian, selepas balik dari Mekah Pok Nik tidak mahu lagi meneruskan kerjanya bersama Aguk. Katanya, dia telah membuat keputusan itu semasa di Tanah Suci lagi. Lalu, Aguk diserahkan terus kepada Leh.

                                                                              (Halaman 9.)

     Dengan kepatuhan kepada ajaran agama yang diterapkan dalam novel ini, maka terserahlah akan pendekatan kerohanian itu dapat membentuk nilai baik pembaca. Mohd Yusuf Hasan (2001) menyatakan bahawa aspek keagamaan harus menunjangi setiap perbuatan dalamkehidupan kita.

 

Kesimpulan

     Secara kesimpulannya, novel Pulau Kasih nukilan Zainol Idris telah mencetuskan pemikiran-pemikiran yang berkonsepkan kerohanian, di samping menerapkan nilai dan juga pengajaran kepada khalayak yakni pembaca. Hal ini dapat dibuktikan menerusi pendekatan pemikirankerohanian yang terkandung dalam teori SPB4K. Teori yang dihasilkan oleh Mohd. Yusof Hasan (2007) ini sedikit sebanyak memberikan jalinan terhadap pemikiran yang ingin diketengahkan oleh pengarang novel ini.

Menelusuri hal ini, nilai-nilai yang tersingkap dalam novel ini sememangnya berkait antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan alam. Watak-watak yang digerakkan dalam novel ini melengkapkan nilai-nilai seperti sifat bertanggungjawab, berkasih sayang sesama insan, nilai kesabaran, kerajinan dan ketekunan, serta pengabdian diri kepada Tuhan.

       Perkara ini diperkemaskan lagi dengan adanya hubungan manusia dengan alam yang menjadi latar dalam naskhah ini. Tidak lupa juga, pengarang telah memfokuskan watak haiwan, iaitu Aguk (beruk), tatkala dihidangkan kepada khalayak pembaca dengan nilai-nilai yang mempunyai keserasian dengan manusia. Oleh yang demikian, novel Pulau Kasih ini selayaknya menjadi bacaan kepada segenap usia, tidak kira yang muda mahupun yang sudah berusia. Hal ini disebabkan oleh nilai yang digarap oleh Zainol Idris menjadi pemangkin kepada sifat baik seseorang insan.

 

Bibliografi1.       Eizah Mat Hussain, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali dan Zahir Ahmad. 2021. Analisis nilai murni dalam manuskrip ‘Hikayat Saerah dengan Suami.’ International Journal of the Malay Word and Civilisation 9 (2). (12-23) Bangi: UKM.

 2.       Kamaruzaman Abdullah. 2010. Nilai Murni Cerpen Diari Seorang Pengawas. Berita Harian, 10 Oktober 2010. NSTP:            Kuala Lumpur.

 3.       Mohd. Yusof Hasan. 2001. Sistem Pemikiran Bersepadu 4L. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.                   .

 5.      Mohd. Yusuf Hasan. 2009. Pemikiran Global Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Tanjung Malim: Penerbit Universiti          Pendidikan Sultan Idris

 6.      Siti Khairiah Mohd. Zubir. 2015. Pembangunan sahsiah belia dan Teori SPB4K dalam novel Nisah Haron. Jurnal                   Melayu. Bil. 14 (1). (120-135). Bangi: UKM.

 7.       Siti Khairiah Mohd Zubir dan Norol Nizam Sakrawi. 2011. Pemikiran UPSI

8.   Zainol Idris. 2022. Pulau Kasih. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustak

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...