Friday, June 12, 2020

DUNIA BUKU 1


Saga, Utusan Publication,1976
     

SAGA YANG MASIH BERBARA

 

      PKP  menghadkan pergerakan luar. Banyak aktivti bertumpu kepada gerakerja dalaman.  Salah satu daripadanya sudah pastilah aktiviti membaca. Saya memanfaatkan peluang  ini untuk  kembali menelah beberapa buah buku yang ada dalam koleksi.  Semestinya setiap orang mempunyai  kreteria tertentu memilih buku untuk dibaca kembali. Ada membuat cabutan buku mengikut bidang yang diminati. Karya dari penulis kegemaran. Buku-buku yang  mendapat rewiews positif daripada pengkritik dan lain-lain. Saya cuba beralih kepada hasil karya yang teruji dan  mendapat pengiktirafan melalui sayembara dan anugerah tertentu. 

    Antara buku yang menarik perhatian saya ialah SAGA, novel garapan  Abdul Talib Mohd.Hassan, juga dikenali sebagai Al Taha.  Selain dari  menulis novel, beliau juga terkenal sebagai penulis skrip drama. Antara drama beliau popular sedikit masa lalu di kaca Tv ialah Anjang Aki. Al Taha ialah antara penulis yang sangat kreatif dan prolifik sekitar era 80an/90an.  
    Saya mengenali beliau ketika sama-sama beberapa kali menghadiri kursus penulisan skrip cereka tv (teleplay writing) anjuran RTM/IPTAR(Institut Penyiaran Tun Abdul Razak)  sekitar 1980an/1990an.  Keunikan beliau ialah sambil berbual-bual santai bersama teman-teman sekursus, jari-jarinya terus lincah menari di atas butang typewriter, mengetik manuskripnya.Tanpa apa-apa nota atau cacatan - semuanya  spontan diturunkan ke atas kertas putih. Pada hari akhir kursus tiga minggu, beliau sudah pun mengatur temu-janji dengan syarikat penerbitan  untuk menyerahkan manuskrip novelnya.

       Al Taha, seorang pendidiik berasal dari Teluk Anson Perak tetapi menetap di Batu Anam, Simpang Lui, Segamat, Johor. (sudah sekian lama kita tidak mendengar khabar berita mengenai penulis hebat ini, harap ada pihak-pihak tertentu (mungkin Persatuan Penulis Johor/ PPJ  atau Dewan Sastera) dapat menjejakinya.

       SAGA lahir dari Sayembara Novel GAPENA, 1976, di mana hadiahnya disumbangkan oleh Tun Datu Mustaffa, Ketua Menteri Sabah ketika itu. SAGA memenangi tempat pertama, tempat kedua ialah novel Bulan Merah Di Tiga Kuala, oleh Zahari Affandi, (tidak ingat karya yang memenangi tempat ketiga). Majlis penyampaian hadiah untuk pemenang-pemenang sayembara ini telah berlangsung di Balai Besar, Alor Setar, Kedah, sempena perayaan Hari Sastera (1976).

       Novel setebal 354 halaman ini diterbitkan kira-kira 43 tahun yang lalu (cetakan pertama 1976). Telah mengalami ulang-cetak lebih dari 10 kali. Saya tidak pasti ulang-bacaan saya kali ini, masuk kali ke berapa. Bagaimanapun bacaan terakhir mungkin  30 tahun yang lalu.

       Menurut penal penilai sayembara yang di ketuai oleh A.Wahab Ali, SAGA, telah mempamirkan kemampuan pengarangnya membawa pembaharuan kepada novel  Malaysia, samada dari segi tema, persoalan dan teknik persembahan. Ia memperlihatkan kebolehan pengarang melukiskan persoalan-persoalan wataknya dari sudut psikologi yang meyakinkan. Apa yang jelas, mungkin ini adalah satu-satunya  cubaan pertama dalam pernovelan Melayu, di mana lewat 22 bab novel ini, bab demi bab, dilukiskan secara bergilir-gilir  mengikut sudut pandangan (POV)  tiga watak utamanya, Rahmat, Hisyam dan Munirah.

       Intipati novel ini  mengisahkan hubungan unik tiga sahabat; Rahmat, Hisyam dan Munirah yang terlibat dalam perangkap cinta tigasegi.  Munirah asalnya seorang katholik,  Monique Magdalena D’Cruz, gadis kacukan Portugis-Baba Cina; bapanya doctor persendirian Dr.Anthony Johnson D’Cruz, keturunan Portugis  kelahiran Goa, India menetap di Melaka. Manakala ibunya Marie Koh D’Cruz, keturunan Baba Melaka.  Ketiga-tiganya berkenalan sejak zaman persekolahan, di Perak, berlanjutan sehingga ke university. Rahmat-Hisyam-Munirah,  saling mencintai. Namun Rahmat(oleh helah kelicikannya) akhirnya bejaya memperisterikan Munirah.


Abd.Talib Mohd Hassan (kanan) menerima hadiah dari
Tan Sri Abd.Samad Idris, sempena Hari Sastera, Alor Setar, Kedah (1976)

       Ketiga-tiga mereka meninggalkan kerjaya yang berpendapatan lumaian  di Bandar dan mengikut ajakan Rahmat pulang menetap di kampungnya, Batu Ragi, sebuah perkampungan di perdalaman yang hampir terputus dengan dunia luar kecuali melalui jalan sungai. Rahmat  brcita-cita besar mahu membawa masyarakat kampungnya keluar dari kongkongan  nilai tradisional yang membelenggu. Walaupun kehadiran mereka  banyak pembaharuan dari aspek prasarana seperti  pembinaan jalan darat menghubungkan kampong terpencil dengan dunia luar, bergotong-royong membina jambatan-jambatan, sekolah, masjid, menyatukan masyarakat melalui kegiatan berkoperasi, persatuan belia, penghapusan orang tengah, Berjaya mengubah persepsi negative masyarakat dan lain-lain  namun ke Ketiga-tiganya tetap berhadapan dengan perbagai halangan dan rintangan. Bukan saja  terpaksa bersemuka dengan fahaman orthodox golongan tua, juga generasi muda yang berperasaan hasad dan  dengki,  tidak ketinggalan dari gerombolan komunis yang terancam survival mereka oleh tindakan dan pembaharuan yang dibawa Rahmat bertiga.
       Beberapa kali nyawa mereka hampir terancam. Hisyam bersama sifat idealis-romantismnya pula, dengan sikap romeo & happy go lucky (yang dalam diam masih mencintai Munirah) terlibat pula dengan cinta tiga segi bersama 2 gadis (Masita, adik rahmat dan Salwa, sepupu Rahmat).  Unik dan anihnya watak-watak antagonis yang muncul bersilih ganti itu hampir semua mempunyai ikatan kekeluargaan (saga) dengan Rahmat. Dalam banyak keadaan jelas walaupun berhadapan dengan  beberapa kejadian sampai ke tahap mengancam keselamatan, Rahmat masih mahu menyelesaikannya sendiri tanpa  melapurkan kepada pihak berkuasa.

       Apakah kesudahannya perjuangan ketiga-tiga watak gigih ini. Berjayakah mereka  mengharungi halangan dan dugaan yang datang bertalu-talu. Bagaimana dengan cinta gelap Hisyam dengan tiga watak, Munirah-Masita-Salwa yang menakluki hatinya. Semuanya terjawap di helaian-helaian terakhir SAGA. Masih adakah di pasaran? Jika tidak carilah di rak-rak perpustakaan.

       Suatu yang menarik perhatian saya sejak mula menelaah novel ini ialah,  SAGA sangat kaya dengan elemen dan  nilai-nilai cinematic/ filmic . Saya melihat ia mempunyai ramuan-ramuan yang mencukupi untuk eksploit,  bangun sebagai sebuah filem cereka yang mempunyai nilai seni dan komersial sekali gus. Konflik fizikal dan kejiwaan, percintaan, romansa, muzik dan lagu, perkhianatan,  pertarungan (persilatan, tembak menembak, pembakaran), manipulasi alam semulajadi dan lain-lain aspek yang belum diterokai. Saya beranggapan ia setara dengan hasil garapan Uwie Hj Shaari lewat filem Hanyut, yang diadaptasi dari  novel  Almayer’s Foley karya Joseph Conrad itu.   Sayang sekali kerana novel sehebat ini, sekan tercicir dari pandangan pembikin-pembikin filem kita.


Jitra, 10 Jun 2020.


Monday, June 1, 2020

PERJALANAN SASTERA 11


PROSES KREATIF SEBUAH CERPEN
(DENDAM APAI)


            PROSES KREATIF adalah jejak-jejak perjalanan dan penerokaan yang ditempuhi seseorang karyawan dalam menghasikan sesebuah karya seni, tidak kira dalam apa bidang sekalipun. Ia merupakan satu sisi pengalaman seni bersifat subjektif dan penuh kerahsiaan yang hanya dimaklumi dan dirasai oleh karyawan itu sendiri; Bermula dari cetusan idea/ ilham sehinggalah sesebuah karya itu siap dihidangkan kepada khalayak. Tempoh masa yang diambil tidak menentu. Ada karya yang mampu dilahirkan dalam masa yang singkat. Ada yang memakan masa bertahun-tahun. Ia boleh merupakan suatu pengalaman yang selesa dan menyeronokkan tidak kurang juga sebaliknya. SN A.Samad Said  ketika menukangi karya  sulungnya, Salina, pernah menyimpulkannya sebagai derita yang bahagia. 
           
            Dalam tradisi penulisan di negara kita tidak banyak buku-buku yang digarap oleh pengarang khusus menceritakan proses kepengarangan yang dilalui dalam menghasikan sesebuah karya. Begitupun kita menghargai kehadiran beberapa buah buku dalam kategori ini yang dapat dijadikan sumber rujukan khususnya kepada karyawan yang mahu berjinak-jinak dengan penulisan. Di antara yang sempat dikesan termasuklah;  Dari Salina Ke Langit Petang oleh SN A.Samad Said (DBP, 1979). Jejak Kreatif, Arenawati (DBP, 1996), Dari Banggol Besi ke Jalan Lain Ke Hamovniki, A.Rahmad, MKNK, 2005,  Kuras-Kuras Kreatif, Azizi Haji Abdullah (DBP,2007), Proses Kreatif, Satu Pengalaman Rohani, SN Abdullah Hussain (DBP, 2010) atau Bagaimana Saya Menulis, proses penciptaan cerpen  oleh 17 orang penulis mutakhir, selenggaraan Mawar Safei dan Nisah Haji Haron (DBP, 2011), Pengakuan Penyair, Proses Kepenyairan 34 Penyair Malaysia, ITBM, 2012. Selebihnya terselit di sana sini dalam buku-buku biografi atau memoir yang dihasilkan oleh beberapa pengarang.

            Ada pendapat yang mengangggap proses kreatif dalam penulisan adalah satu seni (art of writing ) bukan keahlian maupun kemahiran dalam menukanginya (craft of writing).  Oleh yang demikian sebagai satu proses seni, sudah pasti  aspek-aspek pengalaman hidup dan persekitaran sosial, nilai, budaya, geografi, ekonomi, politik dan lain-lain seputar kehidupan karyawan ini mempunyai kesan  langsung terdapat penglahiran sesebuah karya.

            Saya mula menjejaki  dunia penulisan secara akrab bermula dalam tahun 1977, iaitu apabila terpilih mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang. Walaupun begitu minat saya terhadap sastera dan penulisan  berputik lebih awal lagi, iaitu sejak sebelum ke alam persekolahan.
            Dalam genre penulisan cerpen,  tidaklah banyak karya-karya yang saya dihasilkan, iaitu sekitar empat tiga puluh buah saja (sehingga 2019).  Walaupun saya mulai menulis cerpen ketika mengikuti latihan perguruan menerusi bulletin  serta majalah tahunan institusi tersebut. Cerpen pertama saya yang terbit di media massa ialah Di Keweh Masih Di Caruk tersiar dalam Dewan Sastera (Julai 1980). Cerpen-cerpen saya kemudian tersiar secara eceran dalam akhbar dan majalah tempatan seperti  Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan zaman, Akhbar Watan,  Mingguan Timur, Majalah Dewan Sastera,  Sarina, dan Dewan Tamaddun Islam. Saya juga ikut menyumbang dalam beberapa buah antologi cerpen bersama  seperti Jelapang 2 (Teks Publishing, 1983), Pulangnya Pemuja Ombak (DBP, 1985), Tafakkur ( DBP, 2011) dan Rusuh Di Hati Putih (UUM Press, 2016) di samping kumpulan cerpen persendirian Sekali Air Bah, (ITBM, 2015 .

            Menceritakan proses kreatif yang saya lalui dalam menukangi karya, tumpuan saya ialah   terhadap karya-karya yang terdapat dalam  kumpulan cerpen  Sekali Air Bah). Dalam kumpulan  ini terdapat 17 buah cerpen yang ditulis merentasi dua dekad, 1980-an dan dekat millennium. Dalam ruang yang terbatas ini, untuk mengenang kembali  proses kreatif  setiap satu cerpen yang terkandung dalam kumpulan itu tentulah tidak mungkin. Untuk lebih khusus, saya nanti akan memilih sebuah saja cerpen dalam kumpulan tersebut untuk dibicarakan.
           
            Secara kasar proses penulisan atau lebih tepat proses pengkaryaan dari awal sehingga sempurna dihidangankan kepada khalayak pembaca melalui lima peringkat iaitu persediaan sebelum penulisan atau mengarang (prewriting), penulisan (writing), semakan/ menulis semula  (revision/ rewriting), suntingan (editing) dan akhir sekali menerbitkan karya tersebut (publishing).       

            Peringkat persediaan sebelum memulakan penulisan (prewriting) adalah sangat penting dan menjadi asas keunggulan sesebuah karya. Ia melibatkan cetusan idea, percambahan idea di mana idea pokok itu dibangunkan,  merancang bentuk  pencerekaannya.  Seterusnya dalam proses penulisaan, pengarang akan melalui fasa  pembinaan jaluran naratif berdasarkan idea-idea pencerekaan terdahulu sehingga terbangunnya sebuah fiksyen. 
            Dalam fasa cetusan idea awal yang akhirnya melahirkan beberapa buah cerpen dalam Kumpulan Cerpen Sekali Air Bah, saya ingin menghubung-kaitkannya dengan  teori-teori sastera yang pada asasnya di cetuskan oleh Plato dan Aristotle iaitu;

o   Teori Mimesis (peniruan/ imitasi).
o   Teori Effect ( Kesan) dan
o   Teori Ekspresi/ Perasaan.
            (lihat Pengenalan Kritikan Sastera, M.K.Danziger & W.S.Johnson, DBP, 1991).

            Melalui Mimesis, sastera dianggap sebagai hasil pantulan dari cermin kehidupan (pengalaman manusia) yang ditafsirkan semula oleh pengarang. Teori Effect pula karya sastera lahir daripada pengamatan pengarang dari pembacaan, penontonan atau pendengaran yang melibatkan kesan psikologi, emosi perasaan atau mood. Lewat Teori Ekspresi pula karya sastera dianggap sebagai kebijaksanaan dalaman yang diilhamkan Tuhan secara spontan ke dalam diri pengarang.

            Saya rasa hampir sebahagian besar dari cerpen-cerpen dalam kumpulan Sekali Air Bah
cetusan idea asalnya dapat dipadankan dengan teori Mimesis  dimana lahir dari peristiwa dan pengalaman hidup manusia disekitar diri penulis sendiri.
Kumpulan Cerpen, ITBM 2015

            Cerpen Jantan tercetus dari kisah seorang lelaki tua di kampong penulis sendiri, dalam tahun 1970an,  yang menentang kehadiran pengawai-pegawai dari Jabatan Veternari yang datang mahu menembak lembunya yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut dengan alasan untuk menghalang penyakit itu dari mewabak.

            Cerpen Ustaz begitu juga Pingat bersumber dari persekitaran sekolah tempat penulis bertugas. Seorang ustaz yang sangat suka berkelakar dengan perkataan double mening nya. Kemudian di satu pihak lain pula sempena hari keputeraan Sultan, tidak siapa menyangka tiba-tiba seorang tukang kebun sekolah,kerana kegiatan kemasyarakatannya dianugerahkan pingat atas kebaktiannya.

            Bukit-Bukit Gondol yang berlatarkan bukit-bukit batu kapur tidak jauh dari Pekan Kodiang ( berasal dari bahasa Thai Kok Deng – Pulau Merah). Kisah hidup pemungut baja organik  daripada  tahi kelawar yang terdapat di gua-gua batu kapur,  di mana nama-nama wataknya adalah  dari kalangan  pelajar-pelajar saya  sendiri berketurunan Thai. Kebolehan berbahasa Thai/ Siam sedikit sebanyak membolehkan saya menyelami kehidupan mereka. Ada pelajar yang sering tidak hadir ke sekolah, bila ditanya katanya seronok ikut bapa saudara masuk hutan tembak babi.

            Sekali Air Bah- adalah dari pengalaman sebenar penulis sendiri. Rumah saya terletak beberapa meter saja dari tebing sungai, bah setiap tahun. Ketika zaman kanak-kanak fenomena air bah adalah suatu yang menyeronokkan. Watak perempuan tua dalam cerpen itu adalah asosiasi dan refleksi ibu penulis sendiri.

            Cerpen Hujan dan Penunggu Fajar  terilham dari kunjungan ke sekolah lama penulis, Raudzatul Ulum, berhampiran Makam Diraja, Langgar,  setelah lebih sepuluh tahun meninggalkannya. Yang tinggal cuma kesan-kesan tapak bangunan ( mulai awal tahun 1970an, sekolah telah berpindah ke bangunan baru seperti yang ada sekarang di persimpangan Jalan Langgar – Bukit Pinang. Di belakang bagunan yang telah dirobohkan itu terletaknya Pondok Tok Syeikh. Pondok-pondok kecil yang dahulunya didiami oleh penuntut-penuntut ilmu Islam (ghalinya dipanggil Lebai)  telah terbiar ditinggalkan termasuk  banguanan  balai/ madrasah yang dahulunya menjadi pusat atau nadi kehidupan pondok. Kedua-dua cerpen ini saya gabungkan dan mengadaptasikannya ke dalam drama  tv Pangung RTM Al Infithaar  sempena perayaan maulidurrasul 1984.

            Si Keweh Masih Di Caruk  (DS, Julai 1980) bersumberkan idea peristiwa tunjuk perasaan petani-petani di Wisma Negeri, Alor Setar ketika itu yang menuntut kenaikan harga padi. Ada orang kampung yang tidak mengerti apa-apa tujuan perhimpunan petani-petani itu, sanggup
 berbasikal ke sana. Ramai yang kena tangkap termasuk dari kampung saya.

            Proses pencerekaan berasaskan hasil pembacaan, penontonan dan pendengaran seperti yang disarankan dalam teori Effect sebenarnya bukanlah suatu yang terlalu asing dalam fiskyen Melayu. SN Abdulah Hussain pernah mengaplikasikannya lewat Intan,  sebuah cereka Tv ditulis memenuhi permintan sahabatnya, Zainuddin Nordin, pegawai penerbitan di rtm  yang dilakunkan oleh P.Ramlee, yang mengikut beliau bersumberkan guntingan akhbar mengenai Rasool Mahammad, seorang petani miskin di Madya Pradesh yang menjumpai sebutir intan ketika membajak sawahnya,yang sepuluh tahun kemudian, beliau menanggung hutang keliling pinggang (Proses Kreatif, Satu Pengalaman Rohani, m.s 111).
            Sumber yang sama juga dimanfaatkan oleh Azizi Haji Abdullah ketika menukangi novel-novelnya yang terkenal, Seorang Tua Di Kaki Gunung dan Sangeetha. Seorang Tua Di Kaki Gunung yang dikembangkan dari cerpen Cengai Batu, tercetus idea dari keratan akhbar, kisah yang seorang lelaki oleh kerana tidak tertahan menaggung kesakitan, meminta isterinya menggergaji pahanya yang tersepit sebatang tiang oleh runtuhan bangunan ketika berlaku gempa bumi di Afghanistan. Sangeetha pula bersumberkan sebuah berita yang berlaku di Guwahati, India (Utusan Malaysia, 25 Jun 2004), seorang lelaki tua, Vijayakarntirtha,  masih bujang berusia 93 tahun bertemu jodohnya dengan janda, Jayotana Bala,  63 tahun juga pemilik rumah yang disewanya (Proses Kreatif Novel Sangeetha, Nikmat Dalam Kepayahan oleh Azizi Haji Abdullah, lihat Sangeetha Dalam Kritikan, Penerbit USM, 2014).
            Saranan kepada penulis-penulis untuk menyimpan keratan akhbar sebagai sumber atau
bank idea, memang bermanfat. Kisah-kisah terpencil kehidupan manusia  yang walaupun merupakan berita-berita kecil yang kadang-kadang sekadar berfungsi sebagai penyendal (filler) pada halaman akhbar, tapi menyentuh  nurani, mampu dikembangkan menjadi sebuah fiksyen. Ilham atau idea tidak datang bergolek atau  melayang-layang begitu mudah ketika kita benar-benar memerlukannya. Ketika minda kreatif dalam suasana kontang, membuka kembali fail yang menyimpan koleksi guntingan akhbar pasti membenikan idea seperti dianalogikan sebagai  awan-awan yang terapung oleh A. Samad Said  dalam Dari Salina Ke Langit Petang. Saya mempraktikkan saranan-saranan ini  ketika menghasikan cerpen Bukan Hentian Terakhir dan Dendam Apai.
Keratan Akhbar KOSMO 7 Oktober 2010

            Cerpen Dendam Apai adalah berdasarkan berita yang tersiar dalam akhbar tabloid
Kosmo, 7 Oktober 2010, mengenai tragedi  kematian yang digigit kera liar (lihat lampiran). Cerpen Dendam Apai  kemudian tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Januari 2012 . Jarak masa antara peristiwa benar seperti yang tersiar dalam akhbar dan cereka yang mengambil latar peristiwa dari kejadian itu ialah kira-kira satu setengah tahun.

            Saya  mula bersara wajib dari perkhidmatan pendidikan ialah pada March 2011 setelah berkhidmatan selama 32 tahun. Meninggalkan rutin harian setiap pagi, iaitu bangun kemudian bersiap-siap ke sekolah pada peringkat awalnya mewujudkan seakan satu kelompangan dalam hidup saya. Sebelum bersara memang saya merancang dan berazam untuk mengisi luangan masa dengan minat dan sedikit bakat yang dianugerahi Allah; menulis. Kalau boleh setiap hari saya mahu  menulis, sementelahan pula saya tidak mempunyai kebolehan dalam bidang-bidang lain. Tapi  apakah yang mahu ditulis. Idea bukan dengan mudah datang bergolek  terutama dalam penulisan kreatif. Lainlah kalau menulis berita atau rencana.

                        Ketika  menghabiskan cuti penggal akhir persekolhan 2010 iaitu kira-kira 3 bulan  sebelum menjejak kaki ke zon persaraan, mengambil petua SN Abdulah Hussain dan Azizi Haji Abdullah, saya menyelongkar  akhbar lama.  Saya menjumpai berita Bayi Mati Digigit Kera seperti yang tersiar dalam akhbar  Kosmo seperti yang saya nyatakan  terdahulu.

            Kisah yang berlaku di Rasah, Seremban, Negeri Sembilan itu memaparkan
 tragedi yang menimpa seorang  bayi kepada sepasang suami isteri, yang baru berusia empat
Tersiar dalam Dewan Sastera Januari 2012
 hari dan belum sempat diberi nama. Mengikut berita yang tersiar, kehadiran kera-kera liar di taman  perumahan tersebut adalah berikutan dari tindakan penduduk-penduduk di situ sering membuang sisa-sisa makanan, ekoran daripada itu, ia telah  menarik minat haiwan-haiwan tersebut  datang ke situ. Mungkin kera-kera itu menganggap bayi sebagai makanan, ujar seorang pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

                        Bagaimana pun siasatan lanjut mendapati pemilik rumah di mana tragedi itu berlaku ada membela sekor kera betina di dalam sangkar. Kemungkinan besar faktor kera betina yang terkurung itulah yang menjadi punca kera-kera itu bertumpu ke situ seterusnya bertindak liar menyerang mangsanya. Sebaik saja dimaklumkan, pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban  telah tiba di sana dan mendapati terdapat dua ekor kera di atas pokok berhampiran rumah mangsa, selepas menghubungi Perhilitan mereka berjaya menembak mati salah seekor daripadanya yang merupkan seekor kera jantan.

                        Selepas meneliti fakta-fakta yang terselit dalam berita ini, saya membulatkan hasrat untuk menjadikan peristiwa ini sebagai asas untuk digarapkan kepada  sebuah cereka. Pokok persoalan yang mula muncul di minda saya ialah mencari kewajaran-kewajaran yang menyebabkan kera-kera itu sanggup mencederakan bayi tersebut. Andaian yang dinyatakan dalam berita tersebut ialah mungkin haiwan-haiwan itu menganggap bayi itu sebagai makanan; agak kurang meyakinkan, kerana dari segi fakta sains, kera; haiwan kelas mamalia dengan nama saintifiknya Macaca Fascicularis makanannya terdiri dari buahan, taruk atau  pucuk-pucuk tumbuhan
dan haiwan-haiwan kecil seperti serangga. Kera bukannya Karnivores. Tak mungkin ia mengganggap bayi sebagai makanan.
                        Faktor yang paling wajar dan meyakinkan ialah kehadiran kera betina yang dikurung di dalam sangkar oleh tuan rumah (bapa kepada bayi yang menjadi mangsa). Dengan mengenepikan faktor-faktor lain, saya menjadikan menjadikan pemenjaraan kera betina di dalam sangkar besi itulah  sebagai asbab yang menimbulkan dendam dan kemarahan yang amat sangat kera-kera(saya mengkhususkan kepada seekor kera saja - iaitu kera jantan yang ditembak mati seperti yang dinyatakan dalam berita itu) sehingga sanggup mencederakan bayi itu, beralaskan; tidak dapat tanduk telinga dipulas.
                        Dalam minda saya sekarang sedang  terjana satu proses pencerekaan yang bertemakan dendam; dendam kesumat seekor kera jantan terhadap manusia yang menangkap dan memenjarakan kera betina pasangannya. Saya menukarkan watak kera jantan dan kera betina  kepada beruk jantan dan beruk betina memandangkan tabiat kera hidup  berkumpulan atau berkawanan sehingga berpuluh-puluh  ekor sedangkan kehidupan beruk (Macaca Nemestrina) pula menjalani hidup secara berpasangan. Malah ada juga beruk yang hidup bersendirian dikenali sebagai beruk tunggal. Saya mahu beruk jantan itu  hidup menanggung kesunyian dan keresahan  dan pada sisi lain menggalas amarah dendam yang menyala-nyala terhadap pihak ang menangkap dan memenjarakan pasangannya.

                        Saya telah menetapkan untuk menggarap cerpen ini dari sudut pandangan yang menyelami ke lubuk jiwa beruk jantan, yang saya namakan Apai (dalam bahasa Iban  bererti bapa) yang hidup dalam tak keruan, gundah gulana dan dendam kesumat kerana memisahkan hidup dengan , pasangannya, Indai (ibu) secara zalim.

                        Dalam penggarapan sebuah cerpen, saya memegang kuat petua yang diperturunkan oleh SN Shahnon Ahmad (lihat Shahnon Ahmad Dengan Debu Merahnya, Sharif Shaary, Marwilis Publisher & Distributor Sd.Bhd. Shah Alam. 1992); bahawa dalam sebuah cerpen, cerita tidak penting yang jadi keutamaan ialah perwatakan.  Cerita sekadar sandaran untuk menjelaskan perwatakan sehingga menimbulkan kesan kepada pembaca. Aspek perwatakan mengikut Shahnon tidak sekadar aksi dan reaksi fizikal watak terhadap peristiwa/ fenomena yang dipaparkan menerusi cerita tetapi termasuk pemikiran, emosi, ilusi, impian dan angan-angan termasuk dialog dan monolog yang relevan. Dan ketika ramai penulis dengan bergaya menelusuri jauh ke arah aliran-aliran avant-garde, saya masih setia menekuni jalur-jalur realisme.  
                        Untuk memperkuatkan dendam amarah yang bebara itu saya perlu mencipta asbab yang menyakinkan sehingga Apai sanggup bertindak menculik dan melarikan bayi kecil pasangan suami isteri  yang saya namakan sebagai Pemburu sebagai tukar ganti kepada Indainya yang dipenjarakan dalam sangkar besi. Idea dan alasan paling munasabah yang timbul dalam fikiran saya ialah ikatan rasa cinta yang mendarah daging antara dua pasangan itu.mPeristiwa atau moment kisah cinta antara mereka perlu diketengahkan. Saya ujudkan Indai sebagai perawan rimba yang menjadi impian dan rebutan di antara jejaka-jejaka beruk jantan. Apai Berjaya memiliki hati Indai setelah menempuhi jalan sukar termasuk bertarung dalam sayembara berdarah di mana telah dimeterai perjanjian; mana-mana pihak yang kalah terpaksa membawa diri melangkaui tujuh bukit. Satu lagi moment yang meruntut perasaan Apai ialah, pada hari terakhir sebelum dia dipisahkan dengan Indai ialah perkhabaran yang dibisikkan oleh Indai bawa dia sedang bunting dan mengidamkan jagung muda. Ketika Apai keluar untuk memenuhi permintaan pasangannya itulah Indai  masuk ke dalam perangkap Pemburu kerana terliur dengan bau pisang emas yang dijadikan umpan.
                        Puas Apai memikirkan berbagai cara dan ikhtiar untuk membebaskan Indai dari kurungan pemburu itu. Dia pernah berfikir untuk membakar rumah pemburu dengan melemparkan puntung-puntung api yang boleh didapati dari huma yang sedang dibakar oleh peladang. Dia juga pernah merancang untuk mencederakan pemburu termasuk isteriya yang sedang mengandung. Sehinggalah suatu hari dia melihat pemburu membawa pulang isterinya berserta seorang bayi yang baru di lahirkan di hospital. Apai bertindak masuk  ke dalam rumah dan melarikan bayi. Sambil fikirannya ligat mencari kaedah bagaimana untuk memaksa Pemburu membebaskan Indai, ia  membawa bayi itu ke arah sangkar di mana pasangannya terkurung.  Bagimanapun oleh desakan naluri keibuan, Indai membantah tindakan Apai. Apai di suruh meletakkan bayi di situ dan segera melarikan diri kerana perbuatannya telah disedari oleh pemburu dan isterinya. Pemburu sedang keluar dengan sepucuk senapang.
                        Langkah terakhir dalam perlakaran naratif ialah bagaimana mahu menamatkan fiksyen itu dengan menghadirkan kesan kepuasan kepada pembaca. Jika pembukaan atau intro sesebuah karangan itu penting demi mengumpani audien untuk terus membaca, pengakhiran juga sama penting bagaimana untuk menjadikan pembaca rasa nikmat dan  puas serta tidak berasa rugi menghabiskan masa untuk membacanya. Pada awalnya saya menimbangkan untuk menjadikan segala perancangan Apai itu benar-benar berlaku dan berakhir dengan kematian Apai ditembak oleh pemburu ketika ia mahu meninggalkan tempat itu selepas  ia meletakkan bayi tersebut berhampiran sangkar Indai. Pengakhiran ini rasanya telah menjadi klise.
                        Saya memiliki satu lagi alternatif iaitu Apai dikejutkan dengan ketibaan pihak Perhilitan ketika dia berada di atas bumbung rumah pemburu itu dan sedang merancang penculikan bayi untuk dijadikan tukar ganti dengan Indai. Kedatangan pegawai penguatkuasa Perhilitan merampas sangkar yang mengurungi Indai  dan mendakwa Pemburu kerana memilki haiwan liar yang dilindungi tanpa kebenaran, dianggap oleh Apai sebagai saat keadilan sedang menjelma. Dia tahu Indai akhinya akan dibebaskan oleh pihak berwajib itu. Apai akhinya melompat turun di sisi sangkar besi yang mengurungi Indainya ketika kenderaan Perlilitan itu sedang bergerak membawa keluar beruk betina yang terkurung itu meninggalkan rumah tersebut.

                        Selepas fasa percambahan idea dan berhasil menurunkan rangka kasar (rought draf) proses-proses lain  adalah lebih condong kepada bentuk luaran. Ini termasuklah  mendapatkan kesahihan maklumat dan fakta adalah penting untuk meyakinkan pembaca terhadap subjek yang diketengahkan terutama bila menulis sesuatu yang di luar persekiran dan pengalaman kita. Kemudahan mencapai maklumat di hujung jari sudah pasti memudahkan kita. Dengan mudah dan segera saya boleh memperolehi maklumat saintifik termasuk mengenai tabiat, makanan, perlukisan bentuk fizikal, habitat dan sebagaianya mengenai beruk.

.           Peroses menulis, menyemak yang melibatkan proses menokoh tambah, mengurang, menukar- ganti atau membuang ayat-ayat, frasa, perkataan atau mengedit dan menulis semula adalah proses  biasa dan hampir sama pada semua penulis. Kebiasaan bagi saya akan menulis draf pertama tanpa menghiraukan kesalahan ejaan, tanda bacaan, perenggan dan lain-lain. Ia akan diperbetulkan pada draf kedua dan seterusnya. Zaman penulisan menggunakan mesin taip dan komputer tentulah berbeza.  Kalau pada zaman mesin taip beberapa (sekurang-kurang tiga) draf  akan menjadi mangsa bakul sampai sebelum sampai kepada final draft. Kemudahan komputer menjadikan kerja-kerja mengarang dan mengedit hampir berjalan serentak. Selesai menurunkan tanda nokhtah terakhir, saya akan mengenepikan cerpen itu beberapa hari. Ia akan dibaca sekali lagi secara berhati-hati mengesani kesalahan ejaan, tatabahasa, membuang dan menokok tambah di sana sini jika ada idea-idea mutakhir.

                        Saya mengirimkan cerpen Dendam Apai kepada editor Dewan Sastera, yang dibangunkan dari 3410 patah perkataan, 18 muka surat bertaip langkau 2 baris,  bersama sepucuk surat iringan bertarikh 1 November 2010. Tanpa mendapat mendapat apa-apa surat jawapan menyatakaan peneriman karya, saya  menunggu dan menunggu bulan demi bulan. Saya faham bahawa sebagai penulis tak punya nama tentulah karya kita tidak disenarai sebagai keutamaan. Tapi saya yakin karya kita lambat-laun akan tiba juga giliran  dibaca dan dinilai. Akhirnya penantian selama 13 bulan berhasil bila Dendam Apai di siarkan dalam majalah tersebut dalam terbitan bulan Januari 2012.
                          Beberapa jam menjejak kaki di KLIA sepulang dari mengerjakan Haji pada  6 November 2013,  ketika sedang menikmati sarapan pagi pada sebuah cafeteria  di situ, saya menerima panggilan dari dari Seketariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia bahawa Dendam Apai tersenarai sebagai penerima HSPM dalam kategori cerpen eceran bagi tahun tersebut.
             

           BIODATA PENULIS:

 Zainol Idris  juga mengguna nama pena  Zain Idris At-Tobiary.  Lahir dan dibesarkan dalam kelompok masyarakat tani di Tobiar, Pendang,  Kedah.  Mendapat pendidikan asas di SK Haji Idris, Tajar dan pendidikan menengah di Raudzatul Ulum, Langgar serta Kolej Islam Kelang. Tamat mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan, P. Pinang pada tahun 1977/ 1978, beliau terus berkhidmat sebagai guru sains di SMK Seri Mahawangsa dan  terakhir di SMK Paya Kemunting, Jitra, Kedah sebelum bersara wajib pada tahun 2011 setelah berkhidmat selama 32 tahun.
Menulis sejak 1980 menerusi akhbar dan majalah tempatan. Cerpen-cerpen  beliau dapat dibaca menerusi Kumpulan cerpen persendirian Sekali Air Bah (ITBM, 2015) dan beberapa antologi bersama seperti Jelapang 2 (Tek Publishing,1983), Pulangnya Pemuja Ombak (DBP, 1985) dan Tafakkur (DBP, 2011). Rusuh Di Hati Putih, UUM Press, 2016. Selain daripada genre cerpen beliau juga menulis skrip drama Tv, Puisi dan rencana.
            Sepanjang penglibatannya dalam bidang penulisan beliau berjaya meraih beberapa hadiah penulisan antaranya Hadiah Penulisan Cerpen Berunsur Islam (1985), Hadiah Penulisan Adaptasi Cerpen ke Drama Tv (1991) dan Hadiah Karyawan Darul Aman (1996/ 1997). Dua buah cerpen beliau, Dendam Apai dan Gadung  terpilih memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2012 dan 2013. Dalam tahun 2015 puisi beliau Di Lengkung Langit Biru terpilih memenangi hadiah utama kategori puisi pada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)  dan pada tahun 2017 sebuah puisi beliau Lelaki Yang Keciciran Lidah sekali lagi  memenangi kateori yang sama. Menganggotai Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) sejak 1979 dan terpilih menduduki Jawatankuasa ASASI bagi sesi 2015-2016 dan 2017- 2018).



  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...