Sunday, December 18, 2022

 LAPORAN PENILAIAN ANUGERAH SASTERA DARUL AMAN 2022

ASDA 2022

 

Pendahuluan

      Setelah sekian lama sastera lahir dan berkembang di tangan penulis Kedah, baru kini muncul musim menuainya tiba apabila Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) mengambil inisiatif menguruskan Anugerah Sastera Darul Aman 2022. Alhamdulillah, dengan kesungguhan barisan jawatankuasa ASASI dan bantuan serta sokongan pelbagai pihak, penulis Kedah kini merasai nikmat dihargai biarpun penulis negeri lain sudah lama merasainya. Anugerah Sastera Darul Aman 2022 ini, sesuai dengan kemunculan baharunya menetapkan tempoh masa 2015 sehingga tahun 2021 untuk menilai karya penulis Kedah. Kategori yang dipertandingkan ialah novel dewasa, novel remaja, novel kanak-kanak, cerpen eceran, kumpulan cerpen, puisi eceran, kumpulan puisi, drama, rencana, kritikan sastera, di samping beberapa anugerah tokoh dalam kalangan penulis.

          Panel penilai hanya diberi karya yang sudah terkumpul, dan karya tersebut dihantar oleh penulisnya. Ini bermakna, hanya karya yang dihantar kepada urus setia akan dinilai. Penilaian dibuat berdasarkan kriteria yang lazim digunakan mengikuti genre kerana setiap genre memiliki elemen tersendiri yang mencirikan nilainya.

Kategori Novel Dewasa Dan Remaja

 Kami telah membaca dan menilai 14 novel dewasa dan 10 buah novel remaja yang diterbitkan pada tahun 2015 sehingga tahun 2021. Novel-novel dewasa telah dihasilkan oleh lapan orang penulis, iaitu Hafizul Faiz (2 buah), Osman Ayob (2 buah), Amelia Hashim (3 buah), Putraera Ussin (sebuah), Shukriah Rodzi (sebuah), Eqbal Mohaydeen (sebuah), Amer Hmzah L. Kadir (2 buah), dan Zainol Idris (2 buah). Novel-novel remaja telah dihasilkan oleh lapan orang penulis, iaitu Amer Hmzah L. Kadir (2 buah), Ghazali Lateh (sebuah), Sara Salwana (sebuah), Shukriah Sari (sebuah), Wildan Haya (sebuah), dan Siti Sara Hassan (sebuah).

 Kriteria Penilaian

Dalam proses penilaian, panel menilai berdasarkan isi dan bentuk, iaitu cerita dan strategi pengolahannya. Cerita yang baik, bagi Panel, ialah yang mempertentangkan nilai positif dengan nilai negatif, dan seterusnya menyebelahi kebaikan sebagai tema utamanya. Struktur naratif (aspek watak, latar, dan sudut pandangan) seharusnya disusun secara kemas, serta disampaikan melalui gaya bahasa kreatif yang bertenaga dan segar. Apabila isi (cerita) yang baik diadun dengan struktur penceritaan yang kemas dan disampaikan dengan gaya bahasa kreatif yang segar, terciptalah sebuah karya (novel) yang berkualiti tinggi.

 Penilaian Umum

Daripada novel-novel dewasa yang dinilai terdapat kecenderungan yang tinggi terhadap tema sejarah. Antaranya mengenai sejarah Kedah, zaman pendudukan Jepun di Borneo, perjuangan menuntut kemerdekaan, dan sejarah sosial dan ekonomi di Kedah. Terdapat juga novel yang mengetengahkan persoalan keagamaan, psikologi, dan petualangan di alam misteri.

Novel-novel remaja pula mengetengahkan tokoh-tokoh sejarah di Perak dan Sarawak di samping mengemukakan subjek alam kehidupan remaja dan kekeluargaan. Terdapat novel yang menonjolkan watak dewasa melalui gaya bahasa yang dipermudah. Pada penilaian kami, novel remaja yang menarik dan sesuai untuk bacaan remaja wajar mengetengahkan watak remaja yang sedang bergelut mencari jati diri, memburu cita-cita kerjaya, dan mencari cinta yang bernilai murni.

 

Keputusan Novel Dewasa

Setelah menilai 14 buah novel dewasa, kami telah memilih lima buah novel untuk dibawa ke penilaian akhir:

1.     Maria Perempuan Estet (2021) karya Zainol Idris

2.     Kalbu Qalha (2017) karya Amelia Hashim

3.     Selarik Hikayat (2021) karya Amer Hmzah L. Kadir

4.     Empangan Tugal (2018) karya Osman Ayob

5.     Gelora 1941 (2021) karya Amelia Hashim

Setelah melakukan penelitian dan penilaian berdasarkan kriteria yang telah ditentukan, kami telah memilih novel Maria Perempuan Estet karya Zainol Idris. Kisahnya adalah tentang perubahan sosioekonomi di Kulim, Kedah, pada tahun-tahun 1949 sehingga 1976. Latarnya di Green Hill Rubber Estet. Pengarang menggambarkan perubahan sosioekonomi di ladang getah tersebut. Peristiwa disusun dalam bentuk kolaj dengan catatan tarikh sebagai penanda untuk memudahkan pembaca menyusun kronologi peristiwa cerita ini. Pemaparan persitiwa yang padat dan rinci, didukung oleh struktur penceritaan yang menarik dan disampaikan melalui gaya bahasa yang kreatif dan segar.

Keputusan Novel Remaja

Setelah membaca dan menilai novel remaja, kami telah memilih lima buah novel untuk dibawa ke peringkat penilaian akhir:

1.     Semanis Kyuho (2016) karya Ghazali Lateh

2.     Aku Lelaki Bernama Rosli (2021) karya Amer Hmzah L. Kadir

3.     Suar Hati (2019) karya Husairi Hussin

4.     Surat Biru (2018) karya Wildan Haya

5.     Mengukir Larut (2010) karya Amer Hamzah L. Kadir

Setelah melakukan penelitian dan penilaian berdasarkan kriteria yang telah ditentukan, kami telah memilih novel Semanis Kyuho karya Ghazali Lateh. Novel ini memperlihatkan perjuangan seorang anak muda yang dipandang rendah kerana miskin dan kemudian menjadi sebatang kara setelah ibu bapanya meninggal dunia. Novel Semanis Kyuho sebuah novel yang mampu memberikan motivasi kepada pembaca generasi muda untuk cekal memburu cita-cita kerjaya hidupnya. Walaupun ada bayangan kisah cinta, hal tersebut bukan tumpuan utama.

 

KATEGORI CERPEN ECERAN

Pada tahun penilaian Anugerah Sastera Darul Iman 2022, Panel Penilai telah menerima lebih daripada 197 buah cerpen untuk dinilai.  Daripada jumlah tersebut, hanya 188 cerpen layak dinilai kerana terdapat cerpen yang telah melebihi syarat tempoh tahun penilaian 2015-2021. Penyertaan yang banyak memperlihatkan kerancakan suasana pengkaryaan cerpen  dalam kalangan penulis ahli ASASI Kedah, penulis kelahiran negeri Kedah, dan juga penulis pemastautin. Penyertaan ini melibatkan kalangan penulis beberapa generasi sebagai suatu kesinambungan tradisi pengkaryaan dan kepengarangan di Kedah. Pengarang, antaranya seperti Azmah Nordin, Osman Ayob, dan Zainol Idris masih meneruskan pengkaryaan yang memikat, disertai penulis generasi terkemudian seperti Haniff Yusoff yang cukup produktif berkarya.

Kriteria Penilaian

Penilaian karya memberikan keutamaan kepada ujaran subjek, strategi naratif, teknik pengolahan subjek, kreativiti binaan struktur, kekuatan sarana bahasa, dan kehalusan nilai yang memberikan kesan menyeluruh secara ekspresif dan estetik. Penilaian mendapati 11 buah cerpen tersaring untuk bacaan rinci:

1.    1. “Babi Hutan”, Zainol Idris, Dewan Sastera Oktober 2015

2.    2“Maharnya Mahal”, Noor Hayati Haya, antologi Maharnya Mahal, DBP, 2019

3.   3.  “Menunggu Azan Pertama”, Ibnu Din Assingkiri, Mingguan Malaysia, April 2021 juga dalam         Kemuncak Pauh Janggi, DBP, 2021

4.   4.  “Dikejar Realiti”, Zulkefle Dolah, antologi Maharnya Mahal, DBP, 2019

5.  5.   “Cerita Tentang Ubat”, Ummu Hani Abu Hassan, antologi Menulis Cerita ini Pekerjaan Gila,        Gapeniaga 2020

6.    6“Lorong Budi”, Alang Budiman

7.    7. “Bukan Kupinta Bulan di Awan”, Sara Salwana, Tunas Cipta, Jun 2016

8.   8.  “Semangat Pulau Bambu”, Hamizun Syah, Menulis Cerita ini Pekerjaan Gila, Gapeniaga,          2020

9.   9.  “Kemuncak Pauh Janggi”, Zainol Idris, Dewan Sastera, Oktober 2016

1010. ‘Hari Jadi ke-100’, Osman Ayub, Menulis Cerita ini Pekerjaan Gila, Gapeniaga 2020

1111. “Pok”, Osman Ayob, Dewan Sastera, Mei 2021

 

 Keputusan

Berdasarkan kriteria penilaian, enam cerpen dicadangkan sebagai penerima hadiah.

 

1.     “Babi Hutan@ Jerangkap”, Zainol Idris, Dewan Sastera, Oktober 2015

2.     “Maharnya Mahal”, Noor Hayati Haya, Maharnya Mahal, DBP, 2019

3.     “Menunggu Azan Pertama”, Ibnu Din Assingkiri, Mingguan Malaysia April 2019 juga dalam Kemuncak Pauh Janggi, DBP, 2021

4.     “Dikejar Realiti”, Zulkefle Dolah, antologi Maharnya Mahal, DBP, 2019

5.   “Cerita Tentang Ubat”, Ummu Hani Abu Hassan, antologi Menulis Cerita ini Pekerjaan Gila, Gapeniaga 2020

6.     “Pok”, Osman Ayob, Dewan Sastera, Mei 2021

 

 Ulasan Penghakiman

 Cerpen “Babi Hutan” ialah karya periode, menggunakan milieu zaman darurat di sebuah kampung di pinggir hutan. Kekuatan cerpen ini adalah pada binaan konflik dalam plot berkembar.  Terdapat dua konflik dalam dua jalur plot dialirkan dalam ruang realiti, iaitu peristiwa serangan kawanan babi hutan sehingga merosakkan hasil tanaman di kebun yang dipajak.  Kemusnahan tanaman itu mengakibatkan kerugian kepada petani.  Selain itu, kekuatan cerpen ini juga adalah pada aspek perwatakan apabila kesan psikologi watak yang berhadapan dengan konflik itu dapat dicerakinkan dengan meyakinkan.

Cerpen “Cerita Tentang Ubat” membawa  subjek penyerapan budaya dalam  latar luar negara. Penyerapan budaya ini adalah dari segi perubahan sikap yang lebih positif dan matang dalam mencerap nilai-nilai baharu melalui pemerhatian, pengamatan, dan pengertian terhadap resam hidup, sikap, pemikiran entiti masyarakat yang ditemuinya.  Cerpen ini juga membawa suatu perbincangan yang baik berkaitan dengan industri perubatan alternatif yang berasaskan alam.  Dua negara yang berbeza budaya berkongsi nilai yang sama, bahawa alam menjadi sumber penting dalam perubatan.

        Cerpen “Menunggu Azan Pertama” membawa isu permasalahan ummah. Keperluan mencukupkan bilangan makmum solat Jumaat ialah suatu bentuk ujaran sarkastik, bahawa komuniti luar bandar semakin kehilangan jemaahnya kerana berlakunya penghijrahan anak-anak muda iuntuk bekerja di bandar.  Isu bilangan jemaah yang tidak mencukupi bagi melaksanakan solat Jumaat dikalihkan dengan isu yang lebih besar, iaitu tentang perpecahan ummah dan perpaduan. Kekuatan cerpen ini adalah pada kesan dramatik atau suspens dan klimaks pada peleraiannya. 

Cerpen “Maharnya Mahal” membawa suatu subjek yang penting berkaitan dengan tuntutan sebenar dalam sesebuah rumah tangga yang bakal diidirikan.  Nilai kebendaan bukanlah ukuran untuk membina kerukunan, sebaliknya nilai kerohanianlah yang menjadi pancang utama. Keistimewaan cerpen ini adalah pada ujaran subjeknya yang baharu dengan strategi naratif yang alami dilengkapi struktur binaannya yang ampuh.

Cerpen “Dikejar Realiti” mengujarkan subjek silaturrahmi dalam institusi keluarga. Cerpen ini memiliki kekuatan dari segi strategi naratifnya yang menggunakan lapis-lapis bawah sedar yang berfungsi untuk menterjemahkan pergolakan dalaman dirinya.  Pengalaman misteri yang dialami, diolah secara berculang-caling,  dimunculkan secara sedar d alam ruang realiti dan kadang-kadang hadir di bawah sedarnya. Di samping itu, cerpen ini membawa nilai positif pada elemen pesanan moralnya. 

Cerpen “Pok” membawa ujaran nilai manusiawi yang merentasi hubungan antara makhluk. Hubungan kemanusiaan itu diperlihatkan melalui sikap penyayang pasangan suami isteri yang mengasihi dan melayani kucing peliharaannya Pok, singkatan nama yang diberikan kerana badannya yang bertompok. Pok memberikan kebahagian kepada pasangan suami isteri yang hidup kesunyian kerana anak-anak mereka bekerja. Hubungan antara Pok dengan tuannya akrab, sehinggalah kematian tuannya, Tok Leh. Selepas itu, kesihatan Pok juga semakin terjejas dan membawa kepada kematiannya. Kekuatan cerpen ini adalah pada bentuknya yang simplistik, binaan strukturnya kemas dan alami, naratifnya lancar.

 KATEGORI KUMPULAN CERPEN

 Panel Hadiah Sastera Kedah bagi Penilaian Kategori Kumpulan Cerpen menerima sebanyak sembilan buah buku kumpulan cerpenSecara umumnya, karya yang dinilai menunjukkan keupayaan dalam penghasilan karya yang baik dari segi idea, pemikiran, bahasa, dan strategi naratif masing-masing. Kumpulan cerpen yang dinilai didapati mencapai tahap kreativiti sebagai hasil karya yang bersifat kontemporari dalam menerapkan pelbagai pendekatan dan aliran. Kumpulan cerpen tersebut memaparkan pelbagai subjek seperti tradisi lisan dalam sastera, isu-isu sosial, pendidikan, politik, budaya setempat, ketuhanan, jati diri bangsa, dan isu semasa pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti isu konflik dunia Palestin.

Kriteria Pemilihan

Penilaian yang dilakukan bertumpu kepada aspek pemikiran atau idealisme, kreativiti, teknik pengolahan, gaya bahasa, keaslian karya, dan pemaparan identiti Malaysia. Selain itu, aspek penting yang dinilai adalah mengenai kebaharuan pada teknik penyampaian sesebuah karya. Aspek gaya bahasa yang menekankan nilai kreativiti dan estetika turut dipertimbangkan. Seterusnya aspek keseimbangan antara subjek, jalan cerita, bahasa dan teknik penyampaian memainkan peranan dalam menentukan keberhasilan sesebuah karya.

Selain itu, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan, sama ada yang bersifat semasa mahupun sejarah masyarakat tempatan atau antarabangsa diberi keutamaan. Karya seharusnya mampu menggerakkan pemikiran dan menyentuh emosi pembaca, dan dalam masa yang sama mementingkan moral dan etika yang tinggi. Dalam konteks bahasa, karya haruslah memperlihatkan bahasa yang indah, kreatif, imaginatif, dan berkesan, malahan kuat menunjang tema. Bahasa bukan sahaja membawa makna cerita, bahkan bahasa itu sendiri merupakan idea, pemikiran dan ideologi. Seterusnya karya harus mempunyai kesatuan organik dalam binaan naratifnya.

 

Ulasan Keseluruhan

Berdasarkan sembilan buah kumpulan cerpen yang dinilai, Panel Penilai telah menyenaraikan lima buah kumpulan cerpen untuk dibawa ke peringkat akhir:

                            I . Murka Lautan (Zurinah Hassan, ITBM, 2016)

2.  Sekali Air Bah (Zainol Idris, ITBM, 2015)

3.  Xuxi (Ghazali Lateh, 2021)

4.  Gila Tak Gila (Osman Ayob, ITBM, 2017)

5.  Zombi Rumi (Haniff Yusoff, Legasi Oakheart, 2015)

 

Setelah dilakukan penyaringan dan penilaian yang rapi, panel memutuskan kumpulan cerpen Murka Lautan sebagai pemenang.

 Ulasan Penghakiman

Kumpulan cerpen Murka Lautan memuatkan 10 buah cerpen yang berkisar tentang isu masyarakat, iaitu kasih sayang dalam kekeluargaan, asuhan kepada generasi muda, kritikan kepada penguasa dan pentadbir negara, unsur sejarah yang wajar dijadikan ibrah, dan renungan tentang nasib bangsa Melayu. Nilai agama diselitkan secara halus untuk memberikan kesedaran kepada pembaca tentang kepentingannya sebagai pasak dalam kehidupan manusia.  Adunan ketajaman pemikiran dan kelembutan seni ditampilkan pengarang dalam setiap cerpen yang akhirnya membawa perutusan yang sangat berguna.

 

                                            KATEGORI KUMPULAN PUISI

 

Panel bagi kategori Kumpulan Puisi menerima sebanyak 20 buah buku kumpulan puisiSecara umumnya, karya yang dinilai menunjukkan keupayaan dalam penghasilan karya yang baik dari segi idea, pemikiran, bahasa, dan strategi penciptaan yang tersendiri. Kumpulan puisi yang dinilai didapati mencapai tahap kreativiti sebagai hasil karya yang bersifat kontemporari dalam menerapkan pelbagai pendekatan dan aliran. Rata-rata kumpulan puisi yang dikemukakan menghidangkan pergolakan diri, permasalahan kehidupan, dan isu semasa yang bukan sahaja berlegar dalam masyarakat tempatan bahkan menjangkau ke arena antarabangsa.

Kriteria Penilaian

Secara umumnya, kumpulan puisi dinilai dari segi aspek yang berikut:

a)       kesatuan organik karya;

b)       keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang;

c)       keseimbangan estetik bahasa dengan persoalan;

d)      keindahan moral; dan

e)      inovasi dan kreativiti.   

 

Keputusan

Panel menyenaraikan lima buah kumpulan puisi untuk dibawa kepada peringkat akhir:

      1.     Merumahkan Kembara (Shafiq Said, ITBM, 2017)

2.     Hujan di Tapak Tangan (Ihsan Noorzali, ITBM, 2016)

3.     Menunggu Pesawat (Zurinah Hassan, DBP, 2021)

4.     Bukan Riak di Lautan (Abd. Rahim Omar, ITBM, 2016)

5.     Pentas Topeng-topeng (Solihin Osman, ITBM, 2018)

 

Setelah diteliti secara terperinci, kumpulan puisi Merumahkan Kembara dipilih sebagai pemenang.

Ulasan Penghakiman

Kumpulan puisi Merumahkan Kembara karya Shafiq Said telah memanfaatkan kreativiti dan seni estetik yang tersendiri berdasarkan gugusan pengalaman kembara penulis. Ekspresinya lunak dan bersahaja dengan gaya kesederhanaan yang dapat membugarkan semangat pembaca. Puisinya dilahirkan secara harmonis dengan penghayatan dan ekspresi seorang penyair yang penuh dengan rasa kemanusiaan dan cita rasa kreativiti yang tinggi. Gagasan ilham yang dibangunkan pengarang daripada mata fikir dan nurani halus mengalir menerusi gaya bahasa bersahaja.

Penulis mengungkapkan sesuatu isu dan persoalan yang memperlihatkan bauran sensitiviti, persepsi, inovasi, dan daya imaginasi yang tersendiri. Puisi digarap daripada kesan dan renungan yang mendalam terhadap sesuatu peristiwa dalam kunjungannya ke beberapa buah negara. Rata-rata puisi yang dikemukakan menawarkan pergulatan dan pergelutan hidup yang menguji kesabaran dan kecekalan manusia, namun akhirnya diberi iktibaran yang sangat bermanfaat. Pengaturan unsur metafora, lambang, personifikasi, dan simile ditampilkan dengan berkesan dalam setiap hasil karyanya. Pemilihan perkataannya yang bersesuaian dengan tema dan persoalan menjadikan puisi-puisi dalam kumpulan ini segar dan bertenaga yang dapat menyuntik inspirasi. 

KATEGORI PUISI ECERAN

 Penilaian ini akan melihat puisi moden sahaja, iaitu puisi tanpa ikatan struktur sebagaimana yang diwajibkan dalam puisi tradisional. Kriteria khusus telah dirumuskan sebagai landasan penilaian. Tugas ini tidak mudah memandangkan karya seni sukar diberi penarafan yang skematik, dan nilai estetika juga sangat subjektif. Walau bagaimanapun, penilaian dan pemilihan akan dibuat seobjektif mungkin, yakni tidak terjerat dalam elemen prasangka, prejudis, dan berat sebelah. Nilai kebagusan puisi secara umum akan terpakai semasa penilaian ini dibuat.

Kriteria Penilaian

Bagi kategori puisi, nilainya dilihat pada aspek bahasa, iaitu yang bersangkutan dengan penggunaan imageri, keserasian kata, simbolisme, dan rima serta ritma yang sesuai dengan isinya. Aspek bahasa sangat dititikberatkan kerana dalam puisi, walaupun satu perkataan didapati janggal, maka seluruh puisi itu dianggap gagal. Unsur kesegaran pengucapan juga mendapat nilai yang tinggi kerana dalam puisi konvensionaliti tidak dapat memberikan kesan lagi kepada khalayak.

Penulis sering memberikan tafsiran tentang kehidupan, alam, kejadian, perlakuan manusia, dan termasuk mendedahkan dirinya sebagai suatu subjek untuk dipersepsikan oleh khalayak. Dalam konteks ini, elemen yang dicari ialah kelainan, kesegaran, dan kedalaman intuitif. Puisi yang hanya memberikan perspektif biasa dan sudah klise serta dapat dijangka tidak dianggap berjaya.

Aspek kriteria ini sukar untuk diperoleh, namun inilah yang seboleh-bolehnya digunakan untuk dasar penilaian. Pada akhirnya, yang dicari dalam puisi ialah keasyikan, kenikmatan estetik, dan kefahaman baharu.

 

Penilaian keseluruhan

Puisi merupakan genre yang popular dalam kalangan penulis dengan penerimaan jumlah penyertaan yang banyak, sesuai dengan minat perpuisian dalam kalangan penulis yang mercup setiap masa. Walau bagaimanapun, ini tidak menggambarkan landskap penulis Kedah seluruhnya kerana tidak semua karya penulis diterima oleh Panel. Berdasarkan pemerhatian, ramai lagi penulis tidak menghantar karya mereka untuk melengkapkan landskap keseluruhan sastera Kedah dalam tahun penilaian.

          Panel menerima puisi eceran yang tersiar dalam media massa dan antologi. Kini banyak projek penerbitan antologi dilakukan sehingga membolehkan penulis baharu pun berkarya. Satu hal yang ketara ialah beberapa penulis begitu aktif berkarya, namun kuantiti tidak menjamin kualiti. Penyertaan mereka dalam antologi bersama lazimnya dimungkinkan oleh keterbukaan projek penerbitan tersebut menerima orang baharu.

          Setelah menyaring ratusan karya, Panel memperakukan 10 buah sajak untuk disenaraiakhirkan. Karya tersebut adalah seperti yang berikut:

1. “Ceritera Pulau: Mereka Yang Datang” (Ria Asmira, Antologi Ceritera Dari Pulau, selenggaraan Puzi Hadi dan Zaidan Abadin, Penerbit ASASI Kedah, 2019)

2.  “Senja di Pantai Cenang” (Rosnani Ahmad, Antologi Waja Jiwa Meniti Harapan, Penerbit ASASI, 2020)

3.     “Ketika Engkau dan Aku Mengetuk Pintunya” (Abdul Rahim Omar, Berita Harian, 7 Mac 2021)

4.      “Serigala malam Membaham Pilu” (Saiful Ghazali, Tunas Cipta, Bil. 02/2022)

5.      “Dia Adalah Perahu” (Solihin Osman, Dewan Sastera, Oktober 2021)

6.      “Lelaki Itu Akukah?” (Hamizon Shah, Mingguan Malaysia, 11 Mac 2018)

7.     “Sketsa Kucing dan Malam” (Solihin Osman, Dewan Sastera, Januari 2017)

8.     “Harga Sekudus Roh” (Rosnani Ahmad, Utusan Malaysia, 14 Januari 2017)

9.     “Riwayat Serumpun Padi” (Haniff Yusoff Tunas Cipta, Mac 2019)

10. “Perasaan Dalam Sampan” (Haniff Yusoff Dewan Sastera Bil.12 /2017)

 

Setelah melalui proses perbincangan antara Panel, enam puisi yang berikut terpilih sebagai pemenang:

1.   “Ceritera Pulau: Mereka Yang Datang” (Ria Asmira, Antologi Ceritera Dari Pulau, selenggaraan Puzi Hadi dan Zaidan Abadin, Penerbit ASASI Kedah, 2019)

2.  “Senja di Pantai Cenang” (Rosnani Ahmad, Antologi Waja Jiwa Meniti Harapan, Penerbit ASASI, 2020)

3.   “Ketika Engkau dan Aku Mengetuk Pintunya” (Abdul Rahim Omar, Berita Harian, 7 Mac 2021)

4.     “Serigala malam Membaham Pilu” (Saiful Ghazali, Tunas Cipta, Bil. 02/2022)

5.     “Dia Adalah Perahu” (Solihin Osman, Dewan Sastera, Oktober 2021)

6.     “Lelaki Itu Akukah?” (Hamizon Shah, Mingguan Malaysia, 11 Mac 2018)

 

Ulasan Penghakiman

Puisi “Ceritera Pulau: Mereka Yang Datang” terhidang dalam bentuk puisi prosa, yakni tidak membina lariknya secara terpenggal-penggal sebaliknya wujud sebagai sebuah wacana yang bersambung-sambung ayatnya. Imej “pulau” yang menjadi teras pengisahan dengan segala elemen yang berdamping dengannya diperlihatkan sebagai sebuah landskap alam daripada satu perspektif dan memaknakan sesuatu yang lebih besar pada lapisan yang lain. Inilah permainan puisinya: perkara yang dinyatakan membawa makna lain. Dua makna dapat ditafsirkan mengikut perspektif dan kuasa pembaca. Pengarang melepaskan renungan zahir dan batinnya sekali gus untuk dinikmati dan ditafsirkan oleh khalayak.

Puisi “Senja di Pantai Cenang” membawa corak puisi deskriptif, yakni kesan pemerhatian penyair terhadap Pantai Cenang di Pulau Langkawi. Kesan impresionistik penyair terhadap tempat itu ditumpahkan dalam larik-larik yang bersifat visual, bergabung dengan kesan lihatan batinnya. Ini mengasilkan suatu panorama yang bukan sahaja bersifat gambar, malahan bersifat emotif.

Jangkauan penyair menyentuh pasir yang haus, camar yang diam,malahn mimpi yang abstrak dan eksklusif. Selain itu, dihimbaunya juga “pengembara laut” yang barangkali nelayan atau pelaut. Himbauannya menyentuh derita “pengembara” itu secara intuitif, dan kesannya memberikan “rasa”, iaitu sesuatu yang sukar dilihat oleh penikmat biasa. Penyair yang sensitif bukan sahaja melihat sesuatu dengan mata kasar bahkan dengan mata hati. Lantaran itu, puisi ini mengheret pembaca ke dalam pemerhatian dan perasaannya sekali gus, lalu menjadikannya suatu pengalaman estetik yang dikongsi bersama.

Puisi “Ketika Engkau dan Aku Mengetuk Pintu-Nya” menjurus kepada pengabdian dan pengakuan pasrah kepada Tuhan. Puisi ketuhanan ini sangat islamik dan disampaikan secara simbolisme. Simbolisme yang terpakai adalah lazim dalam puisi ketuhanan apabila imej “cahaya” digandingkan dengan nilai kebenaran. Katanya, “Barangkali engkau tidak melihat cahaya/melainkan mengenali gelap/ketika seribu bulan berkubu/benderangnya mengejutkan lena”. Paparan kerohanian itu dipadatkan lagi dengan sambungannya yang menyentuh perlakuan ibadah khusus, “iktibar sebaris tumit/yang mengikat kiam munajat”. Bukan sahaja persoalannya adalah murni dan kudus malahan pemakaian bahasanya juga sejajar dengan nilai kekudusan itu.

Kepadatan pengucapan juga membentuk puisi ini sebagai sebuah karya seni yang luas maknanya dalam singkat pengucapannya. Ini sejajar dengan sifat puisi yang menuntut kepada kepadatan pengucapan. Permainan bahasa berperanan dalam memastikan kepadatan itu ditampilkan, dan caranya adalah dengan pemakaian imej dan diksi, dan yang sinkronis dengan subjek. Nuansa yang dibawa dalam imej “malam”, “bulan”, “pintu”, serta diksi perlakuan “munajat”, “kiam”, “makhraj”, dan “makrifat” telah dengan sendirinya membungkus makna kerohanian. Inilah yang menjadikan puisi ini bernilai seni dan membawa manfaat dari segi kerohanian.

Puisi “Serigala Malam Membaham Pilu” terbina dalam struktur yang ringkas tetapi padat isinya. Teknik dialogik yang digunakan memberikan kesan pertanyaan pada pembaca sendiri: “Adakah gelap ini terlalu sunyi?” Sambungannya terus menimbulkan tanda tanya dalam ungkapan metafora yang segar dan sugestif: “Sehingga telinga malam/mendengar suara dari hati.” Kemudian pada rangkap kedua diteruskan lagi frasa metafora yang baharu: “suara gelita”, “serigala malam”, “perasaan luka”. Semua frasa ini memperlihatkan unsur kebaharuan pengucapan, sesuatu yang sangat dituntut dalam karya seni. Kebaharuan itu dapat menimbulkan kesan yang ekspresif dan menghidupkan puisi.

Keseluruhan puisi ini membentuk sebuah alegori akhirnya, yakni memaparkan satu adegan dengan maksud yang tersirat dengan pelbagai tafsiran. Dalam gelita malam itu berlaku penyucian rohani melalui imej-imej yang sinkronik dengan pemikirannya seperti “serigala malam”, “luka di bibir”, dan “pilu yang mencair”. Ungkapan figuratifnya mencapai tahap puitis, dan kesannya ialah kepuasan merenangi lautan makna yang luas hanya di dalam sebuah cangkir. Inilah ciri sebuah puisi yang kuat dan wajar diberi penghargaan.

Dalam puisi “Dia Adalah Perahu” memaparkan sentuhan intuitif yang tajam, melihat sesuatu tidak dengan mata zahir tetapi dapat menzahirkan suatu tanggapan yang eksklusif. Ini suatu keberanian pengucapan yang melahirkan kelainan yang penuh tanda tanya. Lupakan soal makna yang kabur kerana tidak semua puisi perlu ditanggapi maknanya selari dengan niat asal pengarang. Puisi hidup dengan bayang-bayang yang membuka tafsiran pelbagai melalui imej pilihannya. Dalam puisi ini, imej perahu tiba-tiba memberikan bayangan makna yang bebas dan liar, tetapi hidup apabila digambarkan secara deksriptif.

Dikatakannya bahawa perahu wujud “tetapi di sini tiada air”, maka perahu tanpa air hanya menjadi “daun”. Gaya pengicapan sebegitu sangat padat dan membiarkan pembaca mengaktifkan imaginasi serta intuisi untuk membina makna masing-masing. Nescaya kebebasan membuat tafsiran itu akan direbut oleh setiap pembaca, dan mereka akan menemukan makna yang berbeza. Oleh itu, puisi tersebut terus hidup tanpa terikat dalam satu ketetapan makna. Pembaca terus bermain teka-teki dengan pernyataan di luar logik seperti “Aku perlu mengutip embun/mungkin boleh menjadi kolam/di puncak gersang ini/anginlah yang paling dahaga.” Pernyataan itu menimbulkan pesona estetik yang bebas tafsiran tetapi menyegarkan taakulan.

Puisi “Lelaki Itu Akukah?” merupakan pernyataan introspeksi diri, menyanggah sikap dan sifat bebal diri sendiri sebagai suatu kesedaran untuk membaiki diri. Persoalan dan matlamatnya membawa nilai suci apabila penyalahan diri diungkapkan. Lelaki yang “kusut-masai lesu wajah berkedut” itu mengadukan perihal keburukan masa lalunya tetapi masih juga mahu mengulangi keburukan itu. Dialogik dalam diri merupakan konflik batiniah yang sering menimbulkan kesedaran untuk membersihkan rohani. Inilah nilai positif yang memberikan merit kepada puisi dari satu segi.

Dari segi lain, puisi ini mengaplikasikan kaedah pengucapan yang puitis apabila paparan kisahnya menyiratkan makna yang lebih luas. Ungkapan “sedikit nikmat bersyukur jauh lebih mulia/daripada sekadar bersabar?” berupa pernyataan konsep takdir. Usaha manusia tetap diperlukan walaupun hasilnya tetap dalam ketentuan Tuhan. Pemahaman tentang konsep ini adalah kompleks dan memerlukan huraian yang panjang, tetapi dalam puisi ini telah diberikan penjelasan secara ringkas dan padat. Keupayaan puisi telah membungkus suatu konsep yang besar dalam satu lipatan kata-kata yang terbatas.

 

Kesimpulan

Karya yang memenangi hadiah memperlihatkan pencapaian penulis Kedah yang menjanjikan kelestarian sastera di negeri Jelapang Padi ini. Terdapat karya memenuhi keperluan bagi genre. Karya yang terpilih ini hanya sebahagian daripada sekian banyak karya bermutu lain, kerana barangkali masih banyak penulis tidak menyertai pemilihan ini. Bagaimanapun, karya terpilih ini pun sudah cukup membuktikan bahawa penulis Kedah berada dalam jajaran sastera kebangsaan yang bermutu.

 

LAPORAN DISEDIAKAN OLEH

 

DR MOHAMAD SALEEH RAHAMAD (KETUA PANEL)

HAJI HAMZAH HAMDANI

DR MOHD HANAFI IBRAHIM

       PROF. MADYA DR KAMARIAH KAMARUDDIN

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...