Sunday, February 19, 2012

cerpen 3


                                       DENDAM APAI
                   
                                        oleh Zainol Idris




             Sebuah hari baru sedang bermula. Dia membuka matanya bersama matahari yang sedang  terbangun di ufuk timur.  Kelompok-kelompok awan kelabu yang berat  bergayutan di sana sini menjadikan  sinarnya tidak segarang  biasa; hening dan malap. Sisa-sisa malam di penghujungan masih menyelubungi lembah itu.  Dan bukit-bukit batu kapur  yang melatarinya  bagai terpegun dalam  silhouette berbalam-balam. Seimbas  nampak bagai busut-busut gergasi penunggu lembah hijau itu.
           Masuk hari ke sembilan beringin tua itu jadi tempat dia bermalam. Walaupun hatinya kurang senang  bernaung di bawah rimbun  pohonan parasit itu, segalanya terpaksa diabaikan. Semuanya tidak dipedulikannya lagi; Yang utama dia wajib berada dekat dengan Indainya.
           Apai bertenggek sambil menyandarkan dirinya ke dahan jelutong  separuh mati. Dahan-dahannya yang terkeleweh mulai mereput. Terbuai-buai dan amat mudah luruh ke tanah bila dicantas angin. Apai tahu,  jelutong itu sudah pasti dulunya perumah yang ditumpangi  beringin. Tahun ke tahun sang parasit  itu membesar dan semakin berkuasa. Akhirnya akar- akarnya yang liar  membelit-belit itu mencengkam lalu mencekik perumah yang  pemurah itu hingga menemui ajalnya. ‘Kezaliman maha dahsyat.’ gerutu Apai dalam diam.
          Beberapa ekor merbah kapur mulai mulai tiba . Sekawan gagak yang entah dari mana juga bersorak-sorak dari julai pokok jejawi yang berjiran dengan beringin .
         ‘Beringin dengan jejawi apa bezanya, masing-masing pembelit dan penghisap darah terkutuk…’ getus hati Apai. ‘eloklah mereka berjiran, satu seh!’, bisiknya lagi . Apai yakin,  suatu hari nanti kedua-duanya akan bergasak sama sendiri.
          Pohon jejawi yang merimbun seakan sekawan gajah itu berbuah lebat sekali. Merah kebiru-biruan bagai mata anak tiong. Montel-montel dan ranum pula. Namun semuanya tidak menarik naluri Apai. Fikirannya kusut.  Dadanya sesak  dan lemas. Sesesak dan selemas jelutong yang sedang nazak dalam dakapan maut si tua beringin terkutuk .
          Sudah dua hari Apai  tidak menjamah apa-apa.Walaupun untuk mendapatkan sedikit rezeki bukannya terlalu sukar. Dia  boleh saja melompat ke pohon jejawi sebelah. Memetik sebiji dua buahnya , itu sudah cukup untuk mengalas perutnya.  Tapi Apai tak selera. Mulutnya pahit.  Dunianya seakan kosong. Alam fana sekeliling seperti tiada wujud. Saujana dan bolong.  Yang Apai nampak cuma satu; Indai
          ‘Indai, bersabarlah sayang …..!’ desis Apai sendirian sambil menarik nafas dalam. Udara yang masuk terasa berat dan tersekat-sekat.
         Apai bangkit meniti ke hujung dahan, lalu bertinggung di atas simpulan akar beringin yang membelit dahan jelutong sebesar kaki gajah.  Dari situ dia dengan mudah menjenguk ke bawah, ke arah rumah Pemburu di mana Indai berada. Samar-samar dia seakan dapat menangkap kelibat Indai dalam sangkar besi. Indailah itu; yang tak henti mengitari dari dinding ke dinding  penuh keresahan. Kadang-kadang Indai  menjerit-jerit sambil menggoncang bilah –bilah jerjak besi sebesar lengannya . Kadangkala Indai tersedu mengongoi meratapi nasib yang menimpa dirinya penuh kehibaan. Semuanya membuatkan Apai  turut tidak jerab tidur. Apai turut menangis sendirian. Lopakan mata Apai cepat tergenang. Air matanya menitis tanpa dapat diempang.
             Tetapi sesekali bila amarah kejantanan menyirap naik, Apai dapat rasa urat darah, otot, sendi dan tulang belulangnya seakan dijalari sesuatu. Bulu-bulu badannya  ceracak meremang macam  landak terjerumuh ular sawa. Ketika itu dia bingkas melompat berdiri. Seakan tak upaya lagi menangkis gelombang api yang bergulung-gulung datang menghanguskan sukmanya. Telinga Apai rasa  pijar, lebih pijar dari tergigit cabai burung sesat di tengah huma. Kesabaran menjadi tipis melayang-layang. Semua membuatkan Apai bagai lupa diri. Di luar sedarnya  Apai menyeringai, meraung ke langit sambil melompat dan menerjah dahan-dahan melangkau  pucuk –pucuk pokok. Sepantas itu pula tangannya menyambar julai-julai ranting. Menghayunkan dirinya dari pohon ke pohon. Tahu-tahu dia sudah berada di atas bumbung rumah gubuk Pemburu keparat itu.
            Dan seperti biasa dia bergegas meluru ke bawah pokok manggis berhampiran reban ayam bertemu Indai yang dipenjarakan . Rasa gentar, bimbang dan takut hilang ruyup entah ke mana.
            Apai tahu kehadirannya  memang disedari oleh Pemburu. Apai sendiri ternampak Pemburu dan isterinya bercakap sesuatu sambil menunjuk ke arah sangkar besi di mana Apai mengunjungi Indai. Anehnya dia tidak dipengapakan. Jauh sekali dia diusir dengan rejaman batu atau dihambat dengan peluru penabur. Namun sikap Pemburu yang luar biasa itu dapat dibaca oleh Apai. Apai bukannya bodoh. Apai dapat mencium rahsia disebaliknya. Segala-galanya adalah kepura-puraan cuma.  Apai mesti  lebih berhati-hati dan waspada.
            Indai akan dijadikan denak untuk memerangkap dirinya. Itulah yang didengari sendiri dari mulut Pemburu ketika berbual dengan isterinya suatu hari. Apai sedar sasaran asal Pemburu adalah dirinya, bukan Indai.  Rahang jebak maut Pemburu yang sentiasa ternganga itu mensasarkan kaum puaknya yang jantan, bukan  betina  macam Indai . Kaum puak Apai yang jantan lebih berharga untuk didagangkan. Sudah tidak menjadi rahsia lagi, berapa banyak kaum puak Apai dari kalangan  jantan yang diperangkap, dirantai leher lalu dijadikan abdi sepanjang hayat untuk memanjat kelapa, petai dan macam-macam.
            Setahu Apai, menjadi kelaziman pemburu-pemburu jika kaum puaknya yang betina  terkena perangkap akan dilepaskan saja. Seolah-olah kaum puak Apai dari kalangan betina tak ada nilai langsung. Anehnya kelaziman-kelaziman itu tidak berlaku pula terhadap Indainya. Dia tidak dilepas-bebaskan. Dia masih dikurung dalam sangkar besi. Apai tidak pernah terfikir perkara itu. Dulu dia yakin Indai akhirnya  akan dilepaskan juga. Malah keyakinan itulah menyebabkan dia putus-putus memujuk Indai agar bersabar.
           Harapan  untuk melihat  Indainya dibebaskan semakin pudar dan menipis dari hari ke sehari. Nampaknya  Sang Pemburu itu benar-benar  mahu terus mengurung Indai dalam sangkar besi itu. Indainya mahu dijadikan umpanan untuk memikat bukan saja dirinya tapi juga jantan-jantan yang lain. Rahsia ini tidak pernah diberitahu kepada Indai.
           Apai sedar sifat-sifat dan penampilan Indai cukup sempurna. Suaranya. Paras rupanya. Lenggang lengguknya.  Apa lagi dengan renungan mata bundarnya, bening dan redup. Wajahnya putih bersih.  Tubuhnya disaluti bulu kuning keperangan  lembut bagai sutera dewangga. Dada Indai yang bidang dihiasi dengan bulu-bulu putih kekuningan. Mulus bagai baldu. Suara Indai yang lembut merdu adalah serunai hikmat yang pasti  dapat  mengundang  puluhan jantan jalang menyeberangi bukit bukau ke situ.
           Menelah segala kemungkinan api cemburu di dadanya tiba-tiba seperti dihembus-hembus . Tidak. Dia tak akan sekali-kali membenarkan Indainya menjadi barang umpanan. Indai adalah miliknya. Apai tahu Indai juga tidak merelakannya. Dia kenal Indai bukan sehari dua.  Indai bukan seekor betina murahan. Indai cukup menjaga maruahnya.  
            Masih jelas dalam ingatannya bagaimana sukarnya untuk menawan hati Indai dulu. Tidak seperti kaum puaknya yang dilahirkan berpasangan;  sebagai seekor jantan tunggal, dia terpaksa mencari pasangan dari kalangan betina yang dilahirkan tunggal juga. Dia rasa amat bertuah diketemukan dengan Indai. Tapi untuk memiliki cinta kasih Indai tidak semudahnya. Indai bukan betina sebarangan yang mudah ditemui di denai-denai belukar. Indai adalah perawan rimba yang menjadi idaman ramai jejaka rimba. Untuk menakluki hati Indai mereka terpaksa bertarung dalam suatu sayembara maha dahsyat. Berkelahi dan menumpahkan darah. Yang tewas terpaksa mencawat ekor lalu berundur. Membawa diri bersama kekecewaan  menyeberangi tujuh bukit; begitulah perjanjian yang dimetrai sebelum pertarungan. Akhirnya selepas berjaya melepasi ujian demi ujian Apai berbangga kerana muncul menjuarai sayembara itu.
            Demi Indai, Apai sanggup buat apa saja. Apai sanggup petaruhkan jiwanya. Tiada ertinya hidup tanpa  Indai. Kadang-kadang terbetik juga dalam kepalanya untuk bertindak lebih nekad.  Kerana  pada perkiraan Apai, Pemburu itu tidaklah segagah mana; walaupun susuk tubuhnya  dua atau tiga kali ganda tubuh Apai. Apai yakin dia mampu menewaskan Pemburu. Kehebatan Pemburu hanya bergantung kepada senapang berlaras duanya. Kalau tidak masakan senapangnya digalas ke mana- mana. Jarang sekali tidak berpisah dengan senjata maut itu.
           Walau apa pun yang menjadi azimat keperkasaan  Pemburu, Apai rasa itu bukan halangan. Sumber kekuatan maha hebat ialah Allah Taala, bukan siapa-siapa. Apai mampu membunuh Pemburu itu kalau dia mahu. Dia boleh saja menyergap dari mana-mana  arah. Mencelapak ke atas bahu terus mencakar  mukanya. Mengopek biji matanya dengan kukunya yang lebih tajam dari buluh sembilu. Gigi siongnya mampu mengoyak-rabakkan telinganya. Gigi itu juga boleh dengan pantas memutuskan urat mareh di leher Pemburu.
          Untuk melunaskan dendamnya Apai juga boleh bertindak menyerang isteri Pemburu. Si isteri yang berjalan tergedek-gedek dengan perutnya yang memboyot itu boleh ditumbangkan Apai bila-bila masa. Kalau pemburu sampai hati bertindak ganas memenjarakan Indainya kenapa dia tidak boleh berbuat demikian terhadap isteri Pemburu.
         Lebih jauh lagi, untuk memuaskan amarah kesumatnya, Apai boleh membakar hangus rumah gubuk tempat tinggal Pemburu laki bini. Dia boleh dapatkan puntung-puntung api dari huma yang sedang diperun di balik bukit. Puntung-puntung bara itu akan dibawa Apai ke rumah Pemburu lalu dilontar ke atas bumbung . Apai yakin  sekelip mata saja rumah gubuk itu akan tinggal tunggul-tunggul arang dan butiran abu .
         Tapi mampukah semua  yang terencana dalam kepalanya itu akan membebaskan Indai dari penjara sangkar  maut itu. Bolehkah Indai kembali ke pangkuannya  dengan selamat. Apai rasa dia terpaksa berfikir banyak kali sebelum nekad bertindak.
         Namun walau apa pun yang terjadi Indai wajib dibebaskan.
          “ Indai…ini aku..” bisik Apai  sambil menghulurkan tangannya di celah-celah kawat mata punai yang melengkungi sangkar maut itu.  Dia menyentuh bahu Indai dan mengusapnya lembut. Indai membuka kelopak matanya perlahan . Kelopak matanya melekit oleh terlalu banyak  genangan  air mata .
          “Kaukah itu ,Apai ” Indai bersuara lemah. Dengar suara Apai dia mulai sebak lagi.
          “Aku bawakan kau, buah jejawi ranum, rasalah”,kata Apai sambil cuba menghulurkan jambak buah jejawi melalui jerjak besi.
          “Mulutku rasa pahit. Aku tak ingin langsung hendak makan”, jawap Indai sambil matanya jatuh ke sudut sangkar. Ada sesikat pisang kelat yang dimasukkan Pemburu kelmarin. Tapi tidak disentuh pun oleh Indai.
             “Kau perlu makan sikit.”
             “Aku tak boleh telan.”
             “Nanti kau sakit.”   
             “ Biarlah.”
             “ Tak boleh macam ‘tu.  Dalam perut kau itu ada anak kita. Kau perlu jaga kesihatan dia juga,” tambah Apai, sambil mengelus-elus bulu-bulu lengan Indai yang halus lembut bak kapas dipusar. 
              Mendengar itu Indai cepat- cepat kembali kepada dirinya. Bagai orang pengsan  disimbah air.  Indai cepat-cepat sedar yang dia sedang bunting. Dalam perutnya ada janin sedang membesar. Pada perkiraan Indai telah masuk bulan kedua. Lagi empat bulan setengah anak itu akan menjengah dunia, kerana kebiasaan bagi kaum puak mereka, Macaca Namestrina, tempoh bunting Cuma 170 hari.  Bagaimana kalau tiba masanya nanti dia masih di situ. Dan melahirkan anak di situ juga. Mata Indai kembali berkaca lagi.
              Indai masih ingat pada pagi yang redup nyaman , ketika dia membisikan kepada Apai bahawa dia telah bunting, Apai bukan main gembira sekali. Dia melonjak-lonjak lalu menghayunkan dirinya bergayutan dari dahan ke dahan, seolah-olah ahli jimnastik paling handal. Dari kecubung pohon pulai paling tinggi , Apai melaung kegirangan. Suaranya yang garau itu melantun-lantun ke segenap lembah bukit-bukau batu kapur di situ.
             “Hari ini kau tak usah keluar, biar aku saja yang keluar cari makanan. Kau berehatlah,” kata Apai ketika mereka masih lagi menunggu kemunculan matahari di atas dahan keruing tidak jauh dari mulut gua batu kapur kediaman mereka.  Pagi itu sejuk sugguh. Semalaman hujan menyirami tanah- tanih. Wap putih yang nipis bagaikan terapung-apung bergerak keluar dari mulut gua. Sekumpulan kelelawar pulang kesiangan melayah pantas ke  rahang gua, seolah-olah terlalu takut  akan sinar matahari.
             “Kau nak makan apa, biar aku cari?” pertanyaan Apai segera mematikan gerak fikir Indai yang  merayap di selubung kegirangan.
             “Mungkin menyusahkan kau.”
             “Aku akan dapatkan”
             “Boleh jadi tidak ada di sekitar sini.”
             “Aku akan cari sampai dapat, cakaplah”
             “Jagung muda”
             “Jagung?”
             “Jagung pulut muda, wangi dan manis sungguh… Tapi aku tak mahu menyusahkan kau.”
             “Tak apa …kerana mengidam, bunting sulung pula…tujuh bukit pun aku sanggup jelajah” Usik Apai sambil menjolok pinggang Indai.
              Indai terkekeh-kekeh kegelian.   
              Dan seingat Indai, itulah detik keceriaan dan tawa riangnya yang paling akhir. Kerana sejak pagi itu tiada lagi tawa riang menghiasi hidupnya bersama Apai. Segala-galanya kepahitan dengan rendaman air mata, baik dia, baik Apai.
             Sepeninggalan Apai pergi mendapatkan jagung muda idamannya, Indai tak kemana-mana. Masa dihabiskan dengan tidur dan bermalas-malas. Sesakali terhimbau detik-detik manisnya bersama Apai, dia senyum-senyum sendirian. Indai tahu Apainya adalah seekor jantan yang bertanggung-jawab. Pengasih dan cukup melindungi. Semua kehendak dan permintaannya tak pernah dihampakan Apai. Bersama Apai dia berasa selamat.
            Hidung Indai tiba-tiba bergerak-gerak tercium bau yang cukup menyenangkan. Mustahil itu bau jagung muda yang dibawa pulang oleh Apai. Apai baru saja melangkah pergi. Bukan senang untuk mendapatkan jagung muda itu, Apai terpaksa menjengah dari huma-ke huma. Apai terpaksa berhati-hati kerana terpaksa mempertaruhkan nyawanya. Silap-silap kepala Apai boleh berkecai ditembusi peluru penabur peladang yang naik radang.
            Indai menapak turun dari lohong gua. Menyusuri ranting keruing yang daunannya bagai tabir hijau melindungi bahagian lohong gua sebesar anak gajah, kediaman mereka itu daripada terik matahari. Sambil bercerangguh di capang keruing, Indai menyisir bulu-bulu di kepalanya dengan jari-jari yang dibasahinya dengan butiran embun di hujung daun-daun keruing. Bau manis  yang terapung dan menyilir di udara pagi menyusupi jauh ke saraf derianya. Sesekali macam bau jambak kembang mempelas. Sesekali pula macam kuntuman capa bukit. Bau itu betul-betul menguja. Sedar-sedar Indai sudah terjun ke tanah. Terus terhendap-hendap sambil menghidu menyonsong angin.
            ‘Pisang mas…!’ jerit Indai tanpa dapat dikawal perasaan kegirangannya.
            Sambil melompat dan menari-nari pandangnya tak lepas pada sesikat pisang mas yang tergantung separuh tersorok dicelah daun tunjuk langit. Liurnya tergecur tak dapat ditahan-tahan. Tambahan pula perutnya telah sepagian berkeroncongan. Naluri keinginan mendesak-desak mengatasi apa-apa saja pertimbangan dan kemunkinan. Bergegas saja Indai meluru ke depan melonjak lalu menyambar pisang masak merkah  yang terbuai-buai. Belum sempat dia mengilek pisang  ranum yang menggecurkan  siapa saja itu, perangkap jebak yang dipasang pemburu membidik lalu menyerkap. Badannya seakan terpelanting lalu tertampan dengan dinding kawat mata punai perangkap.  
            Indai lama terduduk. Pandangan Indai gelap dan berbinau. Tak tahu apa yang perlu dilakukan. Selain dari mengelupur dan menggelepar. Meraung. Meratap. Menjerit. Memanggil-manggil Apainya. 
           “Bersabarlah sayang, aku akan usaha untuk bebaskan kau, masanya akan tiba juga,” sekali lagi Apai menghulurkan tangannya ke dalam sangkar besi. Jari-jari Indai digenggamnya erat.
           Mata Apai tiba-tiba tertangkap kelibat pacuan empat roda, Hilux milik Pemburu, terangguk-angguk masuk ke halaman.
           “Sayang, bialah aku beredar dulu. Nampaknya macam Pemburu,” kata Apai.
Indai melepaskan Apai dengan pandangan sayu.
           Apai bergerak susup sasap meninggalkan Indai. Senyap-senyap Apai sudah tercerangguh di atas perabung rumah Pemburu itu. Sambil menyorot ke halaman dia nampak pemburu keluar dari pintu bahagian pemandu kereta . Tengok muka Pemburu dendam dan kebencian Apai  mengebu-ngebu. Pemburu bergerak ke pintu kereta sebelah kiri lalu membukanya. Isteri Pemburu perlahan-lahan menjulurkan kakinya ke tanah. Melangkah turun sambil mencempung sesuatu. Apai mengamati dan cuba menajamkan pandangannya.  Perempuan itu mengatur langkah lambat-lambat dan cukup berhati-hati. Mukanya sedikit pucat macam kurang sihat. Dia mendakap sesuatu berbalut tuala putih  ke dadanya.
          “Oh, perempuan ‘tu dah bersalin.” Desis Apai sendirian .Untuk mendapat pandangan yang jelas dia menapak selangkah dua menuruni perabung, berlindung di balik daun manggis yang merimbun di atas bumbung rumah gubuk itu.
          Sang pemburu memimpin tangan isterinya. Sambil menuju ke dalam rumah, mereka silih berganti menciumi bayi yang masih merah itu. Kaki si kecil kelihatan terkodek-kodek. Hati Apai makin pedih dicurahi cuka dendam  sekian lama terpendam.
         ‘Manusia keparat. Opportunist terkutuk. Hanya tahu memikirkan kepentingkan diri sendiri,’ seranah Apai dalam hati.
          “Sampai bila, kau mahu biarkan Indaimu dalam sangkar maut itu?”
         Apai tiba-tiba saja teringatkan kata-kata kaum puaknya dari suku monyet suatu hari.
        “Apa kau ingat, manusia itu akan lepaskan  binimu senang-senang!’ tambah monyet tua yang berbadan langsing itu.
        “Entahlah, otak aku dah buntu”
         “Jangan pakai entah-entah saja. Mahu otak binimu jadi makanan manusia pelahap tu?”
         “Makan otak?!”
         “Tak tahukah. Sudah banyak suku puak kami Macaca fascicularis digergaji tempurung kepala, lalu otak mereka dicungkil dengan sudu dan garpu, diratah hidup-hidup di restoran makanan eksotika.”
         “ Mustahil.” ujar Apai ragu-ragu.
        “ Tak percaya? Kadang-kadang manusia jauh lebih ganas dari haiwan tahu! Ini buka cerita rekaan; Ada suku puak kami yang berjaya terlepas, setelah meronta-ronta ketika kepalanya di apit dan tempurung kepalanya mahu digergaji.”
         “Bukankah, ada saintis mereka, dalam buku The Origin of  Species , kata manusia asalnya dari titis keturunan kaum puak kita juga. Masakan mereka tergamak melahap otak leluhur mereka sendiri?”
         “Hmm, tak tahulah sampai mana kebenarannya buku itu. Tapi dalam kitab suci ada cerita sebaliknya; ada kaum manusia yang kena sumpah jadi kera kerana engkarkan arahan larangan menangkap ikan pada hari sabtu.Tapi percayalah; manusia kadang-kadang boleh bertindak lebih ganas, lebih zalim dan lebih kejam dari  carnivores.
         Lamunan Apai tiba terbunuh oleh suara tangisan bayi dari dalam rumah Pemburu. Apai  turun lebih rendah. Melalui tingkap yang terbuka dia  mengintai melihat apa yang berlaku di dalam rumah. Kaki bayi kecil itu terkuit-kuit apabila badannya cuba dibedung oleh ibunya.
         Mengingati kata-kata monyet tua itu Apai termenung panjang. Diam-diam hati kecilnya makin dihurungi bimbang. Dia mesti cari jalan untuk membebaskan Indai. Indai wajib dibebaskan segera. Dia mesti bertindak pantas sebelum terlambat. Kalau tidak dia akan menyesal tak sudah.
         Walau apa pun yang akan terjadi dia mesti bertindak. Dia nekad.
         Sekarang Apai sudah nampak jalannya. Jalan lain  tidak ada. Semua lorong ke arah pembebasan Indai tertutup rapat, kecuali jalan itu.
         Apai kembali teringatkan kata-kata monyet tua, sahabatnya dulu; Pemburu itu tidak dengan mudah memerdekan Indainya begitu saja. Namun Apai yakin, kalau ada sesuatu yang boleh dijadikan umpanan untuk  tawar menawar, Pemburu akan terpaksa berfikir banyak kali. Dan kuasa tawar menawar itu menjadi semakin mahal sekiranya yang akan dijadikan tebusan itu benda paling berharga dan disayangi. Dan untuk itu, Apai sudah tahu apakah yang menjadi buah hati kesayangan  Pemburu terkutuk itu.
            Dari atas bumbung , Apai meluru turun melalui pokok manggis. Daun pintu bahagian dapur rumah itu kelihatan terbuka sebelah. Apai berjengkek-jengkek merapati pintu. Jengok sejenak ke dalam. Hati berdebar juga. Tak Nampak sesiapa di situ. Tak pasti di mana Pemburu dan isterinya berada. Dengan tekad yang nekad Apai melangkah setapak demi setapak ke dalam rumah. Apai tahu di mana bayi kecil itu berada. Apai sudah pastikan tadi ketika mengintip dari julai pokok manggis lewat jendela terbuka.
           Apai terus melangkah. Senyap dan waspada. Di hadapannya, si kecil yang masih merah itu, begitu nyenyak sekali dalam bedungan atas tilam kecil serba baru. Perlahan-lahan Apai mengangkat lalu mencempung bayi itu. Mendekapkannya ke dada. ‘ Mujurlah tidak seberat mana,” bisik hati Apai.
          Dengan pantas tapi penuh hati-hati, bayi itu di larikan keluar. Mula-mula dia akan membawanya ke sangkar di mana Indai di kurung.  Dia akan menunjukkan bayi kecil manusia itu kepada Indai. Dia akan menjelaskan rancangannya kepada Indai.  Bagaimana tawar menawar itu akan berlangsung Apa yang perlu Indai lakukan. Dia jua akan memberitahu Indai tentang bahaya serta risiko-risikonya juga.
         Gegendang telinganya segera tertangkap suasana riuh rendah dari arah dalam rumah.  Itu suara isteri Pemburu. Suara cemas diikuti dengan  tangisan yang meletus tiba-tiba. Keadaan kelam kabut. Ayam-ayam di reban turut riuh rendah. Terketuk-ketuk. Masing-masing tercangak-cangak macam terpandang kelibat sewah liar mengintai.
        Cepat Apai melarikan bayi itu ke arah sangkar di mana Indai dipenjarakan berhampiran reban ayam. Indai kelihatan terkapa-kapa tidak tahu hujung pangkal.  “Apa yang kau bawa tu?” Soal Indai melihat ketibaan Apai separuh cemas.
       “ Syyyy ini bayi manusia. Anak pemburu yang baru lahir tu.” Jawap Apai sambil melompat lalu bercerengguh di atas sangkar besi. Bayi didakap erat ke dadanya.
       “Kau larikan?!”
       “Aku tawan dia untuk dijadikan tebusan dengan dirimu.”
       “Pemburu tahu?”
        “Aku dengar suara riuh rendah , jerit- tangis dari arah dalam rumah.”
       “ Kau bahayakan diri.”
       “Tidak!”
       “ Kau akan dihukum.”
       “Tidak.”
       “Peluru Pemburu itu tidak kenal belas.”
       “Dia akan fikir banyak kali, selagi bayi ini bersama ku. Demi bayi kesayangan mereka laki bini,aku yakin dia tidak akan menembak membuta-tuli. Jika terdesak aku akan larikan bayi ini ke atas bumbung rumah ‘ni. Mungkin juga ke puncak jelutong sana”
           “Kembalikan dia pada emaknya.” Kata Indai apabila dia melihat bibir bayi itu mula tersebek-sebek dan mula mahu menangis.
          “Tidak. Dia akan kujadikan taruhan untuk membebaskan kau.”
          “Dia tak bersalah. Kasihan.”
          “Kau juga tak bersalah. Tapi dikurung tanpa belas kasihan.”
          Si kecil itu mula mengeluarkan suaranya.Terkuek-kuek. Mula-mula perlahan. Kemudian semakin kuat. Apai mula cemas. Kemudian Apai nampak pemburu bersama isterinya meluru keluar. Si isteri meraung cemas dan panik sambil menunjuk ke arah Apai. Apai mendakap bayi itu kemas-kemas. Pemburu bergegas ke dalam kemudian keluar dengan sepucuk senapang.
        “Jangan tembak, anak kita bersama beruk jantan tu.” Jerit Si isteri menahan Pemburu yang mengangkat senapang mahu membidik.
       “Cepat lari selamatkan diri.” Desak Indai.
       “Tidak, dia tak akan berani menembak.” Tegas Apai.
       “Lepaskan bayi itu. Letak perlahan-lahan di situ. Kasihan dia tak berdosa.” Pujuk Indai
       Apai serba salah. Dengan  pujuk rayu Indai yang lembut itu dia terpaksa mengalah. Begitulah selalunya; dengan Indainya dia macam tidak ada pilihan. Perlahan-lahan dia meletakkan bayi itu ke tanah.
      “Cepat , selamatkan dirimu, kata Indai.”
       Belum sempat Apai melompat ke perdu manggis untuk berlindung, dia terdengar satu letusan. Dia meraba-raba telinganya. Macam ada bendalir panas keluar dari lubang telinganya.
      Bunyi ngauman injin kenderaan yang masuk ke halaman rumah tiba-tiba  menyentap lenyap igauan Apai . Apai memanggungkan kepalanya lalu menjenguk ke halaman. Ada sebuah Jeep  biru kehitaman bergerak masuk terangguk-angguk, diberhentikan mengejut tidak jauh dari  Hilux pemburu.  Injinnya di matikan. Keluar tiga orang lelaki berpakaian seragam.
     ‘ Ranjer Perhilitan..!?’ seru Apai dalam hati. Dia bergegas bangkit. Dari perabung rumah terus  melojak ke dahan manggis. Dia seakan mahu bersorak. Badannya yang lemah kerana tak menjamah makanan dua tiga hari tiba-tiba saja bertenaga. Dahan manggis itu dihinggut-hinggutnya sekuat hati.
        ‘Cahaya keadilan telah menjelma’, laung Apai lagi sekuat-kuatnya dalam hati.
         Seorang dari ranjer yang memakai vest warna kelabu memanggil Pemburu keluar lalu menunjukkan kad kuasanya. Dua lagi rakannya bergegas ke arah sangkar besi apabila terampak kelibat Indai  di dalamnya. Kedua-duanya mengusung sangkar itu keluar ke halaman. Tidak lama kemudian sangkar bersama Indai di dalamnya di naikkan ke bahagian belakang Jeep yang terbuka. Pemburu turut digiring naik ke dalam kenderaan.
        Sebaik saja Jeep  itu mula bergerak, tanpa berlengah Apai melompat turun dari dahan manggis terus mendarat ke atas sangkar Indai.
     “Aku akan bersamamu, sayang” Bisik Apai kepada Indai. Dia yakin detik pembebasan Indainya akan tiba juga.

( Dewan Sastera Januari 2012/ Memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012)

cerpen 2



SEPUNTUNG KAKI UNTUK CHAH

Oleh: Zainol Idris


             Nyior yang diluruhkan Cepoh dikutipnya. Sebiji, sebiji. Nyior-nyior masak itu kemudiannya dikumpulkan agak jauh sedikit dari perdunya. Sesekali dia menjeguk ke atas. Cepoh masih bergelut dengan kerjanya.Nyior masak berwarna coklat tua itu dipulas-pulasnya agar terlerai dari tangkainya. Sesekali pula Cepoh menggaru-garu belakangnya. Matahari di kebun Penghulu Jusoh hampir terpacak di atas ubun-ubun.
           “ Fikir. Tapi jangan terlalu panjang. Nanti terlepas ”, kata Mat Rawi, memuncungkan mulut lantas melepas kelunan asap rokok.
              Pokheng tercangak sejenak ketika terdengar suara Cepoh melengking-lengking di atas.
            “Peluang macam ‘ni tak selalu datang Pokcheng, ini pun kerana ada tuk wakil yang mati. Kalau tidak lima tahun sekalilah baru ‘nak merasa..” sambung Mat Rawi, orang kanan Usop Broker, turut mejenguk-jenguk ke atas pokok nyior . Cepoh pontang- panting meluru turun. Boleh jadi conetnya kena hurung kerengga..
            Memang ini peluang keemasan. Pokheng pun tahu.
           “Hujan emas memang tak pernah turun-turun, Pokheng . Tapi sekarang ‘ni dah turun. Lebat pula ‘tu…..! Tambah Mat Rawi tersengeh mempamirkan gigi ronggaknya.
Yang musykilnya; Kenapa Mat Rawi tak lakukan sendiri. Usop Broker pun mampu lakukan. Pokheng tertanya-tanya.
            Mat Rawi pun bukan siapa-siapa ; Dia pun pernah buat kerja macam –macam juga. Usop Broker regunya pun apa kurang. Baru sehari dua ini saja melaram ke hulu ke hilir penuh ranggi. Dulu jadi broker mesin jentuai saja. Jadi orang tengah.Cekau duit atas angin. Kalau ada tauke jentuai mahu masuk mana-mana petak bendang di Guar Anak Kerbau ini; mahu tak mahu dia kena jumpa Usop Broker. Semunya mesti melalui Usop Broker . Sekurang-kurangnya Mat Rawi orang kanannya. Barulah semua urusan bergerak lendit. Ini kawasan dia. . Tauke tak ada jalan lain; upah jentuai kena naikkan sikit untuk tampung habuan Usop Broker dengan konco-konconya.
             Usop Broker; siapa tak kenal. Siapa tak kenal kepala masam Guar Anak Kerbau. Usop Broker bukan jadi broker jentuai saja. Kalau bukan musim padi dia dengan Mat Rawi ke hulu ke hilir pula jadi tukang tarik kereta.
             “Kenapa aku yang dah tua ni, mu pelawa!?” soal Pokheng.
             “Di Guar Anak Kerbau ‘ni….malah sampai seluruh Kok Kiew pun; Siapa yang tak kenal Pokheng. Pokheng saja satu-satunya yang ada pengalaman buat kerja-kerja macam ni!” pintas Mat Rawi separa bodek.
             Pokheng terdiam. Kembang juga hidung peseknya dilambung-lambung bodekan Mat Rawi.
            “Kalau Pokheng setuju, petang ini cepat-cepat susul kami di markas!”
pesan Mat Rawi langsung hidupkan enjin kapcai. Bergerak pergi lintang pukang. Melilau macam cicak putus ekor.
             Sampai depan warung Mekyah , Pokheng meloncat turun dari gerek tuanya. Matahari rembang telah lama melepasi puncak-puncak bukit kapur separuh gondol. Gerek tua di sorong ke bawah pokok mangga sala di kepala simpang.
             Warung kampung yang tak seberapa itu berubah sungguh. Nampak ceria beria, macam pesta tabal raja pula. Wajah hodohnya hampir ditelan oleh tampalan poster parti-parti yang bertarung. Sepanduk-sepanduk berselirat culang- caling merentasi tiang-tiang elektrik kiri kanan lorong tanah merah. Hampir setiap kecubung pokok kelihatan bendera-bendera parti berkibaran terhuik-huik penuh ranggi.
            “ Pokheng…nak apa? “ Tanya Mekyah janda Chenak bersumbi emas itu dengan senyuman meleret-leret. Pokheng masih terjenguk-jenguk di almari lauk.
Cepoh mencelapak di atas seat gerek sambil menghinggut-hinggut handle sekuat hatinya.            Mekyah terkekeh-kekeh tengok kelaku Chepoh.
            “Bungkus nasi dua ”, jawap Pokheng ringkas . Lauk pauk yang terpamir di tinjau sepintas. Kesian Chah. Dia dah tak upaya snak buat semuanya. Kalau Chah sihat macam dulu, tentu Chah tak akan benarkan Pokheng beli nasi bungkus.
            “Lauknya,Pokheng?. Nampaknya ini sajalah yang tinggal;. Tadi ada orang datang borong?”
            “Borong?”
            “Ada orang parti ambil untuk anak buah di markas.”
Pokheng melopong sejenak.
            “Jenuhlah rezeki mu .”
            “Adalah juga…. Lauknya?!”
            “Ikan gelama goreng , telur separuh, kuah gulai, cukup.”
            “Dua-dua sama?”
            “Sama.”
            “Mak Chah, macam mana, sihat?”
            “Macam itu lah….”
            “Kesian dia, kenapa tak belikan dia kerusi roda ke…, kaki palsu ke….. Boleh juga dia bergerak. …ambil angin, tukar pandangan.”
            “Itulah yang aku fikirkan…”
            Pokcheng diam.
            Mekyah juga diam.
            “Berapa rial semua ?”
            “Tak apa. Nyior ada?”
            “Ada sikit.”
            “Beri nyior tiga butir cukup”
            “Cukup ke?, mu ambillah lima butir”
            “Tiga butir ‘dah cukup. Kirim salam pada Mak Chah.”
            “InsyaAllah.”
            Sebelum mencelapak seat gerek Herculis keluaran 1942 itu Pokheng membaiki duduk kain semutal Satun yang melilit kepala dogolnya.
            Kata-kata Mekyah janda Chenak bersumbi emas itu macam melekat kejap pula dalam benak Pokheng . Bayang-bayang Chah yang sendirian di rumah cepat menyelinap mengisi relung ingatannya. Di bawah sedarnya kayuhan kakinya dilajukan Kalau boleh mahu saja dia terbang dan segera hinggap di laman goboknya.
            Pandanganya tiba-tiba saja tertampan pada kakinya . Naik turun silih berganti menujal pedal, kiri kanan, kiri kanan. Kadang-kadang tersengguk-sengguk tak tentu fasal. Sesekali pula macam terketar-ketar mengerahkan kudratnya yang tersisa.
Pokheng tahu kakinya itu tak cantik pun. Keras berkematu. Hitam legam. Kadang-kadang berketang dengan daki. Kalau musim kemarau lagi hodoh – kering bersisik macam haruan paya menerung.
           Namun Pokheng sedar kaki hodoh sudah tidak terhitung jasanya. Sudah puluhan tahun kaki hitam kematu macam pancang bakau itulah yang mengusung tubuhnya ke sana ke sini. Dengan kaki kematu itulah dia mampu memanjat sayup kepucuk-pucuk nyior menurunkan buah-buahnya yang masak. Bergayut ke julai-julai pohon untuk mencekau petai atau binjal. Kadang-kadang kalau musim madu tualang tengah jenuh, sampai empat lima malam Pokheng tak balik ke rumah. Pokok-pokok tualang tiga empat pemeluk hampir jadi rumah tangganya.
           Tapi Pokheng pun sedar dia sekarang makin tua. Kudrat empat keratnya makin susut dan ruyup. Mujurlah sekarang kerja-kerjanya sedikit demi sedikit diambil alih oleh Cepoh.
Sehodoh-hodoh apa pun ,dia masih punya kaki yang sempurna. Kaki yang tetap kuat dan bertenaga, bisik hati Pokheng. lebih-lebih lagi bila dia terkenangkan Chah. Kemudian membandingkanpula dengan Cepoh yang tercongoh di belakangnya.
          Sekurang-kurangnya dengan kudrat kaki hitam lengam dan berkematu macam turus bakau itu Pokcheng masih bebas ke mana-mana. Tak macam Chah. Chah dah tak boleh buat apa-apa. Terkedang saja di tengah rumah siang malam. Paling-paling Chah boleh mengesot ke tingkap membuang air ludahnya. Lepas itu mengesot balik ke atas lemek meneruskan tidurnya.
          Chah sudah tidak kuat macam dulu. Selalu lemah dan lengoh-lengoh. Pucat kemasai macam berbulan tak sentuh nasi. Semuanya berpunca dari kakinya yang tinggal sepuntung itulah. Seputung lagi kaki Chah telah dipotong dan dikuburkan.
          Pokheng masih ingat, puncanya sikit saja. Suatu pagi semasa di telaga ambil wuduk Chah tersepak zing buruk penghadang keliling telaga. Ibu jari kaki Chah tercalar sikit. Sikit saja. Chah pun tak peduli. Di kampung itu perkara biasa. Terhiris jari. Tertetak lengan. Tesepak cangkul. Tertusuk duri atau kawat. Semuanya titik bengek kehidupan orang kampung seperti Pokcheng. Seperti Chah. Bukan setakat calar atau terhiris, kadang –kadang terkobek ternganga nampak tulang pun jadi perkara biasa. Tak perlu heboh-heboh sampai terpaksa menjengah klinik atau hospital. Lama-lama luka itu kering sendiri. Berkeruping dan tangkup begitu saja.
          Tapi luka yang sedikit di ibu kaki Chah kali ini ketegar pula. Tak pulih-pulih juga. Jenuh disapu minyak gamat. Luka itu makin meluas. Jenuh dituam dan demah. Membengkak. Juga. Lama-lama merening. Merebak menanah –menenih.
Lepas Chah hampir tak berdaya berhenjut lagi sana sini, baru Pokheng bawa Chah ke Pusat Kesihatan Kecil Pekan Kok Kiew. Luka yang terburai makin melebar. Bengkaknya tak surut-surut. Kaki Chah bumbun macam belakang kura-kura patah. Betis pun dah jadi macam batang pisang. Hitam mendak macam ikan mambu kembung. Terbongkok-bongkok, terketar-ketar Pokcheng menujah pedal tumpangkan Chah di pelantar gereknya.
Pokheng toleh sikit ke belakang. Dia tak nampak Chepoh. Dihulurkan tangan . Meraba sana sini. Tangannya menyentuh kepala Cepoh. Diusapnya kepala Cepoh sejenak. Cepoh tetap bertenggek di atas bakul buluh berisi tujuh lapan biji nyior masak. Itulah hasil titik peluh Pokcheng dan Chepoh berkerja di kebun Penghulu Jusoh ; Setiap sepuluh biji nyior yang diluruhkan, sebiji habuan Pokheng dengan Cepoh.
           Sambil melangut-langut mata cepoh terkelip-kelip bila kepalanya ditepuk-tepuk Pokheng. Seakan faham pula Cepoh akan kasih sayang yang ditunjukkan tuannya.
Pokheng rasa nasib yang menimpa Cepoh juga sama macam nasib Chah. Kaki Cepoh cuma tiga puntung. Cepoh tak sempurna macam beruk-beruk lain suku sakatnya. Pokcheng jumpa Cepoh, ketika Cepoh masih kecil dengan sepuntung kaki belakangnya terkulai terheret sana-sini. Lemah dan tak bermaya ditinggal kaum puaknya. Kaki belakang Cepoh yang terkulai itu hancur macam terkena peluru penabur. Boleh jadi kena kerja tuan punya dusun yang naik radang atas ganguan Cepoh dan kaum puaknya.
          Pokheng pungut Cepoh dan bawa pulang ke rumah. Luka Cepoh di ubati.
Lama-lama Cepoh sihat seperti sediakala. Namun begitu kecacatan Cepoh kekal.
Pokcheng asuh dan latih Cepoh melakukan kerja yang sepadan dengannya; panjat memanjat, petik memetik. Kini Cepoh sudah cekap. Boleh buat semuanya tanpa disuruh. Pejam mata pun Cepoh dengan mudah dapat bezakan nyior tua atau muda.
          “Diabetes !”, kata doktor muda yang periksa Chah .
          Pokheng cuma melopong.
          “Kencing manis.” Jelas doktor pula.
          Pokheng seperti dihenyak batu pelapik tiang atas dada. Pokheng tengok muka Chah.           Muka Chah yang sedia kemasai tambah mendung.
         `Kenapa dah jadi macam ni, baru nak ke sini. Ini dah stage three…., dah masuk tahap serious. Kalau dibiarkan boleh bawa maut tahu… Tak tahukah…? Tak fahamkah…? Tak sedarkah….’ Dan entah apa-apa lagi yang terhambur dari mulut doktor muda yang rawat Chah. Pokheng tak ingat semuanya. Berbakul-bakul juga gocehan doktor muda selayak cucunya itu. Walaupun banyak yang Pokheng tak faham,tapi diatahu; Gocehan yang berbakul-bakul itu menjurus ke satu makna saja; Kenapa biarkan Chah sampai begitu sekali? Tak kesiankah.
          Teringat semuanya Pokheng hanya mampu telan lior.
Mana ada lelaki yang tak sayang isteri.
terus bermastautin di Kok Kiew. Perkara itu sudah lama berlalu sebelum Jepun masuk ke Malaya lagi.
          Dugaan datang timpa menimpa. Bahana kencing manis Chah bukannya makin surut malah semakin menjadi-jadi. Masuk minggu ke dua, Pokheng rasa bukan setakat batu pelapik tiang yang menghenyak dadanya. Tapi batu itu tambah besar dan terus membesar sebesar bukit-bukit batu kapur yang memagari bumi Kok Kiew menghempap kepalanya.
Kaki kiri Chah terpaksa dipotong paras atas lutut.
          Pokheng cuma berserah.
          Selesai sembahyang Isyak berserta doa yang dipendekkan , Pokheng sarung selur tongkah hitam kain Macau. Capai baju panas cap helang dengan menara pagoda berkancing tiga. Sehelai semutal diilit dikepala. Sehelai lagi diikat kemas pada pinggangnya.
         Hairan juga Chah, selalunya Pokheng akan berjemaah di masjid. Dia akan ke masjid menjelang maghrib. Dan Pokheng tidak akan balik sehingga selesai Isyak. Yang menghairankan Chah Pokheng bukan saja tak berjemaah maghrib dan Isyak di masjid tapi sekarang sedang bersiap-siap pula untuk keluar.
         Selesai bersiap-siap Pokcheng capai wali berhulu teras nangka lalu di selit ke pinggang. Sebilah parang bong yang terselit di celah lubang bendul disentak.
         “Ke mana pula?”
         “Nak ke markas…markas Usop Broker.”
         “Dengar ceramah?”
         “Ada kerja nak buat.”
         “Kerja apa tengah malam gelap gelemat?”
         “Kerja ‘ni orang buat waktu malam, siang-siang orang tak buat!. Mu tidurlah. Jangan tunggu aku. Boleh jadi sebelum masuk subuh baru balik. ”
           Selesai kunci pintu depan Pokheng sambar gerek yang tersandar di tiang rumah. Parang bong diselit di celah pelantar basikal. Ke mana-mana pun pergi memang parang bong itu tak pernah tertinggal. Mungkin ada gunanya nanti, bisik hatinya.
           Sebelum menolak gerek , Pokcheng menyuluh lampu picit sekilas ke arah Cepoh. Cepoh sedang berehat atas para yang dibina dekat tangga dapur. Bingkas memanggungkan kepalanya bila terkena silauan lampu picit berbateri lima.
          “Dengar-dengar sama Mak Chah mu atas rumah ‘tu” pesan Pokcheng pada Cepoh. Harap-harap Cepoh faham pesanannya.
          “ Satu malam, kita bagi Pokheng seratus lima puluh. Boleh?” Tanya Usop Broker, ketika Pokheng menyusul ke markas parti lepas asar tadi.
          Sambil menguit-nguit hidungnya yang bengkok macam paruh pekaka ,Usop Broker capai telefon bimbit di atas meja. Kemudian bercakap sesuatu yang Pokheng kurang fahami kepala ekornya. Kadang-kadang Usop Broker terangguk-angguk macam pokka kepala merah. Pokcheng nampak Usop Broker cukup sibuk. Maklumlah sekarang dia dah jadi orang penting. Khabarnya dialah orang harapan Calun YB di Guar Anak Kerbau. Markas besar di kepala Titi Nyior Sebatang itu dialah yang jadi kepala. Dialah yang mengarahkan itu dan ini. Membuat keputusan itu dan ini. Semuanya terletak pada Usop Borker. Hitam kata dia, hitamlah.
          Usop Broker hari ini bukan Usop Broker yang dulu. Dia tidak lagi melilau sana sini dengan membonceng kapcai Mat Rawi. Sekarang dia boleh menerpa sana sini dengan Pajero merah cabai yang disediakan Calun YB. Siap pakai driver lagi. Usop Broker nampak kacak dan ranggi dengan sut bushjaket yang khabarnya disponser Calun YB juga.
         “Bagaimana Pokheng, setuju ?” soal Usop Broker memecah sunyi.
Seratus lima puluh, bukan jumlah kecil, congak hati Pokheng. Mana boleh kutip senang-senang seratus lima puluh satu malam. Harapkan kerja turunkan kelapa sebulan suntuk berhempas pulas belum tentu dapat. Ini cuma semalam.
         Mereka cuma ada sepuluh hari saja kata Usop Broker. Kerja-kerja itu mesti dilakukan waktu malam. Siang tidak boleh. Kerja-kerja akan dimulakan selepas Isyak dan akan berhenti sebelum masuk subuh. Pada hari ke sepuluh kerja-kerja mesti dihentikan tepat jam dua belas tengah malam. Kalau lebih akan langgar undang-undang. Begitulah pesan      Usop Broker. Undang-undang apa Pokheng tak pasti pula.
         Semalam seratus lima puluh. Sepuluh malam seribu lima ratus.
Diluar kesedarannya, senyuman berbunga di bibir Pokheng. Dadanya diserbu keharuan. Diam-diam dia mengesat penjuru matanya yang tiba-tiba tergenang dengan hujung semutal.
         Harapannya untuk melihat Chah melangkah ke sana sini akan terkabul tidak lama lagi. Chah tidak lagi terkedang di tengah rumah. Dunia Chah tidak lagi terbatas oleh dinding-dinding rumah. Chah akan melangkah keluar dari ruang yang sekian lama memenjarainya. Biarlah walaupun langkah-langkahnya tidak seperti dulu. Tidak sebebas dan selincah dulu. Mula-mula mungkinlah kekok sikit. Tak mengapa kalau Chah perlu bantuan untuk pimpinnya. Pokheng sanggup luangkan masa. Yang penting Chah boleh bebaskan diri dari kejemuan yang memualkan. Chah boleh hirup udara segar yang berpuput lembut dari arah bendang di belakang rumah. Chah boleh rasai kesejukan air telaga yang dipagari pohon-pohon rumbia. Chah bebas masak sesuka hati apa-apa makanan yang diselerainya. Yang paling penting Chah kembali segar dan tidak kemasai seperti sekarang.
         Selama ini pun bukan tak pernah terfikir olehnya untuk mengusahakan apa saja membolehkan Chah bergerak. Dia memang pernah mengangankannya diam-diam. Cuma masa saja yang belum mengizinkannya. Ada juga pihak yang tawar hulurkan bantuan . Penghulu pun seringkali suarakan hasratnya untuk bantu. Setiap kali Penghulu jumpa Pokheng untuk turunkan nyior di kebunnya, hasrat untuk bantu Pokheng, bantu Chah tak pernah sepi. Kata Penghulu dia boleh buat surat rekomen pada Kebajikan Masyarakat agar sedekahkan Chah sebuah kerusi roda. Kalau tak mahu kerusi roda minta kaki palsu pun boleh. Tapi hasrat itu selalunya ditolak dengan hemah oleh Pokheng.
         Untuk dapatkan sebuah kerusi roda atau sepuntung kaki palsu, Pokheng rasa belum lagi sampai tahap untuk mengemis pada Kebajkan Masyarakat. Selagi kaki tangan, tulang empat keratnya mampu bergerak dia belum sanggup menebalkan kulit mukanya. Pokheng yakin dia masih mampu berusaha untuk mendapatkannya dengan titik peluhnya sendiri. Memang tak ada bezanya antara kerusi roda yang disedekahkan Kebajikan Masyarakat dengan yang dibeli dengan duit sendiri.; tapi sekurang-kurangnya hasil titik peluh sendiri itu menjadi pemberian yang boleh dibanggainya kepada Chah. Pokheng yakin, Chah pun tak suka dengan benda yang diperolehi dengan minta sedekah.
           Sepuntung kaki palsu harganya dalam lengkungan seribu lebih sikit; Pokcheng teringat kembali kata-kata Dr.Tabibrani, ketika dia membawa Chah ke kliniknya sedikit masa dulu.
           Seribu lima ratus. Sudah lebih dari mencukupi, sorak Pokheng dalam hati.
Seumur hidup Pokcheng, ini bukan pertama kali dia panjat pokok waktu malam. Dulu dia pernah lakukan ketika menangkap lebah tualang. Namun ketuaannya memaksa dia lebih berhati-hati. Kadang-kadang dia seperti mahu menyumpah pula. Siapa pernah kerabat pokok tengah malam buta begini. Ini kerja gila. Gerutu hati Pokheng sendirian. Kalaulah Cepoh boleh bantu, alangkah mudah, bisiknya . Tapi mana boleh kerja-kerja ini dilakukan oleh seekur beruk. Beruk tak boleh jadi manusia tapi manusia sekali sekala boleh jadi beruk. Pokheng seperti mahu ketawa pula. Macam dirinya juga; kadang bertimbal balik dengan Chepoh; antara beruk Pokcheng dengan Pokheng beruk. Tapi semuanya Pokheng tak ambil kisah.
           Pokheng sentak parang bong yang terselit di pinggang lalu mencantas ranting-ranting kecil yang menghalang laluan. Cahaya lampu picit berbateri sepuluh yang disuluh Mat Rawi dari atas belakang lori memudahkan Pokheng memanjat.
           “Ingat pesanan Usop Broker, Pokcheng….kita kena atasi pihak lawan.” Pokcheng terdengar laungan Mat Rawi dari bawah.
           “Kalau pihak lawan tinggi, kita kena lebih tinggi!“, tambah Mat Rawi lagi sambil bercekak pinggang di atas kepala lori di bawah pokok.
           “Mu jangan bimbanglah!”, tegas Pokheng.
Ini Pokheng. Kerja-kerja ini macam makan pulut saja. Keegoannya kembali mencanak pula bila terdengar cabaran Mat Rawi yang padanya masih hinggusan itu. Siapa tak kenal Pokheng dulu, dia boleh mendepang tangan sambil meniti dahan ke dahan pokok tualang menyayup menjolok awan. Sambil bergayut di hujung julai, papan-papan petai yang berjuntaian boleh dicengkuih begitu saja.
            Besok semua mata akan tertumpu pada bendera parti yang diwakili Calun YB. Bendera itu akan berkibaran megah mengatasi ketinggian bendera parti lawan di setiap pucuk pokok Guar Anak Kerbau. Biar setiap mata terbelalak kekaguman. Kalau Usop Broker mahu Pokheng cacak bendera di puncak-puncak bukit kapur yang memagari bumi Kok Kiew pun Pokheng sanggup.
             Ranting-ranting temak yang sesak bercerawang agak menyukarkan pergerakan Pokcheng apalagi sebelah tangannya terpaksa pula memegang bendera yang siap terikat pada sebatang buluh. Kemudian dia terpandang tiang bendera parti lawan yang terikat pada ranting yang dicapainya. Dengan hati-hati dia menjolok naik buluh tiang bendera yang dibawanya. Ketinggiannya sudah melepasi lawan, bisik Pokheng. Tapi dia mengambil keputusan untuk naik lagi ke atas. Pokheng percaya kecubung temak itu masih mampu menampung berat badannya. Dia boleh celapak di capang ranting sebesar lengan sambil mengikat tiang bendera di situ dengan tali rafia. Pokheng pasti esok kibaran pihak lawan hanya mampu terkuit-kuit jauh di bawa.
             Dari pucuk temak yang menyayup itu dengan mudah Pokheng dapat melihat ribuan kerlipan lampu-lampu dari arah Bandaraya, ibu negeri. Terpegun sejenak. Macam kunang-kunang bisik Pokheng penuh kagum. Bukan selalu boleh nikmati pemandangan sebegini. Tiba-tiba Pokheng rasa macam ada sesuatu yang melata di cuping telinganya. Dia melibas-libas dengan tangan kirinya. Tapi dirasainya lataan itu membelok hala ke lubang telinganya pula.
             “Kerengga bedebah. Malam buta pun masih merayau”, seranah Pokheng.
Tiba-tiba praaakkk, capang tempat Pokcheng mencelapak merkah. Ranting sebesar lengan budak itu tidak berdaya lagi menampung berat badan Pokheng. Rekahannya semakin melebar lalu terkeleweh ke bawah. Bendera di tangan Pokheng terlepas. Parang bong yang terselit pada semutal dipinggang Pokheng juga terpelanting. Entah ke mana. Pokheng tak mampu berbuat apa lagi.
             Ketika Pokheng membuka matanya perlahan-lahan, dia tahu ketika itu badannya terlantar di katil sebuah hospital. Tak pasti pula hospital mana, mungkin juga di Hospital Besar, tempat Chah di rawat dulu. Pokcheng pun tak tahu langsung sudah berapa lama dia terlantar di situ. Juga kurang pasti sebab dia berada di situ. Dia macam ingat-ingat lupa.
Ada orang bergerak masuk kemudian berhenti di sisi katil Pokheng. Mata Pokheng berkelip-kelip cuba menajam penglihatan. Namun pandangnnya masih berjerebu.
            “ Pokheng,….ini aku, Usop Broker. kenal tak…?” telinga Pokheng menangkap suara yang memang dikenalinya.
            Dalam samar-samar itu juga dia rasa ada orang menyentuh tangannya.
            “Pokheng, ini Calon YB… Tapi sekarang benar-benar ‘dah jadi YB ‘dah.” Jelas Usop Broker.
            Pokheng cuba angguk.Tapi yang terdaya hanya sekadar kerlipan mata. Dia berada dalam keadaan yang amat lemah dan tak berdaya. Amat letih. Pelupuk matanya terasa berat, macam ada anak lutung bergayut di situ. Pandangannya tetap berjerubu. Dia memejamkan matanya. Namun dihujung telinga dia masih mampu
mendengar suara Usop Broker dan suara Calon YB yang sudah disahkan sebagai YB.
           “Kesian kakinya hancur dan tak dapat diselamatkan. Dia jatuh betul-betul atas cermin kaca lori. Pecahan kaca menyebabkan betisnya hampir tak ada segumpal daging yang tinggal .” kata Usop Broker.
           “Dua-dua?” Tanya Calon YB yang sudah jadi YB.
           “ Sepuntung saja, sebelah kanan, kena potong sampai lutut.”
           “Tak apa. Nanti bila sudah keluar hospital, saya akan usahakan kerusi roda ke, kaki palsu ke..InsyaAllah. Biarlah dia berehat.
           Pokheng tidak dengar apa-apa lagi.

          @ (tersiar dlm Dewan sastera Sept.2010)

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...