Saturday, May 22, 2021

DUNIA BUKU: 5

SENJAKALA, SEBUAH KARYA MONUMENTAL

 

Senjakala, DBP 1986

 
NOVEL
ini diterbitkan pertama kali pada tahun 1986, oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kemudian diulang cetak beberapa kali. Naskah milik saya ini adalah cetakan ke 7 (1990). Novel berhalaman 183 ini, ketika itu cuma berharga RM6.00. (nilai semasa saya kira tidak kurang dari RM25.00/ RM30.00).
Senjakala turut terpilih (dari novel-novel yang pernah dihasilkan antara 1925-1996) dan diterbitkan dalam Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20, sebuah koloborasi antara Dewan Bahasa dan Pustaka dan Rhythm Consolidated Berhad. Sejumlah 26 buah novel yang dianggap sebagai karya monumental mewakili dekad masing-masing diterbitkan dengan berkulit tebal.

      Senjakala  yang pernah dijadikan teks kajian sastera SPM, 1988-1992, (bukan Komsas seperti sekarang) adalah novel sulung Baharuddin Kahar setelah prolifik dalam penghasilan cerpen sejak awal 1970-an (sebahgian karya awal beliau dapat dibaca dalam Kumpulan  cerpen Kampung Halaman (DBP, 1982).

    Membaca Senjakala dan cerpen-cerpen Baharuddin, segera mengembalikan saya kepada karya-karya Malim Ghozali Pk. Kedua-dua buah-tangan sasterawan kelahiran Perak (Malim, di Malim Nawar manakala Baharuddin di Tanjung Rambutan) sarat bermuatan nuansa dan elemen-elemen antropologi dan sosiologi. Merakamkan suasana dan iklim pewarnaan setempat sezaman yang penuh bumbuan nostalgik.

Baharuddin Kahar,
 (Foto:Ssegamat.com. 2011)

         Baharuddin Buyung Kahar, lahir 24 Disember 1946, di Pekan Lama, Tanjung Rambutan, Perak. Mendapat pendidikan di Sekolah Anderson, Ipoh. Pernah berkerja dalam pelbagai bidang sebelum menjadi guru di Sekolah Menengah Tsung Wah, Kuala Kangsar. Minat dalam penulisan menyebabkan beliau berhenti dari kerjaya sebagai guru dan berkerja dalam sebuah penerbitan. Beliau berpeluang mengikuti kursus penerbitan di Italy dan England (di bawah Skim Latihan Usahawan Bumiputera, anjuran Jabatan Perdana Menteri),1985. Pada tahun yang sama beliau berjaya mendapat Zamalah Sastera Berita Harian berupa geran/ pembiayaan  membolehkan beliau menyiapkan novel Menerjang Gelombang dan diterbitkan oleh Berita Publishing (1989).

          Pernah menangi Hadiah Karya Sastera 1976/77(cerpen Capa Rengat), 1982/83 (Cerpen Sempana Ganja Iras), 1984/85 (Kumpulan Cerpen Terima Kasih Tuhanku) dan Sayembara Cepen Esso-Gapena 1976, 1981) Novel remaja beliau, Cerita Adam, memenangi Hadiah Sastera Malaysia 2004/2005).

        Senjakala mengikut Baharuddin hanya mengambil masa dua minggu untuk disiapkan dengan tulisan tangan kemudian ditaip semula dengan pertolongan seorang sahabatnya, Beliau terpaksa menulis terus menerus dari pagi ke malam kerana terpaksa berlepas ke Turin Italy dan Hertlepool, England mengkuti kursus penerbitan.(lihat laman Web Komuniti Segamat.Com)

The Old Man and The Sea

           Bagi bacaan ulangan kali ini, saya dapat mengkhataminya dalam sehari suntuk saja (Senjakala adalah sebuah fiksi beraliran realisme tanpa perlu bermenung panjang). Mengikuti jalur naratif Senjakala segera mengingatkan saya kepada kegigihan (kedegilan) watak Santiago dalam The Old Man and The Sea (Hemingway, 1952) dan watak Pawang Kri dalam Arus (Anwar Ridhwan, Pustaka Cipta Sdn.Bhd., 1985). Senjakala Kisah kegigihan seorang pemburu tua, Kinto yang menjelajahi rimba raya, hutan belukar, turun naik bukit, meranduk sungai dan paya lebih seratus hari memburu rusa untuk memenuhi keinginan anak gadisnya, Noor, yang mahu makan daging rusa. Noor sedang menderita sakit yang mengikut doktor cuma berpeluang lima bulan saja untuk hidup.

          

ARUS, Anwar Rihdwan

Kinto waktu mudanya merupakan seorang pemburu handal. Memiliki ilmu dan pengetahuan luas mengenai dunia haiwan, hutan dan perburuan. Bukan saja berhasil menewaskan mangsa-mangsa perburuannnya setiap kali turun berburu malah Kinto berjaya menawan hati Dasima, gadis manis, anak kepada rakan seperburuannya, Pak Awang Lodin ketika berburu di Kampung Sayung (kuala Kangsar). Kinto yang cedera tertikam buluh dibawa pulang oleh Awang Lodin untuk  dirawat. Di sinilah dia berkenalan dengan Dasima, jatuh cinta kemudian berkahwin. Bagaimanapun Dasima meninggal selepas melahirkan Noor. Kinto kemudian meninggalkan Sayung membawa anaknya kembali kampung asalnya. Noor membesar dibawah jagaan Sapiah adik Kinto yang tinggal serumah dengannya. Sapiah yang kematian suami  mempunyai seorang anak lelaki, Damid, sebaya dengan Noor.

Baharuddin tetap berkarya di samping berjual satey
 di sebuah restoran di Segamat (foto: Segamat.com) 

       Baharuddin Kahar memperlihatkan keterampilan bakatnya membina jalur naratifnya yang memiikat dengan debaran demi debaran selepas doktor mengesahkan yang anak gadisnya, Noo,r mengidap sejenis penyakit seumpama leukemia. Sehari demi sehari Noor kelihatan lemah, bersedih, murung dan kerap pengsan. Bermulalah episod keazaman( kedegilan ) seorang pemburu tua turun berburu setiap hari untuk melunaskan keinginan terakhir anak gadis kesayangannya.

            Novel tanpa antagonis ini adalah sebuah pelukisan tentang kecekalan hati seorang manusia yang enggan menerima kekalahan. Tentang harga diri dan kasih sayang. Mencakupi hubungan manusia dengan Tuhan, alam dan sesama manusia. Tersimpan falsafah tentng proses pencarian diri. Tentang kewujudan kita yang perlu menerima kekalahan bersandarkan kesedaran pada kegungan Tuhan. Cinta  yang patah, rendah diri seorang lelaki dan cinta yang tidak sampai turut terungkap dalam fiksi ini (blurb Senjakala).

          Tidak rugi menghabiskan sedetik masa menelaah sebuah novel yang sarat dengan pengetahun selok-belok dunia perburuan, hutan rimba dengan flora-faunanya termasuk ranah kehidupan dan budaya masyarakat orang asal. Seorang pengarang yang tidak pernah terlibat secara lansung dengan aktiviti perburuan dan alam rimba raya tidak mungkin berhasil melukiskan jalur naratifnya dengan lancar dan fakta-fakta yang tidak meragukan. Saya percaya Baharuddin Kahar mempunyai ilmu, pengetahuan dan pengalaman serta penglibatan langsung dalam subjek garapannya.

Bersama novelis SAGA, Abd.Talib Hassan dalan suatu acara sastera
di J0hor, 2011.(foto: Segamat ,com)

             Selepas  berjaya mendapat rusa yang diburunya lebih seratus hari dengan merebutnya dari mulut seekor harimau ganas, sempatkah Noor, anak gadis kesayangan Kinto menjamah daging rusa yang diingininya. Semuanya terjwap di halaman 183, di mana Baharuddin Kahar menokhtahkan fiksinya. (khabarnya DBP ada membuat cetakan semula, kumpulan cerpen termasuk novel Senjakala; sempena produksi telefilem Capa Rengat Gulai Rawo sebuah kolaborasi DBP dan RTM) adaptasi dari dua buah cerpen beliau

 

 ZAINOL IDRIS,

19 Mei 2021,

Jitra, Kedah.

 


Friday, April 16, 2021

 DUNIA BUKU 4


SASTERA AGRARIA,

 DALAM KERANA MANUSIA BUKAN KERTAS

 

                   Kesan langsung  pembacaan naskah Kumpulan Puisi Kerana Manusia Bukan Kertas (KMBK) oleh  Ibnu Din Assingkiri (IDA), mengingatkan saya  kepada konsep Sastera Agraria yang pernah diwarwarkan oleh Prof Ismail Hussein pada pertengahan tahun1970an. Selaku Ketua Satu GAPENA ketika itu, beliau acapkali bercakap tentang sastera yang mampu dinikmati oleh rakyat jelata. Tidak saja berlegar di kalangan kelompok  elitis semata. Golongan Agrarian yang dimaksudkan beliau ialah golongan peasantry (iaitu kaum tani, buruh dan nelayan). Apa yang cuba di pelupori oleh Ismail Hussein di kalangan khalayak sastera tanahair ketika itu, sebenarnya adalah lanjutan daripada  pendirian sekelompok penulis Amerika dan German pada awal abad kedua-puluh yang menentang kapitalisme industri dan menganjurkan berbalik kepada tanah (alam)

                  Apa yang diserapkan  oleh IDA lewat kebanyakan puisinya,  dilihat selari dengan konsep sastera  yang cuba diperkenalkan oleh Ismail Hussein. Sementelahan pula diperakui sendiri oleh IDA dalam prakata KMBK – “mahu berkomunikasi secara puitik dengan pembaca dari pelbagai peringkat khalayak termasuk mereka yang tidak terdedah dengan pendidikan sastera secara formal”.

Ibnu Din Assingkiri
                  IDA nampaknya terus istiqamah dengan pendiriannya terhadap            konsep penglahiran puisi, sebagaimana yang pernah dijelmakan dalam                kumpulan puisinya yang terdahulu, Jejak-Jejak Di Pantai (ITBM, 2015). Pada   blurb buku tersebut tercatat; “ia ditulis kepada semua golongan pembaca             dengan tujuan utamanya untuk mendekatkan puisi (sastera) kepada masyarakat.    Pemakainan diksi yang sederhana, diadun menjadi simbol-simbol yang sesuai,    bertujuan untuk tidak terlalu menyiksa pembaca menggali makna yang ingin        disampaikan. Seni puisi adalah keindahan untuk dinikmati pembaca, bukan       untuk dibaca sendiri-sendiri oleh penulisnya, kalangan penulis atau penggiat sastera semata”

                  Unsur dan anasir alam, biotik dan abiotik, hadir dalam kebanyakan puisinya, samada dipetik secara  maujud maupun yang menyusupi jalur mimpi dan kenangan dalam rupa bentuk mujarad. Objek-objek biasa yang terabai dan tidak tersangka tiba-tiba muncul berdiri sebagai metafora yang terlihat indah, segar dan berkesan. Perhatikan;

                   sudikah kaucari aku

                  di pasir bersiput tajam
                  di ketapang melayang
                  di tanjung terhujung
                  di teluk yang jauh.

                   (Hamparan Buih Ombak, hlm.1)

                   Singkir Laut, Yan, Kedah; desa kelahiran penyair  adalah sebuah daerah yang unik dari segi geografi dan demografinya. Dataran yang terhampar dari kaki Gunung Jerai menganjur ke pinggir Selat Melaka selanjutnya melahirkan kegiatan sosio-ekonomi yang juga unik. Bukan suatu yang luar biasa seseorang pada sebelah paginya menjadi petani, menyandang tajak dan cangkul ke bendang atau ke kebun dan sebelah malamnya pula turun kelaut bersama pukat dan botnya sebagai nelayan. Keunikan pengalaman hidup penyair sebagai budak kampung yang terdedah dengan kepelbagaian dimensi corak dan cara  hidup ini memberi kelebihan dalam penggarapan puisi-puisinya. Beliau boleh bercakap mengenai laut dan darat dengan selesa tanpa kekok dan  segok.

 

                              Di teduh pohon berembang
                              antara akar bakau berceracak
                              seharian kami meranduk selut
                              mengutip khazanah alam
                              kerang, lala, siput biji nangka
                              dan di musim pasang besar
                              siput sudu terdampar di pantai
                              dekat Kuala Singkir Laut

                               (Berguru Dengan Alam, hlm.22)

 

                              Bau tanah tatkala hujan
                              menyentuh bumi hangat
                              merungkai beluam ingatan
                              tersorok lama entah di mana
                              terpacul bagai rasaksa
 
                              Di tenga hari
                              bau getah sekerap di baju emak
                              ditelan aroma pucuk cemamar
                              yang dikutip semasa pulang
                              dari menoreh di Tanjung Jaga.
 
                              (Bau Tanah Di Timpa Hujan, hlm.24)
 

                  Kenangan hidup dan himbauan nostalgia menjadi intipati dalam kebanyakan puisi-puisi IDA. Bagi khalayak pembaca dari generasi Y, sementelahan  lahir dan membesar  di perut kota pula, mungkin berasa sedikit kesukaran berhadapan dengan sesetengah diksi lalu terkapa-kapa mengklik Kamus Dewan Online. Namun begitu bagi generasi 50-an ke atas, akan mudah terpanggil untuk sama-sama kembali menyelinap ke zaman lampau. Seperti kata penyair,

 

                              Tatkala hujan bertukar gerimis

                              Menitik perlahan-lahan
                              Di pipi seorang lelaki. Meleleh
                              Jatuh ke beluam ingatan.
 

                  Cuba resap dan rasai diksi kata dan frasa-frasa berikut:

 

                              i.
                              Kuutus surat berbedak amami
                              dengan harapan puisinya mewangi
                             
                              ii.                    
                              kubang kerbau tempat kami
                              menggagau ikan haruan
                              kadangkala disengat
                              keli
                             
                              iii.
                              anak kampung zaman dahulu
                              menangis hanya lakonan
                              saat dirotan
                              ibu-bapa
 
                              iv.
                              kami menangis di dalam hati
                              melihat ibu tertidur
                              sambil mengukur
                              kelapa
 
                              v.
                              sewaktu hari beralih rembang
                              tangkul berumpan ikan duri
                              diangkat dengan penuh harap
 
                              vi
                              ayam jantan belum pun turun
                              dari dahan nona sekaya
                              melantun tembang rutin
                             
                              vii.
                              kuselak halaman kenanagan
                              untuk mengenang ibunda
                              kebaya nyonya berbatik panjang
                              ada untaian melur di sanggul.

                              viii
                              Terdengar bisikan emak
                              kepada bapa tentag beras
                              hanya berbaki di lantai guri

                   Kesederhanan dalam semua aspek, daripada pemilihan kata-kata, bentuk dan teknik, yang  menjadi asas dalam pembinaan sosok setiap puisi termasuk pemakaiaan alatan susastera secara berhemah menjadi keutamaan. Namun begitu tidak bererti penyair mengambil jalan mudah atau asal jadi. Selain dari mementingkan keindahan dan kesan, beliau amat berhati-hati agar tidak terperlus ke kubang klise.Ia diperakui oleh penyair sendiri:

 

                              Sungguh sukar mencari kata
                              untuk mencitra makna
                              dalam seuntai
                              puisi
                             
                  `           serupa mencari permata
                              dalam timbunan kaca

                             (Asal Kata Adalah Kaca, hlm. 25)

 

                   Konsep sebuah puisi bagi IDA diperjelaskan secara tuntas lewati puisi, Cara Mudah Menulis Puisi (hlm.14). Berikut diperturunkan sepenuhnya dalam gaya prosa. Antara ciri yang harus ada pada sebuah puisi mengikut beliau ialah:

 “Puisi bukan lahir dari susunan aksara semata-mata. Ia perlu memiliki  jiwa yang menghantar rasa, pengalaman, meneroka rahsia-rahsia dan mengandungi ilmu sebagai pelengkap wacana. Diperindahkan melalui kesenian mengolah bahasa menjadi lunak; Dalam  mengajak ke arah kebaikan, kebijakan dan menolak segala  kemungkaran, hal yang paling  sukar ialah menjadi suara pembela kepada mereka yang dibisukan. Puisi harus  membentuk diri menjadi acuan pemikiran generasi kini dan masa depan”

 

 

ZAIN IDRIS AT-TOBIARI,

Jitra, Kedah, 18.03.21.

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...