Tuesday, October 13, 2020

DUNIA BUKU 3

 

LUKA NERING,

SEBUAH NEO-HISTORICAL FICTION

Luka Nering (DBP, 2014)

 

Puas juga menelah-nelah makna sebenar di sebalik penggunaan metafora tumbuhan, sebagai  judul karyanya – LUKA NERING. Sebagaimana  dimaklumi khalayak sastera,  Malim Ghozali Pk jarang meminggirkan kewujudan alam flora dan fauna  dalam kebanyakan hasil karyanya, melalui apa genre sekalipun. Apakah rahsia yang terselindung di sebalik sepohon nering yang tercedera luka? 

Secara kebetulan dalam novel ini ada mengisahkan tentang sepohon pokok nering yang terdapat di kawasan rumah seorang watak yang dikenali sebagai Haji Pohon Nering (nama sebenar Hajidin). Haji Pohon Nering bekas pesakit mental yang telah sembuh, kemudian terkorban menjadi mangsa serangan  naning-naning (tebuan?) yang bersarang di dalam lubang pokok nering  itu, ketika dia cuba membakar sampah-sarap di bawahnya. 

Melalui carian goggle, akhirnya diketemui - pokok nering yang dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Pakia Sumatrana, merupakan sepohon pokok yang tumbuh agam dengan ketinggian mencapai 35 meter, berlilitan sehingga 3 pemeluk. Berbuah serupa petai tapi lebih lebar dan berbiji kecil - sehingga ada pihak yang memanggilnya sebagai petai nering/ petai kerayong. 

Ini merupakan ulang bacaan saya  kali ketiga bagi novel setebal  387 halaman (DBP, 2014) ini. Terakhir ialah lebih kurang 4 tahun lalu (15.09.16). Selazimnya  setiap kali mencerap kembali mana-mana karya sastera yang  baik, pasti akan sentiasa menemui  makna dan  takkulan baru yang tersembunyi. Lebih-lebih lagi karya-karya non-konvensional yang memuatkan lapisan-lapisan makna tersirat. Kemunculan versi terjemahan,“Tree of Sorrow” kemudiannya, yang alihbahasanya ditangani sendiri olah Malim Ghozali, seakan memuktmatkan makna sebenar yang mahu diungkapkan pengarang di sebalik “Luka Nering” yang menjuduli novel keempat karya beliau ini.[(sebelum ini – Redang (DBP, 1988), Janji Paramaribo (DBP, 1990), Daun (DBP, 2008)]. Saya cenderung memaknakan “Tree of Sorrow” sebagai “Pohon Kedukaan” (mungkin kedapatan terjemahan yang lebih jitu). 

Nering ialah pohon yang tumbuh agam dengan ranting dan daun-daunnya yang rimbun; yang dalam karya hebat ini, membawa konotasi tentang kewujudan institusi kesultanan, yang sekian lama dalam  jagat  Melayu menganggapnya sebagai simbol kedaulatan yang memayungi kehidupan rakyat jelata.  Malim Ghozali melalui lakaran jalur naratifnya yang lancar dan berkesan berhasil melukiskan bahawa campur tangan Inggeris lewat Perjanjian Pangkor(1874) telah mejatuhkan system pemerintahan kerajaan  Melayu sekali gus melemahkan kedudukan raja-raja ke dalam jerangkap penjajahan secara tuntas.  Kelukaan pada pohon nering yang agam itu tidak semata-mata oleh  tangan penjajah tapi juga oleh konspirasi dan pencaturan dalaman, tikam menikam dan gunting dalam lipatan  di kalangan kerabat instiusi kesultanan itu sendiri. Kewujudan sistem penggiliran dalam kesultanan negeri Perak  yang unik, menyebabkan secara sulit kedapatan gerakan-gerakan dalam gelap, cubaan  pintas memintas demi menguasai peterana kuasa. 

Manasikana dalam program bicara karya novel Tree of Sorrow  di Akedemi Pengajian Melayu Universiti Malaya (APM, UM) menganggapnya sebagai novel yang membawa gaya naratif yang kuat melalui unsur realisme magis yang membangkitkan emosi dan daya fikir dalam konteks persejarahan tanahair.  Mengisahkan kesetiaan cinta antara anak raja dan rakyat biasa. Persahabatan antara kerabat raja dengan kakitangan dan pesakit-pesakit  hospital sakit mental. (CMH – Central Mental Hospital, Tanjung Rambutan) [BH 9 Nov.2015] 

Pohon Nering (Pakia Sumatrana)

Luka Nering yang terbangun dari 21 pecahan bab, tidak termasuk Prolog dan Epilog ini mengisahkan kehidupan watak utama TC (Tengku Chik), anak saudara Tuanku Sultan yang terpaksa menghabiskan hidupnya di CMH Tanjung Rambutan, atas tuduhan mengidapi sakit mental apabila terlibat dalam tragedi yang membawa kepada kematian DO Osborne. TC yang bertugas sebagai ADO kepada Osborne dan sering berbalah pendirian dan pendapat , dituduh menembak Osborne dalam satu pergelutan pada kejadian di Rumah Rehat. Walau bagaimanapun TC menafikannya, dan mengatakan Osborne tertembak oleh pistolnya sendiri. TC mendakwa dia mempunyai saksi dan bukti-buktinya – termasuk jenis peluru yang menembusi tubuh Osborne adalah dari pistol miliknya sendiri - bagaimanapun TC dinafikan untuk mendapat perbicaraan yang adil sebaliknya dihantar ke rumah sakit jiwa. Tahun demi tahun laporan yang disediakan oleh penguasa rumah sakit mental itu tidak pernah menyebelahi beliau – akibatnya dia terus menjadi penghuni di situ.


 Di CMH, TC bergaul mesra dan bersahabat baik dengan kakitangannya seperti Sister Yuria, Kandasamy, Matron Angelina, termasuk pesakit dan bekas pesakit seperti Doktor Uzai, Arbakyah, Gina, Haji Pohon Nering, Abang Topi, Mr.Brown dan lain-lain. Di wad CMH inilah TC melayan kenangan dan nostalgianya berkisar pada kehidupan masalalu di istana Bukit Chandan, ketika menjadi pelajar di luar Negara, suasana dan cabaran  kerja ketika bertugas sebagai ADO termasuk kenang-kenangan hasil pergaulannya di kalangan masyarakat murba serta perkenalannya dengan Sharifah Atikah.  Malim Ghozali banyak menggunakan teknik  flashback dalam melakar jalur naratif Luka Nering. 

TC yang mendapat pendidikan tinggi di luar negeri, walaupun membesar di istana (dipelihara oleh oleh Tuanku Sultan, setelah kematian dua ibubapanya) bersama sepupunya Ku Robat dan Ku Intan, adalah seorang anak raja yang berhati rakyat. Kehidupannya berdampingan rapat dengan rakyat bawahan malah bercinta juga dengan gadis biasa (Sharifah Atikah, seorang ustazah).     Sikap anti penjajah, bukan saja ditunjukkan melalui pertelagahan dengan bossnya DO Osborne, tapi  terpamir sejak mula lagi, sebagai siswa, dia dengan tegasnya berhujah dengan penyelia kursusnya sendiri, Professor Hutton, tentang sikap kepenjarahan Inggeris terhadap tanah jajahan dan anak negerinya. Pada TC persejarahan Tanah Melayu harus ditulis semula oleh anak watan sendiri – sejarah terlalu banyak yang diselewengkan kerana sudah menjadi kelaziman; sejarah hanya ditulis oleh pihak yang menang. 

Daun (DBP 2008)

Bagi TC kejatuhan Tanah  Melayu di tangan penjajah dan turut  melemahkan kedudukan raja-raja, tidak semata-mata kerana kekuatan mereka, tetapi oleh sikap pengkhianatan di kalangan Melayu sendiri yang termakan gula-gula penjajah. Beliau mengambil contoh tewasnya  Datuk Maharajalela di pasir Salak, kerana pengkhianatan Sayid Mashor. Begitu juga dengan kebangkitan Dol Said melalui Perang Naning dilumpuhkan oleh penjajah kerana pengkhianatan menantunya sendiri, Sayed Shaaban. Sikap bermuka-muka dan gunting dalam lipatan di kalangan kerabat istana akhirnya menjadikan  batang tubuh TC sendiri sebagai mangsa, melalui  pemanipulasian laporan status kesihatan mental, membolehkan  TC kekal sebagai penghuni CMH, tidak sekadar menafikan haknya untuk dihadapkan ke pengadilan, tetapi turut menafikan gilirannya dalam strata pewaris takhta bila berlaku kemangkatan Raja Di Hilir. Tempat yang sepatut diisi oleh beliau terlepas ke tangan sepupunya, Ku Robat, putera Tuanku Sultan sendiri. Bukan setakat itu saja, sepupunya turut mahu merampas kekasihnya, Sharifah Atikah, sedangkan perhubungannya dengan anak gadis Syed Shahdan itu telah sedia dimaklumi oleh Baginda Sultan, Permaisuri Bonda Zah dan Ku Robat terdahulu. 

Dalam epilognya Malim Ghozali seakan  mengakhiri novel dengan persoalan yang tidak terjawab; melalui  beberapa perkhabaran; Kembalinya Dr.Megat Wali mengambil alih dari Dr.Devan untuk menerajui CMH, dan yang paling mengejutkan TC sendiri ialah berita kemangkatan Tuanku Sultan. Dalam keadaan TC bersiap-siap untuk kembali menghadiri istiadat permakaman diraja; Apakah nasib TC juga turut berubah. Bagaimana pengakhirannya penantian Sharifah Atikah yang sanggup menunggu kepulangan TC. Segalanya terpulang kepada intepritasi dan persepsi  pembaca sendiri. 

Melalu satu temuramah sempena majlis bicara karya Tree of Sorrow, Malim Ghozali menyuarakan prinsip ketika menukangi karyanya; “Novel ini saya hasilkan dengan semangat untuk menulis sejarah Tanah Melayu dengan jiwa orang Melayu, sekali gus menyingkap kebenaran walaupun pahit untuk ditelan” (BH, 9 Nov.2015). 

Selama ini bukan tiada ada hasil karya dalam sastera Melayu yang menggarap kehidupan di kalangan masyarakat istana. Ada.  Tapi kebanyakannya melukiskan suasana serba indah menghampiri kehidupan dewa-dewi di alam indera loka, terutama dalam cerita hikayat atau penglipurlara. Setakat ini, saya rasa Malim Ghozali adalah satu-satu pengarang Melayu pasca merdeka yang dengan beraninya mengutarakan permasalahan dan  konfliks yang berlaku di kalangan masyarakat istana yang jarang diterokai. 

Pendapat saya, kekuatan Luka Nering tidak sekadar bergantung kepada penampilan tema dan permasalahan yang jarang disentuh (mungkin kerana dibimbangi menimbulkan kontroversi)  oleh mana-mana pengarang, tapi kerana keindahan naratif yang terhasil dari tangan pengarangnya. Rasanya Luka Nering lebih condong  kepada aliran realisme jika di bandingnya dengan novel garapan Malim Ghozali sebelum ini, ‘Daun’ ; dimana pemikiran watak utamanya ‘Sifar’ ( sang pengarang) sering berbaur dengan jalan pemikiran ‘Tan Da –U ‘(watak dalam novel yang sedang ditulis oleh Sifar). Selari dengan pernyataan pengarangnya sendiri; dalam daun ada daun, dalam cerita ada cerita] 

Malim Ghozali Pk (Mohamed Ghozali bin Abdul Rashid
(04.03.1949 - 18.06.2020)


Pengalaman Malim Ghozali sebagai pengawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) selama 21 tahun  kemudian memilih untuk bersara awal (usia 45 tahun) untuk terlibat sepenuh masa dalam bidang penyelidikan dan penulisan  adalah berbaloi. Berbagai anugerah penulisan berjaya diraih beliau saban tahun. ‘Tree of Sorrow’ sendiri diletakkan dalam barisan antara 160 novel terbaik dunia dan tercalun untuk International Dublin Literary Award 2016. Saya agak terkilan bila Luka Nering yang dijangka akan menjejaki saudaranya, novel Daun (HSPM 2008), untuk meraih novel terbaik Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2014, telah dipinggirkan oleh  penal penilai. Akhirnya Malim Ghozali Pk (04/03/1949 - 18/06/2020) turut menjejaki denai takdir yang sama  dengan sasterawan Azizi Haji Abdullah (04/04/1942 - 11/08/2011) terlepas meraih anugerah Sasterawan Negara ,walaupun dari segi pencapaian kedua-duanya sudah melepasi garis kelayakan. Akhir sekali sama-samalah kita menunggu kemunculan buahtangan Pak Malim yang terakhir yang diterbitkan serentak dalam dua vesi sekali gus, Bahasa Melayu dan Inggeris novel ‘Gunung Cha’ / ‘Mount Cha’, yang khabarnya dalam proses percetakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

ZAINOL IDRIS,

Jitra, 11/10/20

 

 

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...