Sunday, January 29, 2012

LIBURAN 1


TEH LEMON DAN  STRAWBERRY

pasarmalam Brinchang
Kali terakhir kami ke Cameron Hinglands  kira-kira 14 atau 15 tahun lampau.  Kedatangan  kali ini  sekadar transit sehari semalam dalam perjalanan ke KL.  Perjalanan mendaki dari Simpang Pulai ke Cameron  lebih kurang 1 jam saja  mengambil jarak 102 km, berbanding  menggunakan jalan Tapah – Cameron Highlands [hampir 2 jam].

Tiba di Brinchang hampir jam 5 petang. Terus check in di Noraini Chalet, sebuah rumah tumpangan sederhana   diubah suai  dari sebuah rumah kediaman. Oleh kerana sekarang bukan pick time , suasana di Brinchang agak lengang.  Angin senja sesekali menderu mencelahi pohonan dan batu-batu bukit masih terasa dingin [mungkin tak sedingin  lebih seratus tahun dahulu  ketika  mulai diterokai olehWilliam  Cameron ] Bukitan dan lembah hijau kebiruan itu seperti tercedera  dengan  parut-parut luka  di sana sini kerana aktiviti manusia.
Rimbunan  teh  di cerun  beralun


Dalam tahun 1885, selaku jurukur kerajaan, William Cameron telah menjalankan satu ekspedisi di kawasan Banjaran Titiwangsa dan telah melaporkan bahawa beliau telah menemui satu daratan tinggi yang bercerun. Gunung-gunung yang melindungi dataran ini kelihatan rendah jika diukur daripada paras ketinggian dataran yang dijangkakan iaitu  antara 1372.5 meter hingga 1403 meter dari paras laut. 
Di Cameron-Bharat Plantation

Lebah kelulut di Bee Farm
Adalah diakui bahawa beliaulah orang yang pertama menyerlahkan kawasan ini dalam sejarah. Selanjutnya beliau telah mengadakan satu ekspedisi penjelajahan di kawasan ini mulai bulan Februari 1885 dan berakhir pada 1 September pada tahun yang sama.  Dengan itu, kawasan tanah tinggi ini dinamakan sebagai Tanah Tinggi Cameron atau CAMERON HIGHLANDS bagi mengenang jasa dan kerja-kerja penerokaan  William Cameron dan pasukan ekpedisinya. 

merah strawberry terus memukau
Pada asalnya, Nama "Hill Station" buat pertama kali telah disebut dalam satu minit mesyuarat oleh Residen Negeri Perak pada tahun 1888. Beliau telah memberikan pandangan mungkin sebuah sanatorium boleh diwujudkan di Cameron Highlands di mana tempat-tempat peranginan, rumah-rumah istirehat, taman-taman dan kawasan-kawasan pertanian boleh diusahakan.
Lembah Sungai Boh      h
Walau apa pun perubahan wajah  oleh hakisan masa dan mekanikal; Cameron  masih unggul sebagai destinasi liburan dalam kelasnya . Kalaupun  bukan faktor suhunya, sekurang-kurannya  perkebunan teh di lereng-lereng dan cerun hijau yang beralun itu masih mampu menyihir pelancung.  Kemerahan strawberry  terusan  menggecurkan liur pengunjungnya.

Dari satu sisi saya melihat Cameron tidak kurang
untuk dibariskan bersama destinasi-destinasi peraginan ternama seperti Kashmir [lokasi popular seringkali menghiasi filem-filem hindi], namun kesempatan ini kurang dimanfaatkan oleh penggiat-penggiat sinema kita
sebagai lokasi perfileman.
Tanaman Strawberry kaedah hydroponic

Petang itu  sambil keluar untuk  mengenalpasti  restoran yang sesuai untuk makan malam nanti, kami sempat menjengok  ke pasar malam Brinchang. Jualannya sudah pasti hasil produk utama bumi Cameron, strawberry, limau, sayuran segar, makanan kering, jeruk, madu lebah , bunga-bunga segar, bunga-bunga kering, pokok orkid, kaktus dll.  Idealnya jika mahu membeli  item-item tersebuat lebih baik mendapatkannya di pasar malam dari mendapatkannya langsung  dari  ladang (walaupun dibenarkan memilih dan memetik buahnya sendiri  - harganya  akan lebih sekali ganda) . Selanjutnya kami  menghala ke Tanah Rata, tapi nampaknya  Bandar utama di daerah perbukitan  Banjaran Titiwangsa itu, sudah mati di awal malam.

Aneka Bungaan di Bee Farm




Di Hillview
melawat kilang Boh
Sejenis bunga unik di Hillview
Ke Cameron kalau tidak merasai aroma teh  atau tidak merasai masam manis strawberry  sudah pasti tidak lengkap. Kami mengunjungi Cameron-Bharat plantation  juga Boh Plantation. Di Boh Plantation  kami agak lama. Selain dari mendaki ke puncak hillview  menikmati pandangan lembah tanaman teh yang  hijau – walaupun tercungap  pasti berakhirnya dengan kepuasan tersendiri bila berdiri di puncak.  Turun dari hillview Sambil menghirup teh  di Tea Garden segala  rasa penat bagai terubat.  Kami juga sempat mengunjungi kilang pemprosesan  yang  masih mengekalkan  pengilangan  secara konvensional .[belum dinaiktaraf  ke peringkat pengkomputeran].

pemandangan dari puncak Hillview
Boh Plantation bermula apabila satu geran yang dianggarkan berjumlah 5,000 ekar tanah telah diberikan kepada Kompeni Boh di Lembah Sungai Boh pada tahun 1929. Stesen-Stesen Percubaan Kerajaan telah dibuka oleh Jabatan Pertanian, Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada awal tahun 1926. Sebuah kilang teh yang kecil telah dibina pada tahun 1931.




Rumah pekerja di Boh Plantation
Di Cactus point

antara bunga yang dijual di Cactus pointint.

Sebelum melanglah pulang kami sempat singgah di Bee Farm, melihat dari dekat bagaimana pemeliharaan lebah secara komersial dijalankan. Walau pun dikatakan sebagai lebah peliharaan , namun lebah-lebah ini  bebas secara natural   mengutip madu dari bungaan rimba belantara terbuka. Di sini juga terdapat  ladang strawberry serta  satu kawasan luas yang dipenuhi tanaman pelbagai bunga mungkin untuk menarik perhatian sang lebah agar terus bermastautin  di situ.

Monday, January 23, 2012

Nostalgia 2


BENDANG DAN KERBAU


         Biasanya bagi kami,  masyarakat tani di utara, perkataan sawah terlalu formal untuk   disebut berbanding dengan bendang.  Pekerjaan bersawah,biasanya diistilahkan sebagai buat bendang. Petani yang mengerjakan sawah dikelompokkan sebagai anak bendang. Seiring dengan itu timbullah frasa-frasa seperti; adatnya anak bendang selalu digelumangi selut dan sebagainya.   
Bendang sekangkang di banggul kami



         Bendang di banggul kami tidaklah terlalu luas. Rata-rata setiap keluarga memiliki kurang dari 10 relung. Begitupun masing-masing tetap punya beberapa petak bendang untuk dikerjakan. Kalau bukan milik sendiri tentulah disewa atau dipajak. Sekurang-kurangnya adalah beras untuk ditanak untuk beberapa bulan ke hadapan. Selebihnya barulah dijual bagi mendapatkan tukaran duit belanja.
Indah dipandang, kadangkala pokok telipuk ini
 menjadi masalah besar kepada taliair
           Sehingga awal tahun 1970-an (Rancangan Pengairan Muda), bendang kami ditanam setahun  sahaja. Tenaga dan kudrat Kerbau masih digunakan untuk menarik tenggala (bajak) dan sisir. Bila tiba musim mengerat(menuai) kudrat sang kerbau sekali lagi digunakan untuk mengheret anok yang sarat dengan guni-guni padi. Seekor kerbau jantan yang gagah mampu mebawa sehingga 4 guni jalur hijau (saiz paling besar). Tidak hairanlah bila setiap keluarga mempunyai beberapa ekor kerbau di dalam kandang. Bapa mempunyai seekor kerbau yang dipeliharanya sendiri untuk keperluan kerja-kerja di bendangnya.
Setinggi-tinggi terbang bangau,
 di belakang kerbau juga dia bertenggek
          Untuk membajak sawah, kerbau dilatih untuk memahami beberapa istilah khusus. Kerbau yang sudah terlatih akan memahami dan patuh apabila diarahkan. Istilah paling asas ialah chee! (jalan), sok! (kanan) cah! (kiri) paleng! (belok). Apabila tiba musim menenggala, riuh- rendah dan kadangkala bersahutan bahasa kerbau tersebut  sana-sini di banggul kami.
Paktani akan mengeluarkan bahasa
arahan tertentu yang dapat difahami dan dipatuhi
 oleh samg kerbau ketika meneggala bendang

Bapa juga mempunyai beberapa ekor kerbau  yang dipawahkan kepada orang. Dalam sistem pawah, seekor kerbau (betina) akan diserahkan kepada seorang untuk dipelihara. Sehinggalah kerbau itu bunting dan mendapat dua ekor anak; seekor menjadi milik yang memelihara dan seekor lagi untuk tuan punya.  Dia boleh terus memelihara induk kerbau itu seterusnya. Kalau mendapat anak , agihannya tetap sama, seekor untuknya , seekor untuk pemilik induk.  Kalau tidak mahu lagi meneruskannya, sang induk akan dikembalikan kepada pemunya. Atau atas persetujuan pemunya ia boleh diserahkan kepada pemawah baru.
Dulu selesai musim menuai kerbau lembu
akan dilepas bebas; sekarang tidak lagi.
          Bapa ada juga kerbau yang dipawahkannya. Biasanya, kalau ada induk kerbau yang melahirkan anak kecil, dapatlah kami merasai susu kerbau. Kadang-kadang dihantar oleh pemawah kerbau bapa. Kalau tidak  saya atau adik-adik akan ditugaskan oleh bapa pergi mengambilnya. Dengan sebuah cerek pagi-pagi lagi kami meredah embun untuk mengambil susu. Susu akan diperah sendiri oleh pemilaharanya. Bukan sebarangan orang boleh memerah. Silap-silap mendapat bahana penendang sang induk. Hanya orang yang biasa dan dikenalinya saja dibenarkan berbuat demikian. Sebelum susunya diperah, si anak kerbau dibenarkan menyusui dahulu. Sekejap, bila susu sang induk mulai mengalir laju, sang anak akan dipisahkan. Seketika kemudian susu yang putih melepak itu akan mulai mengalir sedikit demi sedikit ke dalam tukei  yang terbuat dari seruas buluh betung. Sang anak kerbau tidak dianiayai, baki untuknya tetap akan ditinggalkan. Selesai pemerahan, rezeki sang anak akan diserahkan kembali.
         Susu kerbau yang telah ditanak,memang lazat dipasangkan  bersama pulut kukus dengan sedikit gula. Dimakan bersama tapai pulut lagi sedap. Kalau ada lebihan boleh dibuat dadeh (kegemaran arwah bapa). Paling tidak campurkan dengan kopi o kaw-kaw.


Saturday, January 21, 2012

Travelog Guangzhao 5


ONE LINK DAN PEARL RIVER

pusat bandaraya Guangzhao
Hari ini 29 Julai 2011 -  tengahari dan petang ini, kami akan dibawa shopping  di  One Link iaitu suatu daerah jualan borong (whole sales) terbesar  yang menempatkan pelbagai  zone barangan khusus seperti Silk Centre,  barangan kulit, pakaian wanita, jam, alat tulis dan pelbagai lagi.
terperangkap dalam hujan di One Link

Sungai Mutiara waktu siang
Menurut Sdr Firdaus, salah seorang staf di Anzac  Consultancy , zone yang menempatkan  barangan textiles saja akan memakan masa 4 tahun untuk dilawati ,itu pun jika  kita cuma memperuntukkan kadar masa 4 minit untuk sebuah kedai.  
Selepas makan malam, kami  bawa berpelisiran di Pearl River.  Sungai mutiara atau Zhu Jiang dalam bahasa tempatan  merupakan sungai ketiga terpanjang selepas Sungai Yangtze dan Yellow River.  Berhulukan bahagian tengah - barat China dan Vietnam ia menjalari hampir ke 2400km menuju muaranya di laut China Selatan. Selain Canton dan Hong Hong di muaranya, terdapat lagi dua lagi bandaraya besar iaitu bandar industry Shenzhen sebelah utara dan Macau  di selatan.

semalam di Sungai Mutiara

Berdiri di tebing sungai yang waktu malam dimandikan dengan limpahan neon itu, saya cuba membayangkan suatu ketika dahulu bagaimana sibuknya kapal-kapal dari timur dan barat hilir mudik  ke canton membawa dagangan. Dan  seratus tahun dahulu di sinilah juga tecetus pertempuran hebat antara angkatan miritim  China dan Barat dalam siri Opium War. Ada mayat-mayat hanyut berkaparan ke muara.

Foto kenangan peserta seminar


Pearl River night cruise (atas)
Di Baiyun Airport sebelun berlepas pulang (bawah) 
Kini Pearl River lebih berfungsi sebagai  antara lokasi pelancungan menarik di Guangzhao. Sesuai dengan panggilannya sebagai sungai mutiara, ia Nampak seakan aliran mutiara bergemerlapan  oleh lantunan cahaya dari bangunan-bangunan pencakar langit di kiri kanan tebingnya. Beberapa buah river cruise hilir mudik  membawam pelancung.

Wednesday, January 11, 2012

TRAVELOG GUANGZHAO 4


MASJID TUA DAN MAKAM ABI WAQQAS

Pengambaran Usrah Tv9
Hari ini 28 Julai 2011. Jam 9.00 pagi kami berkumpul di lobi hotel menunggu bas untuk membawa kami   menziarahi  masjid tua dan makam Abi Waqas. Turut serta ialah crew Tv 9 serta Uztaz Muhammad Abdullah yang akan membuat rakaman Rancangan Usrah.

Kedai daging halal
Mengikut Ustaz Muhammad terdapat sedikit kekeliruan  dari segi pensejarahan,samada jasad yang dimakamkan itu ialah Saad bin Abi waqqas, sahabat Rasullullah SAW juga perawi hadist itu atau kemungkinan saudara atau individu lain dari keluarga  Abi Waqas; kerana mengikut Imam Malik, Saad Abi Waqqas, meninggal di Madinah (tak mungkin dibawa menyeberangi benua untuk dimakamkan di Quangzhao ).
Antara makam sahabat
bersama ekspedisi Dakwah Abi Waqqas

Depan makam Abi Waqqas
Masjid dimana terdapatnya makam Abi Waqqas, dikenali sebagai Masjid Hua Sheng, terletak di Guang Ta Lu. Sebuah lagi masjid tua  dikenali sebagai Masjid Xiao Dongying, di Yue Hua Road, Yio Dong Ying.    

depan Masjid Hua Sheng
Walau apa pun kesahihannya, mereka adalah daei dan syuhada yang telah Berjaya mengembangkan Islam ke Asia Timur. Kata Ustaz Muhammad. Antara dialog yang pernah diucapkan oleh Abi Waqas dan para sahabatnya ialah; Sama ada syahid atau Berjaya menyampaikan seruan Islam ke China’ untuk berpatah kembali tidak sekali-kali.
Jam  lebih kurang 10.30 pagi ketika kami bas yang membawa kami melewati sebuah lorong  yang redup dan lengang. Kelihatan  lelaki dan wanita berwajah cina tapi berkopiah dan bertudung. Mereka adalah China muslim hasil peninggalan dari ekspedisi dakwah kira-kita 1400 tahun yang lalu.  Terdapat deretan rumah kedai yang agak tradisional menjual  makanan halal ;daging kambing, buahan, kekacang  dan lain-lain.

Melangkah kaki ke kawasan masjid dan makam yang terletak di sebuah anak bukit, berpayungkan pohon-pohon yang hijau, redup , dingin seolah menyimpan rahsia mistik berabad. Kiacauan burung seakan melantun-lantun dari suatu daerah purba .
rumah api berhampiran  Masjid Xiao Dongying 
  Shabi Well- peringi peninggalan masyarakat  Islam terawal di China

 bersama Imam (kanan) dan pegawai masjid (kiri) HuaSheng.

Sebelum tiba ke kawasan permakaman dengan mendaki sebuah cerun landai kita akan ketemu sebuah masjid di kiri jalan.
Makam Abi Waqqas terletak dalam sebuah bangunan lama yang sempit dan suram.  Ditutupi sehelain kain satin  berwarna hitam.  Dijagai oleh seorang lelaki berwajah campuran arab-cina. Di luar bangunan makam itu terdapat lebih dari sepuluh buah makam para sahabat Abi Waqqas yang sama-sama bertaruh jiwa raga dalam ekspedisi suci itu. Di celah-celah bangunan purba itu turut kelihatan ialah sebuah menara rumah api yang dikatakan turut di bina oleh para sahabat tersebut.

Selepas solat sunat di masjid tua itu, saya tidak melepaskan peluang untuk meneguk air  dari perigi tua yang berusia lebih dari seribu tahun tapi terus mengalirkan airnya yang jernih dan dingin. Perigi  dikenali sebagai Sahabi Well, mengikut keterangan dari seorang penjaga (yang ramah) di situ, ia juga turut digali oleh para pendakwah dari semenanjung arab  tersebut.


Tuesday, January 3, 2012

TRAVELOG GUANGZHAO 3


NIGHT MARKET 
DAN BEIJING LOO


SELESAI makan malam di Muhammadan Muslim Restaurant  [ di sini ada ruang-ruang/ bilik yang diberi nama “Kelantan”,” Kedah” dan lain-lain…..eih, hebat juga negeri kita] malam itu Ah Hong memaklumkan bahawa kami akan di bawa berpelisiran sambil berwindow shopping ke Beijing Loo. Beliau tidak lupa mengingatkan kami  agar melihat-lihat saja, tidak digalakan berbelanja  besar . Ada tempat lain nanti khusus untuk shopping sakan.

Beijing Loo dikatakan satu daerah yang menempatkan shopping complex yang bertaraf elit. Manusia bertali arus menyusuri gedung-gedung perniagaan besar termasuk yang berjenama antarabangsa.


Sekilas pandang seolah-olah badai kapitalisme Eropah telah melanda lalu menggerhanakan komunisme China begitu hebat sekali setelah berakhirnya era perang dingin. Dan ramai  pakar ekonomi meramalkan bahawa dalam jarak terdekat China akan mengatasi Amerika dan Eropah lantas menerajui ekonomi dunia.

Gelandangan
Namun begitu saya melihat dicelah-celah  kepesatan  ekonomi China, sipi-sipi bayang-bayang dualism terus bergerak seiringan. Sisi gelap dan murung  terselit di sana sini. Di hujung malam itu kita masih melihat penjaja-penjaja kecil masih setia menunggu pelanggan di bahu-bahu jalan dengan penampilan yang sangat tradisional dan dhaif. Memikul dan mengandar dagangan  dari daerah perdalaman. Kebanyakananya menjaja buahan  termasuk seperti yang terdapat di negara kita seperti mangga dan manggis.

Berjaja di bahu jalan
Di kaki-kaki  lima yang suram  dan terhindar dari neon-neon yang benderang itu kita masih menemui para gelandangan, pengemis-pengemis yang menagih rezeki serta pelacur-pelacur yang mengejar pelanggan.


Bahagia dengan dunia mereka

Namun begitu pelakun-pelakun kecil di balik tabir yang suram itu telah ditenggelamkan oleh kehebatan geraklaku aktor-aktres  dan kecanggihan teknologi yang membenderangi pentas kehidupan manusia di Beijing Loo.

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...