Saturday, February 18, 2012

cerpen 1



                      SEKALI AIR BAH
                                       
                               Oleh:
                                Zainol Idris


  
 Mak tak akan  pindah. Demikian keputusan Mak. Keputusan  muktamad.  Bagi Mak ,ini bukannya pindah tapi lari meninggalkan rumah. 
Mak tak faham bila dikatakan tinggal di rumah  mungkin tak selamat. Pada Mak rumah adalah tempat  paling selamat. Rumah adalah naungan  tempat  berlindung; Bukan saja  teduhan hujan dan panas semata  tapi  benteng kepada segala ketakutan dan mara bahaya. Tembok pendinding kepada segala musuh. Sudah  lama  rumah itu telah menyediakan khidmat terbaik kepada Mak sekeluarga. Di situlah tempat makan minum. Tempat Tidur baring . Sakit demam. Kenduri kendara . Berkelamin. Beranak pinak. Semuanya dalam rumah inilah.
 Pesanan arwah Pak masih Mak pegang; Selain  masjid, rumahlah tempat paling selamat’.Jangan sekali-kali tinggalkan rumah.  Apa-apa pun yang terjadi cepat-cepat masuk dalam rumah’, tambah arwah Pak  lagi.
Sebab itulah ketika  melalui zaman sukar; baik zaman Jepun, baik zaman Bintang Tiga, jarang Pak dengan Mak  meninggalkan rumah. Cuma sekali atau dua mak ikut orang kampung berlindung dalam masjid bila pihak Berikat menjatuhkan bom membuta tuli. Ketika itu Mak baru kahwin dengan Pak.  Pak dengan Mak kahwin muda. Umur masih belasan  tahun. Semuanya akibat takut dikerah Jepun jadi buruh paksa buat landasan keretapi di utara.
Cikteh, datang mengiau-ngiau, menyondol-nyondol betis Mak. Mak cempung Cikteh keluar ke beranda.  Mak bertimbuh  di kepala tangga. Di bawah, air bah  telah merata. Seluruh kampung karam sepenuhnya. Petang semakin larut  ke ambang maghrib.  Batas-batas permatang yang mengepung air dalam petak-petak bendang  sudah tak nampak lagi. Pucuk-pucuk padi tengah bunting siang tadi masih  terkuit-kuit, juga sudah lupus ditelan air. Bah telah mengepung dari semua arah. Banggul itu dulunya seakan sebuah pulau yang dilengkungi sungai sekarang sudah macam laut .
Mak jenguk ke bawah. Arus  air lumpur likat campur kelodak meliar ganas dan  membuak-buak tiba.  Sesekali Kaparan sampah sarap menunda puntung dan reba hanyut melintasi halaman. Daun pisang kering yang entah dari mana  tersangkut dan membelit  pelapik tiang simen setinggi tiga kaki .Tangga yang menjulur dari beranda ke tanah juga telah tenggelam tiga setengah anak tangga . 
Mak hala pandangan  ke arah ban tali air.  Sepanjang  ban berderet motosikal dan beberapa buah  kereta yang baru dipindahkan menjelang petang. Khabarnya air terus naik. Namun semuanya Mak tak kisah.  Tiang rumah Mak tinggi. Tiang kayu bulat merbau pulas dan setengahnya dari kayu pinang baik masih kukuh berdiri atas pelapik tiang setinggi tiga kaki. Kolong rumah Mak bukan saja lulus budak berlari, kerbau lembu pun boleh memboloskan diri, tak bimbang tanduknya tersangkut kayu rasuk.  Lagipun Mak bukannya ada banyak barang yang perlu dipindahkan. Kalau ada pun cuma gerek tua arwah Pak yang terikat di tiang seri bawah rumah. Gerek tua itu sudah lama di situ. Tak ada siapa yang sentuh. Sudah berkarat. Kadang-kadang jadi tempat ayam jantan betina bertenggek. Ada sekali dua Maniam Besi Buruk  minta beli tapi Mak tak jual. Mak kata biarlah, buat kenangan anak cucu.
Seberkas dua kayu api sudah Mak naikkan atas jemuran  sebelah dapur. Untuk hidupkan api dapur  empat lima hari lebih daripada cukup. Mak rasa kalau  banjir tak surut-surut sampai seminggu pun, dapur Mak akan tetap berasap. Beras masih banyak dalam karung  plastik. Ikan sepat kering ada dalam raga  tergantung dekat para dapur. Pekasam sepat benua  pun masih banyak dalam guri.
            “Marilah Toksu, kita pindah. Air tengah  jujuh sampai ‘tu  .Semua orang ‘dah pindah; tinggal Toksu seorang saja!”, ajak Usop JKK sungguh-sungguh . Usop JKK yang tiba bersama pasukan penyelamat dengan bot lepas asar tadi  menanggalkan baju hujannya terus  melompat ke atas beranda .
             Hujan renyai terus menaburkan renjisanya tak henti-henti sejak tiga hari lalu. Langit tetap suram dengan awan-awan kelabu yang ranum memberat.
            “Kau orang nak bawa aku pindah ke mana?” ,soal Mak.
            “Pusat pemindahan dibuka di sekolah. Dah ramai yang  dipindahkan ke sana. Semua  jenis bantuan ada tersedia ; Toksu tak perlu bimbang fasal makan minum, tidur pakai semua.  Toksu berkemaslah, bawa benda-benda penting saja.” kata Usop JKK lagi . Dua orang anak muda bercepiau merah siap dengan jeket kalis hujan  pasukan  penyelamat masih tercangak-cangak dalam bot menepis tikaman hujan yang masih merenyai.
            “Tak apalah, biarlah mereka saja pindah. Lagi pun rumah mereka rendah, air pun dah masuk dalam rumah. Rumah  aku ‘ni rumah kayu . Air tak akan naik sampai mencecah lantai. Aku  selamat di sini. Tak apa, usah bimbangkan aku. Sudah puluhan kali ‘dah  air bah. Tak sekali pun aku pindah randah.” Ujar Mak dengan kedegilannya.
            “Tak boleh Toksu. Air tambah dalam, bukannya  makin surut. Hujan lebat di Hulu Pedu sana.  Arus Sungai Chegar Alur Changlih ‘tu membuak-buak derasnya. Kami bimbang rumah ini akan hanyut dilanda arus. Lagipun Toksu tinggal seorang. Nanti kalau sudah malam lagi susah”
           “Ini bukan bah biasa Nek; ini banjir besar. Dah heboh masuk radio, masuk televisyen. Kami bukan nak menyusahkan Nenek. Kami bimbangkan keselamatan Nenek. Kalau terjadi apa-apa nanti kami pula yang disalahkan.” pujuk salah seorang anak muda bercepiau merah dari dalam bot. Dengar loghat cakapnya, Mak tahu budak-budak Pasukan Penyelamat bercepiau merah bukan orang tempatan.
            “Betul ‘tu Toksu, kalau Kifli dapat tahu, kena bambu  kami  nanti kerana abaikan Toksu,” tambah Usop JKK.
             Mak tetap  dengan ketegarnya.  Mak kata dia yakin selamat dalam rumahnya. Rumah Mak kukuh. Tiang-tiangnya teguh tak akan terusik dengan arus air bah sebesar mana pun. Semuanya sudah teruji bertahun-tahun. Bukan sekali dua  bah melanda. Seingat Mak paling besar bah setakat melupuskan empat anak tangga beranda saja. Masih jauh untuk mencecah lantai.  Kalau arus  deras cuba nak hanyutkan rumah pun tak ke mana.  Keliling rumah Mak banyak pohon-pohon besar yang menumang. Kalau arus bah cuba rempuh, pohon-pohon temusu tiga beradik yang berusia lebih seratus tahun  tumbuh berhampiran telaga itu akan menampan dengan gagahnya..
           Usop JKK macam hilang kata-kata untuk terus berhujah dengan Mak. Dengan muka separa kecewa dia meninggalkan Mak.  Mungkin juga meluat campur sebal dengan kedegilan si tua yang tak makan nasihat itu. Sebelum meninggalkan Mak,Usop JKK hulurkan sekampit beras, dua tin sadin dan sepeket gula ; sumbangan YB , katanya. Dan sebelum bot penyelamat itu bertolak pergi Usop ingatkan Mak lagi; jika bah makin buruk, malam nanti mereka  akan datang lagi untuk pindahkan Mak. Kalau Mak degil juga dia akan dibawa secara paksa.  
         Mak atur langkah ke dapur. Cikteh  ikut Mak sambil menggesel-geselkan  kaki Mak dengan ekornya yang dicawatkan. Mak keluarkan pelita ayan kemudian nyalakan dengan macis. Sudah dua hari elektrik dipotong. Kata Usop JKK elektrik terpaksa dipotong kerana akan membahayakan nyawa. Mak kurang pasti bahaya bagaimana.
        Mak ada simpan lima enam pelita ayan. Selalunya pelita-pelita ini Mak  keluarkan bila  Kifli  anak beranak balik beraya di kampong . Minyak tanah juga selalu ada simpanannya. Kalau habis mak kirimkan Dolah Rebung beli di kedai simpang. Bila sekali sekala  keputusan elektrik mak tak bimbang untuk bergelap. Di kampung elektrik selalu putus kadang-kadang dalam sebulan lebih dari sekali. Sesekali pula walaupun elektrik ada mak pasang pelita juga. Lagipun mak tinggal seorang tak perlu  terang benderang.  Cuma kalau Kifli balik bersama anak bini Mak pasang semua lampu. Kadang-kadang cahayanya melimpah hingga ke halaman.  Maklumlah anak bini Kifli lahir dan dibesarkan di kota. Tentu tak betah suasana kampung yang gelap gelemat .
                  Lepas arwah Pak meninggal, pernah  juga Kifli ajak Mak tinggal dengannya di kota. Tapi Mak tak mahu. Mak tak rela meninggalkan rumah pusaka peninggalan arwah Pak. Rumah yang pak bina dan tukangi dengan tangannya sendiri. Malah ada bahagian-bahagiannya Mak turut  sumbang tenaga. Atap rumbia yang memayungi rumah limas beranjung lima itu tangan Mak sendiri yang menyematnya. Bumbung beratap rumbia itu tetap kekal hingga kini. Kebanyakan bumbung rumah di kampung itu telah bertukar zink atau asbestos  tapi rumah Mak tetap kekal berbumbung rumbia.    
                 Di becah dekat telaga ada rumpun rumbia, rumpun mengkuang dan perdu buluh sigai. Sengaja mak simpan. Malah dalam seminggu dua sekali Dolah Rebung akan datang mengendap pucuk-pucuk rebung yang menombak ke permukaan  tanah. Kalau ada dia akan cantas untuk dijual di Nat Tok Jalai. Sebelum balik  Dolah Rebung akan hulur seringgit dua pada Mak kerana rebung-rebung yang diambilnya.  Tapi Mak tak pernah ambil. Semuanya Mak kira sedekah. Mak tahu Dolah Rebung bukan orang senang. Cari rezeki dengan jual rebung atau pucuk-pucuk ulam  saja.
                Kalau ada atap rumah bocor mak minta tolong Dolah Rebung tetak rumbia. Tebang buluh sigai. Buluh di katam panjang sedepa. Kemudian dibelah sebesar jari  jadikan bilah-bilah mengkawan . Bemban juga masih jenuh di tepi telaga untuk dibuat tali menyemat atap. Sudah siap semuanya Dolah Rebung jugalah mak upah panjat bumbung menyalin mana-mana atap yang bocor. 
               Pernah juga Usop JKK   cadang Mak robohkan rumah tua itu ganti dengan rumah baru. Buat rumah setingkat atas tanah, separuh batu separuh kayu. Usop JKK kata dia boleh rekomenkan nama Mak sebagai warga emas untuk dapatkan rumah program PPRT. Semuanya Mak tolak mentah-mentah.  Mak kata dia bukan golongan rakyat termiskin. Semua serba cukup. Makan pakai tak pernah kurang. Lagipun di mana Kifli nak letak muka nanti; anak  pegawai besar  tiba-tiba ibunya duduk di rumah PPRT. Terdiam juga Usop JKK bila dengar alasan Mak.      
                  Dulu ada budak-budak muda dari Korea dibawa masuk kampong.  Rumah Mak jadi pilihan untuk ditumpangkan budak-budak perempuan Korea itu. Usop JKK kata Mak terpilih jadi mak angkat minah-minah Korea itu kerana rumah Mak masih kekal dengan ciri-ciri rumah Melayu. Lebih seminggu budak-budak itu duduk dengan mak. Mereka nak belajar cara hidup kampung. Malam-malam pasang pelita ayan saja. Makan bersila cara kampong. Tanak nasi dapur kayu. Lauk asam pedas puyu. Pekasam lampam jawa goreng. Jeruk maman. Ulam-ulam dan sambal belacan. Belajar semat atap. Belajar anyam tikar. Mandi air telaga. Tidur berkelambu.  Menitis juga air mata Mak ketika berpelukan  dengan anak-anak angkatnya masa hendak berpisah dulu.
              Lepas sembahyang Maghrib Mak jenguk ke dapur. Nasi masih banyak dalam periuk. Lauk siang tadi juga masih berbaki bawah tudung saji. Mak rasa masih kenyang. Mak senduk nasi masukan dalam pinggan ayan sopek. Ikan goreng separuh Mak gaulkan dengan nasi kemudian Mak sorongkan pinggan itu pada Cikteh yang mengiau-ngiau dan menggelenteng tak sudah.
            Mak capai satu lagi pelita ayan dan nyalakan. Kemudian bawa pelita ayan keluar ke beranda. Hujan masih renyai. Angin lembab dan sejuk sesekali melintas alur dan lahar menyebabkan api pelita meliuk liar  mahu padam. Cepat-cepat  Mak alihkan pelita ke balik daun pintu yang sebelah tertutup.   Mak jenguk ke arah kaki bukit.. Melalui celah-celah pelepah rumbia  ternampak jalur-jalur cahaya dari sekolah yang dijadikan pusat pemindahan. Mungkin Usop JKK telah usahakan sebuah generator mengelakkan  mangsa banjir berada dalam kegelapan.  Mak tahu demi kebajikan kampung Usop JKK memang boleh dipuji. Kalau ada kenduri kendara Usop JKK lah yang mengepalai. Kalau berlaku kematian pun dialah yang ke hulu ke hilir menguruskan itu ini.
           Limpahan  cahaya  kejauhan yang tumpah kepermukaan air yang telah melaut menghasilkan riak-riak berkilauan. Memang betul kata Usop JKK  air tengah jujuh sampai. Empat anak tangga di beranda telah lupus ditelan air. Namun Mak tetap tak bimbang. Mustahil banjir akan terus merajalela sampai melahap ketujuh-tujuh anak tangga. Selama ini belum pernah sampai ke peringkat  itu. Paling besar  cuma mencecah lima anak tangga saja.
           Seingat mak juga, bah tidak pernah menggerunkan anak-anak kampong. Sebaliknya dulu bila terjadi bah, anak-anak kampung menyambutnya macam pesta pula. Lagipun air yang melimpah dari tebing Sungai Chegar Alur Changlih  yang melengkar di tengah kampong itu tidak per nah mengganas sampai meragut nyawa. Air jernih dari Hulu Pedu atau Padang Sanai  itu naik dengan cukup sopan sedikit demi sedikit. Seinci demi seinci meneggelamkan tanah dataran di atas tebing, bukan tiba-tiba menderu dengan arus deras lintang pukang macam apa-apa seperti hari ini .  Kerbau lembu akan diselamatkan dengan dilepaskan tali hidungnya kemudian dihalau ke padang rezap . Kerbau lembu itu akan bebas meragut di Padang Rezap sehingga bah surut. Kambing-kambing  akan diheret ke atas tambak yang memang tersedia pada setiap rumah kampong. Ayam-itik pula dikepung ke atas tambak dibiarkan memagut sagu dari batang rumbia atau ubi gajah.  Kambing-kambing pula galak mengunyah taruk daun rumput tunggul, daun kesinai atau daun nangka yang dilonggokkan dalam tong padi  sepanjang musim bah.
        Musim bah lauk pauk memang jenuh. Anak-anak kampong tak perlu mengharapkan bantuan beras atau ikan sardin macam sekarang. Serba jenis ikan  dari lubuk akan ikut air bah naik ke bendang, ke alur, lahar dan yoi  untuk bertelur. Keli, haruan, lampam, sebarau, pucuk pisang, baung, tengas,sepat ,belida dan puyu bagai berlumba-lumba untuk  naik meneran telur demi meneruskan zuriat masing-masing.
        Diam-diam Mak teringatkan Kifli.
        Dulu Kalau musim bah Kiflilah yang paling seronok. Berendam dalam air bah pagi tumpu ke senja macam anak kerbau. Kehulu ke hilir hora- hore dengan rakit batang pisang berkampuh tiga bersama kawan-kawan sebaya  termasuk Usop JKK dan Dolah Rebung.
       Masa arwah Pak masih ada, Kifli tak pernah lekang dengan Pak. Kifli akan ikut Pak sana-sini naik ber ahu. Boleh dikatakan setiap rumah di persisir tebing Sungai Cegar Alur Changlih ada perahu masing-masing. Kadang-kadang Kifli ikut  Pak cabut ubi kayu yang batas-batasnya mulai ditenggelami bah. Perdu pokok ubi kayu  tak boleh dibiarkan terendam lama dalam  air. Nanti ubinya masuk angin dan mudah bentan. Kalau sudah bentan rebus dua hari pun tak akan empuk lagi. Kalau sudah begitu, ubi-ubi itu akan dilonggokkan di atas tambak saja untuk habuan ayam itik memagut.
         Kifli cukup suka sarapan ubi rabus dengan gula merah campur kelapa kukur . Tambah selera lagi kalau ada pulut kukus dengan pekasam puyu goreng. Selalunya lepas sarapan Kifli ikut Pak naik sampan menjenguk pukat yang dipasang di tepi alor sejak petang kelmarin. Kalau musim banjir, mata-mata pukat itu tidak pernah mungkir memerangkap lampam jawa, lampam sirip merah, pucuk pisang, sebarau , belida atau kelah. Kalau nasib tidak baik pula ular tanah atau ular belalai gajah menggelenting berbelit-belit dicerut mata pukat.
        Bubu-bubu yang Pak tahan dengan Kifli di celah-celah perdu rumbia juga tak pernah kosong bila diangkat. Ada saja yang terkodek-kodek kerana teruja dengan aroma umpan ubi gadung bakar yang dimasukan dalam bubu. Kalau tidak haruan tentu toman. Seringkali juga baung putih kadang-kadang baung kuning meronta garang bila bubu dinaikkan. Paling lekeh tentulah keli Jepun berlemak kuning tercungap-cungap terperangkap dalam injap bubu. Sesekali kalau ada rezeki udang galah sebesar lengan dengan sepit-sepit berlumut hijau terbaring macam uggukan reba.
       Malam-malam tak perlu keluar jauh untuk memancing, musim bah cukup dari atas  beranda saja.  Taut-taut juga boleh dipasang dengan mencacakkan bilah-bilahnya pada perdu pisang . Bila terdengar bunyi kocakan air menandakan ada taut yang telah mengena, cepat-cepat Kifli capai lampu suluh membawa ikan balik ke atas beranda.
       Pak juga rajin pasang bubu seluang ketika bah. Bubu berinjap  sebuah tuke buluh akan diisikan dengan dedak beras  yang dikepal bersama tanah liat sebesar lengan budak. Dedak beras yang ringan akan muncul dari tuke injab terapung-apung  di permukaan air. Anak-anak seluang yang selalunya bergerak dalam kumpulan besar akan teruja dengan  apungan dedak itu. Seekor demi seekor seluang akan menyusup jauh melalui injab ke dalam bubu sehingga habis sekawan. Ketika diangkat hampir secupak anak seluang akan berceriau menggeliding dalam bubu, bekilauan bila tubuhnya yang nipis keperakan dilantuni sinar api pelita. Anak-anak seluang itu biasanya Mak akan masak pindang  serai lengkuas saja. Itulah masakan kegemaran Pak juga Kifli.
         Ikan lampam jawa atau pucuk pisang  kalau musim bah perutnya bengkak merening dipenuhi  telur berlemak . Bila menyiang ikan telur-telur ikan itu mak kumpulkan untuk dibuat  pais.  Telur ikan itu akan dimasukkan ke dalam  daun pisang lepas digaul bumbu yang siap ditumbuk dalam lesung batu.  Kadang-kadang Mak gunakan daun mengkudu berkampuh dengan daun  kunyit untuk membalutnya. Telur ikan yang siap dibungkus itu akan diapit dengan semanggang ranting buluh lalu dipanggang atas bara api. Mak akan balik-balikkan semanggang itu atas bara  pasti betul-betul masak. Apabila dibuka aroma yang  mengecurkan liur siapa saja itu  semerbak terapung satu rumah .
           Tanpa perlu dikeloi lagi Kifli dengan Pak sudah siap melengkungi hidangan atas tikar mengkuang. Kalau musim bah menu Mak tak perlu hebat-hebat. Cukup dengan pindang anak seluang, pais telur ikan, ulam rebusan jantung pisang, pucuk mengkudu atau pucuk ubi dengan air asam cabai patah saja. Semuanya sudah cukup menyelerakan.  Seingat  Mak Kifl makan tidak pernah tidak tambah.
          Tapi akhir-akhir ini Kifli sudah jarang balik.  Sejak kahwin dan beranak pinak, dalam setahun cuma sekali dua saja balik bertandang, itu pun pada hariraya. Dulu ketika masih bujang, Kifli balik setiap minggu. Tidak pernah tidak. Ada sajalah alasannya.  Teringat Mak. Bimbangkan sakit demam Mak. Rindu masakan Mak . Dan macam-macam.   Lama-lama kemudian Kifli akan balik selang seminggu atau dua minggu sekali. Paling lama  sebulan sekali Kifli mesti jenguk Mak hantar duit belanja.
          Kifli pun sekarang bukan muda belia lagi. Umur pun sudah cecah empat puluh. Mak sendiri pun sudah tujuh puluh lebih. Mak faham Kifli tentunya sibuk. Sibuk dengan kerja buatnya. Sibuk dengan rumah tangga dan anak bini. Anak-anak bersekolah lagi. Lagipun jarak kampong dengan kota bukannya dekat. Hendak balik sekali sekala makan sehari suntuk juga. Untuk tinggal sehari dua di kampong kena mohon cuti. Kerja makan gaji bukannya boleh ikut sesuka hati. Boleh buat halai-balai macam duduk di kampung.
         Apa-apa pun Mak tahu kifli tak pernah lupakan Mak.  Walaupun tak boleh balik Kifli tetap telefon bertanyakan khabar. Walaupun bukan setiap hari, Kifli tetap telefon sebulan sekali beritahu Mak yang dia sudah masukan duit belanja dalam buku bank Mak. Semuanya Mak tak kisah. Mak tahu kerja Kifli. Mak faham kesibukan Kifli. Lagipun Mak bukan tak biasa berjauhan dengan Kifli. Lepas sekolah rendah di kampung, Kifli terus masuk sekolah asrama penuh. Dari asrama penuh  langsung ke luar negeri. Habis belajar terus diarahkan kerja  di ibukota. Apa nak buat, Kifli bukan anak Mak dengan Pak saja – dia anak kerajaan; begitulah anggapan orang-orang kampung , kerana sejak kecil sampai dewasa kerajaan yang biaya semua perbelajaan Kifli  .
         Tiba-tiba Mak terdengar suara Cikteh mengeow cemas dari arah dapur. Suara Cikteh agak berlainan dari biasa. Mak faham betul dengan nada suara Cikteh. Mana suara manja. Mana suara tanda lapar.Tapi suara Cikteh kini agak ganjil. Bunyinya seperti tercekik sesuatu. Mustahil pula Cikteh tercekik tulang ikan. Mak capai pelita ayan terus bergegas ke dapur.
          Dengan sorotan cahaya pelita ayan Mak suluh sana sini. Hairan Cikteh tak ada.  Suara ngeowannya pun macam sudah ghaib. Mak keloi panggil nama Cikteh . Tak ada jawapan. Biasanya kalau Mak panggil, Cikteh sahut dengan ngeowan manja.Mak hendap sana sini. Bawah dapur tak ada. Atas para tak ada. Tepi kampit beras tak ada. Dekat tempayan air pun tak ada. Di balik pintu tak ada. Mak tolak pintu menghala ke jemuran yang sedia  renggang.
          Mak terkejut besar nampak Cikteh tercungap-cungap dalam belitan ular sawa sebesar paha. Ekor Cikteh terkodek-kodek menahan belitan yang semakin mencerut. Mak Nampak mata Cikteh makin layu merenungi Mak seolah-olah minta tolong.  Mak rasa jantungnya berdegup cepat. Lutut Mak lemah tiba-tiba. Mak capai puntung kayu api dan cuba mengacah-acah sawa batik sebesar paha itu. Ular itu memanggungkan sedikit kepalanya lalu menjelirkan lidahnya macam tak hairan dengan ancaman Mak. Mak tonyoh kepala ular sawa dengan kayu api. Kerana marah dengan tindakan Mak  sang ular melonggarkan belitannya pada badan Cikteh. Cikteh melompat keluar dari gelongan ular lalu berlindung di belakang  Mak. Sang ular yang tidak puasa hati dan marah melibas ekornya pada kaki Mak. Sekali bedal Mak terhuyong ke depan. Ular terus membelit kaki Mak.
             “Tolong…tolong…tolong”, Mak menjerit sekuat hati. Namun Mak rasa suaranya tidak mampu melepasi tenggoroknya. Belitan ular sawa batik sebesar paha semakin mencerut bahagian kaki Mak. Mak rasa kakinya macam kena berkas.
                 Mak tersentak. Kemudian antara dengar dan tidak telinga Mak tertangkap bunyi macam  injin motor bot menghampiri beranda. Ada suara riuh rendah di luar. Diikuti dengan bunyi denduman kuat pada daun pintu.
                 “Mak!?”
                 “Kifli?!”
                 Mak bangkit duduk. Mak gosok-gosok matanya seperti mahu memastikan apa yang sedang berlaku. Betulkah yang berteleku di hadapannya itu Kifli. Mak pandang keliling. Dalam kesuraman api pelita itu kemudian Mak nampak Usop JKK serta budak-budak muda bercepiau merah pasukan penyelamat yang datang lepas asar tadi.
               “Kenapa Mak tak ikut pindah.  Puas kami keloi Mak, tapi tak ada jawapan. Jadi Kami ambil keputusan pecahkan pintu untuk masuk. Kami bimbang sesuatu yang tak baik berlaku. Lagi pun paras air sedikit lagi saja nak cecah lantai…”.
                “Mak tertidur lepas maghrib tadi. Bila kamu balik?”
               “Baru saja. Saya ikut rombongan Menteri datang nak meninjau kawasan banjir di daerah sini. Abang Usop JKK  kata Mak sorang saja tak mahu pindah. Jadi saya terus ajak dia ke sini. Mak kena pindah sekarang juga ke pusat pemindahan. “, kata Kifli tegas.
               “ Hmh, ikut kamulah Kifli. Mana Cikteh, bawa dia sekali”, mata Mak meliar mencari kucing kesayangannya.
               “Kami dah masukan dalam bot, Toksu.  Sekarang tunggu Toksu saja lagi.”ujar Usop JKK.
                ( Mingguan Utusan Melayu,  7&14 Feb.2 011)
                                         








    

No comments:

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...