Wednesday, December 6, 2017

PERJALANAN SASTERA 3


HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA (HSPAM) 2013

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 (Cerpen)

PENDAHULUAN

BAGI tahun 2013, terdapat dua kategori genre cerpen yang dinilai, iaitu kategori kumpulan cerpen dan kategori cerpen eceran. Bagi kategori kumpulan cerpen, panel penilai peringkat saringan telah menerima sejumlah 27 buah kumpulan cerpen terbitan pelbagai syarikat penerbitan. Bagi kategori cerpen eceran pula, panel saringan menerima sejumlah 567 buah cerpen termasuk cerpen yang termuat dalam antologi cerpen yang dihasilkan dalam tahun 2013. Sebanyak 11 buah kumpulan cerpen dan 101 buah cerpen eceran telah berjaya disaring ke peringkat akhir. Kumpulan cerpen tersebut ialah:

1.    Khilaf karya Wan Marzuki Wan Ramli.
2.    Serangga di dalam Kepala , karya Roslan Jomel
3.    Sepi Makin Memanjang karya Azizi Haji Abdullah
4.    Narasi Gua dan Raqim, karya Mawar Shafie
5.    Sayang Perahu Mudik Hilir, karya Moh Azam Rezali
6.    Di bawah Langit Copenhagen, karya Salina Ibrahim
7.    Hanya Beberapa Minit, karya Noridah Mohd Nor
8.    Melawan Yang Mustahil, karya Ruhaini Matdarin
9.    Hujan Hujung Januari, karya Rebecca Ilham
10. Catatan Cinta Anakanda Bonda karya Kamariah Kamarudin
11. Rebahnya Pohon Rambutan karya Mohd Ali Salim

KRITERIA PENILAIAN
Kedua-dua kategori cerpen ini dinilai berdasarkan kepada kriteria penilaian yang telah ditentukan oleh pihak urus setia HSPM, dengan tidak mengetepikan aspek-aspek struktural yang membina karya ciptaan cerpen. Kriteria penilaian yang dimaksudkan itu adalah seperti yang berikut:
1.    Kekuatan kesatuan organik karya.
2.    Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang.
3.    Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan.
4.    Keindahan moral.
5.    Inovasi dan kreativiti.
6.     
KEPUTUSAN

Kategori A: Kumpulan Cerpen
Pemenang bagi kategori ini diberikan kepada kumpulan cerpen berjudul Hujan Hujung Januari yang ditulis oleh Rebecca Ilham, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)  dan Persatuan Penulis Nasional (PENA)  2013.

KEKUATAN KARYA PEMENANG
Sebanyak 16 buah cerpen dalam kumpulan cerpen Hujan Hujung Januari menunjukkan  kekuatan dan keunikan tersendiri. Pengarang menonjolkan daya kreativiti mengungkapkan permasalahan global yang sebelum ini dipandang sepi oleh masyarakat sebagai isu yang signifikan untuk difikirkan. Melalui paparan sedemikian, pengarang memperlihatkan keperihatinannya terhadap isu-isu bersifat tempatan dan global, seperti isu kuasa besar Yahudi-Palestin, Amerika-Iraq, Rusia-Chechen dengan permasalahan kepupusan minyak, perbezaan budaya Jepun dan Islam, reformasi, dan keadilan gender. Semua persoalan ini diungkapkan dalam perspektif Islam.
Kebijaksanaan pengarang melihat isu tempatan sebagai sandaran kepada isu global menjadikan karya-karyanya terbentuk indah dalam dua situasi dan dua latar berbeza dalam  dialog wacana yang mengungkapkan suatu pemikiran yang tinggi. Pada cerpen “Ligamen Luka di Timur Tengah” umpamanya terolah kisah tentang pembedahan ligamen lutut yang bakal dijalani watak Sufiyah. Namun, kisah ini keseluruhannya berlaku dalam dialog watak-watak yang memaparkan keperitan umat Islam di Palestin yang dirodok oleh Zionis, iaitu melalui dialog antara ayah dan Sufiyah. Bentuk pengolahan seperti ini menjadi semakin menarik apabila persoalan dan pemikiran dilihat secara saintifik dan berasaskan pengalaman dan kajian mendalam penulis. Pengetahuan dan pemikiran yang ditonjolkan pengarang memaparkan kerajinan beliau menelaah setiap subjek yang dijadikan wacana dalam karya beliau.
Teknik pengolahan yang digunakan pengarang ternyata tidak lagi bersifat konvensional. Struktur cerita yang dikemukakan menolak plot yang biasa digunakan oleh kebanyakan pengarang cerpen sebelum ini, sebaliknya dikemukakan dalam satu situasi yang sarat dengan dialog. Melalui dialog dan aksi watak-wataknya, ditimbulkan cerita dan persoalan. Contohnya terlihat pada cerpen “Dialog Subuh”, cerpen ini dikemukakan dalam situasi berdialog yang berlaku ketika watak suami, Nazri dan isteri, Husna menanti waktu subuh. Dalam keadaan itu, mereka berdialog tentang isu kepupusan minyak mentah yang dikaitkan dengan surah-surah tertentu yang terkandung dalam al-Quran. Ini sekali gus menunjukkan keupayaan pengarang menguasai persoalan yang menyentuh isu-isu material dan spiritual.
Cerpen-cerpen dalam kumpulan ini turut menonjolkan nilai keislaman yang utuh. Cerpen-cerpen seperti “Dialog Subuh”, “Momiji Musim Rontok”, “Antara Dua Kaligrafi”, “Bentuk dan Makna” serta “Madihah-Medea” mengangkat wacana keislaman yang beracuankan Malaysia. Contohnya, dalam cerpen “Bentuk dan Makna” dan “Antara Dua Kaligrafi”, pengarang membandingkan seni dan warisan Islam dan mengangkat nilai seni Islam yang dibentuk di Nusantara.
Kekuatan lain yang turut ketara pada cerpen-cerpen dalam buku ini ialah pemakaian gaya bahasa. Hampir keseluruhan cerpen dibentuk dengan struktur ayat-ayat yang bersifat segar, puitis dan bertenaga. Dalam cerpen “Seribu Burung Jenjang” contohnya, pelukisan yang menggambarkan suasana di Pulau Miyajima, pengarang menggunakan ayat seperti yang berikut “Bayu laut di Pulau Miyajima berpuput, enak menggelinjang serata epidermis yang terdedah. Saya memicingkan mata yang dipanah rembang senja, namun gagah menoleh punca cahaya”. Selain daripada itu, keindahan bahasa Rebecca Ihlam tergambar melalui penggunaan metafora perubatan, minyak, mitos dan lambang-lambang ironi dalam setiap pembinaan naratifnya.

Kategori B: Cerpen Eceran
Dengan menggunakan kriteria penilaian yang sama juga, cerpen kategori ini dinilai. Hasilnya telah mendapatkan cerpen-cerpen berikut sebagai pemenang.
1.    “Istana Cindai” oleh Rosmiaty Shaari
2.    “Gulai Tempoyak Ikan Sebarau” oleh Malim Ghozali PK
3.    “Rumah Impian Polan Cupan” oleh Mohamad Affandi Hassan
4.    “Fotokopi” oleh Hassan Baseri Budiman
5.    “Gadung” oleh Zainol Idris
6.    “Pusaka Ayahanda” oleh Samsudin Ahmad
7.    “Manisnya Rambutan Kampung” oleh Zahari Affandi
8.    “Zombi” oleh Fudzail
9.    “Catatan Rahsia Sang Ahli Fikir Tertua” oleh Pelita di dalam Kaca
10. “Kasut” oleh Roslan Jomel
KEKUATAN CERPEN YANG TERPILIH SEBAGAI PEMENANG:

Cerpen-cerpen yang telah dipilih sebagai pemenang dalam kategori cerpen eceran memperlihatkan kemantapan dari segi struktur dan pemikiran yang ditonjolkan bersifat semasa; pengolahannya terlaksana dalam teknik penulisan yang mantap dan daya kekuatan kreativiti yang tinggi. Walaupun sebahagian cerpen masih menggunakan teknik konvensional tetapi pengolahannya terjalin dalam gaya bahasa yang baik dan menarik.
1.  “Istana Cindai” oleh Rosmiaty Shaari
Cerpen berbentuk interteks yang dikemukakan pengarang ini bernafas feminis mengemukakan watak Puan Siti Zauyah yang masuk ke dalam istana lama yang mengandungi mannequin. Sewaktu cuba membetulkan kain cindai sutera cina yang melitupi dandanan sebuah patung, halusinasi Zauyah menghantar dia berinteraksi dengan beberapa orang puteri daripada sejarah silam seperti Tun Teja, Mahsuri dan Tun Fatimah. Tokoh-tokoh yang dihidupkan melalui halusinasi Zauyah menuntut agar wanita tersebut membebaskan mereka daripada dendam sejarah yang mendera jiwa wanita yang selama ini belum dapat dileraikan. “Hah mengaku pun tuan!  Malah, ada lagi dendam tuan yang tidak terbela. Bagaimana zaman kanak-kanak tuan, saban hari melagang hidup nisata, diperangkap, difitnah, dan dewasa tuan-tak sudah sudah lara menimpa. Pengecutnya tuan berselindung di sebalik keluh kesah kami yang tidak terbela! Sedangkan tuan lebih lara dari kami sepanjang usia menjangkau ke riwayat kami, tuan berselindung di sebalik denda kami!’ Pemikiran pengarang berkaitan permasalahan dendam wanita yang teraniaya diangkat melalui teknik naratif yang menarik dan kreatif, aksi watak-watak yang mantap serta dikuatkan dengan gaya bahasa yang segar menjadikan karya ini menarik dan berkesan.

2.“Gulai Tempoyak Ikan Sebarau” oleh Malim Ghozali PK
Cerpen ini memaparkan aktiviti dan perasaan keluarga kampung yang akan menerima kunjungan anak lelaki, Toin dan menantu orang putih, Jenet atau Jawiyah yang belum pernah bertemu dengan ibu dan ayah mertua. Itam, ayah Toin, dan ibunya, Siah menyediakan lauk-pauk kampung, seperti tempoyak ikan sebarau, ikan perimpin goreng, masak lemak cendawan sisior dengan ubi kayu. Pelbagai rintangan dihadapi Itam ketika cuba mengail ikan tersebut di sungai. Ironisnya, Toin balik bersendirian dan langsung tidak makan lauk tempoyak dan masak lemak yang dibuat secara bergotong- royong dengan jiran sekampung. Rupa-rupanya, Toin telah bercerai talak satu dengan Jenet, dan semenjak mengidap kencing manis, dia tidak lagi makan durian, ubi dan kuih-kuih manis.
Cerita ini menjiwai kehidupan orang kampung yang teruja dengan kedatangan orang Inggeris ke kampung. Emosi ibu bapa yang beria-ia menyediakan juadah anak dikontraskan dengan emosi Toin yang telah lupa dengan cara hidup kampung. Perkahwinan ayah dan ibunya yang hampir menjangkau setengah abad dikontraskan dengan perkahwinan Toin dan Jenet yang baru berumah tangga selama dua tahun. Itam pandai memujuk isterinya Siah, manakala Toin mudah sahaja melafazkan talak ke atas isterinya yang mualaf. Secara sinis, Malim Ghozali PK menunjukkan perbezaan nyata antara realiti kampung dan realiti kota, yang disampaikan melalui dialog kampung yang ada unsur lucu tetapi sindirannya terhadap warga metropolitan agak tajam.
3.“Fotokopi” oleh  Hassan Baseri Budiman
Cerita ini mengangkat pelbagai isu berkaitan bangsa dan bahasa Melayu, pemimpin dan kepimpinan, globalisasi dan kemajuan teknologi. Semua persoalan tersebut diolah menggunakan teknik persembahan sebuah drama berjudul ‘Pemakaman Bangsa’. Semua isu yang dikemukakan ditonjolkan melalui aksi Tuk Wan, iaitu  pengarah, merangkap penulis skrip yang telah melupakan sejarah dan leluhur bangsa Melayu. Persoalan-persoalan yang dikemukakan tersebut ditimbulkan melalui konflik antara pengarah (pemimpin), dengan watak-watak pembantu yang melambangkan rakyat. Cerita tersebut disinkronikkan lagi melalui watak Tuk Wan pencerita yang merupakan seorang tokoh yang telah membangunkan Lembah Keriang sebenarnya adalah tokoh yang telah membenamkan bahasa Melayu. Tajuk “Fotokopi” yang digunakan pengarang dikaitkan tentang dunia pementasan itu ialah fotokopi atau salinan daripada dunia realiti yang dialami watak ‘aku’.
4.“Gadung” oleh Zainol Idris
Naratif ini diceritakan secara sederhana dan gaya bahasa mudah. Pengarang memiliki pengetahuan yang baik tentang alam kehidupan masyarakat orang asli yang diwakili keluarga Ripin dan Anoi. Keluarga mereka bergantung hidup pada alam sekitar dan tidak mahu berpindah ke rancangan tanah yang telah disediakan segala kemudahan. Bagi Ripin, kehidupan di penempatan tersebut tidak memberikan kebahagiaan kepadanya malah akan menimbulkan masalah kerana dia sukar mencari sumber alam yang sering digunakan keluarganya. Struktur cerita dibina mengikut plot yang memaparkan konflik, ketegangan dan penyelesaian yang berakhir dengan tragedi. Watak digambarkan bergerak dalam aksi fizikal dan dihidupkan dalam suasana alam semula jadi. Di samping itu, dipaparkan juga konflik dan permasalahan selama menjalani kehidupan yang bercorak tradisi. Walau bagaimanapun, Ripin sebenarnya lebih banyak berhadapan dengan penderitaan daripada kebahagiaan kerana isterinya telah ditelan oleh ular sawa yang dibawanya pulang.
5.“Pusaka Ayahanda” oleh Samsudin Ahmad
Cerpen ini memaparkan kisah Syaifuddeen yang mendapat sebilah keris usang selepas kematian ayahandanya. Adiknya Rahman mendapat ladang getah dan sawit manakala adik bongsu Hashim menerima tanah lombong bijih dan segala lombong yang lain. Syaifuddeen merasakan ketidakadilan wasiat ini kerana berbanding dengan lombong dan ladang sawit serta getah, keris usang ini seperti tidak berharga. Dia merasa terhina dengan peninggalan wasiat tersebut. Namun, Syaifuddeen merantau segala tempat untuk mencari tukang keris yang dapat menggilap mata, hulu dan sarung keris. Dia berjumpa dengan Pak Pandai Keris yang mengajarnya cara membersih serta menggilap keris itu sehingga keindahan keris tersebut terpancar. Selepas menjalankan upacara berzikir, Syaifuddeen baru mengetahui keistimewaan keris tersebut dan mengapa arwah ayahandanya menghadiahkan setiap anak-anaknya peninggalan yang sesuai dengan jiwa mereka. Oleh itu, Rahman memang minat berladang manakala Hashim merupakan seorang pelombong yang rajin. Hadiah keris ini mengembalikan kegemilangan pusaka keluarganya yang dengan bersisipkan keris orang Melayu kelihatan seperti berpakaian segak, Syaifuddeen yang menyerupai almarhum datuknya dengan pemahaman keagamaannya yang tinggi mengukuhkan jati diri watak tersebut.
Keistimewaan cerpen ini terletak kepada pengimbangan antara adat dan agama. Pengarang memberi pengajaran moral yang indah menerusi perwatakan Syaifuddeen. Sebagai seorang ahli agama, watak ini mula-mula lebih mementingkan kekayaan material, namun hadiah keris usang mengajarnya untuk menjiwai agama Islam tanpa mengetepikan jati diri kemelayuannya.
6.“Manisnya Rambutan Kampung” oleh Zahari Affandi

Cerita ini juga menonjolkan wanita kampung, Mak Engku yang mempunyai pokok rambutan gading yang manis, lekang, dan lebat buahnya. Buah rambutan ini tidak pernah dijual tetapi disedekahkan kepada sesiapa sahaja, tidak kira orang Melayu atau orang lain. Namun, Mak Engku mempunyai pantang larangnya yang dipatuhi mengikut nasihat datuknya, Tok Ku Syed Sulung. Walaupun Mak Engku mempunyai empat orang anak, namun mereka jarang mengunjunginya – “yang alim pun lupa langsung hal dunia, bercakap pasal hukum-hakam agama, tetapi adik-beradik, sanak saudara dan ibu tua di kampung yang hidup sebatang kara”. Anak bongsu, pelajar jurusan pertanian, balik ke kampung bersama rakan-rakannya untuk menjamu rambutan gading, namun cara moden menggunakan mesin gergaji kecil melanggar pantang larang Mak Engku. Mak Engku menghalau anaknya, Ahmad Rahimi, dengan parang; dia sanggup hilang anaknya supaya adat menjaga pokok rambutan dijaga. Cerita ini berakhir dengan tragis apabila Mak Engku pengsan disambar kilat, manakala anaknya Ahmad Rahimi meninggal dalam kejadian tersebut ketika dia cuba mencuri buah rambutan ibunya.
Cerpen ini menunjukkan perbezaan orang kampung dan orang bandar, serta nilai adat dan nilai moden yang mengabaikan tradisi yang sekian lama diikuti. Secara ironisnya, cerpen ini memaparkan keadaan “biar mati anak, jangan mati adat” dengan cara literal. Ironi dan kejutan yang dikemukakan oleh pengarang menyerlahkan perbezaan nilai yang nyata yang menjadi realiti di dalam komuniti Melayu masa kini.
7.“Zombi” oleh Fudzail
“Zombi” adalah kritikan terhadap tansformasi sistem pendidikan di sebuah negara  maju yang mempertahankan demokrasi. Pengarang mempertikaikan kelemahan-kelemahan dalam sistem pendidikan pada peringkat rendah tanpa mengambil kira kemampuan fikiran dan latar kehidupan pelajar. Silibus yang paling ketara ialah mengajar mata pelajaran yang tidak seimbang dengan usia dan kemampuan akal fikiran kanak-kanak, memaksa mereka bergulat dengan permasalahan orang dewasa dan dunia materialistik. Persoalan tersebut dikemukakan melalui penceritaan yang mengutamakan dialog; antara Hanani seorang pelajar sarjana dengan Jeanni, seorang ibu tunggal. Melalui dialog dan naratif yang dibentuk melalui perbandingan sistem pendidikan yang dialami Hanani dengan generasi Z, terdedah persoalan-persolan yang ingin dikemukakan pengarang. Kisah ini dikuatkan dengan konflik batin yang ditanggung oleh kanak-kanak melalui pengamatan Hanani terhadap seorang kanak-kanak yang menjadi murung, bergantung pada peralatan eletronik yang sekali gus membantutkan perkembangan kreativiti kanak-kanak tersebut. Penggunaan tajuk ‘zombi’ memancarkan kesan daripada sistem pendidikan yang secara perlahan-lahan menghilangkan kekuatan jiwa kanak-kanak.
8.“Catatan Rahsia Sang Ahli Fikir Tertua” oleh Pelita di dalam Kaca
Cerita ini berlegar pada persoalan mengenai falsafah kerahsiaan. Sesuatu rahsia hanya dapat diketahui melalui daya renungan (meditasi), pembebasan hawa nafsu dan sikap kurang bercakap. Persoalan falsafah ini dibangunkan dalam bentuk penceritaan penuh dialog yang berlaku antara seorang mahaguru dengan murid-muridnya. Falsafah kerahsiaan ini didedahkan melalui Lao Tze, ahli fikir China yang terkenal. Ini dapat dirumuskan bahawa pengarangnya bermaksud untuk memperlihatkan adanya pengaruh Islam dalam falsafah pemikiran ahli fikir China tersebut.
9.“Kasut” oleh  Roslan Jomel
Cerpen ini mengisahkan sepasang suami isteri yang tidak mendapat cahaya mata untuk sekian lama. Suami cuba meneroka dunia penulisan kreatif dan cerita yang ditulisnya berkisar mengenai pasangan yang mempunyai anak yang lahir sebagai kasut. Pengarang menggantungkan kepercayaan dan menafikan realiti dengan menunjukkan keanehan pasangan suami isteri yang membelai anak yang berupa kasut.
Cerpen ini menarik kerana cerpen ini merupakan metafora kepada keanehan dunia kontemporari. Apakah yang dikejar oleh warga masa kini? Roslan Jomel mengundang kita untuk meneroka apakah yang dianggap normal, dan apakah realiti sebenar? Cerpen ini yang menggunakan teknik realisme magis yang memerlukan pembaca menyorot makna yang tersirat dalam cerpen aneh ini.
10.       “Rumah Impian Polan Cupan” oleh Mohammad Affandi Hassan
Cerpen ini mengisahkan tentang seorang anak Melayu jati bernama Polan          Cupan berketurunan orang asli yang memiliki otak genius. Semasa belajar            di sekolah rendah dan menengah dia tidak begitu mendapat perhatian           daripada gurunya walaupun dia merupakan murid yang cerdik; pandangan        atau idea baik atau agak luar biasa yang ditimbulkan sering kali diketawakan atau diperlekehkan oleh kebanyakan guru-gurunya. Biarpun begitu, dia tetap gigih dan bersungguh-sungguh belajar sehingga keluar Negara dan mendapat ijazah Ph.D dalam bidang sains. Dengan kelulusan itu dia berjaya mencipta bahan binaan yang bersumberkan bahan-bahan seb yang lebih besar bagi keperluan rakyat; namun,  ini ditentang sama sekali oleh pemimpin dan tokoh korporat Melayu.  Dia menemui kegagalan, tetapi masih tetap mahu berusaha mencipta “chips” yang boleh membetulkan akhlak dan ketamakan tokoh-tokoh bangsanya ini.
Cerpen ini mempunyai kekuatan dalam aspek-aspek penggarapan persoalan dan penggunaan teknik penulisan.  Persoalan terolah dalam  nada yang amat sinis; ia mendedahkan bahawa sebahagian besar daripada tenaga dan kecerdikan anak bangsa tidak dimanfaatkan oleh pemimpin-pemimpin negara, terutama dalam kalangan mereka yang tamak dan individualistik.   Pengarang memilih sudut pandangan orang ketiga pencerita; dengan pemilihan begini, pengarang dapat dengan agak bebas memberikan pendapat dalam gerakan atau aksi watak yang terkawal. Pergerakan watak dan dialognya terasa bersahaja, hidup dan berkesan. Persoalan-persoalan penting yang bernada sinis tadi lebih banyak dan terasa hidup terlahir daripada dialog watak.
KESIMPULAN
Keseluruhan cerpen yang dipilih sebagai pemenang telah memperlihatkan kekuatan dari segi kepelbagaian isu semasa, yang berlaku dalam dan luar negara. Permasalahan masyarakat dan negara yang melihatkan isu bahasa dan jati diri bangsa, isu agama, konflik dan pertembungan budaya, keadilan sosial, realiti kampung dan kota, pemimpin dan kepemimpinan dipersembahkan dengan menggunakan pelbagai teknik penceritaan yang menarik dan segar. Kepelbagaian gaya pengolahan yang kreatif dan inovatif turut memperlihatkan gabungan kekuatan penulis lama dan baharu yang menunjukkan perkembangan sihat dalam bidang penulisan cerpen dan seterusnya kesusasteraan Melayu. Senario ini menonjolkan  penulis pelapis yang mampu meneruskan tradisi kepengarangan Melayu dan membawa pembaharuan dalam jagat kesusasteraan tanah air.
Disediakan oleh
Prof. Dato’ Dr Hashim Awang
Prof. Ruzy Suliza Hashim

Prof Madya Dr. Asmiaty Ama

No comments:

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...