Monday, July 2, 2012

NOSTALGIA 3


RADIO ANTIK

Dua buah radio tiub  ini adalah antara koleksi antik kami yang tak seberapa itu.  Yang besar itu jenama Nordmende, buatan Germany  keluaran tahun 1956. Kerana saiznya yang besar dan berat pada zamannya ia dikenali sebagai peti radio.  Corong udara juga biasa digunakan untuk merujuk kepada radio.  Saya membelinya dari sebuah kedai , di Jerlun, Kedah, yang menjual perabut terpakai juga menjual barang antik empat tahun lalu. Manakala yang kecil itu pula jenama Phillips  made in Holland, juga keluaran sekitar 1957- 1959. pemberian seorang sahabat dari  Alor Setar,  Haji Abd.Razak Ahmad seorang kakitangan Tabung Haji  (TH Travel)


NORDMENDE, made in Germany
Kedua-dua radio  itu sebenarnya sudah tidak berfungsi lagi. Ia tidak lebih dari antique displayed yang sesekali menghening kenangan  menghimbau kembali  nostalgia masa silam.

Sekitar akhir dekat 50-an dan awal  60-an, rumah kami antara beberapa buah rumah di kampong yang memiliki peti radio.  Radio tiub (diod) itu berjenama Phillips yang agak besar saiznya. Kerana kampong kami tidak mempunyai bekalan elektrik, radio itu menggunakan sejenis batteri (sel) kering yang juga besar saiznya. Batteri berbentuk kiub kira-kira 3kg beratnya boleh tahan sampai 6 bulan berharga $8.00. (nilai sekarang saya kira tidak kurang RM80.00)

Untuk mendapat siaran yang jelas satu antenna perlu diadakan. Ia dibuat dengan meregangkan wayar tertentu menggunakan dua batang buluh panjang. Dari antena satu hujung terminal  wayar kemudian di sambungkan ke bahagian belakang badan radio. Tidak ketinggalan seutas wayar bumi akan disambung dari radio ke tanah setelah hujungnya dimasukkan kedalam sebiji botol berisi air;  kata bapa untuk mengelakkan radio  disambar petir.   Semakin tinggi batang buluh ditegakkan semakin jelaslah siaran yang diperolehi. Biasanya buluh yang digunakan ialah buluh duri atau buluh sigai dengan ketinggian hamper 50-80 kaki.
Bagi warga desa seperti kami radio waktu itu adalah sumber informasi dan hiburan yang penting selain dari wayang gambar (wayang gelap/ wayang pacak) jabatan penerangan. Yang membeli dan membaca akhbar boleh dibilang dengan jari. 

Siaran Radio Malaya adalah stesyen radio utama yang dapat diekses selain dari Radio Singapura. Bagi mereka yang meminati radio mereka juga mampu mengekses radio siaran Indonesia. Ketika era konfrantasi, provokasi ganyang Malaysia oleh Sukarno dapat didengar dengan jelas. Salleh (Haji), abang ipar saya sangat meminati lagu-lagu Hindustan dan selalu mengekses siaran lagu-lagu Hindustan nyanyian Mohd Rafi, Lata Magheskar, Asha Bhosle   dan Mukhes dari Radio India.

PHILLIPS, buatan Holand
Pertandingan (musabaqah) Membaca Al Quran yang diperkenalkan oleh PM Tunku Abdul Rahman,  biasanya diadakan dalam bulan Ramadhan.  Radio sekali lagi menjadi tumpuan. Selepas sembahyang Tarawikh, mereka yang tidak memiliki peti radio akan bertandang kerumah-rumah jiran untuk mengikuti pertandingan tersebut. Bagi kami orang-orang utara, bacaan yang dinanti-nanti sudah pasti Haji Ismail Hashim dari Kedah, yang tahun demi tahun berjaya mempertahankan kejuaraannya.

Siaran warta berita dari radio Malaya (Radio Malaysia selepas 1963) adalah sumber informasi rakyat yang penting. Warna berita akan keudara jam 1.30 tengahari, 5.00 petang  dan 8.00 malam. Penyampai berita yang masih saya ingat antaranya ialah Siti Hawa Zain, Azhar Ahmad, Jamsari Mohammad, Kamaruddin Mohamad, Norazah Aziz dan lain-lain.

Satu kesan yang sudah pasti  mempengaruhi bakat dan minat saya sehingga kemudiannya turut menceburi dalam penulisan skrip drama pentas dan televisyen ialah drama radio.  Dalam dekad 60-an dan 70an  siaran drama seperti sandiwara radio, bangsawan di radio, purbawara, drama dalam syair, Kebun Pak Awang termasuk cerita mata-mata gelap tajaan  Syarikat Minyak Geliga; adalah event-event yang ditunggu-tunggu.
Suara-suara yang sering memeran hero-heroin sudah pasti Karim Mohamad,  Norhiayah Mohd Isa, Norela Samad,  Mahani Ujang ,. Watak-watak antagonis biasanya diperan oleh Helan Abu, Jamal Mohammad, Karim Latif dan beberapa lagi.

Dari Radio Singapura yang dapat diikuti dengan jelas  kita akan dapat mengikuti pentas radio, dan juga bangsawan diudara. Antara suara-suara yang sering dipinjamkan untuk drama  antaranya Osman jailani, M.Ramlii ,Jorah Ahmad, Z. Roslee, Rubiah Suparman. Selepas penutupan Studio Filem Show Brothers Jalan Ampas dan Cathay Keris, suara-suara dari pelakun filem juga sering berkumandang seperti S.Roslee, Ahmad Sabri, Ahmad Nesfu,S.Kadarisman dan lain-lain. Penyanyi pop yeh-yeh suami isteri seperti M.Osman dan Afidah Es juga seringkali menyumbangkan suara mereka dalam lakonan drama radio.
Saya kurang mengingati nama-nama penulis skrip radio era 1960-an dan awal 70-an kecuali beberapa nama antaranya Zain Ariff (yang sering menulis cerita mata-mata gelap (detektif) Yahya Awang, Zakaria M.Z, Osman Dol, Adli Azamin, Zain Hamzah dan Atondra.  Jah Lelawati pula sering mengisi ruangan cerita bangsawan dan cerita bercorak mistri di Radio Singapura. Selain dari menulis skrip beliau juga berlakun dan terkenal dengan suara mistiknya.

Oleh minat yang mendalam saya berusaha mendapatkan contoh-contoh skrip drama radio dengan menulis surat kepada stesen-stesen radio. Alhamdulillah satu naskah skrip contoh telah dihantar oleh Hashim Embi yang ketika itu bertugas sebagai penerbit drama  di Radio Malaysia P.Pinang (di Jalan Burma) . Melalui contoh-contoh skrip itulah saya menghasilkan dua buah skrip drama radio ketika berada di tingkatan 3 dan menunggu keputusan SRP.  Skrip bertulisan tangan di atas kertas fullskap itu saya tidak ingat lagi judu-judulnya.

Walaupun skrip saya tidak diterbitkan, skrip-skrip tersebut mendapat ulasan yang memberangsangkan dari Hashim Embi, ketika dipulangkan untuk dibuat pembetulan. Bagaimanapun penulisan skrip tersebut terbengkalai begitu saja apabila saya terpilih melanjutkan pelajaran dalan tingkatan empat dalam aliran sains (kerana bergelut dengan hafalan, cerakinan   formula, hipotesis, teori  dan berbagai lagi bercorak saintifik, buat beberapa tahun bibit-bibit sastera dan penulisan yang telah berputik dalam diri saya seakan terabai begitu saja .

Namun jalan-jalan awal yang direntas itu mula membuahkan hasil sepuluh tahun kemudian. Walaupun saya tidak melibatkan diri dalam penulisan skrip drama radio, saya melangkah sedikit ke hadapan dengan menceburkan diri dalam penulisan skrip drama tv (teleplay) dimana  beberapa karya  diterbitkan oleh oleh stesen tv tempatan. (akan saya ceritakan di lain lembaran).


































































































1 comment:

hemppdr said...

salam admin, entah kenapa tiba2 saya teringat dengan nama Allahyarham Jah Lelawati. Nama yang sering menghiasi Ruangan Bangsawan di Udara. Saya kawan baik mak dalam mendengar Bangsawan di Udara. Suka mendengar suara Jahlelawati mengilai, suka seorang lagi pelakon drama lelaki dalam bangsawan di Udara. Saya lupa nama beliau. Biasanya beliau membawa watak raja.

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...