UNTING SEMAI
Hujan mencurah-curah sekitar april-mei. Kadang-kadang dari petang membawa ke malam. Gelung-gelung yang terpokah di permatang telah ditutup rapi. Puas menyedut air melangsaikan kemarau separuh tahun, hingga termuak , petak-petak bendang mula menakungi air. Tunggul—tunggul jerami mulai tersembam ke tanah perlahan-lahan dan mulai mereput. Suara sang katak aneka jenis bertasbih menghiasi kelam malam yang basah.
Menenggala |
Jeda waktu senggang sebenarnya telah ke penghujung. Tanpa nota peringatan dari sesiapa, rutin kerja kami para petani bendang telah bermula. Mana peralatan tenggala, sisir, badai, tajak dan cangkul yang rosak dibaiki, yang tumpul diasahi, yang karat diminyaki. Sang kerbau pembajak dipersiapi.
Langkah mula ialah menyediakan bekas semai (tapak semaian). Lepas bekas semai siap barulah kerja menggala bahagian-bahagian sawah yang lebih luas di mulakan. Bekas semai biasanya menempati petak yang kecil sahaja. Untuk keluasan tanah 10 relung ( 1 relung = 0.28 hectar) tidak sampai satu penjuru. ( ¼ relung) .
Siap menenggala, petak tapak semaian akan disisir. Rumput rampai akan di bersihkan. Air petak itu akan dikeringkan hingga tampak tanah. Akhir sekali badai akan ditarik untuk meratakan tapak semaian itu. Menarik badai ialah istilah yang digunakan bermaksud meratakan tanah dengan menggunakan batang pisang yang dilekatkan pada mata sisir. Sisir ini kemusian akan ditarik oleh kerbau. Kalau petaknya kecil boleh juga ditarik menggunakan tenaga manusia.
Menarik Badai |
Selesai menarik badai, bapa akan membahagikan tapak semaian itu kepada beberapa bahagian mengikut berapa jenis padi yang akan dibawa. Kalau enam jenis padi yang akan dibawa pada tahun itu bermakna ada enam tapak. Setiap tapak akan dipisahkan oleh satu parit kecil.
Sebelum ditabur benih padi akan direndam selama empat malam untuk mencambahkannya. Jenis-jenis padi yang biasanya di bawa akan mengambil kira beberapa factor antaranya sudah pasti benih yang menghasikan buah yang lebat, tidak mudah rebah (apabila ditiup angin atau dilanda banjir), tidak liat maksudnya mudah lerai bila dibanting. Soal ketahan dari serangan penyakit tidak pernah timbul. Seingat saya amat jarang padi diserang penyakit dan lain-lainseperti sekarang.
Kebanyak benih –benih pada ketika itu (tahun 1960-an) dikenali dengan nama-nama yang cukup tradisional sama ada menggunakan nama tumbuhan, tempat atau nama pemilik asal benih tertentu. Antara seperti padi Rambai, Bongor, Intan Terpilih, Mat Cantu, Sesat Baharum. Kemudian nama-nama benih padi yang lebih berbau kemodenan muncul sekitar awal tahun 1970-an (bila Lembaga Kemajuan Kawasan Muda @MADA) diwujudkan. Benih-padi seperti Bahagia, Sport, Taiwan, Malinja, Mahsuri mula dikenali. Selepas MARDI ditubuhkan dan membuat penyelidikan menghasilkan benih-benih berkualiti melalui kaedah kacukan , benih-benih padi kini dikenali melalui kod sepeti B18, B10 dan berbagai-bagai lagi.
Mencabut Semai |
Menanam secara Berderau (gotong-royong) |
Berbeza dengan padi biasa (jawi), keluasan petak yang akan ditanami pulut adalah kecil, mungkin satu penjuru atau paling banyak setengah relung. Padi pulut sangat liat untuk dibanting (memukul istilah kami) 10 kali dibanting belum tentu habis lerai. Benih- benih pulut biasa ialah pulut hitam, pulut susu, pulur macau, pulut wangi dan pulut galah. Pulut galah dikenali dengan rumpunnya yang tinggi hinggga hapus kepala. Butiran buahnya besar. Sangat sesuai untuk membuat emping.
Bagi pemelihara burung tekukur atau merbuk, membawa padi jenis Biji Terung pasti tidak ketinggalan. Butiran padi ini kecil dan bulat-bulat seakan biji terung. Digunakan sebagai makanan burung.
Menabur semai biasanya dikerjakan oleh kaum wanita. Tidak mengambil masa yang lama; dalam 3 atau empat jam tugas ini dapat dilangsaikan. Butiran-butiran padi yang telah bercambah menampakkan akar ulung yang putih itu akan ditabur pada tapat-tapak yang dikhususkan. Ia akan mengambil masa 40 hari sebelum dicabut dan dipindahkan dalam b endang. Para petani akan berhati dalam hal pembajaan semai. Sekiranya baja ditabur berlebihan, akarnya panjang ke dalam tanah dan sukar untuk mencabutnya nanti. Kerja-kerja mencabut anak benih padi ini dikenali sebagai cabut semai.
Bendang Siap Ditanam |
Mencabut semai biasanya mak lakukan seorang diri saja. Tidak seperti menam padi yang dilakaukan secara berderau (gotong-royong). Anak benih padi yang tumbuh sepanjang 12 inci itu akan dicekak segenggang lalu dicabut menggunakan kedua belah tangan . Bahagian akarnya akan dibanting ke tapak kaki beberapauntuk mengeluarkan sisa-siasa tanah sehingga bersih. Ia akan dikumpulkan sehingga dua cekak dipanggil kepok. Tiap-tiap empat kepuk akan diikat bersama menggunakan tali dari kulit bemban sebagai satu unting.
Unting-unting akan disusun di atas batas-batas bendang. Bahagian akarnya akan dicelup dengan bancuhan baja tali kelawar untuk mencepatkan penjmbuhan akarnya. Baja organic dari tahu kelawar ini dikenali sebagai Baja Gunung kerana diambil dari gua-gua di Gunung Keriang tidak jauh dari Bandar Alor Setar. Unting-unting semaian ini akan dibiarkan beberapa hari menunggu Hari Menanam .
Melabur (Menabur Terus/ direct seeding) |
Bekas semai dan unting semai kini cuma tinggal sebagai kenangan saja kepada generasi seperti kami. Bagi generasi baru walaupun dari keluarga petani, istilah-istilah ini mungkin terlalu asing. Hari ini penanaman padi menggunakan kaedah melabur atau tabur terus (direct seeding) dimana benih padi akan ditabur terus ke dalam petak-petak sawah dan tiada lagi bekas semai.
No comments:
Post a Comment