JERANGKAP CINTA
DALAM “SERIBU JINJANG”
Tarikh yang tercatat,menunjukkan buku ini dimiliki pada 25 November 1978; kira-kira 45
tahun lalu di terminal feri Pengkalan Raja Tun Uda, P. Pinang. Ketika itu, sebelum memasuki Lorong pejalan
kaki naik-turun feri, terdapat gerai yang menjual buku, majalah dan akhbar termasuk
ole-ole mesti beli jika ke P.Pinang; jeruk dan halwa buah pala,.
Sekitar 1977,1978, saya kerapkali menggunkan perkhidmatan feri kerana berulang-alik mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan (Malayan Teacher Collage @MTC), di Bukit Combe, Gelugor, P.Pinang. Dari kampung, saya menaiki kenderaan bas MARA hingga ke Alor Setar. Dan untuk ke Butterworth boleh menggunakan sama ada Keretapi Tanah Melayu atau bas UTC (United Transport Company). Dari kedua-dua, stesen keretapi dan bas boleh berjalan kaki ke terminal feri (Pengkalan Sultan Abd.Halim) untuk menyeberang ke pulau. Tak jauh dari Pengkalan Raja Tun Uda ada Yellow Bus untuk sampai ke Gelugor.
Dipandang dari aspek fizikal novel ini relatifnya kelihatan nipis, 141 muka surat. Namun kecil-besar, nipis-tebal, bukan menjadi ukuran mutu sesebuah karya. Banyak karya nampak saja kecil tapi, mengungkapi gagasan seni yang besar, misalnya, The Old Man and the Sea [Jonathan Cape Ltd.,1952], karya Ernest Hemingway (109 ms), mengambil contoh dari kalangan sasterawan kita pula, novel “Arus” [Pustaka Cipta Sdn.Bhd.,1985] karya SN Anwar Ridhwan (121 m.s), layak meraih Hadiah Sastera Malaysia, 1984/1985)
Kawabata
pemenang Hadiah Nobel 1968, merupakan anak Asia kedua menggondol anugerah
kesusasastraan terunggul dunia itu, 55 tahun selepas Rabindranath Tagore dicalonkan
oleh oleh penal Hadiah Nobel untuk tahun 1913. Kawabata lahir di Osaka, 11 Jun
1899. Anak seorang doktor yang mencintai seni dan sastera. Bagaimanapun sejak
kecil beliau dibersarkan di bawah jagaan datuk dan neneknya apabila kedua
ibubapanya meninggal. Walaupun pada mulanya Kawabata meminati seni lukis,
bakatnya yang lebih besar dalam sastera menyebabkan ia beralih perhatian kepada
bidang persuratan. Kawabata lulus dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris dari
Tokyo Emperial University (1924).
Kawabata
memilih untuk menamatkan riwayatnya dalam berusia 72 tahun dengan menyedut gas
beracun di Wisma Marini, Zushi, Tokyo, pada 16 April 1972. [Dua tahun sebelum
itu, Yukio Mishima, pengarang Jepun yang disebut-sebut berkemungkinan menjejaki
Kawabata menggapai anugerah Nobel, mencabut nyawanya menerusi peristiwa
berdarah, Harakiri, bertempat di Markas Tentera Ichigaya, Tokyo.]
Seibu Jinjang [1950], merupakan karya Kawabata yang menyerlah, selain daripada “Buku Harian Seorang Anak 16 Tahun”, diikuti dengan “Suasana Hari Perayaan” [1921], “Penari Izu” [1925], “Desa Salji” [1934], “Angin Gunung” [1949], Danau [1954] dan buah tangan terakhirnya, “Jelita Yang Lena /The Beuty of Sadness” [1963]. Seribu Jinjang mempamekan penguasaan Kawabata dalam arena kesusasteran apabila tepilih memenangi “Hadiah Akademi Keseniaan Jepun”tiga tahun setelah diterbitkan(1953).
Dalam
kebanyakan karya Kawabata, beliau nampaknya berkeghairahan menggarap jalinan watak-watak lelaki vs Wanita yang berkonfliks berada
pada perbezaan, usia dan status sosial dengan berlatarkan suasana alam yang
unik seperti Kawasan pergunungan bersalji, musim bunga, musim hujan, tempat mandian
awam, kuil, istiadat minum teh dan lain-lain.
Seribu
Jinjang melakarkan kemelut konflik kejiwaan yang rencam antara 3 watak utama;
iaitu Kikuji dengan perempuan-perempuan simpanan mendiang bapanya; Chikako dan Puan Ota. Turut terseret dalam
konfliks itu ialah Fumiko, anak gadis Puan Ota.
Pertemuan Kikuji (24 tahun) dengan Puan Ota
(45 tahun) secara tidak dirancang tiba-tiba menjadi begitu kompleks/unik, yang
meletakkan mereka dalam dilemma. Bermula dari motif melunaskan dendam di hati Kikuji
terhadap Puan Ota, sebaliknya menjerumuskan kedua-duanya ke dalam jerangkap
keanihan cinta. Puan Ota menganggap Kikuji sebagai jelmaan mendiang ayahnya,
Tuan Mitani, sehingga tidak dapat membezakan antara kedua-duanya. Kikuji pula yang pada mulanya semata-mata mahu
mengambil kesempatan melangsaikan amarahnya yang terperam terhadap Puan Ota,
kerana dianggap menjadi punca penderitaan mendiang ibunya bertukar menjadi sebaliknya. Kelembutan fitrah
semulajadi seorang Wanita ,ditambahi dengan
keayuannya, sehingga dirinya tidak berupaya mendustai bisikan hatinya
sendiri. Fumiko yang menyedari apa yang sedang berlaku itu,
menganggapnya sebagai suatu yang memalukan, akhinya mengambil keputusan
menghalang(mengurung) ibunya yang membolehkan kedua-duanya bertemu. Puan Ota yang terhimpit oleh perasaannya - antara cinta
dan dosa akhirnya jatuh sakit, kurus kering lalu mengambil keputusan menamatkan
riwayat hidupnya sendiri melalui pengambilan pil yang berlebihan.
Setelah
kematian Puan Ota, Kikunji jatuh hati dan cuba menjlinkan hubungannya dengan
Fumiko yang pada anggapannya Fumiko seolah-olah jelmaan mendiang ibunya,
lebih-lebih lagi sebelum kematiannya Puan Ota berpesan agar Kikunji menjaga
Fumiko, anaknya. Bagaimanapun Fumiko berusaha mengelakkannya kerana beliau sentiasa
terbeban dengan dosa yang menganggap dirinya menyebabkan ibunya menderita
membawa kepada kematiannya yang trajis.
Di
satu pihak lain, Chikako seorang guru pengajar adat/tradisi upacara minum teh,
seorang lagi perempuan simpanan Tuan
Mitani, berazam membalas dendam terhadap Puan Ota yang dianggap menjadi penyebab
dia diabaikan oleh Tuan Mitani. Selepas
kematian bapa dan ibu Kikunji, Chikako cuba mengatur untuk menjodohkan Kikunji
dengn gadis pilihannya walaupun ditolak
oleh Kikunji. Di sebalik semuanya dia berbuat demikian bertujuan untuk
menguasai harta peninggalan Tuan Mitani termasuk rumah gedung dan balai tempat upacara
minum teh berlangsung.
Satu
keunikan Seribu Jinjang ialah kebolehan dan penguasaan Kawabata menjadikan adat
dan upacara minum teh sebagai latar novel ini. Perlukisan yang rinci, jelas
dengan peralatan dan tatacara sejarah upacara puja teh yang berusia ratusan
tahun telah berhasil menampilkan tradisi warisan yang dikatakan bermula sejak
abad ketiga-belas pada awal kedatangan Buddhisme Zen di Jepun.
Seimbas
pandang jika melihat kepada ilustrasi pada kulit depan yang dihasilkan oleh
Zainal Buang Hussin, munkin ada yang membuat tebakan yang Seribu Jinjang adalah
sebuah novel pop. Lebih-lebih lagi bila
membaca pada bulb di kulit belakang yang mencatatkan cuplikan berperisa;
“Ia
merasa seolah-olah itulah kali pertama ia kenal
pada perempuan.
Dan seolah-olah itulah kali pertama
ia kenal
pada dirinya sebagai lelaki sejati. Dan
itu
adalah satu kesedaran yang amat menakjubkan.
Ia tidak
pernah tahu bahawa perempuan dapat
bersifat
sedemikian lembut dan sedia menerima,
sanggup
menjadi penurut tetapi di waktu yang
sama
menggodanya dan dapat pula membuat
ia lemas
dalam madu keharuman tubuhnya”.
Sedangkan ramai penelaah sastera berpendapat Seribu Jinjang adalah sebuah novel yang walaupun kecil, tetapi padat, indah serta mengandungi ciri-ciri terbaik dalam karya-karya kesusasteraan Jepun; iaitu kehalusan rasa dan ketajaman penglihatan seorang seniman tulin. Sehinggakan pengkritik sastera berbelah bagi untuk meletakkan mana satu karya masterpiece Kawabata sama ada The Snow Country (Desa Salji) atau
Thousand Cranes (Seribu Jinjang).
Banyak
aspek yang dapat dipelajari karyawan penulis terutama oleh lapisan pemula. Keterampilan dan kerincian Kawabata dalam
menguasai perlukisan watak yang terjalin dalam situasi dan latar alam dapat
telaah.
Tidak
pasti pula terdapat edisi ulang cetak novel terjemahan ini setelah cetakan
pertamanya pada tahun 1978. Lebih-lebih lagi memandangkan Utusan Publication kini
tidak lagi aktif dalam industri perbukuan. Iniasiatif wajar diambil oleh rumah penerbitan
lain, seumpama yang berlaku pada novel besar SN Abdullah Husain, IMAM
diterbitkan semula hari ini sempena produksi adaptasi filem IMAM oleh Sutradara Meor
Hashim Manaf, diusahakan Nuha Books selepas cetakan pertama oleh Utusan pada tahun
1995. Peminat buku langka mungkin boleh mengintai dicelah-celah rak buku
perpustakaan atau pada timbunan buku-buku usang di rare books shop. Manakala Versi
Bahasa Inggeris masih mudah diperolehi menerusi
pembelian secara online seperti di Amazon Books Shop.
ZAINOL
IDRIS,
2 Julai 2023,
Jitra.
No comments:
Post a Comment