LAPORAN PENILAIAN ANUGERAH SASTERA DARUL AMAN 2022
ASDA 2022
Pendahuluan
Setelah sekian lama sastera lahir dan berkembang di tangan penulis Kedah, baru kini muncul musim menuainya tiba apabila Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) mengambil inisiatif menguruskan Anugerah Sastera Darul Aman 2022. Alhamdulillah, dengan kesungguhan barisan jawatankuasa ASASI dan bantuan serta sokongan pelbagai pihak, penulis Kedah kini merasai nikmat dihargai biarpun penulis negeri lain sudah lama merasainya. Anugerah Sastera Darul Aman 2022 ini, sesuai dengan kemunculan baharunya menetapkan tempoh masa 2015 sehingga tahun 2021 untuk menilai karya penulis Kedah. Kategori yang dipertandingkan ialah novel dewasa, novel remaja, novel kanak-kanak, cerpen eceran, kumpulan cerpen, puisi eceran, kumpulan puisi, drama, rencana, kritikan sastera, di samping beberapa anugerah tokoh dalam kalangan penulis.
Panel penilai hanya diberi karya yang
sudah terkumpul, dan karya tersebut dihantar oleh penulisnya. Ini bermakna,
hanya karya yang dihantar kepada urus setia akan dinilai. Penilaian dibuat
berdasarkan kriteria yang lazim digunakan mengikuti genre kerana setiap genre
memiliki elemen tersendiri yang mencirikan nilainya.
Kategori Novel Dewasa Dan Remaja
Kami telah membaca dan menilai 14 novel dewasa dan 10 buah novel remaja yang diterbitkan pada tahun 2015 sehingga tahun 2021. Novel-novel dewasa telah dihasilkan oleh lapan orang penulis, iaitu Hafizul Faiz (2 buah), Osman Ayob (2 buah), Amelia Hashim (3 buah), Putraera Ussin (sebuah), Shukriah Rodzi (sebuah), Eqbal Mohaydeen (sebuah), Amer Hmzah L. Kadir (2 buah), dan Zainol Idris (2 buah). Novel-novel remaja telah dihasilkan oleh lapan orang penulis, iaitu Amer Hmzah L. Kadir (2 buah), Ghazali Lateh (sebuah), Sara Salwana (sebuah), Shukriah Sari (sebuah), Wildan Haya (sebuah), dan Siti Sara Hassan (sebuah).
Kriteria Penilaian
Dalam
proses penilaian, panel menilai berdasarkan isi dan bentuk, iaitu cerita dan strategi
pengolahannya. Cerita yang baik, bagi Panel, ialah yang mempertentangkan nilai
positif dengan nilai negatif, dan seterusnya menyebelahi kebaikan sebagai tema
utamanya. Struktur naratif (aspek watak, latar, dan sudut pandangan) seharusnya
disusun secara kemas, serta disampaikan melalui gaya bahasa kreatif yang
bertenaga dan segar. Apabila isi (cerita) yang baik diadun dengan struktur
penceritaan yang kemas dan disampaikan dengan gaya bahasa kreatif yang segar,
terciptalah sebuah karya (novel) yang berkualiti tinggi.
Penilaian Umum
Daripada
novel-novel dewasa yang dinilai terdapat kecenderungan yang tinggi terhadap
tema sejarah. Antaranya mengenai sejarah Kedah, zaman pendudukan Jepun di
Borneo, perjuangan menuntut kemerdekaan, dan sejarah sosial dan ekonomi di
Kedah. Terdapat juga novel yang mengetengahkan persoalan keagamaan, psikologi,
dan petualangan di alam misteri.
Novel-novel remaja pula mengetengahkan
tokoh-tokoh sejarah di Perak dan Sarawak di samping mengemukakan subjek alam
kehidupan remaja dan kekeluargaan. Terdapat novel yang menonjolkan watak dewasa
melalui gaya bahasa yang dipermudah. Pada penilaian kami, novel remaja yang
menarik dan sesuai untuk bacaan remaja wajar mengetengahkan watak remaja yang
sedang bergelut mencari jati diri, memburu cita-cita kerjaya, dan mencari cinta
yang bernilai murni.
Keputusan
Novel Dewasa
Setelah
menilai 14 buah novel dewasa, kami telah memilih lima buah novel untuk dibawa
ke penilaian akhir:
1. Maria
Perempuan Estet (2021) karya Zainol Idris
2. Kalbu
Qalha (2017) karya Amelia Hashim
3. Selarik
Hikayat (2021) karya Amer Hmzah L. Kadir
4. Empangan
Tugal (2018) karya Osman Ayob
5. Gelora
1941
(2021) karya Amelia Hashim
Setelah melakukan penelitian dan penilaian
berdasarkan kriteria yang telah ditentukan, kami telah memilih novel Maria
Perempuan Estet karya Zainol Idris. Kisahnya adalah tentang perubahan
sosioekonomi di Kulim, Kedah, pada tahun-tahun 1949 sehingga 1976. Latarnya di Green
Hill Rubber Estet. Pengarang menggambarkan perubahan sosioekonomi di ladang
getah tersebut. Peristiwa disusun dalam bentuk kolaj dengan catatan tarikh
sebagai penanda untuk memudahkan pembaca menyusun kronologi peristiwa cerita
ini. Pemaparan persitiwa yang padat dan rinci, didukung oleh struktur
penceritaan yang menarik dan disampaikan melalui gaya bahasa yang kreatif dan
segar.
Keputusan
Novel Remaja
Setelah
membaca dan menilai novel remaja, kami telah memilih lima buah novel untuk
dibawa ke peringkat penilaian akhir:
1. Semanis
Kyuho (2016) karya Ghazali Lateh
2. Aku
Lelaki Bernama Rosli (2021) karya Amer Hmzah L. Kadir
3. Suar
Hati
(2019) karya Husairi Hussin
4. Surat
Biru
(2018) karya Wildan Haya
5. Mengukir
Larut (2010) karya Amer Hamzah L. Kadir
Setelah melakukan penelitian dan penilaian
berdasarkan kriteria yang telah ditentukan, kami telah memilih novel Semanis
Kyuho karya Ghazali Lateh. Novel ini memperlihatkan perjuangan seorang anak
muda yang dipandang rendah kerana miskin dan kemudian menjadi sebatang kara
setelah ibu bapanya meninggal dunia. Novel Semanis Kyuho sebuah novel
yang mampu memberikan motivasi kepada pembaca generasi muda untuk cekal memburu
cita-cita kerjaya hidupnya. Walaupun ada bayangan kisah cinta, hal tersebut
bukan tumpuan utama.
KATEGORI
CERPEN ECERAN
Pada
tahun penilaian Anugerah Sastera Darul Iman 2022, Panel Penilai telah menerima
lebih daripada 197 buah cerpen untuk dinilai.
Daripada jumlah tersebut, hanya 188 cerpen layak dinilai kerana terdapat
cerpen yang telah melebihi syarat tempoh tahun penilaian 2015-2021. Penyertaan
yang banyak memperlihatkan kerancakan suasana pengkaryaan cerpen dalam kalangan penulis ahli ASASI Kedah,
penulis kelahiran negeri Kedah, dan juga penulis pemastautin. Penyertaan ini
melibatkan kalangan penulis beberapa generasi sebagai suatu kesinambungan
tradisi pengkaryaan dan kepengarangan di Kedah. Pengarang, antaranya seperti
Azmah Nordin, Osman Ayob, dan Zainol Idris masih meneruskan pengkaryaan yang
memikat, disertai penulis generasi terkemudian seperti Haniff Yusoff yang cukup
produktif berkarya.
Kriteria Penilaian
Penilaian
karya memberikan keutamaan kepada ujaran subjek, strategi naratif, teknik pengolahan
subjek, kreativiti binaan struktur, kekuatan sarana bahasa, dan kehalusan nilai
yang memberikan kesan menyeluruh secara ekspresif dan estetik. Penilaian
mendapati 11 buah cerpen tersaring untuk bacaan rinci:
1. 1. “Babi Hutan”, Zainol Idris, Dewan Sastera Oktober 2015
2. 2. “Maharnya Mahal”, Noor Hayati Haya, antologi Maharnya Mahal, DBP, 2019
3. 3. “Menunggu Azan Pertama”, Ibnu Din Assingkiri, Mingguan Malaysia, April 2021 juga dalam Kemuncak Pauh Janggi, DBP, 2021
4. 4. “Dikejar Realiti”, Zulkefle Dolah, antologi Maharnya Mahal, DBP, 2019
5. 5. “Cerita Tentang Ubat”, Ummu Hani Abu Hassan,
antologi Menulis Cerita ini Pekerjaan
Gila, Gapeniaga 2020
6. 6. “Lorong Budi”, Alang Budiman
7. 7. “Bukan Kupinta Bulan di Awan”, Sara Salwana, Tunas Cipta, Jun 2016
8. 8. “Semangat Pulau Bambu”, Hamizun Syah, Menulis Cerita ini Pekerjaan Gila,
Gapeniaga, 2020
9. 9. “Kemuncak Pauh Janggi”, Zainol Idris, Dewan Sastera, Oktober 2016
1010. ‘Hari
Jadi ke-100’, Osman Ayub, Menulis Cerita ini Pekerjaan Gila,
Gapeniaga 2020
1111. “Pok”, Osman Ayob, Dewan Sastera, Mei 2021
Keputusan
Berdasarkan
kriteria penilaian, enam cerpen dicadangkan sebagai penerima hadiah.
1.
“Babi Hutan@ Jerangkap”, Zainol Idris, Dewan Sastera, Oktober 2015
2.
“Maharnya Mahal”, Noor Hayati Haya, Maharnya Mahal, DBP, 2019
3. “Menunggu
Azan Pertama”, Ibnu Din Assingkiri, Mingguan
Malaysia April 2019 juga dalam Kemuncak
Pauh Janggi, DBP, 2021
4. “Dikejar
Realiti”, Zulkefle Dolah, antologi Maharnya
Mahal, DBP, 2019
5. “Cerita
Tentang Ubat”, Ummu Hani Abu Hassan, antologi Menulis Cerita ini Pekerjaan Gila, Gapeniaga 2020
6. “Pok”, Osman Ayob, Dewan Sastera, Mei 2021
Ulasan Penghakiman
Cerpen “Babi Hutan” ialah karya periode, menggunakan milieu zaman darurat di sebuah kampung di pinggir hutan. Kekuatan cerpen ini adalah pada binaan konflik dalam plot berkembar. Terdapat dua konflik dalam dua jalur plot dialirkan dalam ruang realiti, iaitu peristiwa serangan kawanan babi hutan sehingga merosakkan hasil tanaman di kebun yang dipajak. Kemusnahan tanaman itu mengakibatkan kerugian kepada petani. Selain itu, kekuatan cerpen ini juga adalah pada aspek perwatakan apabila kesan psikologi watak yang berhadapan dengan konflik itu dapat dicerakinkan dengan meyakinkan.
Cerpen “Cerita Tentang Ubat” membawa subjek penyerapan budaya dalam latar luar negara. Penyerapan budaya ini
adalah dari segi perubahan sikap yang lebih positif dan matang dalam mencerap
nilai-nilai baharu melalui pemerhatian, pengamatan, dan pengertian terhadap
resam hidup, sikap, pemikiran entiti masyarakat yang ditemuinya. Cerpen ini juga membawa suatu perbincangan
yang baik berkaitan dengan industri perubatan alternatif yang berasaskan
alam. Dua negara yang berbeza budaya
berkongsi nilai yang sama, bahawa alam menjadi sumber penting dalam perubatan.
Cerpen “Menunggu Azan Pertama” membawa
isu permasalahan ummah. Keperluan mencukupkan bilangan makmum solat Jumaat
ialah suatu bentuk ujaran sarkastik, bahawa komuniti luar bandar semakin
kehilangan jemaahnya kerana berlakunya penghijrahan anak-anak muda iuntuk
bekerja di bandar. Isu bilangan jemaah
yang tidak mencukupi bagi melaksanakan solat Jumaat dikalihkan dengan isu yang
lebih besar, iaitu tentang perpecahan ummah dan perpaduan. Kekuatan cerpen ini
adalah pada kesan dramatik atau suspens dan klimaks pada peleraiannya.
Cerpen “Maharnya Mahal” membawa suatu subjek
yang penting berkaitan dengan tuntutan sebenar dalam sesebuah rumah tangga yang
bakal diidirikan. Nilai kebendaan
bukanlah ukuran untuk membina kerukunan, sebaliknya nilai kerohanianlah yang
menjadi pancang utama. Keistimewaan cerpen ini adalah pada ujaran subjeknya
yang baharu dengan strategi naratif yang alami dilengkapi struktur binaannya
yang ampuh.
Cerpen “Dikejar Realiti” mengujarkan subjek
silaturrahmi dalam institusi keluarga. Cerpen ini memiliki kekuatan dari segi
strategi naratifnya yang menggunakan lapis-lapis bawah sedar yang berfungsi
untuk menterjemahkan pergolakan dalaman dirinya. Pengalaman misteri yang dialami, diolah
secara berculang-caling, dimunculkan
secara sedar d alam ruang realiti dan kadang-kadang hadir di bawah sedarnya. Di
samping itu, cerpen ini membawa nilai positif pada elemen pesanan moralnya.
Cerpen “Pok” membawa ujaran
nilai manusiawi yang merentasi hubungan antara makhluk. Hubungan
kemanusiaan itu diperlihatkan melalui sikap penyayang pasangan suami
isteri yang mengasihi dan melayani kucing peliharaannya Pok, singkatan nama
yang diberikan kerana badannya yang bertompok. Pok memberikan kebahagian kepada
pasangan suami isteri yang hidup kesunyian kerana anak-anak mereka bekerja.
Hubungan antara Pok dengan tuannya akrab, sehinggalah kematian tuannya, Tok Leh.
Selepas itu, kesihatan Pok juga semakin terjejas dan membawa kepada
kematiannya. Kekuatan cerpen ini adalah pada bentuknya yang simplistik, binaan
strukturnya kemas dan alami, naratifnya lancar.
KATEGORI KUMPULAN CERPEN
Panel Hadiah Sastera Kedah bagi Penilaian Kategori Kumpulan Cerpen menerima sebanyak sembilan buah buku kumpulan cerpen. Secara umumnya, karya yang dinilai menunjukkan keupayaan dalam penghasilan karya yang baik dari segi idea, pemikiran, bahasa, dan strategi naratif masing-masing. Kumpulan cerpen yang dinilai didapati mencapai tahap kreativiti sebagai hasil karya yang bersifat kontemporari dalam menerapkan pelbagai pendekatan dan aliran. Kumpulan cerpen tersebut memaparkan pelbagai subjek seperti tradisi lisan dalam sastera, isu-isu sosial, pendidikan, politik, budaya setempat, ketuhanan, jati diri bangsa, dan isu semasa pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti isu konflik dunia Palestin.
Kriteria
Pemilihan
Penilaian
yang dilakukan bertumpu kepada aspek pemikiran atau idealisme, kreativiti, teknik pengolahan, gaya
bahasa, keaslian karya, dan pemaparan identiti
Malaysia. Selain itu,
aspek penting yang
dinilai adalah mengenai kebaharuan pada teknik penyampaian sesebuah karya. Aspek gaya
bahasa yang menekankan nilai kreativiti dan estetika turut
dipertimbangkan. Seterusnya aspek
keseimbangan antara subjek, jalan cerita, bahasa dan teknik penyampaian
memainkan peranan dalam menentukan keberhasilan sesebuah karya.
Selain
itu, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan, sama ada yang bersifat
semasa mahupun sejarah masyarakat tempatan atau antarabangsa diberi keutamaan.
Karya seharusnya mampu menggerakkan pemikiran dan menyentuh emosi pembaca, dan
dalam masa yang sama mementingkan moral dan etika yang tinggi. Dalam konteks
bahasa, karya haruslah memperlihatkan bahasa yang indah, kreatif, imaginatif,
dan berkesan, malahan kuat menunjang tema. Bahasa bukan sahaja membawa makna
cerita, bahkan bahasa itu sendiri merupakan idea, pemikiran dan ideologi.
Seterusnya karya harus mempunyai kesatuan organik dalam binaan naratifnya.
Ulasan Keseluruhan
Berdasarkan sembilan buah
kumpulan cerpen yang dinilai, Panel Penilai telah menyenaraikan lima buah
kumpulan cerpen untuk dibawa ke peringkat akhir:
I . Murka Lautan (Zurinah Hassan, ITBM, 2016)
2. Sekali Air Bah
(Zainol Idris, ITBM, 2015)
3. Xuxi (Ghazali
Lateh, 2021)
4. Gila Tak Gila
(Osman Ayob, ITBM, 2017)
5. Zombi Rumi (Haniff
Yusoff, Legasi Oakheart, 2015)
Setelah dilakukan penyaringan dan penilaian
yang rapi, panel memutuskan kumpulan cerpen Murka Lautan sebagai
pemenang.
Ulasan Penghakiman
Kumpulan cerpen Murka
Lautan memuatkan 10 buah cerpen yang berkisar tentang isu masyarakat, iaitu
kasih sayang dalam kekeluargaan, asuhan kepada generasi muda, kritikan kepada
penguasa dan pentadbir negara, unsur sejarah yang wajar dijadikan ibrah, dan
renungan tentang nasib bangsa Melayu. Nilai agama diselitkan secara halus untuk
memberikan kesedaran kepada pembaca tentang kepentingannya sebagai pasak dalam
kehidupan manusia. Adunan ketajaman
pemikiran dan kelembutan seni ditampilkan pengarang dalam setiap cerpen yang akhirnya
membawa perutusan yang sangat berguna.
KATEGORI KUMPULAN PUISI
Panel bagi kategori Kumpulan Puisi menerima
sebanyak 20 buah buku kumpulan puisi. Secara
umumnya, karya yang dinilai menunjukkan keupayaan dalam penghasilan karya
yang baik dari
segi idea, pemikiran, bahasa, dan strategi penciptaan yang tersendiri. Kumpulan puisi
yang dinilai didapati mencapai tahap kreativiti sebagai hasil karya yang
bersifat kontemporari dalam menerapkan pelbagai pendekatan dan aliran.
Rata-rata kumpulan puisi yang dikemukakan menghidangkan pergolakan diri,
permasalahan kehidupan, dan isu semasa yang bukan sahaja berlegar dalam
masyarakat tempatan bahkan menjangkau ke arena antarabangsa.
Kriteria
Penilaian
Secara
umumnya, kumpulan puisi dinilai dari segi aspek yang berikut:
a)
kesatuan
organik karya;
b) keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang;
c) keseimbangan estetik bahasa dengan persoalan;
d) keindahan moral; dan
e) inovasi dan kreativiti.
Keputusan
Panel
menyenaraikan lima buah kumpulan puisi untuk dibawa kepada peringkat akhir:
1. Merumahkan Kembara (Shafiq Said, ITBM, 2017)
2.
Hujan di
Tapak Tangan (Ihsan Noorzali, ITBM,
2016)
3.
Menunggu
Pesawat (Zurinah Hassan, DBP,
2021)
4.
Bukan
Riak di Lautan (Abd. Rahim Omar,
ITBM, 2016)
5.
Pentas
Topeng-topeng (Solihin Osman, ITBM,
2018)
Setelah diteliti secara terperinci, kumpulan puisi
Merumahkan Kembara dipilih sebagai pemenang.
Ulasan Penghakiman
Kumpulan puisi
Merumahkan Kembara karya Shafiq Said
telah memanfaatkan
kreativiti dan seni estetik yang tersendiri berdasarkan gugusan pengalaman
kembara penulis. Ekspresinya lunak dan bersahaja dengan gaya kesederhanaan yang
dapat membugarkan semangat pembaca. Puisinya dilahirkan secara harmonis dengan
penghayatan dan ekspresi seorang penyair yang penuh dengan rasa kemanusiaan dan
cita rasa kreativiti yang tinggi. Gagasan ilham yang dibangunkan pengarang
daripada mata fikir dan nurani halus mengalir menerusi gaya bahasa bersahaja.
Penulis mengungkapkan sesuatu isu dan persoalan
yang memperlihatkan bauran sensitiviti, persepsi, inovasi, dan daya imaginasi
yang tersendiri. Puisi digarap daripada kesan dan renungan yang mendalam
terhadap sesuatu peristiwa dalam kunjungannya ke beberapa buah negara.
Rata-rata puisi yang dikemukakan menawarkan pergulatan dan pergelutan hidup
yang menguji kesabaran dan kecekalan manusia, namun akhirnya diberi iktibaran
yang sangat bermanfaat. Pengaturan unsur metafora, lambang, personifikasi, dan
simile ditampilkan dengan berkesan dalam setiap hasil karyanya. Pemilihan
perkataannya yang bersesuaian dengan tema dan persoalan menjadikan puisi-puisi
dalam kumpulan ini segar dan bertenaga yang dapat menyuntik inspirasi.
KATEGORI PUISI ECERAN
Penilaian ini akan melihat puisi moden sahaja, iaitu puisi tanpa ikatan struktur sebagaimana yang diwajibkan dalam puisi tradisional. Kriteria khusus telah dirumuskan sebagai landasan penilaian. Tugas ini tidak mudah memandangkan karya seni sukar diberi penarafan yang skematik, dan nilai estetika juga sangat subjektif. Walau bagaimanapun, penilaian dan pemilihan akan dibuat seobjektif mungkin, yakni tidak terjerat dalam elemen prasangka, prejudis, dan berat sebelah. Nilai kebagusan puisi secara umum akan terpakai semasa penilaian ini dibuat.
Kriteria Penilaian
Bagi
kategori puisi, nilainya dilihat pada aspek bahasa, iaitu yang bersangkutan
dengan penggunaan imageri, keserasian kata, simbolisme, dan rima serta ritma
yang sesuai dengan isinya. Aspek bahasa sangat dititikberatkan kerana dalam
puisi, walaupun satu perkataan didapati janggal, maka seluruh puisi itu
dianggap gagal. Unsur kesegaran pengucapan juga mendapat nilai yang tinggi
kerana dalam puisi konvensionaliti tidak dapat memberikan kesan lagi kepada
khalayak.
Penulis sering memberikan tafsiran tentang
kehidupan, alam, kejadian, perlakuan manusia, dan termasuk mendedahkan dirinya
sebagai suatu subjek untuk dipersepsikan oleh khalayak. Dalam konteks ini,
elemen yang dicari ialah kelainan, kesegaran, dan kedalaman intuitif. Puisi
yang hanya memberikan perspektif biasa dan sudah klise serta dapat dijangka
tidak dianggap berjaya.
Aspek kriteria ini sukar untuk diperoleh, namun
inilah yang seboleh-bolehnya digunakan untuk dasar penilaian. Pada akhirnya,
yang dicari dalam puisi ialah keasyikan, kenikmatan estetik, dan kefahaman
baharu.
Penilaian
keseluruhan
Puisi
merupakan genre yang popular dalam kalangan penulis dengan penerimaan jumlah
penyertaan yang banyak, sesuai dengan minat perpuisian dalam kalangan penulis
yang mercup setiap masa. Walau bagaimanapun, ini tidak menggambarkan landskap
penulis Kedah seluruhnya kerana tidak semua karya penulis diterima oleh Panel.
Berdasarkan pemerhatian, ramai lagi penulis tidak menghantar karya mereka untuk
melengkapkan landskap keseluruhan sastera Kedah dalam tahun penilaian.
Panel menerima puisi eceran yang
tersiar dalam media massa dan antologi. Kini banyak projek penerbitan antologi
dilakukan sehingga membolehkan penulis baharu pun berkarya. Satu hal yang
ketara ialah beberapa penulis begitu aktif berkarya, namun kuantiti tidak
menjamin kualiti. Penyertaan mereka dalam antologi bersama lazimnya
dimungkinkan oleh keterbukaan projek penerbitan tersebut menerima orang baharu.
Setelah menyaring ratusan karya, Panel
memperakukan 10 buah sajak untuk disenaraiakhirkan. Karya tersebut adalah
seperti yang berikut:
1. “Ceritera Pulau: Mereka Yang Datang” (Ria
Asmira, Antologi Ceritera Dari Pulau, selenggaraan Puzi Hadi dan Zaidan
Abadin, Penerbit ASASI Kedah, 2019)
2. “Senja di Pantai Cenang” (Rosnani
Ahmad, Antologi Waja Jiwa Meniti Harapan, Penerbit ASASI, 2020)
3. “Ketika Engkau dan Aku Mengetuk Pintunya”
(Abdul Rahim Omar, Berita Harian, 7 Mac 2021)
4. “Serigala malam Membaham Pilu” (Saiful
Ghazali, Tunas Cipta, Bil. 02/2022)
5. “Dia Adalah Perahu” (Solihin Osman, Dewan
Sastera, Oktober 2021)
6. “Lelaki Itu Akukah?” (Hamizon Shah, Mingguan
Malaysia, 11 Mac 2018)
7. “Sketsa
Kucing dan Malam” (Solihin Osman, Dewan Sastera, Januari 2017)
8. “Harga
Sekudus Roh” (Rosnani Ahmad, Utusan Malaysia, 14 Januari 2017)
9. “Riwayat
Serumpun Padi” (Haniff Yusoff Tunas Cipta, Mac 2019)
10. “Perasaan
Dalam Sampan” (Haniff Yusoff Dewan Sastera Bil.12 /2017)
Setelah melalui proses perbincangan antara Panel, enam
puisi yang berikut terpilih sebagai pemenang:
1. “Ceritera
Pulau: Mereka Yang Datang” (Ria Asmira, Antologi Ceritera Dari Pulau,
selenggaraan Puzi Hadi dan Zaidan Abadin, Penerbit ASASI Kedah, 2019)
2. “Senja
di Pantai Cenang” (Rosnani Ahmad, Antologi Waja Jiwa Meniti Harapan,
Penerbit ASASI, 2020)
3. “Ketika
Engkau dan Aku Mengetuk Pintunya” (Abdul Rahim Omar, Berita Harian, 7
Mac 2021)
4. “Serigala
malam Membaham Pilu” (Saiful Ghazali, Tunas Cipta, Bil. 02/2022)
5. “Dia
Adalah Perahu” (Solihin Osman, Dewan Sastera, Oktober 2021)
6. “Lelaki
Itu Akukah?” (Hamizon Shah, Mingguan Malaysia, 11 Mac 2018)
Ulasan Penghakiman
Puisi “Ceritera Pulau:
Mereka Yang Datang” terhidang dalam bentuk puisi prosa, yakni tidak membina
lariknya secara terpenggal-penggal sebaliknya wujud sebagai sebuah wacana yang
bersambung-sambung ayatnya. Imej “pulau” yang menjadi teras pengisahan dengan
segala elemen yang berdamping dengannya diperlihatkan sebagai sebuah landskap
alam daripada satu perspektif dan memaknakan sesuatu yang lebih besar pada
lapisan yang lain. Inilah permainan puisinya: perkara yang dinyatakan membawa
makna lain. Dua makna dapat ditafsirkan mengikut perspektif dan kuasa pembaca.
Pengarang melepaskan renungan zahir dan batinnya sekali gus untuk dinikmati dan
ditafsirkan oleh khalayak.
Puisi
“Senja di Pantai Cenang” membawa corak puisi deskriptif, yakni kesan pemerhatian penyair terhadap Pantai Cenang di Pulau
Langkawi. Kesan impresionistik penyair terhadap tempat itu ditumpahkan dalam
larik-larik yang bersifat visual, bergabung dengan kesan lihatan batinnya. Ini
mengasilkan suatu panorama yang bukan sahaja bersifat gambar, malahan bersifat
emotif.
Jangkauan penyair menyentuh pasir yang haus, camar
yang diam,malahn mimpi yang abstrak dan eksklusif. Selain itu, dihimbaunya juga
“pengembara laut” yang barangkali nelayan atau pelaut. Himbauannya menyentuh
derita “pengembara” itu secara intuitif, dan kesannya memberikan “rasa”, iaitu
sesuatu yang sukar dilihat oleh penikmat biasa. Penyair yang sensitif bukan
sahaja melihat sesuatu dengan mata kasar bahkan dengan mata hati. Lantaran itu,
puisi ini mengheret pembaca ke dalam pemerhatian dan perasaannya sekali gus, lalu
menjadikannya suatu pengalaman estetik yang dikongsi bersama.
Puisi “Ketika Engkau dan Aku Mengetuk Pintu-Nya”
menjurus kepada pengabdian dan pengakuan pasrah kepada Tuhan. Puisi ketuhanan
ini sangat islamik dan disampaikan secara simbolisme. Simbolisme yang terpakai
adalah lazim dalam puisi ketuhanan apabila imej “cahaya” digandingkan dengan
nilai kebenaran. Katanya, “Barangkali engkau tidak melihat cahaya/melainkan
mengenali gelap/ketika seribu bulan berkubu/benderangnya mengejutkan lena”.
Paparan kerohanian itu dipadatkan lagi dengan sambungannya yang menyentuh
perlakuan ibadah khusus, “iktibar sebaris tumit/yang mengikat kiam munajat”.
Bukan sahaja persoalannya adalah murni dan kudus malahan pemakaian bahasanya
juga sejajar dengan nilai kekudusan itu.
Kepadatan
pengucapan juga membentuk puisi ini sebagai sebuah karya seni yang luas
maknanya dalam singkat pengucapannya. Ini sejajar dengan sifat puisi yang
menuntut kepada kepadatan pengucapan. Permainan bahasa berperanan dalam
memastikan kepadatan itu ditampilkan, dan caranya adalah dengan pemakaian imej
dan diksi, dan yang sinkronis dengan subjek. Nuansa yang dibawa dalam imej
“malam”, “bulan”, “pintu”, serta diksi perlakuan “munajat”, “kiam”, “makhraj”,
dan “makrifat” telah dengan sendirinya membungkus makna kerohanian. Inilah yang
menjadikan puisi ini bernilai seni dan membawa manfaat dari segi kerohanian.
Puisi
“Serigala Malam Membaham Pilu” terbina dalam struktur yang ringkas tetapi padat
isinya. Teknik dialogik yang digunakan memberikan kesan pertanyaan pada pembaca
sendiri: “Adakah gelap ini terlalu sunyi?” Sambungannya terus menimbulkan tanda
tanya dalam ungkapan metafora yang segar dan sugestif: “Sehingga telinga
malam/mendengar suara dari hati.” Kemudian pada rangkap kedua diteruskan lagi
frasa metafora yang baharu: “suara gelita”, “serigala malam”, “perasaan luka”.
Semua frasa ini memperlihatkan unsur kebaharuan pengucapan, sesuatu yang sangat
dituntut dalam karya seni. Kebaharuan itu dapat menimbulkan kesan yang
ekspresif dan menghidupkan puisi.
Keseluruhan
puisi ini membentuk sebuah alegori akhirnya, yakni memaparkan satu adegan
dengan maksud yang tersirat dengan pelbagai tafsiran. Dalam gelita malam itu
berlaku penyucian rohani melalui imej-imej yang sinkronik dengan pemikirannya
seperti “serigala malam”, “luka di bibir”, dan “pilu yang mencair”. Ungkapan
figuratifnya mencapai tahap puitis, dan kesannya ialah kepuasan merenangi
lautan makna yang luas hanya di dalam sebuah cangkir. Inilah ciri sebuah puisi
yang kuat dan wajar diberi penghargaan.
Dalam
puisi “Dia Adalah Perahu” memaparkan sentuhan intuitif yang tajam, melihat
sesuatu tidak dengan mata zahir tetapi dapat menzahirkan suatu tanggapan yang
eksklusif. Ini suatu keberanian pengucapan yang melahirkan kelainan yang penuh
tanda tanya. Lupakan soal makna yang kabur kerana tidak semua puisi perlu
ditanggapi maknanya selari dengan niat asal pengarang. Puisi hidup dengan
bayang-bayang yang membuka tafsiran pelbagai melalui imej pilihannya. Dalam
puisi ini, imej perahu tiba-tiba memberikan bayangan makna yang bebas dan liar,
tetapi hidup apabila digambarkan secara deksriptif.
Dikatakannya
bahawa perahu wujud “tetapi di sini tiada air”, maka perahu tanpa air hanya
menjadi “daun”. Gaya pengicapan sebegitu sangat padat dan membiarkan pembaca
mengaktifkan imaginasi serta intuisi untuk membina makna masing-masing. Nescaya
kebebasan membuat tafsiran itu akan direbut oleh setiap pembaca, dan mereka
akan menemukan makna yang berbeza. Oleh itu, puisi tersebut terus hidup tanpa
terikat dalam satu ketetapan makna. Pembaca terus bermain teka-teki dengan
pernyataan di luar logik seperti “Aku perlu mengutip embun/mungkin boleh
menjadi kolam/di puncak gersang ini/anginlah yang paling dahaga.” Pernyataan
itu menimbulkan pesona estetik yang bebas tafsiran tetapi menyegarkan taakulan.
Puisi
“Lelaki Itu Akukah?” merupakan pernyataan introspeksi diri, menyanggah sikap
dan sifat bebal diri sendiri sebagai suatu kesedaran untuk membaiki diri.
Persoalan dan matlamatnya membawa nilai suci apabila penyalahan diri diungkapkan.
Lelaki yang “kusut-masai lesu wajah berkedut” itu mengadukan perihal keburukan
masa lalunya tetapi masih juga mahu mengulangi keburukan itu. Dialogik dalam
diri merupakan konflik batiniah yang sering menimbulkan kesedaran untuk
membersihkan rohani. Inilah nilai positif yang memberikan merit kepada puisi
dari satu segi.
Dari
segi lain, puisi ini mengaplikasikan kaedah pengucapan yang puitis apabila
paparan kisahnya menyiratkan makna yang lebih luas. Ungkapan “sedikit nikmat
bersyukur jauh lebih mulia/daripada sekadar bersabar?” berupa pernyataan konsep
takdir. Usaha manusia tetap diperlukan walaupun hasilnya tetap dalam ketentuan
Tuhan. Pemahaman tentang konsep ini adalah kompleks dan memerlukan huraian yang
panjang, tetapi dalam puisi ini telah diberikan penjelasan secara ringkas dan
padat. Keupayaan puisi telah membungkus suatu konsep yang besar dalam satu
lipatan kata-kata yang terbatas.
Karya yang memenangi
hadiah memperlihatkan pencapaian penulis Kedah yang menjanjikan kelestarian
sastera di negeri Jelapang Padi ini. Terdapat karya memenuhi keperluan bagi
genre. Karya yang terpilih ini hanya sebahagian daripada sekian banyak karya
bermutu lain, kerana barangkali masih banyak penulis tidak menyertai pemilihan
ini. Bagaimanapun, karya terpilih ini pun sudah cukup membuktikan bahawa
penulis Kedah berada dalam jajaran sastera kebangsaan yang bermutu.
LAPORAN
DISEDIAKAN OLEH
DR MOHAMAD SALEEH
RAHAMAD (KETUA PANEL)
HAJI HAMZAH HAMDANI
DR MOHD HANAFI IBRAHIM
No comments:
Post a Comment