SENJAKALA,
SEBUAH KARYA MONUMENTAL
|
Senjakala, DBP 1986 |
NOVEL ini diterbitkan
pertama kali pada tahun 1986, oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kemudian diulang
cetak beberapa kali. Naskah milik saya ini adalah cetakan ke 7 (1990). Novel
berhalaman 183 ini, ketika itu cuma berharga RM6.00. (nilai semasa saya kira
tidak kurang dari RM25.00/ RM30.00). Senjakala turut terpilih (dari novel-novel
yang pernah dihasilkan antara 1925-1996) dan diterbitkan dalam Siri
Novel Malaysia Pilihan Abad 20, sebuah koloborasi antara Dewan Bahasa
dan Pustaka dan Rhythm Consolidated Berhad. Sejumlah 26 buah novel yang
dianggap sebagai karya monumental mewakili dekad masing-masing diterbitkan
dengan berkulit tebal.
Senjakala yang pernah
dijadikan teks kajian sastera SPM, 1988-1992, (bukan Komsas seperti sekarang)
adalah novel sulung Baharuddin Kahar setelah prolifik dalam penghasilan cerpen
sejak awal 1970-an (sebahgian karya awal beliau dapat dibaca dalam Kumpulan cerpen Kampung Halaman (DBP, 1982).
Membaca Senjakala dan
cerpen-cerpen Baharuddin, segera mengembalikan saya kepada karya-karya Malim
Ghozali Pk. Kedua-dua buah-tangan sasterawan kelahiran Perak (Malim, di Malim
Nawar manakala Baharuddin di Tanjung Rambutan) sarat bermuatan nuansa dan
elemen-elemen antropologi dan sosiologi. Merakamkan suasana dan iklim pewarnaan
setempat sezaman yang penuh bumbuan nostalgik.
|
Baharuddin Kahar, (Foto:Ssegamat.com. 2011) |
Baharuddin
Buyung Kahar, lahir 24 Disember 1946, di Pekan Lama,
Tanjung Rambutan, Perak. Mendapat pendidikan di Sekolah Anderson, Ipoh. Pernah
berkerja dalam pelbagai bidang sebelum menjadi guru di Sekolah Menengah Tsung
Wah, Kuala Kangsar. Minat dalam penulisan menyebabkan beliau berhenti dari
kerjaya sebagai guru dan berkerja dalam sebuah penerbitan. Beliau berpeluang
mengikuti kursus penerbitan di Italy dan England (di bawah Skim Latihan
Usahawan Bumiputera, anjuran Jabatan Perdana Menteri),1985. Pada tahun yang
sama beliau berjaya mendapat Zamalah
Sastera Berita Harian berupa geran/ pembiayaan membolehkan beliau menyiapkan novel Menerjang
Gelombang dan diterbitkan oleh Berita Publishing (1989).
Pernah menangi Hadiah
Karya Sastera 1976/77(cerpen Capa Rengat), 1982/83 (Cerpen Sempana Ganja Iras),
1984/85 (Kumpulan Cerpen Terima Kasih Tuhanku) dan Sayembara Cepen Esso-Gapena 1976,
1981) Novel remaja beliau, Cerita Adam,
memenangi Hadiah Sastera Malaysia 2004/2005).
Senjakala mengikut
Baharuddin hanya mengambil masa dua minggu untuk disiapkan dengan tulisan
tangan kemudian ditaip semula dengan pertolongan seorang sahabatnya, Beliau
terpaksa menulis terus menerus dari pagi ke malam kerana terpaksa berlepas ke
Turin Italy dan Hertlepool, England mengkuti kursus penerbitan.(lihat laman Web
Komuniti Segamat.Com)
|
The Old Man and The Sea |
Bagi bacaan ulangan
kali ini, saya dapat mengkhataminya dalam sehari suntuk saja (Senjakala adalah sebuah
fiksi beraliran realisme tanpa perlu bermenung panjang). Mengikuti jalur
naratif Senjakala segera mengingatkan saya kepada kegigihan (kedegilan) watak
Santiago dalam The Old Man and The Sea
(Hemingway, 1952) dan watak Pawang Kri dalam Arus (Anwar Ridhwan, Pustaka Cipta Sdn.Bhd., 1985). Senjakala Kisah
kegigihan seorang pemburu tua, Kinto yang menjelajahi rimba raya, hutan
belukar, turun naik bukit, meranduk sungai dan paya lebih seratus hari memburu
rusa untuk memenuhi keinginan anak gadisnya, Noor, yang mahu makan daging rusa.
Noor sedang menderita sakit yang mengikut doktor cuma berpeluang lima bulan
saja untuk hidup.
|
ARUS, Anwar Rihdwan |
Kinto waktu mudanya
merupakan seorang pemburu handal. Memiliki ilmu dan pengetahuan luas mengenai
dunia haiwan, hutan dan perburuan. Bukan saja berhasil menewaskan mangsa-mangsa
perburuannnya setiap kali turun berburu malah Kinto berjaya menawan hati
Dasima, gadis manis, anak kepada rakan seperburuannya, Pak Awang Lodin ketika
berburu di Kampung Sayung (kuala Kangsar). Kinto yang cedera tertikam buluh
dibawa pulang oleh Awang Lodin untuk dirawat. Di sinilah dia berkenalan dengan
Dasima, jatuh cinta kemudian berkahwin. Bagaimanapun Dasima meninggal selepas
melahirkan Noor. Kinto kemudian meninggalkan Sayung membawa anaknya kembali kampung
asalnya. Noor membesar dibawah jagaan Sapiah adik Kinto yang tinggal serumah
dengannya. Sapiah yang kematian suami mempunyai
seorang anak lelaki, Damid, sebaya dengan Noor.
|
Baharuddin tetap berkarya di samping berjual satey di sebuah restoran di Segamat (foto: Segamat.com) |
Baharuddin Kahar memperlihatkan
keterampilan bakatnya membina jalur naratifnya yang memiikat dengan debaran
demi debaran selepas doktor mengesahkan yang anak gadisnya, Noo,r mengidap
sejenis penyakit seumpama leukemia. Sehari demi sehari Noor kelihatan lemah,
bersedih, murung dan kerap pengsan. Bermulalah episod keazaman( kedegilan )
seorang pemburu tua turun berburu setiap hari untuk melunaskan keinginan terakhir
anak gadis kesayangannya.
Novel tanpa antagonis
ini adalah sebuah pelukisan tentang kecekalan
hati seorang manusia yang enggan menerima kekalahan. Tentang harga diri dan
kasih sayang. Mencakupi hubungan manusia dengan Tuhan, alam dan sesama manusia.
Tersimpan falsafah tentng proses pencarian diri. Tentang kewujudan kita yang
perlu menerima kekalahan bersandarkan kesedaran pada kegungan Tuhan. Cinta yang patah, rendah diri seorang lelaki dan
cinta yang tidak sampai turut terungkap dalam fiksi ini (blurb Senjakala).
Tidak rugi menghabiskan
sedetik masa menelaah sebuah novel yang sarat dengan pengetahun selok-belok
dunia perburuan, hutan rimba dengan flora-faunanya termasuk ranah kehidupan dan
budaya masyarakat orang asal. Seorang pengarang yang tidak pernah terlibat
secara lansung dengan aktiviti perburuan dan alam rimba raya tidak mungkin
berhasil melukiskan jalur naratifnya dengan lancar dan fakta-fakta yang tidak meragukan.
Saya percaya Baharuddin Kahar mempunyai ilmu, pengetahuan dan pengalaman serta penglibatan
langsung dalam subjek garapannya. |
Bersama novelis SAGA, Abd.Talib Hassan dalan suatu acara sastera di J0hor, 2011.(foto: Segamat ,com) |
Selepas berjaya mendapat rusa yang diburunya lebih
seratus hari dengan merebutnya dari mulut seekor harimau ganas, sempatkah Noor,
anak gadis kesayangan Kinto menjamah daging rusa yang diingininya. Semuanya terjwap
di halaman 183, di mana Baharuddin Kahar menokhtahkan fiksinya. (khabarnya DBP
ada membuat cetakan semula, kumpulan cerpen termasuk novel Senjakala; sempena produksi
telefilem Capa Rengat Gulai Rawo
sebuah kolaborasi DBP dan RTM) adaptasi dari dua buah cerpen beliau
ZAINOL IDRIS,
19 Mei 2021,
Jitra, Kedah.
No comments:
Post a Comment