Mengangkat era gemilang persuratan
Melayu
03 Mac 2019 4:00 PM
MAKA berlangsunglah majlis penyampaian hadiah
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Hadiah ini umum mengenalinya sebagai HSKU.
Edisi kali ini yang ke-33. Bertemakan ‘Kesultanan Melayu’ yang mengambil
semangat era kegemilangan istana menaungi persuratan zaman lampau, dengan
sekalian pujangga bermainkan tinta. Majlis diwarna-warnikan ruang dan suasana,
semangat dan impian. Sangat bersemarak hadirin berbusana tradisional. Ada yang
lengkap bertanjak, di sana sini terasakan sekali bagai di anjung laman istana
yang terperi dalam kisah-kisah serta hikayat.
Demikian, pukauan awal memasuki Dewan Utusan.
Penuh sesak dengan lebih seribu jemputan meraikan 37 pemenang HSKU 2017. Sekali
gus ikut menjulang dan memartabatkan sastera. Enam kategori hadiah
dipertandingkan dalam HSKU. Menobatkan karya terbaik yang diterbitkan dalam
media Kumpulan Utusan; Mingguan Malaysia, Utusan Online dan majalah Wanita.
Dewan Utusan sekali lagi bergemuruh mengalu-alukan tetamu kehormat, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson saat melangkah masuk selaku perasmi
majlis. Yang Berhormat Datuk Seri seterusnya menyampaikan ucapan dan hadiah
kepada para pemenang.
Panduan kedua-dua gambaran ini cukup untuk
merasakan betapa bermaknanya majlis penyampaian hadiah HSKU kali ini. HSKU
edisi ke-33 kembali tampak gah dan cukup mengujakan pemenang, penulis dan para
undangan; Sasterawan Negara, pengarang tanah air, penggiat kesenian, pengarah,
pelakon, penyanyi, pelukis dan tentunya pencinta kesusasteraan dari seluruh
pelosok negara. Demikian, barisan Panel Hakim dan sebarisan panjang pemenang
siap siaga menantikan detik-detik nama dipanggil ke pentas menerima hadiah
setelah karya terpilih sebagai garapan terbaik sepanjang tahun penilaian.
HSKU bermula pada tahun 1986. Ia satu sejarah
yang panjang. Kumpulan Utusan menjadi syarikat ulung menganjur dan memberikan
hadiah tekal berterusan selama 33 tahun. Mempertaruhkan Kategori Cerpen dan
Puisi kemudian berkembang dengan menambah Kategori Novel Remaja, Kajian dan
Rencana Sastera. Hari ini ia cukup dewasa. HSKU hari ini kukuh dengan
melengkapkan enam ketegori hadiah yang ditawarkan; Kategori Cerpen Umum, Cerpen
Remaja, Cerpen Media Baharu, Puisi, Kajian dan Rencana dan Kategori Novel
Remaja. Semua karya terdri daripada cerpen, puisi, kajian dan rencana merupakan
karya yang telah sedia terbit atau tersiar dalam media terbitan Kumpulan
Utusan. Kecuali, kategori Novel Remaja yang khusus menilai manuskrip yang
diajukan ke sekretariat, di penghujung setiap tahun penilaian.
Manuskrip merupakan hasil karya yang belum
pernah diterbitkan. Kategori Novel remaja terus hangat menjadi tarikan para
penulis. Di HSKU ia menjadi antara kategori yang cukup dinamik apabila mendapat
sambutan banyak pengarang berwibawa, sentiasa meningkat penyertaannya, dengan
pengarang seakan berlumba-lumba untuk mengetengahkan idea atau subjek baharu
dari setahun ke setahun dan mengaplikasikan teknik persembahan yang serba
segar. Akhir-akhir ini cenderung pula memperlihatkan masukan atau muatan
pelbagai ilmu baharu yang mengangkat teks.
Urusetia penyelenggara majlis Kumpulan Utusan
bijak membangkitkan suasana atau mood tradisional yang mengasyikkan apabila menyediakan
muzik gamelan dan caklempong, sesekali rancak sesekali mendayu, bersesuaian
dekorasi serta hiasan. Peranan muzik penting; kesinambungan acara terasakan.
Dibantu kepetahan dua pengendali; Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dan
seniman Sabri Yunus sekali gus membangkitkan aura dinamik. Kedua-duanya petah,
maklumat untuk hadirin padat, tanpa leteran yang berlebihan, jenaka dan
sekala-sekali menjolok tumpuan hadirin. Majlis tidak terasakan berlalu sekali
pun telah mencecah lebih tiga jam.
Anwar jelas mencuri banyak tumpuan. Ucapannya
yang ditunggu-tunggu mengajak pengarang mengangkat kesusasteraan bangsa kembali
bertakhta. Sejarah persuratan bangsa besar, katanya. Kesusasteraan memainkan
peranan penting dalam upaya melonjakkan nasionalisme dan dalam usaha
menggerakkan kesejahteraan sosial. Beliau yang pernah merasmikan majlis dan
menyampaikan hadiah serupa pada 1994 dahulu, memgulanginya dengan lontaran kata
terpilih rapi terjaga, mengapungkan idealisme melihat bahasa Melayu kembali
dijulang sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang tunggal.
Tradisi persuratan menggunakan medium bahasa Melayu pernah hebat, dengan itu
katanya dengan memartabatkan kembali bahasa Melayu sebagai bahasa utama akan
mengembalikan era kegemilangan persuratan kita.
Sebanyak 37 orang pengarang diraikan karya
mereka dalam majlis kali ini. Kategori Cerpen Umum menyaksikan 10 cerpen
disenarai pendekkan setelah 65 dibaca panel. Lapan daripadanya diangkat
pemenang. Pemenang Hadiah Utama Kaki Hantu oleh Saza S, Pak Hussin, Bas Buruk,
Calon YB dan Saya karya MK Riza dan Titis-titis Hujan di Rakhine tulisan Azman
Ismail yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia. Sementara pemenang Hadiah
Penghargaan, Memberikan Telinga (Saifullizan Yahya), Kuroshio (Hafizah
Iszahanid), Hari yang Bergelar Kematian (Juri Durabi), Neraca Akal (Maznida
Mahadi) dan Paduka Raja & Kota Yamani karya Zainal Rashid Ahmad.
Rata-ratanya sebelum ini adalah pemenang HSKU melalui kategori sama.
Kategori Cerpen Remaja pula menyenarai pendekkan
16 cerpen untuk diteliti di saringan akhir. Daripada jumlah itu, lapan
diberikan hadiah dengan Dongeng Tonggak Sembilan dan Cerita Februari (Husna
Nazri), Rahmat Bahagia (Maskiah Masrom) dan Perginya yang Tercinta dan Indahnya
Legenda (Zainal Rashid Ahmad) diberikan Hadiah Utama sementara Bujang Berani
(Clayton Robert), Hikayat Pesan Ibu (Husna Nazri), Imam Air Mata (Ramli Abdul
Halim), Rimba Nan Satu (Seroja Salim) dan Semarak Jiwa Wardah oleh Baktiar Omar
diberikan Hadiah Penghargaan.
Kategori yang baru diperkenalkan, Kategori
Cerpen Media Baharu, sejak 2015 menerusi karya yang tersiar di Utusan Online
menghimpunkan sejumlah 39 buah karya. Jumlah ini meningkat mendadak daripada 19
pada tahun penilaian sebelumnya. Cerpen kategori ini mengkehendaki penulis
menghasilkan naratif yang mengangkat medium baharu ini dengan penggunaan
teknologi komunikasi mutakhir bagai belum dihayati secukupnya kalangan penulis.
Karya kategori ini bermaksud memberi nilai tambah kepada kemajuan dalam
kehidupan dan peradaban, penggunaan pelbagai kemudahan aplikasi media sosial
dalam konteks pembinaan sahsiah diri, kerjaya dan dalam ranah keilmuan juga.
Karya yang sampai ke penelitian panel sedikit di
bawah paras mengujakan. Sebahagian besar karya sekadar menamakan jenis-jenis
aplikasi yang diguna tanpa menunjukkan bagaimana ia berfungsi meninggalkan
impak dalam segenap ruang kehidupan- mengembangkan kerjaya, mengkualitikan
ragam interaksi dan dalam urusan-urusan besar, seumpama dakwah. Sungguhpun
demikian, sebanyak 12 karya disenarai pendekkan, panel menamakan karya Pondok
Ayah oleh Shahkang, untuk diberikan Hadiah Utama. Manakala, Intan di Antara
Kaca oleh Zalila Isa, Aki Popular oleh Nurimas SN, Cucu Tok Wan, oleh Alang
Budiman, Rumahku di Desa Hati Abah oleh Wardah Puteh dan Kuih Peneram Pak Jais
oleh Abdullah Hussaini Mohd Ghazali diberikan Hadiah Penghargaan.
Kategori Puisi sentiasalah popular dan ‘meriah’
saban tahun. Banyak karya disiarkan media Kumpulan Utusan. Panel membaca 286
karya kali ini. Daripadanya, 20 disenaraipendekkan. Sementara, lapan diangkat
menjadi pemenang. Puisi pemenang kali ini, Lelaki yang Keciciran Lidah karya
Zain Idris Al-Tobiari, Lelaki dan Pari-pari, karya S. M. Zakir dan Sejumlah
Catatan Tentang Kesakitan karya Fahd Razy diberikan Hadiah Utama. Hadiah
Penghargaan pula diberikan kepada Tali (Zalila Isa), Sakti Naskhah (Raihani
Mohd. Said), Membuka Pintu Rumah Agam-Mu, (Ezani Haji Daud), Pemain Ular (M.
Arif) dan Bagaimana untuk Ditangiskan (Siti Zaiton Ahmad).
Pemenang Kategori Kajian dan Rencana cuma dua
orang. Sejak beberapa tahun lepas, karya kajian tidak dinilai. Hanya rencana
yang diteliti. Banyak hasil penulisan yang terbit di media Kumpulan Utusan,
terutama Mingguan Malaysia. Namun, dalam penilaian panel lazimnya mengetepikan
tulisan yang bersifat laporan peristiwa sastera, ulasan atau resensi buku,
termasuk reaksi yang sangat tipis sorotannya untuk diambil ilmu dan kekuatan
idea. Enam rencana dibawa ke penilaian akhir. Dua, masing-masing Penulis
Terperangkap dalam Lif oleh Roslan Jomel, dan Karya Indie: Mencari Permata dan
Kaca karya Ramlee Wahab diperakukan panel untuk diberikan hadiah. Ini
berdasarkan adanya pandangan-pandangan baharu yang memberangsangkan, hasil
penulisan santai yang memikat pembacaan serta adanya elemen pembangunan buah
fikiran yang boleh dijana khalayak.
Kategori Novel Remaja antara pencapaian paling
membanggakan pada pandangan barisan panel pada tahun penilaian kali ini.
Daripada 13 manuskrip novel remaja yang diterima sekretariat, sebagaimana
amalan sebelum ini juga setiap panel menelitinya secara halus menggunakan
Kriteria Penilaian Umum dan Skop Penilaian Khusus yang disediakan. Lapan
berjaya dalam perbincangan akhir. Enam daripadanya terpilih diberikan hadiah.
Pemenang Hadiah Pertama, Selendang Merah Balukhali karya Sri Rahayu Mohd Yusop
dilihat paling menonjol. Penulis yang sama memenangi hadiah serupa bermula
tahun 2000 dengan manuskrip Bukan Legasi Lalang’ kemudian memenangi lagi
kategori ini pada 2002, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010 dan 2011. Kecuali tahun
2002, setiapnya merupakan
Pemenang Tempat Pertama.
Selendang Merah Balukhali mengangkat subjek
keperitan hidup manusia di Kem Pelarian Balukhali Cox’s Bazar, Bangladesh,
antara sebuah kem pelarian antarabangsa terbesar di dunia.
Pemenang Kedua, Si
Penenun Cinta karya Husna Nazri, mengangkat kesenian tenunan songket. Husna
Nazri juga merupakan pemenang yang kerap memenangi HSKU. Karya-karya Husna
seringkali mengujakan pembacaan.
Pemenang Ketiga, Ayah oleh Dayang Ku Mastura
Pengiran Ismail, pengarang terkenal dari Sabah, juga sebuah karya hebat yang
mampu menginspirasikan keperibadian remaja unggul.
Pemenang Penghargaan terdiri
daripada Pekan Berembang (Salina Ibrahim), Antara Dua Titik (Abang Median Abang
Said) dan Maka, Berbuatlah Emas (Norazida Ishak). Selain subjek yang sentiasa
memukau panel, karya kali ini sebagaimana beberapa tahun belakangan
memperlihatkan ketekunan penulis melakukan kajian atau penyelidikan tatkala
menghasilkan karya. Ia tentunya sesuatu yang menakjubkan. Ada kecenderungan
penulis mencuba pelbagai teknik persembahan gaya baharu yang memikat.
Penggunaan bahasa yang tebal estetik membanggakan panel.
HSKU sesungguhnya terus memberi sumbangan besar
dalam mendukung kemajuan dan perkembangan kesuasteraan kebangsaan. Bauran
pemenang lama dan baharu, kerencaman pemikiran yang dibawa dan keindahan
penukangan sastera yang terjaga, menjadi ramuan cantik karya pemenang HSKU
2017. Jika ditanya, apakah HSKU masih relevan, rata-rata pencinta menyetujui
bahawa Kumpulan Utusan wajar meneruskannya, untuk jangka masa yang panjang lagi
dalam upaya kita memartabatkan kesusasteraan. Dewan Utusan yang penuh sehingga
ke penghujung acara, tertunggu-tunggu kemunculkan Haziq AF sebagai penyanyi
undangan, diikuti Datuk Seri Siti Norhaliza di akhir majlis yang
melengkapkannya dengan aluan gemersik Cindai dan Anta Permana.
Sekeretariat HSKU kali ini jelas cemerlang.
Majlis yang hampir seluruhnya sempurna, santai dan berimpak. Tercapai hasrat
tema dipilih, ‘Kesultanan Melayu’ yang seolah-olah menerawang ‘daulatnya’
memenuhi setiap ruang dewan, juga dalam seluruh acara yang berlangsung demi
mengangkat kembali era kegemilangan persuratan Melayu. Tahniah Kumpulan Utusan
atas segala usaha murni. Syabas Sekretariat yang gigih bertungkus lumus,
mempersembahkan juga tujuh terbitan terbaru, di bawah kelolaan Tintarona
Publications Sdn. Bhd, antologi karya eceran Kuroshio, dan enam novel pemenang,
HSKU edisi ke-34 mudah-mudahan menyusul, dengan edisi yang ke-33 kekal
menggamit kenangan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/mengangkat-era-gemilang-persuratan-melayu-1.852126#ixzz5hwC5d4NT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment