Wednesday, May 27, 2020

PERLALANAN SASTERA 8

          SAYA, DARI HUJUNG KAMPUNG

 

           Saya cuba-cuba memberanikan diri mendekati arena persuratan kira-kira  pertengahan tahun 1977, iaitu ketika mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang. Begitu pun sudah pasti bibit-bibit tarikan kepadanya  sedia berputik lebih awal lagi; secara perlahan-lahan  dan tidak disedari. Rangsangan-rangsangan  yang  pada awalnya sekadar  cebisan angan-angan dan impian, lama-kelamaan bercantuman sama sendiri, mendap, lalu terjelma dari sekadar suka-suka  berubah menjadi kecintaan (passion)  yang kekal berlangsungan.

         Saya lahir dan besar di kampung, dalam sebuah komuniti Melayu yang menggunakan dialek Siam (Thai) sepenuhnya, sebagai wadah komunikasi harian  (sekadar  bertutur saja    tapi tidak tahu menulis atau membaca aksara Thai]. Kelompok kecil yang masih wujud di beberapa daerah di Kedah hingga kini, adalah saki baki tinggalan dari penaklukan Siam ke atas Kedah (1821-1842). Pembelajaran dan amalan penggunaan  bahasa Melayu sepenuhnya , bagi saya cuma bermula bila menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

       Kegemaran saya ketika zaman kanak-kanak ialah mendengar cerita lisan yang disampaikan oleh nenek saya (sebelah bapa) , almarhumah Hajah Mariam  Ishak. Kerapkali saya akan bermalam di rumahnya, yang terletak tidak jauh dari rumah kami, semata-mata untuk mengikuti cerita-cerita  (mi than) yang dituturkan sepenuhnya dalam dialek Siam. Di antara cerita yang masih samar-samar dalam  ingatan seperti Nang Sip Song (Puteri Dua Belas),  Hin Tham (Batu Belah)  dan Lok Chang (Anak Gajah). Setiap satu disampaikan dengan penuh perasaan,  mengandungi  dialog dan kata-kata berirama seumpama gurindam dan seloka dalam  versi Siam. Menariknya hampir keseluruhan cerita yang ditutur sering diasosiasikan  dengan  mitos unsur-unsur pewarnaan setempat. Sebagai contoh dalam cerita Nang Sip Song, dua belas  puteri yang dicungkil biji mata oleh Permaisuri kaum gergasi, disembunyikan di bawah tangkupan kawah besar. Mengikut nenek, kawah besar itu tidak lain tidak bukan iaitu Gunung Jerai, yang tersergam  sebagai puncak tertinggi di Kedah sekarang.

            Ketika menduduki  pendidikan dasar di SK Haji Idris,Tajar, Alor Setar (1962-1967), terdapat satu sudut  berhampiran bilik guru yang dijadikan kutub khanah, di mana kami murid-murid darjah lima dan enam mendapat keistimewaan  meminjamnya. Di antara judul koleksi buku-buku yang masih kekal dalam ingatan, ialah novel-novel dari Indonesia seperti Layar Terkembang oleh Sutan Takdir Alishahbana, Siti Nurbaya, (Marah Rusli) termasuk juga novel-novel autobiografi-politik oleh Ruhi Hayat  seperti Api Dan Airmata dan Api Itu Masih Membara. Novel Tulang-Tulang Berserakan (Usman Awang), disamping buku-buku  yang lahir dari sayembara seperti  Bahagia Sesudah Derita ( Md.Akhir Leman) dan antologi cerita pendek, Aku Di Sebuah Pulau. Koleksi buku-buku sastera (yang kami panggil sebagai buku cerita)  agak tinggi untuk dihadami oleh seorang murid baya kami. Buku-buku tersebut mungkin dibeli mengikut  citarasa guru-guru, untuk mereka baca  sendiri. Sebaliknya, sudah pasti kami lebih teruja dan  berebutan  untuk meminjam buku-buku hikayat dan penglipurlara seperti Hikayat Raja Donan,  HikayatTerong Pipit,  Hikayat Bungsu Pinang Peribut , Hikayat Anggun Cik Tunggal dan lain-lain (sekadar yang masih terlintas dalam ingatan) yang sesuai dengan tahap imaginasi dan daya fantasi seorang kanak-kanak. 

            Saya  mendapat pendidikan menengah rendah (1969-1971), di sebuah sekolah agama rakyat, Raudzatul Ulum,  terletak tidak jauh dari Makam Diraja, Langgar, Kedah.

Perpustakaan (maktabah) pula seadanya, berisi kitab-kitab arab yang tercetak di Beirut dan Kaherah. Buku-buku akademik  dan agama berbahasa Melayu, termasuk karya sastera  Melayu dan Indonesia agak  terbatas; antara yang saya masih ingat dan pernah meminjamnya  ialah, Hikayat Faridah Hanum (Syed Sheikh Al Hadi), Tenggelamnya Kapal Ven Der Vicjk (Hamka),  Desa Pinggitan (Ibrahim Omar), Subuh (Atan Long), Hud dan Patah Sayap Tebang Jua (A.Samad Ismail.)  

Cerpen pertamaku Dewan Sastera, Julai 1981

            Seperti kebanyakan sekolah agama rakyat, gerakerja  kokurikulumnya lebih tertumpu kepada bidang bahasa dan kebudayaan.Tiada  aktiviti sukan dan pemainan kerana ketiadaan gelanggang atau  padang permainan disebabkan keluasan tanah yang terhad. Setiap hari Sabtu kami dikehendaki menghadiri  Majlis Muhadhoroh ; perjumpaan mingguan yang diisikan dengan kegiatan bahasa dan kebudayaan.  Pada majlis ini setiap pelajar akan tiba juga gilirannya untuk mengambil bahagian  dalam bidang-bidang seperti  berqasidah, bacaan al Quran, nashid, syarahan, debat, deklmasi puisi, bersyair, drama, pentomin, tablo, nyanyian  dan lain-lain.  Saya pernah  sekali dua  muncul di pentas mendeklamasi sajak. Sajak pilihan saya yang masih terakam dalam ingatan  tidak lain dari Ke Makam Bonda (Usman Awang) dan Aku (Chairil Anwar).

      Memandangkan kedudukan rumah kami lebih kurang 4 kilometer ke jalanraya, sayaterpaksa tinggal di rumah nenek (sebelah ibu), almarhumah Hajah Saadah Yunus, di kampong Titi Haji Idris, memudahkan berulang alik ke sekolah dengan kenderaan bas Mara, ke Pekan Langgar hampir 12 kilometer. Di sini, saya berkawan dengan abang sepupu , AbuBakar Ali (almarhum) yang sama belajar di Rauzatul Ulum. Dia lima tahun senior daripada saya. Beliau sangat berminat dengan kesusasteraan dan menulis  sajak menggunkan nama pena  A.R. Asmardi. Sajak-sajak tulisannya sering dideklamisikan dalam majlis Muhadhoroh .Tidak pasti sama beliau ada menghantar sajak-sajak beliau kepada akhbar atau majalah. Beliau yang meminati dan sering menggayakan penampilan seniman Nordin Ahmad,  juga kerap berlakun  drama dalam majlis-majlis tersebut.  Kegemarannya ialah memegang watak-watak antagonis. Saya selalu menumpang baca  ruangan sastera yang menyiarkan cerpen dan sajak dalam akhbar  Berita Minggu dan Utusan Zaman yang dilangganinya. Beliau juga melanggan majalah Mastika dan  Majalah Filem. Apabila majalah Dewan Sastera diterbitkan mulai Januari 1971, saya  berkesempatan memilikinya.  Dewan Sastera ketika itu cuma  berharga 50 sen senaskah,  boleh dapatkannya di kedai  Pak Mansor, seorang tukang jahit, di Pekan Langgar,  yang juga menjual buku, majalah dan akhbar. Berbekalkan duit belanja makan 40 sen sehari yang saya jimatkan, saya mampu memiliki Dewan Sastera setiap keluaran  termasuk, mingguan Utusan Pelajar dan  majalah Dian yang diterbitkan di Kota Baharu. Walaupun laras dan langgam  bahasa Dewan Sastera agak tinggi, sedikit-sedikit saya mampu menghadami seadanya, lagipun ketika itu saya sudah berada dalam tingkatan tiga (marhalah thalisah).  Menerusi Dewan Sastera, saya mulai mengagumi  Shahnon Ahmad, Azizi Haji Abdullah, S.Othman Kelantan, Latif Mohidin (selain dari puisi beliau juga menyumbangkan sketsa pada setiap keluaran), T.Alias Taib, Mohamad Haji Salleh, Zaihasra, Zurinah Hassan dan ramai lagi. Cerpen-cerpen Shahnon dan Azizi sangat mengesani jiwa saya mungkin kerana kami lahirkan dan membesar dalam latar sosial-budaya-ekonomi yang hampir sama ; masyarakat tani dan sawah padi di Kedah.

            Melewati dekad-dekad pasca merdeka; penghujung 50-an, 60-an dan awal 70-an, radio adalah media komunikasi dan hiburan  utama bagi masyarakat kampung. Walaupun televisyen telah mulai di perkenalkan di tanahair mulai 1963, siaran radio tetap menjadi wadah pilihan bagi  masyarakat kampung kami, yang masih  ketiadaan bekalan  elekrik. Sebagai sebuah desa yang tersorok di ceruk perdalaman persawahan, kami cuma mendapat menikmati kemudahan elektrik mulai pertengahan 1970-an. Pada awalnya keluarga saya memiliki sebuah peti radio besar jenama Normande, buatan Germany,  menggunakan bateri yang besar dan berat . Dua batang buluh terpaksa digunakan untuk meregang wayar  antenna. Pada penghujungan 1960-an kemudian barulah bertukar kepada radio  transistor , kecil, ringan serta menggunakan sel kering. Masih mendap dalam ingatan, menjelang malam-malam  Ramadhan,pasti  ada jiran-jiran berandangl  untuk mengikuti Musabaqah Al Quran  yang disiarkan secara langsung menerusi radio.

            Drama radio  boleh dikatakan ke udara saban hari,  bukan saja dari  Radio Malaysia malah dari Siaran Melayu Radio Singapura juga boleh dicapai dengan jelas. Lakonan suara  Salim Bachik, Z. Roslee, Jahlelawati, Rubiah Suparman, Jorah Ahmad, Osman Zailani,  SM  Alkaf dari Radio Singapura, manakala dari Radio Malaysia pula  Karim Mohamad, Helan Abu, Mahani Ujang, Norhiyah Mohd Isa, Norlela Samad    adalah familiar bagi kami.  Radio Malaysia menyediakan  slot-slot  drama seperti  Sandiwara Radio, Bangsawan Di Udara, Purbawara, Drama Dalam Syair,serta drama bersiri seperti Kebun Pak Awang, Keluarga Cikgu Ali dan Fajar Di Bumi Permata. Semuanya meninggalkan kesan-kesan tertentu dalam diri saya.

            Ketika sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), saya sempat menghasilkan dua buah skrip drama radio, berdasarkan contoh skrip  yang saya pohon dari Radio Malaysia Pulau Pinang.   Saya telah menghantar kedua-dua skrip bertulisan tangan di atas kertas fullskap yang dikoyak dari baki buku nota sains kepada penerbit drama Radio Malaysia Pulau Pinang. Tidak lama kemudian saya menerima kembali skrip-skrip tersebut dengan contengan dakwat merah oleh penerbitnya, Hashim Embi (almarhum). Komen-komen yang diberi amat memberangsangkan dan minta diperbaiki dan hantar kembali. Bagaimanapun  impian untuk menjadi penulis skrip drama radio terpaksa saya pendamkan kerana beberapa hari kemudian, di awal tahun 1972, setelah keputusan peperiksaan SRP keluar dan saya memperolehi keputusan yang agak baik, saya menerima surat tawaran menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh,  Kolej Islam Kelang (KIK),  dalam jurusan sains.

            Peralihan suasana pembelajaran dari sebuah sekolah agama rakyat yang bergerak dalam keadaan serba kekurangan kepada sebuah sekolah berasrama penuh , berhadapan pula dengan aliran sains yang ‘dipaksakan’, bagi saya seorang anak tani yang hidup di hujung kampung  tersorok adalah suatu kejutan. Sementelahan pula ketiadaan buku-buku teks subjek sains dan matematik dalam bahasa melayu berhadapan pula dengan guru-guru sains dan matematik yang keseluruhannya didatangkan dari Indonesia, menyebabkan bahasa dan sastera semakin menjarak dari saya.  Kesibukan menghafal dan memahami istilah dan frasa-frasa sains bersama teori, hipotesis, dan formula yang berbagai-bagai menyebabkan hampir tiada masa untuk saya bermesra dengan  buku-buku sastera yang memang banyak di perpustakaan KIK (alangkah bertuahnya kawan-kawan dari aliran sastera).

            Begitupun oleh kerana saya dilantik sebagai pengawas perpustakaan, sambil bertugas saya masih berpeluang walaupun tidak berleluasa meladeni novel-novel seperti Ranjau Sapanjang Jalan (Shahnon Ahmad), Atheis, Achdiat K.Miharja, Jalan Pulang( Anas K.Hadimaja), Cerita Dari Blora,  Di Tepi Kali Bekasi dan Keluarga Gerilya ( Pramoedya Ananta Toer), Salina ( A.Samad Said), Sandera ( Arenawati)   dan lain-lain termasuk kumpulan puisi Sungai Mekong, A.Latif Mohidin,  sebagai satu terapi dan pelarian sejenak  dari dunia sains yang terlalu mengasak-asak,  kadang-kadang membaji  minda. 

               Apabila  terpilih mengikuti kursus perguruan  di Maktab Perguruan Persekutuan P.Pinang, sebuah institusi perguruan khusus untuk melahirkan guru-guru sains dan matematik  kesempatan untuk saya kembali memesrai sastera kembali  terbuka, walaupun nanti saya akan keluar sebagai guru terlatih yang akan mengajar subjek sains. Suasana pembelajaran di sini tidaklah seketat pembelajaran di alam  persekolahan. Saya kembali melanggan Dewan Sastera termasuk Dewan Budaya. Saya juga mula mengasah bakat menghasilkan karya cerpen dan puisi yang diterbitkan dalam bulletin dan majalah maktab.

            Di maktab saya mula belajar berjinak-jinak dengan pementasan drama dengan menganggotai kelab drama  sebagai memenuhi syarat kegiatan kokurikulum.  Saya mulai belajar mengenali seni persembahan  menerusi penasihat kelab kami Mutalib Hashim dan .Noordin Hassan (sekarang  Datuk, Sasterawan Negara). Bermula sebagai crew pementasan drama-drama  Cikgu Noordin iaitu, Tiang Seri Tegak BerlimaPintu , The Journey ( versi Melayunya, Jangan Bunuh Rama-Rama) ,  termasuk sebuah drama opera Inggeris lakunan pensyarah dan kakitangan maktab (lupa judul),  sekadar bertugas sebagai propmen iaitu memasang set dan peralatan sebelum latihan atau pementasan kemudian mengemas dan menyimpanya kembali  dalam stor apabila semuanya tamat. Biasanya kamilah yang datang lebih awal dan pulang paling akhir untuk suatu event . Rupa-rupa sambil duduk-duduk di belakang pentas mengikuti latihan saban malam,  secara tidak langsung menyuntik banyak ilmu  seni persembahan dan  pementasan kepada saya.

Dari Pentas ke Tv, skrip dramaku yang pertama,
, lakunan Ahmad Yatim,  RTM1, 12 Julai 1981

             Mulai tahun 1978, ketika di tahun dua pengajian,  saya mulai menulis dan mementaskan drama. Sepanjang berada di Maktab Perguruan Persekutuan saya sempat menulis dan mementaskan drama adaptasi dari novel Atheis karya Achdiat K. Mihardja , serta dua buah naskah tulisan sendiri, Lampu dan Bahtera. Drama Lampu telah menjuarai pertandingan di Pesta Drama Maktab-maktab Perguruan seluruh Malaysia yang diadakan di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur dengan merangkul tiga hadiah utama skrip terbaik, pengarah terbaik dan drama terbaik.

            Penglibatan dalam drama pentas jugalah yang membawa saya ke arena drama televisyen. Abd.Aziz Abas, ketua drama RTM  merupakan salah seorang hakim  di Pesta Drama Maktab-Maktab Perguruan Malaysia 1978 (disamping Krishen Jit dan Shuhaimi Baba) beliau  kemudian telah menawarkan  untuk membawa drama Lampu yang menjurai pertandingan tersebut dari pentas ke kaca tv, memandangkan ketika itu terdapat usaha-usaha membawa teater ke tv, giat diusahakan oleh RTM. Ia dipelupori  dengan drama-drama seperti Bukan lalang Di Tiup Angin karya Nordin Hassan, Alang Rentak Seribu dan Menuju Utara oleh Syed Alwi. Di samping skrip drama  luar seperti Malam Jahanam (Montinggo Boestje), Jenazah (Rabindranath Tagore) dan Saksi  (dari drama Jepun Rashomon) . Akhirnya drama saya, Lampu telah disiarkan menerusi sloat Drama Minggu Ini, pertengahan  tahun 1981 diterbitkan oleh Zohara Gany Batusha, dengan pelakun utama Ahmad Yatim, dikuti oleh  drama pentas kedua saya Bahtera (1982) lakunan oleh Khalid  Salleh terbitan oleh penerbit yang sama.
     Bermodalkan dua buah skrip itulah, atas bimbingan, inisitif dan jasa baik Atondra (Datuk Mohd Nordin Abdul Rahman), yang bertugas sebagai penyunting skrip di Unit Drma Tv  RTM,  saya diberi peluang beberapa kali memperdalami selok belok  penghasilan skrip drama tv (teleplay) di Institut Penyairan Tun Abdul Razak (IPTAR), terletak bersebelahan Angkasapuri. Menerusi ilmu yang diperolehi saya berjaya menghasihkan beberapa buah skrip termasuk untuk siri drama khas Panggung RTM Seperti Nurhidayah , Al Infithaar, Deru Ombak (adaptasi dari novel Yukio Mishima), Siew Ping([adaptasi cerpen Mawar Merah Di Jambangan, Khadijah Hashim),  dan beberapa mini siri seperti Farah Al mansor, Kamalia, Mount Estate dan lain-lain.

            Skrip drama tv saya yang terakhir ialah Panggung RTM  Langit Maghrib  drama khas untuk sambutan Hari Kemerdekaan 2002. Selepas itu saya tidak lagi menulis skrip drama tv memandangkan trend drama-drama mutakhir  lebih menjurus ke arah komersialisme. Pengiklan-pengiklan yang menajai sesuatu sloat drama kelihatannya secara tidak langsung lebih berkuasa menentukan tema dan nuasa sesebuah karya. Kisah-kisah cinta  yang mengobrak-abrikkan  emosi  audien,  jalur cerita  asyik-maksyuk yang  sengaja dipanjang leretkan,  lebih mudah lulus pitching  berbanding yang mengutamakan nilai-nilai intektual. Contoh paling mudah ialah keghairahan  mengadaptasikan novel-novel cinta popular  yang menguasai sloat-sloat drama berantai di stesen-stesen tv masakini.

Dari Pentas ke TV, Bahtera, RTM 1, 29 Oktober 1982

            Pencapaian terbaik dalam arena penulisan naskah drama termasuklah:  Hadiah Penulisan Darul Aman (Drama)1980/ 1981, Hadiah Penulisan Adaptasi Cerpen ke Drama Tv, DBP/ RTM,1994.  Hadiah Karyawan Darul Aman, (Drama) 1996/ 1997, Skrip drama “Komedi Al Kahfi 2” memenangi Hadiah Utama, (Kategori.Drama Pendek), Sayembara Penulisan Kreatif ASASI  2017)

             Dalam penulisan cereka Tv juga turut menampakkan hasil yang memberangsangkan di mana beberapa  karya berjaya dicalunkan ke peringkat akhir anugerah/ oskar Sri Angkasa (ASA), iaitu: DMI Bahtera (ASA 1981) PRTM Nurhidayah (ASA 1983), PRTM   Al Infithaar ( ASA 1984) PRTM   Deru Ombak (ASA 1991), mini series Mount Estate  dipilih  mewakili Malaysia ke Asia Tv Festival, Hong Kong,  1997)

            Dalam genre cerpen, saya mula dengan mengasah bakat melalui bulletin dan majalah maktab. Beberapa buah cerpen tersiar melalui Bulletin M4P dan majalah Sinaran.  Cerpen pertama saya yang tersiar melalui media awam ialah “Si Keweh Masih Di Caruk”, Dewan Sastera, Julai 1981. Cerpen ini digarap bersumberkan idea dari kisah benar, iaitu peristiwa demonstrasi petani-petani di hadapan Wisma Negeri (bangunan pusat pentadbiran kerajaan negeri Kedah),  Alor Setar, pada akhir tahun 1980. Kaum tani dari ceruk rantau negeri  berhimpun menuntut kenaikan harga padi, yang ketika itu dianggap terlalu rendah dan menekan kehidupan pesawah-pesawah padi. . Ada orang kampung yang tidak mengerti apa-apa tujuan perhimpunan itu, sanggup berbasikal berbatu-batu ke sana. Ramai yang terpaksa tidur di dalam lokap, termasuk mereka dari kampung saya.

             Saya bukanlah penulis yang prolifik.  Sehingga kini sekitar  40 buah cerpen saja yang diterbitkan secara eceran dalam beberapa majalah dan akhbar tanahair. Sekali Air Bah (ITMB, 2015) ialah kumpulan cerpen persendirian saya yang memuatkan 17 buah cerpen pilihan yang dihasilkan dalam dua dekad yang berbeza iaitu 1980-an dan dekad pertama mellenium. Beberpa buah cerpen saya juga ikut termuat dalam antologi bersama seperti   Jelapang 2,(Teks Publishing,1983), Pulangnya Pemuja Ombak        

( DBP, 1985),  Tafakkur ( DBP, 2011),  Rusuh Di Hati Puteh ( UUM Press, 2016),   Sang Pecinta ( Asasi, 2018)

            Terdapat beberapa buah cerpen turut terpilih memenangi sayembara dan hadiah penulisan ini termasuklah , cerpen Hujan (Hadiah Penulisan Cerpen Berunsur Islam, Jakim/ DBP, 1985). Dedam Apai ( DS, Bil.1/ 2012), Hadiah Sastera Perdana Malaysia ( HSPM) 2012, Gadung ( DS.Bil.2/ 2013), HSPM  2013., Cerpen Pak Tuan Dan Sebongkah Batu Di Kaki Gunung dan Bintang Mengerdip Di Ulu Legong,  memenangi Hadiah Sayembara Penulisan Kreatif Asasi 2017.

Puisiku 'Di Lengkung Langit Biru', memenangi hadiah utama puisi,
 HSKU 2015

             Lazimnya dunia perpuisian  adalah gelanggang bagi anak muda. Mungkin sedikit keganjilan  bila  saya katakan  mula melangkah ke alam puisi  ketika usia menjejaki zon warga emas, iaitu setelah memasuki  usia persaraan wajib dalam kerjaya pada tahun 2011. Melangkah kaki ke lopak  kedua dekad mellinium, saya cuba memberanikan diri mengenengahkan puisi-puisi ke media cetak dengan mempertaruhkan nama pena Zain Idris At-Tobiari (Tobiar ialah kampung kelahiran saya   terletak dalam Daerah Pendang Kedah). Alhamdulillah nampaknya kehadiran saya diterima seadanya,

Sekali lagi puisiku 'Lelaki Yang Keciciran Lidah' memenangi
hadiah utama puisi, HSKU 2017

     Begitu pun sejak mula meminati dan menceburi seni persuratan, minat saya terhadap puisi tidak pernah dikesampingkan. Masih tetap membaca, menikmati dan merasai keanjaiban sebuah puisi, disamping tetap mencoret  bait-bait  puisi walaupun sekadar untuk bacaan dan simpanan sendiri. Menulis senikata lagu sekolah dan lirik lagu-lagu puisi untuk pelajar-pelajar ke pertandingan lagu puisi yang diadakan setiap tahun.

            Proses pengkaryaan  puisi bagi saya menduduki strata yang sangat istimewa, kerana terpaksa melalui tempoh dan fasa yang agak sukar dan berhati-hati, dalam penglahiran sesebuah karya. Proses pematangan  karya menagih renungan dan  pemikiran  pada jeda masa yang tidak menentu. Walaupun  berpengalaman melebihi tiga dekad menceburi dunia penulisan prosa, genre cerpen, skrip drama pentas, cereka Tv dan essei; menghasilkan sebuah puisi rupa-rupanya berbeza sekali. Bagi saya puisi adalah percakapan dan kata-kata jiwa, bukan lahir lewat akal fikiran semata. Puisi adalah intipati daripada segala jujukan intelektual, perasaan, emosi, sentimen, persepsi, tanggapan,  pemikiran, takkulan dan apa saja yang dituang ke dalam acuan  persuratan dan kesusasteraan. Seorang penulis yang berjaya menghasilkan beberapa naskah novel  berketebalan ratusan halaman belum pasti mampu melakar sebuah sajak yang terdiri daripada beberapa stanza, seperti pernah diakui Shahnon Ahmad.

Pemenang-Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2017

             Saya melihat sebuah puisi lebih mendekati sebuah karya seni visual. Tidak kiralah apa pun acuan dan alirannya; realisme,  abstraks, sebuah kolaj atau sebuah arca. Kedua-duanya mempunyai persamaan pada bingkai  yang kecil tapi  merakam dan menyimpan segunung  perasaan, pemikiran, gagasan atau falsafah. Kedua-duanya dilakar dan dibentuk lewat   isme-isme tertentu. Bezanya seniman pelukis memilih warna, garisan dan bentuk. Penyair pula memanfaatkan medium bahasa  lewat alat susastera; laras, langgam,  pola perlambangan, kiasan, ritma dan sebagainya. Dan untuk menikmatinya, sekali lagi kedua-duanya; catan dan puisi perlukan sesi apriasiasi yang mampu melahirkan pelbagai tafsiran. Di sinilah mungkin terpancar estetik dan mistiknya sebuah catan atau sebuah puisi.  

              Puisi pertama saya yang terbit di media arus perdana ialah“Sukma Perbukitan” (Mingguan Malaysia, 2 April 2015). Percubaan saya menduga nasib pada kedalaman lautan puisi menampakkan hasil, di mana  pada tahun tersebut, dari empat  buah puisi saya yang tersiar dalam Mingguan Malaysia sepanjang 2015, tiga  disenarai-pendekkan untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU). Hasilnya, puisi Di Lengkung Langit Biru, terpilih menerima hadiah utama kategori puisi bagi HSKU 2015. Pada Disember 2017, Kumpulan puisi kecil saya  Biarkan Aku Di Sini, Seketika Menyendiri, Menelaah  Atlas Peribadi, terpilih memenangi Sayembara Penulisan Karya Kreatif 2017, anjuran Angkatan sasterawan Nasional Kedah (ASASI).  Selain daripada tersiar secara eceran dalam akhbar dan majalah tempatan, puisi-puisi saya turut terkumpul dalam antologi Sang Pencinta (Asasi, 2017) dan Jelapang Lahuma (Asasi, 2018) serta kumpulan puisi persendirian Di Lengkung Langit Biru (Asasi, 2019)

Kumpulan cerpenku, memuatkan
 17 buah cerpen, ITBM, 2015

            Saya mula memasuki alam  perkerjaan pada April 1979 bila ditempatkan di SMK Seri Mahawangsa, di Jitra, Kedah.  Minat dan kecintaan pada drama dan pementasan menggerakan saya dan beberapa rakan yang sebahagian besarnya kalangan guru menubuhkan Grup Teater Kelana. Kumpulan ini tidak panjang usianya dan cuma sempat mementaskan sebuah drama saja,Bahtera. Saya kemudian bergerak bersama Majlis Teater Sekolah-Sekolah Kedah (MTSK). MTSK yang diterajui dramatis Hashim Yasin   banyak terlibat dalam persembahan dan pementasan kebudayaan di bawah naungan Jabatan Pendidikan Kedah. Ramai tokoh-tokoh drama yang menggabungkan diri dalam MTSK selaian daripada Hashim Yasin (almarhum), Samad Salleh (almarhum, Prof. Madya), Badrul Munir Md.Isa, Mutalib Hashim, Yusof Hussain, Aishah Jali, Najlah Wafdah (almarhumah)  dan lain-lain.

            Selain dari bergerak dalam aktiviti seni persembahan dan pementasan saya juga berpayung di bawah  persatuan penulis. Satu-satunya persatuan penulis di Negeri Kedah yang kekal unggul sehingga kini,  telah berusia 43 tahun, ialah Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Ia didirikan atas percantuman dua buah persatuan penulis, iaitu Gabungan Sasterawan Sedar (GATRA) pimpinan Shahnon Ahmad (almarhum, Prof.Dato’) dan Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Kedah (3PSK) diketuai Nazril Mohd Zain (almarhum) pada 14 Ogos 1975. Gabungan itu di namakan sebagai Persatuan Penulis Nasional Kedah (PENULIS). Kemudian melalui mesyuarat agungnya pada 22 Mei 1978, PENULIS ditukar kepada ASASI,  akronim kepada Angkatan Sasterawan Nasional Kedah.

            Saya diterima menjadi ahli ASASI pada Disember 1979, yang  ketika itu masih lagi diterajui oleh Shahnon Ahmad sebagai Ketua Satu. Saya masih ingat aktiviti pertama ASASI yang saya sertai ialah Kursus Asas Penulisan, merangkumi  genre cerpen, drama radio, drama Tv dan penulisan berita dan rencana bertempat di Tapian Gelanggang, Alor Setar. Ceramah  disampaikan oleh Azizi Haji Abdullah (cerpen),  MZ Halim Hassan (drama radio),  Noorjaya(drama Tv) , manakala berita dan rencana di sampaiakan oleh Saad Taib.  Yang masih kekal dalam minda hingga kini ialah, kata-kata yang dipetik oleh Saad Taib, pemberita sambilan Berita Harian, ketika menyampaikan ceramahnya  ialah, ‘ Anjing gigit orang bukanlah berita, tapi kalau orang yang gigit anjing, barulah  berita’.

              Hampir empat dekad bernaung di bawah rimbun teduhan ASASI,  meletakkan diri saya  seakan seekur tikus terjatuh ke dalam tempayan beras. Betapa beruntungnya diri dapat menumpang limpahan ilmu dan pengalaman  dari tokoh-tokoh besar sasterwan dan penulis yang turut benaung dalam ASASI. Nama-nama besar seperti  Shahnon Ahmad (almarhum, SN, Prof. Dato’), Mohd Yusof Hassan (Prof.Dato’), Noorjaya (almarhum), Wan Shamsuddin Mohd Yusuf ( Dato’, Dr.)  Azizi Hj.Abdullah (almarhum), Afrini Adham (almarhum), Abdul Halim R (Dato’ ).  A.Rahmad (almarhum, Dato’), Zurinah Hassan (Dato’ SN), Jamaluddin.D (almarhum), Shaari A.B (almarhum), Saad Taib (almarhum),  MZ Halim Hassan, SAS Puzi Hadi, Ismail Restu, Osman Ayob, Hassan Basri Budiman, Amelia Hashim, Zaidin Abadi dan lain-lain sering memberikan bimbingan menerusi  aktiviti-aktiviti yang dianjurkan khususnya kepada kami yang  cuba-cuba menduga kedalaman  lautan sastera dan persuratan.         

            Sebuah persatuan penulis bukan kilang yang mampu melahirkan sekelompok manusia bergelar penulis, sasterawan atau pujangga, kerana seorang karyawan mempunyai dunia tersendiri; berkarya dalam ruang peribadi yang sunyi dan terasing. Proses kreatif seorang penulis mempunyai seninya yang tersendiri. Namun begitu sebuah kelab atau persatuan membuka ruang untuk  bergaul, berkomunikasi,  bersilang  pendapat  dan aspirasi di kalangan mereka yang mempunyai minat yang homogenous. Selain dari aktiviti-aktiviti yang membekalkan nilai tambah kepada bakat ilmu dan kemahiran berkarya menerusi penganjuran seminar, kursus, diskusi, apresiasi dan sumpamanya  Khabar berita dari teman-teman yang giat berkarya dan prolifik pasti menimbulkan sedikit  rasa irihati ( yang positif),  menghangat dan menyalakan unggun semangat yang malap dan hampir padam. Keinginan untuk kembali mengasah  kreativiti yang lengai dan tumpul, melangkah masuk kembali ke dalam litar, berlumba-  berlumba menghasilkan karya-karya  bermakna. Sepanjang berada dalam ASASI saya pernah terpilih menduduki barisan jawatankuasa bagi sesi 1988/89, 2015/2016 dan 2017/2018.

                        Situasi mutakhir,  ketika mana  ramai karyawan terutama kalangan generasi muda dengan bergaya, berlumba-lumba   menelusuri dan mendalami aliran-aliran avant-garde, saya masih setia menyenangi dan menekuni jalur dan warna-warna realisme. Dalam  perjalanan merentasi asar ke sempadan maghrib yang makin hampir, saya sekadar seekor kunang-kunang kesiangan, yang terapung dan terpana di lautan cahaya. Selagi  embun ilham terus menitis membasahi minda kreatif dan jari-jari pula masih  berupaya mengetik butang-butang papan kekunci, saya akan cuba  terus berkarya, walaupun selambat kura-kura melintasi gurun pasir.

                         Di ambang senja ini, saya sempat melahirkan sebuah novelet, Siluet (Asasi, 2019), serta masih setia menanti  kelahiran naskah   novel kedua, 
Maria 'Perempuan Seorang Manejar Estet '.

 

@@@ (Teks ini tersiar dalam ruanagn Karyawan Bulan Ini, Dewan Sastera, Januari 2019)

     

No comments:

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...