SAYA,
DARI HUJUNG KAMPUNG
Saya cuba-cuba memberanikan diri mendekati arena persuratan kira-kira pertengahan tahun 1977, iaitu ketika mengikuti
kursus perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang. Begitu pun sudah
pasti bibit-bibit tarikan kepadanya sedia
berputik lebih awal lagi; secara perlahan-lahan
dan tidak disedari. Rangsangan-rangsangan yang
pada awalnya sekadar cebisan angan-angan
dan impian, lama-kelamaan bercantuman sama sendiri, mendap, lalu terjelma dari
sekadar suka-suka berubah menjadi kecintaan
(passion) yang kekal berlangsungan.
Saya lahir dan besar di kampung, dalam sebuah
komuniti Melayu yang menggunakan dialek Siam
(Thai) sepenuhnya, sebagai wadah komunikasi harian (sekadar bertutur saja tapi tidak tahu menulis
atau membaca aksara Thai]. Kelompok kecil yang masih wujud di beberapa daerah
di Kedah hingga kini, adalah saki baki tinggalan dari penaklukan Siam ke atas
Kedah (1821-1842). Pembelajaran dan amalan penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya , bagi saya cuma
bermula bila menjejakkan kaki ke alam persekolahan.
Kegemaran saya ketika zaman kanak-kanak
ialah mendengar cerita lisan yang disampaikan oleh nenek saya (sebelah bapa) , almarhumah
Hajah Mariam Ishak. Kerapkali saya akan
bermalam di rumahnya, yang terletak tidak jauh dari rumah kami, semata-mata
untuk mengikuti cerita-cerita (mi than) yang dituturkan sepenuhnya
dalam dialek Siam. Di antara cerita yang masih samar-samar dalam ingatan seperti Nang Sip Song (Puteri Dua Belas),
Hin Tham (Batu Belah) dan Lok Chang (Anak Gajah). Setiap satu disampaikan
dengan penuh perasaan, mengandungi dialog dan kata-kata berirama seumpama
gurindam dan seloka dalam versi Siam.
Menariknya hampir keseluruhan cerita yang ditutur sering diasosiasikan dengan mitos
unsur-unsur pewarnaan setempat. Sebagai contoh dalam cerita Nang Sip Song, dua belas puteri yang dicungkil biji mata oleh
Permaisuri kaum gergasi, disembunyikan di bawah tangkupan kawah besar. Mengikut
nenek, kawah besar itu tidak lain tidak bukan iaitu Gunung Jerai, yang tersergam
sebagai puncak tertinggi di Kedah
sekarang.
Ketika menduduki pendidikan dasar di SK Haji Idris,Tajar, Alor
Setar (1962-1967), terdapat satu sudut
berhampiran bilik guru yang dijadikan kutub khanah, di mana kami murid-murid darjah lima dan enam mendapat
keistimewaan meminjamnya. Di antara judul
koleksi buku-buku yang masih kekal dalam ingatan, ialah novel-novel dari
Indonesia seperti Layar Terkembang
oleh Sutan Takdir Alishahbana, Siti
Nurbaya, (Marah Rusli) termasuk juga novel-novel autobiografi-politik oleh
Ruhi Hayat seperti Api Dan Airmata dan Api Itu
Masih Membara. Novel Tulang-Tulang
Berserakan (Usman Awang), disamping buku-buku yang lahir dari sayembara seperti Bahagia
Sesudah Derita ( Md.Akhir Leman) dan antologi cerita pendek, Aku Di Sebuah Pulau. Koleksi buku-buku
sastera (yang kami panggil sebagai buku
cerita) agak tinggi untuk dihadami
oleh seorang murid baya kami. Buku-buku tersebut mungkin dibeli mengikut citarasa guru-guru, untuk mereka baca sendiri. Sebaliknya, sudah pasti kami lebih
teruja dan berebutan untuk meminjam buku-buku hikayat dan penglipurlara
seperti Hikayat Raja Donan, HikayatTerong Pipit, Hikayat Bungsu Pinang Peribut , Hikayat Anggun Cik Tunggal dan lain-lain
(sekadar yang masih terlintas dalam ingatan) yang sesuai dengan tahap imaginasi
dan daya fantasi seorang kanak-kanak.
Saya
mendapat pendidikan menengah rendah (1969-1971), di sebuah sekolah agama
rakyat, Raudzatul Ulum, terletak tidak
jauh dari Makam Diraja, Langgar, Kedah.
Perpustakaan
(maktabah) pula seadanya, berisi
kitab-kitab arab yang tercetak di Beirut dan Kaherah. Buku-buku akademik dan agama berbahasa Melayu, termasuk karya
sastera Melayu dan Indonesia agak terbatas; antara yang saya masih ingat dan
pernah meminjamnya ialah, Hikayat Faridah Hanum (Syed Sheikh Al
Hadi), Tenggelamnya Kapal Ven Der Vicjk (Hamka),
Desa
Pinggitan (Ibrahim Omar), Subuh
(Atan Long), Hud dan Patah Sayap Tebang Jua (A.Samad Ismail.)
|
Cerpen pertamaku Dewan Sastera, Julai 1981
|
Seperti kebanyakan sekolah agama
rakyat, gerakerja kokurikulumnya lebih
tertumpu kepada bidang bahasa dan kebudayaan.Tiada aktiviti sukan dan pemainan kerana ketiadaan
gelanggang atau padang permainan disebabkan
keluasan tanah yang terhad. Setiap hari Sabtu kami dikehendaki menghadiri Majlis
Muhadhoroh ; perjumpaan mingguan yang diisikan dengan kegiatan bahasa dan
kebudayaan. Pada majlis ini setiap
pelajar akan tiba juga gilirannya untuk mengambil bahagian dalam bidang-bidang seperti berqasidah, bacaan al Quran, nashid, syarahan,
debat, deklmasi puisi, bersyair, drama, pentomin, tablo, nyanyian dan lain-lain. Saya pernah
sekali dua muncul di pentas
mendeklamasi sajak. Sajak pilihan saya yang masih terakam dalam ingatan tidak lain dari Ke Makam Bonda (Usman Awang) dan Aku (Chairil Anwar).
Memandangkan kedudukan rumah kami
lebih kurang 4 kilometer ke jalanraya, sayaterpaksa tinggal di rumah nenek (sebelah
ibu), almarhumah Hajah Saadah Yunus, di kampong Titi Haji Idris, memudahkan
berulang alik ke sekolah dengan kenderaan bas Mara, ke Pekan Langgar hampir 12 kilometer.
Di sini, saya berkawan dengan abang sepupu , AbuBakar Ali (almarhum) yang sama
belajar di Rauzatul Ulum. Dia lima tahun senior daripada saya. Beliau sangat
berminat dengan kesusasteraan dan menulis
sajak menggunkan nama pena A.R. Asmardi.
Sajak-sajak tulisannya sering dideklamisikan dalam majlis Muhadhoroh .Tidak pasti sama beliau ada menghantar sajak-sajak
beliau kepada akhbar atau majalah. Beliau yang meminati dan sering menggayakan
penampilan seniman Nordin Ahmad, juga
kerap berlakun drama dalam majlis-majlis
tersebut. Kegemarannya ialah memegang
watak-watak antagonis. Saya selalu menumpang baca ruangan sastera yang menyiarkan cerpen dan
sajak dalam akhbar Berita Minggu dan Utusan
Zaman yang dilangganinya. Beliau juga melanggan majalah Mastika dan Majalah
Filem. Apabila majalah Dewan Sastera diterbitkan mulai Januari 1971, saya berkesempatan memilikinya. Dewan Sastera ketika itu cuma berharga 50 sen senaskah, boleh dapatkannya di kedai Pak Mansor, seorang tukang jahit, di Pekan
Langgar, yang juga menjual buku, majalah
dan akhbar. Berbekalkan duit belanja makan 40 sen sehari yang saya jimatkan,
saya mampu memiliki Dewan Sastera
setiap keluaran termasuk, mingguan Utusan Pelajar dan majalah Dian
yang diterbitkan di Kota Baharu. Walaupun laras dan langgam bahasa Dewan
Sastera agak tinggi, sedikit-sedikit saya mampu menghadami seadanya, lagipun
ketika itu saya sudah berada dalam tingkatan tiga (marhalah thalisah). Menerusi
Dewan Sastera, saya mulai
mengagumi Shahnon Ahmad, Azizi Haji
Abdullah, S.Othman Kelantan, Latif Mohidin (selain dari puisi beliau juga
menyumbangkan sketsa pada setiap keluaran), T.Alias Taib, Mohamad Haji Salleh,
Zaihasra, Zurinah Hassan dan ramai lagi. Cerpen-cerpen Shahnon dan Azizi sangat
mengesani jiwa saya mungkin kerana kami lahirkan dan membesar dalam latar sosial-budaya-ekonomi
yang hampir sama ; masyarakat tani dan sawah padi di Kedah.
Melewati dekad-dekad pasca merdeka; penghujung
50-an, 60-an dan awal 70-an, radio adalah media komunikasi dan hiburan utama bagi masyarakat kampung. Walaupun
televisyen telah mulai di perkenalkan di tanahair mulai 1963, siaran radio tetap
menjadi wadah pilihan bagi masyarakat
kampung kami, yang masih ketiadaan
bekalan elekrik. Sebagai sebuah desa
yang tersorok di ceruk perdalaman persawahan, kami cuma mendapat menikmati kemudahan
elektrik mulai pertengahan 1970-an. Pada awalnya keluarga saya memiliki sebuah
peti radio besar jenama Normande,
buatan Germany, menggunakan bateri yang
besar dan berat . Dua batang buluh terpaksa digunakan untuk meregang wayar antenna. Pada penghujungan 1960-an kemudian barulah
bertukar kepada radio transistor , kecil,
ringan serta menggunakan sel kering. Masih mendap dalam ingatan, menjelang
malam-malam Ramadhan,pasti ada jiran-jiran berandangl untuk mengikuti Musabaqah Al Quran yang disiarkan secara langsung menerusi radio.
Drama radio boleh dikatakan ke udara saban hari, bukan saja dari Radio Malaysia malah dari Siaran Melayu Radio
Singapura juga boleh dicapai dengan jelas. Lakonan suara Salim Bachik, Z. Roslee, Jahlelawati, Rubiah
Suparman, Jorah Ahmad, Osman Zailani,
SM Alkaf dari Radio Singapura,
manakala dari Radio Malaysia pula Karim
Mohamad, Helan Abu, Mahani Ujang, Norhiyah Mohd Isa, Norlela Samad adalah familiar
bagi kami. Radio Malaysia menyediakan slot-slot drama seperti
Sandiwara Radio, Bangsawan Di
Udara, Purbawara, Drama Dalam Syair,serta drama bersiri seperti Kebun Pak Awang, Keluarga Cikgu Ali dan Fajar Di Bumi Permata. Semuanya
meninggalkan kesan-kesan tertentu dalam diri saya.
Ketika sedang menunggu keputusan
peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), saya sempat menghasilkan dua buah
skrip drama radio, berdasarkan contoh skrip
yang saya pohon dari Radio Malaysia Pulau Pinang. Saya telah menghantar kedua-dua skrip
bertulisan tangan di atas kertas fullskap
yang dikoyak dari baki buku nota sains kepada penerbit drama Radio Malaysia
Pulau Pinang. Tidak lama kemudian saya menerima kembali skrip-skrip tersebut
dengan contengan dakwat merah oleh penerbitnya, Hashim Embi (almarhum).
Komen-komen yang diberi amat memberangsangkan dan minta diperbaiki dan hantar kembali.
Bagaimanapun impian untuk menjadi
penulis skrip drama radio terpaksa saya pendamkan kerana beberapa hari kemudian,
di awal tahun 1972, setelah keputusan peperiksaan SRP keluar dan saya
memperolehi keputusan yang agak baik, saya menerima surat tawaran menyambung
pelajaran di sekolah berasrama penuh, Kolej Islam Kelang (KIK), dalam jurusan sains.
Peralihan suasana pembelajaran dari
sebuah sekolah agama rakyat yang bergerak dalam keadaan serba kekurangan kepada
sebuah sekolah berasrama penuh , berhadapan pula dengan aliran sains yang ‘dipaksakan’,
bagi saya seorang anak tani yang hidup di hujung kampung tersorok adalah suatu kejutan. Sementelahan
pula ketiadaan buku-buku teks subjek sains dan matematik dalam bahasa melayu
berhadapan pula dengan guru-guru sains dan matematik yang keseluruhannya didatangkan
dari Indonesia, menyebabkan bahasa dan sastera semakin menjarak dari saya. Kesibukan menghafal dan memahami istilah dan
frasa-frasa sains bersama teori, hipotesis, dan formula yang berbagai-bagai menyebabkan
hampir tiada masa untuk saya bermesra dengan buku-buku sastera yang memang banyak di perpustakaan
KIK (alangkah bertuahnya kawan-kawan dari aliran sastera).
Begitupun oleh kerana saya dilantik
sebagai pengawas perpustakaan, sambil bertugas saya masih berpeluang walaupun
tidak berleluasa meladeni novel-novel seperti Ranjau Sapanjang Jalan (Shahnon Ahmad), Atheis, Achdiat K.Miharja, Jalan
Pulang( Anas K.Hadimaja), Cerita Dari
Blora, Di Tepi Kali Bekasi dan Keluarga
Gerilya ( Pramoedya Ananta Toer), Salina
( A.Samad Said), Sandera ( Arenawati)
dan lain-lain termasuk kumpulan puisi Sungai Mekong, A.Latif Mohidin, sebagai satu terapi dan pelarian sejenak dari dunia sains yang terlalu mengasak-asak, kadang-kadang membaji minda.
Apabila
terpilih mengikuti kursus perguruan
di Maktab Perguruan Persekutuan P.Pinang, sebuah institusi perguruan
khusus untuk melahirkan guru-guru sains dan matematik kesempatan untuk saya kembali memesrai
sastera kembali terbuka, walaupun nanti
saya akan keluar sebagai guru terlatih yang akan mengajar subjek sains. Suasana
pembelajaran di sini tidaklah seketat pembelajaran di alam persekolahan. Saya kembali melanggan Dewan Sastera termasuk Dewan Budaya. Saya juga mula mengasah
bakat menghasilkan karya cerpen dan puisi yang diterbitkan dalam bulletin dan
majalah maktab.
Di maktab saya mula belajar berjinak-jinak
dengan pementasan drama dengan menganggotai kelab drama sebagai memenuhi syarat kegiatan kokurikulum.
Saya mulai belajar mengenali seni persembahan menerusi penasihat kelab kami Mutalib Hashim
dan .Noordin Hassan (sekarang Datuk, Sasterawan
Negara). Bermula sebagai crew
pementasan drama-drama Cikgu Noordin
iaitu, Tiang Seri Tegak Berlima, Pintu
, The Journey ( versi Melayunya, Jangan Bunuh Rama-Rama) , termasuk sebuah drama opera Inggeris lakunan
pensyarah dan kakitangan maktab (lupa judul), sekadar bertugas sebagai propmen iaitu memasang set dan peralatan sebelum latihan atau
pementasan kemudian mengemas dan menyimpanya kembali dalam stor apabila semuanya tamat. Biasanya
kamilah yang datang lebih awal dan pulang paling akhir untuk suatu event . Rupa-rupa sambil duduk-duduk di
belakang pentas mengikuti latihan saban malam, secara tidak langsung menyuntik banyak
ilmu seni persembahan dan pementasan kepada saya.
|
Dari Pentas ke Tv, skrip dramaku yang pertama, , lakunan Ahmad Yatim, RTM1, 12 Julai 1981
|
Mulai tahun 1978, ketika di tahun dua
pengajian, saya mulai menulis dan
mementaskan drama. Sepanjang berada di Maktab Perguruan Persekutuan saya sempat
menulis dan mementaskan drama adaptasi dari novel Atheis karya Achdiat K. Mihardja
, serta dua buah naskah tulisan sendiri, Lampu dan Bahtera. Drama Lampu telah menjuarai pertandingan di Pesta
Drama Maktab-maktab Perguruan seluruh Malaysia yang diadakan di Maktab
Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur dengan merangkul tiga hadiah utama skrip
terbaik, pengarah terbaik dan drama terbaik.
Penglibatan dalam drama pentas
jugalah yang membawa saya ke arena drama televisyen. Abd.Aziz Abas, ketua drama
RTM merupakan salah seorang hakim di Pesta Drama Maktab-Maktab Perguruan Malaysia
1978 (disamping Krishen Jit dan Shuhaimi Baba) beliau kemudian telah menawarkan untuk membawa drama Lampu yang menjurai pertandingan tersebut dari pentas ke kaca tv,
memandangkan ketika itu terdapat usaha-usaha membawa teater ke tv, giat diusahakan
oleh RTM. Ia dipelupori dengan drama-drama
seperti Bukan lalang Di Tiup Angin karya
Nordin Hassan, Alang Rentak Seribu
dan Menuju Utara oleh Syed Alwi. Di
samping skrip drama luar seperti Malam Jahanam (Montinggo Boestje), Jenazah (Rabindranath Tagore) dan Saksi
(dari drama Jepun Rashomon) . Akhirnya
drama saya, Lampu telah disiarkan
menerusi sloat Drama Minggu Ini, pertengahan tahun 1981 diterbitkan oleh Zohara Gany
Batusha, dengan pelakun utama Ahmad Yatim, dikuti oleh drama pentas kedua saya Bahtera (1982) lakunan oleh Khalid
Salleh terbitan oleh penerbit yang sama. Bermodalkan dua buah skrip itulah,
atas bimbingan, inisitif dan jasa baik
Atondra (Datuk Mohd Nordin Abdul Rahman), yang bertugas sebagai penyunting
skrip di Unit Drma Tv RTM, saya diberi peluang beberapa kali memperdalami
selok belok penghasilan skrip drama tv (teleplay) di Institut Penyairan Tun
Abdul Razak (IPTAR), terletak bersebelahan Angkasapuri. Menerusi ilmu yang
diperolehi saya berjaya menghasihkan beberapa buah skrip termasuk untuk siri
drama khas Panggung RTM Seperti Nurhidayah
, Al Infithaar, Deru Ombak (adaptasi dari novel Yukio Mishima), Siew Ping([adaptasi cerpen Mawar Merah Di Jambangan, Khadijah Hashim), dan beberapa mini siri seperti Farah Al mansor, Kamalia, Mount Estate dan
lain-lain.
Skrip drama tv saya yang terakhir
ialah Panggung RTM Langit Maghrib drama khas
untuk sambutan Hari Kemerdekaan 2002. Selepas itu saya tidak lagi menulis skrip
drama tv memandangkan trend
drama-drama mutakhir lebih menjurus ke
arah komersialisme. Pengiklan-pengiklan yang menajai sesuatu sloat drama
kelihatannya secara tidak langsung lebih berkuasa menentukan tema dan nuasa
sesebuah karya. Kisah-kisah cinta yang mengobrak-abrikkan
emosi audien, jalur cerita asyik-maksyuk yang sengaja dipanjang leretkan, lebih mudah lulus pitching berbanding yang mengutamakan
nilai-nilai intektual. Contoh paling mudah ialah keghairahan mengadaptasikan novel-novel cinta popular yang menguasai sloat-sloat drama berantai di
stesen-stesen tv masakini. |
Dari Pentas ke TV, Bahtera, RTM 1, 29 Oktober 1982
|
Pencapaian terbaik dalam arena
penulisan naskah drama termasuklah:
Hadiah Penulisan Darul Aman (Drama)1980/ 1981, Hadiah Penulisan Adaptasi
Cerpen ke Drama Tv, DBP/ RTM,1994. Hadiah Karyawan Darul Aman, (Drama) 1996/ 1997,
Skrip drama “Komedi Al Kahfi 2”
memenangi Hadiah Utama, (Kategori.Drama Pendek), Sayembara Penulisan Kreatif
ASASI 2017)
Dalam penulisan cereka Tv juga turut menampakkan
hasil yang memberangsangkan di mana beberapa
karya berjaya dicalunkan ke peringkat akhir anugerah/ oskar Sri Angkasa (ASA), iaitu: DMI Bahtera (ASA 1981) PRTM Nurhidayah (ASA 1983), PRTM Al
Infithaar ( ASA 1984) PRTM Deru
Ombak (ASA 1991), mini series Mount
Estate dipilih mewakili Malaysia ke Asia Tv Festival, Hong
Kong, 1997)
Dalam genre cerpen, saya mula dengan
mengasah bakat melalui bulletin dan majalah maktab. Beberapa buah cerpen
tersiar melalui Bulletin M4P dan
majalah Sinaran. Cerpen pertama saya yang tersiar melalui
media awam ialah “Si Keweh Masih Di
Caruk”, Dewan Sastera, Julai 1981. Cerpen ini digarap bersumberkan idea dari
kisah benar, iaitu peristiwa demonstrasi petani-petani di hadapan Wisma Negeri
(bangunan pusat pentadbiran kerajaan negeri Kedah), Alor Setar, pada akhir tahun 1980. Kaum tani
dari ceruk rantau negeri berhimpun menuntut
kenaikan harga padi, yang ketika itu dianggap terlalu rendah dan menekan
kehidupan pesawah-pesawah padi. . Ada orang kampung yang tidak mengerti apa-apa
tujuan perhimpunan itu, sanggup berbasikal berbatu-batu ke sana. Ramai yang
terpaksa tidur di dalam lokap, termasuk mereka dari kampung saya.
Saya bukanlah penulis yang prolifik. Sehingga kini sekitar 40 buah cerpen saja yang diterbitkan secara
eceran dalam beberapa majalah dan akhbar tanahair. Sekali Air Bah (ITMB, 2015) ialah kumpulan cerpen persendirian saya
yang memuatkan 17 buah cerpen pilihan yang dihasilkan dalam dua dekad yang
berbeza iaitu 1980-an dan dekad pertama mellenium. Beberpa buah cerpen saya
juga ikut termuat dalam antologi bersama seperti Jelapang 2,(Teks Publishing,1983), Pulangnya Pemuja Ombak
(
DBP, 1985), Tafakkur ( DBP, 2011), Rusuh Di Hati Puteh ( UUM Press, 2016), Sang Pecinta ( Asasi, 2018)
Terdapat beberapa buah cerpen turut
terpilih memenangi sayembara dan hadiah penulisan ini termasuklah , cerpen Hujan (Hadiah Penulisan Cerpen Berunsur
Islam, Jakim/ DBP, 1985). Dedam Apai (
DS, Bil.1/ 2012), Hadiah Sastera Perdana Malaysia ( HSPM) 2012, Gadung ( DS.Bil.2/ 2013), HSPM 2013., Cerpen Pak Tuan Dan Sebongkah Batu Di Kaki Gunung dan Bintang Mengerdip Di Ulu Legong,
memenangi Hadiah Sayembara Penulisan Kreatif Asasi 2017.
|
Puisiku 'Di Lengkung Langit Biru', memenangi hadiah utama puisi, HSKU 2015
|
Lazimnya dunia
perpuisian adalah gelanggang bagi anak
muda. Mungkin sedikit keganjilan
bila saya katakan mula melangkah ke alam puisi ketika usia menjejaki zon warga emas, iaitu
setelah memasuki usia persaraan wajib dalam
kerjaya pada tahun 2011. Melangkah kaki ke lopak kedua dekad mellinium, saya cuba memberanikan
diri mengenengahkan puisi-puisi ke media cetak dengan mempertaruhkan nama pena
Zain Idris At-Tobiari (Tobiar ialah kampung
kelahiran saya terletak dalam Daerah
Pendang Kedah). Alhamdulillah nampaknya kehadiran saya diterima seadanya,
|
Sekali lagi puisiku 'Lelaki Yang Keciciran Lidah' memenangi hadiah utama puisi, HSKU 2017
|
Begitu pun sejak mula meminati dan
menceburi seni persuratan, minat saya terhadap puisi tidak pernah
dikesampingkan. Masih tetap membaca, menikmati dan merasai keanjaiban sebuah
puisi, disamping tetap mencoret bait-bait puisi walaupun sekadar untuk bacaan dan
simpanan sendiri. Menulis senikata lagu sekolah dan lirik lagu-lagu puisi untuk
pelajar-pelajar ke pertandingan lagu puisi yang diadakan setiap tahun.
Proses pengkaryaan puisi bagi saya menduduki strata yang sangat
istimewa, kerana terpaksa melalui tempoh dan fasa yang agak sukar dan
berhati-hati, dalam penglahiran sesebuah karya. Proses pematangan karya menagih renungan dan pemikiran
pada jeda masa yang tidak menentu. Walaupun berpengalaman melebihi tiga dekad menceburi
dunia penulisan prosa, genre cerpen, skrip drama pentas, cereka Tv dan essei;
menghasilkan sebuah puisi rupa-rupanya berbeza sekali. Bagi saya puisi adalah
percakapan dan kata-kata jiwa, bukan lahir lewat akal fikiran semata. Puisi
adalah intipati daripada segala jujukan intelektual, perasaan, emosi, sentimen,
persepsi, tanggapan, pemikiran, takkulan
dan apa saja yang dituang ke dalam acuan
persuratan dan kesusasteraan. Seorang penulis yang berjaya menghasilkan
beberapa naskah novel berketebalan
ratusan halaman belum pasti mampu melakar sebuah sajak yang terdiri daripada
beberapa stanza, seperti pernah diakui Shahnon Ahmad.
|
Pemenang-Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2017
|
Saya melihat sebuah puisi lebih
mendekati sebuah karya seni visual. Tidak kiralah apa pun acuan dan alirannya;
realisme, abstraks, sebuah kolaj atau
sebuah arca. Kedua-duanya mempunyai persamaan pada bingkai yang kecil tapi merakam dan menyimpan segunung perasaan, pemikiran, gagasan atau falsafah.
Kedua-duanya dilakar dan dibentuk lewat
isme-isme tertentu. Bezanya seniman pelukis memilih warna, garisan dan
bentuk. Penyair pula memanfaatkan medium bahasa lewat alat susastera; laras, langgam, pola perlambangan, kiasan, ritma dan
sebagainya. Dan untuk menikmatinya, sekali lagi kedua-duanya; catan dan puisi
perlukan sesi apriasiasi yang mampu melahirkan pelbagai tafsiran. Di sinilah
mungkin terpancar estetik dan mistiknya sebuah catan atau sebuah puisi.
Puisi pertama saya yang terbit di media arus perdana ialah“Sukma Perbukitan” (Mingguan Malaysia, 2
April 2015). Percubaan saya menduga nasib pada kedalaman lautan puisi
menampakkan hasil, di mana pada tahun
tersebut, dari empat buah puisi saya
yang tersiar dalam Mingguan Malaysia sepanjang 2015, tiga disenarai-pendekkan untuk Hadiah Sastera
Kumpulan Utusan (HSKU). Hasilnya, puisi Di
Lengkung Langit Biru, terpilih menerima hadiah utama kategori puisi bagi
HSKU 2015. Pada Disember 2017, Kumpulan puisi kecil saya Biarkan
Aku Di Sini, Seketika Menyendiri, Menelaah
Atlas Peribadi, terpilih memenangi Sayembara Penulisan Karya Kreatif
2017, anjuran Angkatan sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Selain daripada tersiar
secara eceran dalam akhbar dan majalah tempatan, puisi-puisi saya turut
terkumpul dalam antologi Sang Pencinta
(Asasi, 2017) dan Jelapang Lahuma
(Asasi, 2018) serta kumpulan puisi persendirian Di Lengkung Langit Biru (Asasi, 2019)
|
Kumpulan cerpenku, memuatkan 17 buah cerpen, ITBM, 2015
|
Saya mula memasuki alam perkerjaan pada April 1979 bila ditempatkan di
SMK Seri Mahawangsa, di Jitra, Kedah. Minat dan kecintaan pada drama dan pementasan
menggerakan saya dan beberapa rakan yang sebahagian besarnya kalangan guru
menubuhkan Grup Teater Kelana. Kumpulan ini tidak panjang usianya dan cuma
sempat mementaskan sebuah drama saja,Bahtera.
Saya kemudian bergerak bersama Majlis Teater Sekolah-Sekolah Kedah (MTSK). MTSK
yang diterajui dramatis Hashim Yasin banyak terlibat dalam persembahan dan
pementasan kebudayaan di bawah naungan Jabatan Pendidikan Kedah. Ramai
tokoh-tokoh drama yang menggabungkan diri dalam MTSK selaian daripada Hashim
Yasin (almarhum), Samad Salleh (almarhum, Prof. Madya), Badrul Munir Md.Isa,
Mutalib Hashim, Yusof Hussain, Aishah Jali, Najlah Wafdah (almarhumah) dan lain-lain.
Selain dari bergerak dalam aktiviti
seni persembahan dan pementasan saya juga berpayung di bawah persatuan penulis. Satu-satunya persatuan
penulis di Negeri Kedah yang kekal unggul sehingga kini, telah berusia 43 tahun, ialah Angkatan
Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Ia didirikan atas percantuman dua buah
persatuan penulis, iaitu Gabungan Sasterawan Sedar (GATRA) pimpinan Shahnon
Ahmad (almarhum, Prof.Dato’) dan Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Kedah
(3PSK) diketuai Nazril Mohd Zain (almarhum) pada 14 Ogos 1975. Gabungan itu di
namakan sebagai Persatuan Penulis Nasional Kedah (PENULIS). Kemudian melalui
mesyuarat agungnya pada 22 Mei 1978, PENULIS ditukar kepada ASASI, akronim kepada Angkatan Sasterawan Nasional
Kedah.
Saya diterima menjadi ahli ASASI
pada Disember 1979, yang ketika itu masih
lagi diterajui oleh Shahnon Ahmad sebagai Ketua Satu. Saya masih ingat aktiviti
pertama ASASI yang saya sertai ialah Kursus Asas Penulisan, merangkumi genre cerpen, drama radio, drama Tv dan
penulisan berita dan rencana bertempat di Tapian Gelanggang, Alor Setar.
Ceramah disampaikan oleh Azizi Haji
Abdullah (cerpen), MZ Halim Hassan (drama
radio), Noorjaya(drama Tv) , manakala
berita dan rencana di sampaiakan oleh Saad Taib. Yang masih kekal dalam minda hingga kini
ialah, kata-kata yang dipetik oleh Saad Taib, pemberita sambilan Berita Harian,
ketika menyampaikan ceramahnya ialah, ‘
Anjing gigit orang bukanlah berita, tapi kalau orang yang gigit anjing, barulah
berita’.
Hampir empat dekad bernaung di
bawah rimbun teduhan ASASI, meletakkan
diri saya seakan seekur tikus terjatuh
ke dalam tempayan beras. Betapa beruntungnya diri dapat menumpang limpahan ilmu
dan pengalaman dari tokoh-tokoh besar sasterwan
dan penulis yang turut benaung dalam ASASI. Nama-nama besar seperti Shahnon Ahmad (almarhum, SN, Prof. Dato’),
Mohd Yusof Hassan (Prof.Dato’), Noorjaya (almarhum), Wan Shamsuddin Mohd Yusuf
( Dato’, Dr.) Azizi Hj.Abdullah
(almarhum), Afrini Adham (almarhum), Abdul Halim R (Dato’ ). A.Rahmad (almarhum, Dato’), Zurinah Hassan
(Dato’ SN), Jamaluddin.D (almarhum), Shaari A.B (almarhum), Saad Taib
(almarhum), MZ Halim Hassan, SAS Puzi
Hadi, Ismail Restu, Osman Ayob, Hassan Basri Budiman, Amelia Hashim, Zaidin
Abadi dan lain-lain sering memberikan bimbingan menerusi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan khususnya
kepada kami yang cuba-cuba menduga
kedalaman lautan sastera dan persuratan.
Sebuah persatuan penulis bukan
kilang yang mampu melahirkan sekelompok manusia bergelar penulis, sasterawan
atau pujangga, kerana seorang karyawan mempunyai dunia tersendiri; berkarya
dalam ruang peribadi yang sunyi dan terasing. Proses kreatif seorang penulis
mempunyai seninya yang tersendiri. Namun begitu sebuah kelab atau persatuan
membuka ruang untuk bergaul,
berkomunikasi, bersilang pendapat dan aspirasi di kalangan mereka yang mempunyai
minat yang homogenous. Selain dari aktiviti-aktiviti yang membekalkan nilai
tambah kepada bakat ilmu dan kemahiran berkarya menerusi penganjuran seminar,
kursus, diskusi, apresiasi dan sumpamanya Khabar berita dari teman-teman yang giat
berkarya dan prolifik pasti menimbulkan sedikit rasa irihati ( yang positif), menghangat dan menyalakan unggun semangat yang
malap dan hampir padam. Keinginan untuk kembali mengasah kreativiti yang lengai dan tumpul, melangkah
masuk kembali ke dalam litar, berlumba-
berlumba menghasilkan karya-karya bermakna. Sepanjang berada dalam ASASI saya
pernah terpilih menduduki barisan jawatankuasa bagi sesi 1988/89, 2015/2016 dan
2017/2018.
Situasi
mutakhir, ketika mana ramai karyawan terutama kalangan generasi
muda dengan bergaya, berlumba-lumba menelusuri dan mendalami aliran-aliran avant-garde, saya masih setia menyenangi
dan menekuni jalur dan warna-warna realisme. Dalam perjalanan merentasi asar ke sempadan maghrib
yang makin hampir, saya sekadar seekor kunang-kunang kesiangan, yang terapung
dan terpana di lautan cahaya. Selagi embun ilham terus menitis membasahi minda
kreatif dan jari-jari pula masih berupaya mengetik butang-butang papan kekunci,
saya akan cuba terus berkarya, walaupun
selambat kura-kura melintasi gurun pasir.
Di ambang senja ini, saya sempat melahirkan sebuah novelet, Siluet (Asasi, 2019), serta masih setia menanti
kelahiran naskah novel kedua,
Maria 'Perempuan Seorang Manejar
Estet '.
@@@ (Teks ini tersiar dalam ruanagn Karyawan Bulan Ini, Dewan Sastera, Januari 2019)