RADIO
ANTIK
Dua
buah radio tiub ini adalah antara
koleksi antik kami yang tak seberapa itu.
Yang besar itu jenama Nordmende,
buatan Germany keluaran tahun 1956. Kerana
saiznya yang besar dan berat pada zamannya ia dikenali sebagai peti radio. Corong udara
juga biasa digunakan untuk merujuk kepada radio. Saya membelinya dari sebuah kedai , di Jerlun,
Kedah, yang menjual perabut terpakai juga menjual barang antik empat tahun lalu.
Manakala yang kecil itu pula jenama Phillips
made in Holland, juga keluaran
sekitar 1957- 1959. pemberian seorang sahabat dari Alor Setar,
Haji Abd.Razak Ahmad seorang kakitangan Tabung Haji (TH Travel)
NORDMENDE, made in Germany |
Kedua-dua
radio itu sebenarnya sudah tidak
berfungsi lagi. Ia tidak lebih dari antique
displayed yang sesekali menghening kenangan
menghimbau kembali nostalgia masa
silam.
Sekitar
akhir dekat 50-an dan awal 60-an, rumah
kami antara beberapa buah rumah di kampong yang memiliki peti radio. Radio tiub (diod) itu berjenama Phillips yang agak besar saiznya. Kerana
kampong kami tidak mempunyai bekalan elektrik, radio itu menggunakan sejenis
batteri (sel) kering yang juga besar saiznya. Batteri berbentuk kiub kira-kira
3kg beratnya boleh tahan sampai 6 bulan berharga $8.00. (nilai sekarang saya
kira tidak kurang RM80.00)
Untuk
mendapat siaran yang jelas satu antenna perlu diadakan. Ia dibuat dengan
meregangkan wayar tertentu menggunakan dua batang buluh panjang. Dari antena satu
hujung terminal wayar kemudian di
sambungkan ke bahagian belakang badan radio. Tidak ketinggalan seutas wayar
bumi akan disambung dari radio ke tanah setelah hujungnya dimasukkan kedalam sebiji
botol berisi air; kata bapa untuk
mengelakkan radio disambar petir. Semakin tinggi batang buluh ditegakkan
semakin jelaslah siaran yang diperolehi. Biasanya buluh yang digunakan ialah
buluh duri atau buluh sigai dengan ketinggian hamper 50-80 kaki.
Bagi
warga desa seperti kami radio waktu itu adalah sumber informasi dan hiburan
yang penting selain dari wayang gambar (wayang gelap/ wayang pacak) jabatan
penerangan. Yang membeli dan membaca akhbar boleh dibilang dengan jari.
Siaran
Radio Malaya adalah stesyen radio utama yang dapat diekses selain dari Radio
Singapura. Bagi mereka yang meminati radio mereka juga mampu mengekses radio
siaran Indonesia. Ketika era konfrantasi, provokasi ganyang Malaysia oleh
Sukarno dapat didengar dengan jelas. Salleh (Haji), abang ipar saya sangat
meminati lagu-lagu Hindustan dan selalu mengekses siaran lagu-lagu Hindustan
nyanyian Mohd Rafi, Lata Magheskar, Asha Bhosle dan Mukhes dari Radio India.
PHILLIPS, buatan Holand |
Pertandingan
(musabaqah) Membaca Al Quran yang diperkenalkan oleh PM Tunku Abdul
Rahman, biasanya diadakan dalam bulan
Ramadhan. Radio sekali lagi menjadi
tumpuan. Selepas sembahyang Tarawikh, mereka yang tidak memiliki peti radio akan
bertandang kerumah-rumah jiran untuk mengikuti pertandingan tersebut. Bagi kami
orang-orang utara, bacaan yang dinanti-nanti sudah pasti Haji Ismail Hashim
dari Kedah, yang tahun demi tahun berjaya mempertahankan kejuaraannya.
Siaran
warta berita dari radio Malaya (Radio Malaysia selepas 1963) adalah sumber
informasi rakyat yang penting. Warna berita akan keudara jam 1.30 tengahari,
5.00 petang dan 8.00 malam. Penyampai
berita yang masih saya ingat antaranya ialah Siti Hawa Zain, Azhar Ahmad,
Jamsari Mohammad, Kamaruddin Mohamad, Norazah Aziz dan lain-lain.
Satu
kesan yang sudah pasti mempengaruhi
bakat dan minat saya sehingga kemudiannya turut menceburi dalam penulisan skrip
drama pentas dan televisyen ialah drama radio.
Dalam dekad 60-an dan 70an siaran
drama seperti sandiwara radio, bangsawan di radio, purbawara, drama dalam
syair, Kebun Pak Awang termasuk cerita mata-mata gelap tajaan Syarikat Minyak Geliga; adalah event-event
yang ditunggu-tunggu.
Suara-suara
yang sering memeran hero-heroin sudah pasti Karim Mohamad, Norhiayah Mohd Isa, Norela Samad, Mahani Ujang ,. Watak-watak antagonis
biasanya diperan oleh Helan Abu, Jamal Mohammad, Karim Latif dan beberapa lagi.
Dari
Radio Singapura yang dapat diikuti dengan jelas
kita akan dapat mengikuti pentas radio, dan juga bangsawan diudara.
Antara suara-suara yang sering dipinjamkan untuk drama antaranya Osman jailani, M.Ramlii ,Jorah
Ahmad, Z. Roslee, Rubiah Suparman. Selepas penutupan Studio Filem Show Brothers
Jalan Ampas dan Cathay Keris, suara-suara dari pelakun filem juga sering
berkumandang seperti S.Roslee, Ahmad Sabri, Ahmad Nesfu,S.Kadarisman dan
lain-lain. Penyanyi pop yeh-yeh suami isteri seperti M.Osman dan Afidah Es juga
seringkali menyumbangkan suara mereka dalam lakonan drama radio.
Saya
kurang mengingati nama-nama penulis skrip radio era 1960-an dan awal 70-an
kecuali beberapa nama antaranya Zain Ariff (yang sering menulis cerita
mata-mata gelap (detektif) Yahya Awang, Zakaria M.Z, Osman Dol, Adli Azamin,
Zain Hamzah dan Atondra. Jah Lelawati pula
sering mengisi ruangan cerita bangsawan dan cerita bercorak mistri di Radio
Singapura. Selain dari menulis skrip beliau juga berlakun dan terkenal dengan
suara mistiknya.
Oleh
minat yang mendalam saya berusaha mendapatkan contoh-contoh skrip drama radio
dengan menulis surat kepada stesen-stesen radio. Alhamdulillah satu naskah
skrip contoh telah dihantar oleh Hashim Embi yang ketika itu bertugas sebagai
penerbit drama di Radio Malaysia P.Pinang
(di Jalan Burma) . Melalui contoh-contoh skrip itulah saya menghasilkan dua
buah skrip drama radio ketika berada di tingkatan 3 dan menunggu keputusan SRP.
Skrip bertulisan tangan di atas kertas
fullskap itu saya tidak ingat lagi judu-judulnya.
Walaupun
skrip saya tidak diterbitkan, skrip-skrip tersebut mendapat ulasan yang
memberangsangkan dari Hashim Embi, ketika dipulangkan untuk dibuat pembetulan.
Bagaimanapun penulisan skrip tersebut terbengkalai begitu saja apabila saya
terpilih melanjutkan pelajaran dalan tingkatan empat dalam aliran sains (kerana
bergelut dengan hafalan, cerakinan formula, hipotesis, teori dan berbagai lagi bercorak saintifik, buat
beberapa tahun bibit-bibit sastera dan penulisan yang telah berputik dalam diri
saya seakan terabai begitu saja .
Namun
jalan-jalan awal yang direntas itu mula membuahkan hasil sepuluh tahun
kemudian. Walaupun saya tidak melibatkan diri dalam penulisan skrip drama
radio, saya melangkah sedikit ke hadapan dengan menceburkan diri dalam
penulisan skrip drama tv (teleplay) dimana
beberapa karya diterbitkan oleh
oleh stesen tv tempatan. (akan saya ceritakan di lain lembaran).
1 comment:
salam admin, entah kenapa tiba2 saya teringat dengan nama Allahyarham Jah Lelawati. Nama yang sering menghiasi Ruangan Bangsawan di Udara. Saya kawan baik mak dalam mendengar Bangsawan di Udara. Suka mendengar suara Jahlelawati mengilai, suka seorang lagi pelakon drama lelaki dalam bangsawan di Udara. Saya lupa nama beliau. Biasanya beliau membawa watak raja.
Post a Comment