Sunday, July 22, 2012

NOSTALGIA 4

PADI-PADI SEMERAH PADI I

 ~MURAI MULAI GALAK ~.


Bagi kami masyarakat tani di utara, padi adalah segala-galanya.  Di sana  bergayut segala impian dan pengharapan. Liuk-lentuk tarian daunan padi oleh  puputan angin adalah gemalai jiwa  yang tidak pernah berpenghujungan  dengan doa dan munajat  agar hasilnya lebat dan berisi. Pada tangkai-tangkai padi itulah  pemutus kata samada harapan pada setiap musim panen menjengah tiba itu menjadi cita-cita yang akan menyala atau sekadar anganan mimpi semata.  “Ada padi semua jadi…, pesan nenek moyang kami.”
Impian dan harapan pak tani tersimpan dalam
butiran padi ini

Sehingga awal tahun 1970-an,  kami di utara menanam padi setahun sekali saja. Segalanya bergantung  harap sepenuhnya pada musim dan cuaca. Selepas tahun 1970, bila empangan Sungai Muda dan Sungai Pedu mula beroperasi membekalkan air melalui taliair [sungai sentap dan parit gila ~istilah orang kampong kami]; tanaman padi berubah menjadi dua kali setahun. Ini bermakna enam bulan masa senggang antara November sehingga April tidak lagi wujud. Kalau dulu antara bulan-bulan tersebut keadaan sawah kering-kontang, merekah terkopak, kini melalui parit-parit gila air disalurkan sehingga melimpah ruah.

alangkah gembiranya dapat
bermain hujan
Mengerjakan sawah banyak bergantung kepada angin dan hujan. Mengikut guru ilmu alam (geografi),  kami; negeri-negeri dipantai barat Tanah Melayu khususnya kawasan utara akan menerima hujan lebat antara May- Oktober, kerana angin barat-daya akan bertiup dari Teluk Benggala membawa kelembapan yang tinggi. Sebaliknya antara bulan November- April pula, negeri-negeri ini  akan mengalami musim kemarau kerana tiupan angin telah beralih arah iaitu bertiup dari timur-laut. Kebanyakan awan tepu yang dibawa dari laut Cina Selatan gugur menyirami di negeri-negeri pantai timur.  Guru ilmu alam kami lantas memberikan petua mudah untuk mengingati musim-musim ini; ingat saja nama seorang gadi MONA ~  May-Oktober [baratdaya], Nov-April [timur-laut].
Sekitar pertengahan mac, perubahan cuaca mulai menunjukkan kemarau akan berakhir. Tiupan angin mulai berubah arah. Musim timur ialah istilah kami yang merujuk kepada  kemarau, sedikit demi sedikit mengundurkan diri. Awan mendung mulai terapung dan memberatl. Langit tidak lagi biru. Burung-burung murai berkicauan galak untuk mengawan. Itulah antara tanda-tanda musim hujan akan menjegah tiba.
Murai Kampung (jantan)

Bagi kami budak-budak kampung, ketibaan musim murai galak semacam suatu keseronokan pula dengan kegiatan memikat burung hitam putih itu. Kicauan murai kedengaran bersahut-sahutan memeriahkan suasana kampung yang sunyi. Burung-burung jantan akan bersiulan dengan kemerduan paling jempol untuk memikat burung-burung betina  mengawan. Murai jantan mempunyai bulu-bulu biru kehijauan berkilauan di bahagian leher, manakla burung betina mempunyai nwarna keseluruhan yang agak pudar.  Selepas mengawan burung betina akan bertelur di dalam sarang yang dibuat di dalam lubang-lubang pada kayu reput, pokok-pokok mati  atau tunggul-tunggul buluh . Biasanya setiap induk akan menghasilkan 2 biji telur berbintik hitam putih.

Memikat murai tidak menggunakan jebak.  Burung denak yang diikat kakinya lalu tumang buluh sejengkal panjang  dan  dipacak ditempat lapang di mana kedengaran kicauan burung-burng jalak (liar). Di keliling denak akan dipacakkan dengan lidi-lidi yang dipalitkan dengan ibu getah. Ibu getah untuk menggetah burung ini dimasak khas dengan adunan minyak kelapa,  damar dan susu getah. Ibu getah yang telah  cukup masak kemudiannya  akan dipalit pada lidi-lidi buluh yang diraut. Lidi-lidi berbentuk seakan pencucuk sate itu yang siap berpalit ibu getah akan dimasukkan ke dalam tabung buluh dipanggil tuke. Ibu getah ini  jika tidak  digunakan akan digantung di atas mata api dapur dan akan tahan bertahun-tahun.
Burung jalak  bila Nampak saja burung denak, akan cukup marah lalu terbang rendah dan menyambar si denak lalu berhempas pulas. Semasa si jalak melayah turun ini bulu-bulu sayapnya akan terkena getah dan terus tewas. Dari pengalaman kami sebagai budak kampong; biasanya jika denak jantan digunakan, burung jalak jantan yang tertangkap dan sebaliknya.
Keli
Hujan sudah mulai turun. Kadang disulami dengan rebut petir di waktu senja. Hujan lebat biasanya memanjang sehingga ke malam. Hujan perolakan ini biasanya turun waktu petang memanjang sehingga seminggu-dua.  Petak-petak sawah yang merkah mulai menyerap dan menelan air hujan yang mencurah-curah. Para petani kampong kami menyandang cangkul meniti batas-batang bendang untuk menutup mana-mana gelung yang masih terpokah Bagi kami budak-budak kampong bemain dalam hujan, kejar mengejar, terloncat-loncat lalu melanyak lopakan air dalam hujan lebat bagaipan pesta yang menyeronokkan pula.
Puyu

Madah bidalan orang tua-tua; kemarau setahun terhapus dengan hujan sehari. Rumput-rumput permatang yang perang direntungi matahari tiba-tiba bernafas lega melepaskan tunas-tunas yang mulai menghijau. Petak-petak sawah mulai digenangi air.

 Induk-induk haruan, keli, puyu dan sepat dari sungai mulai mengkodek-kodek melalui alur dan baruh untuk naik ke bendang meneruskan kesinambungan kemandirian   species masing-masing. Musim ikan naik itulah istilah yang kami gunakan. Kesempatan ini tidak kami biarkan
                                                                        berlalu begitu saja.

Biasanya pada waktu petang di dalam hujan lebat kami akan keluar mencari gelong atau parit yang beraliran deras yang menyambungkan sawah dengan sungai atau alur. Induk-induk haruan, keli dan puyu yang terkodek-kodek memanjat tebing untuk melepaskan diri ke sawah boleh ditangkap begitu saja.

Haruan bendang
Mejelang maghrib Kami akan menahan bubu dan pelompat (lukah) di parit-parit atau gelong-gelong pula untuk memerangkap haruan, puyu atau keli yang galak menyanghgah arus itu. Bagi kami anak-anak kampong, menangkap ikan adalah antara sumber hiburan dengan nilai keseronokan dan kepuasan tersendiri. Selalunya detik-detik sebegini tidak kami lepaskan berlalu begitu saja.
Selalunya bubu akan dipasang digelung atau parit yang mengalirkan air ke sungai atau alur. Mulut dan injab bubu akan menghala ke arah hilir (sungai) pada waktu petang berhujan. Biasanya kalau hujan akan turun sepanjang malam; tandanya ikan-ikan akan jenuh terkodek-kodek memanjat tebing naik melalui parit, alur dan baruh bagi melepaskan diri ke petak-petak bendang untuk bertelur.
Sepat Benua

Esok pagi-pagi lagi kami melihat bubu yang kami tahan petang semalam. Alangkah seronoknya bila melihat haruan, keli, puyu dan sepat benua sendat mengelepar dalam injab bubu kami.  Dan bukan tak biasa pula antara ikan-ikan yang terperangkap itu  turut melengkar malas ular tanah, ular kain buruk atau ular belalai gajah yang kekenyangan.

No comments:

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...