DENDAM APAI
oleh
Zainol Idris
Sebuah
hari baru sedang bermula. Dia membuka matanya bersama matahari yang sedang terbangun di ufuk timur. Kelompok-kelompok awan kelabu yang berat bergayutan di sana sini menjadikan sinarnya tidak segarang biasa; hening dan malap. Sisa-sisa malam di
penghujungan masih menyelubungi lembah itu. Dan bukit-bukit batu kapur yang melatarinya bagai terpegun dalam silhouette
berbalam-balam. Seimbas nampak bagai
busut-busut gergasi penunggu lembah hijau itu.
Masuk hari ke sembilan beringin tua itu
jadi tempat dia bermalam. Walaupun hatinya kurang senang bernaung di bawah rimbun pohonan parasit itu, segalanya terpaksa
diabaikan. Semuanya tidak dipedulikannya lagi; Yang utama dia wajib berada dekat
dengan Indainya.
Apai bertenggek sambil menyandarkan dirinya ke dahan jelutong separuh mati. Dahan-dahannya yang terkeleweh mulai
mereput. Terbuai-buai dan amat mudah luruh ke tanah bila dicantas angin. Apai
tahu, jelutong itu sudah pasti dulunya
perumah yang ditumpangi beringin. Tahun ke
tahun sang parasit itu membesar dan
semakin berkuasa. Akhirnya akar- akarnya yang liar membelit-belit itu mencengkam lalu mencekik perumah
yang pemurah itu hingga menemui ajalnya.
‘Kezaliman maha dahsyat.’ gerutu Apai dalam diam.
Beberapa
ekor merbah kapur mulai mulai tiba . Sekawan gagak yang entah dari mana juga
bersorak-sorak dari julai pokok jejawi yang berjiran dengan beringin .
‘Beringin dengan jejawi apa bezanya,
masing-masing pembelit dan penghisap darah terkutuk…’ getus hati Apai. ‘eloklah
mereka berjiran, satu seh!’, bisiknya lagi . Apai yakin, suatu hari nanti kedua-duanya akan bergasak
sama sendiri.
Pohon jejawi
yang merimbun seakan sekawan gajah itu berbuah lebat sekali. Merah kebiru-biruan
bagai mata anak tiong. Montel-montel dan ranum pula. Namun semuanya tidak
menarik naluri Apai. Fikirannya kusut.
Dadanya sesak dan lemas. Sesesak dan
selemas jelutong yang sedang nazak dalam dakapan maut si tua beringin terkutuk .
Sudah
dua hari Apai tidak menjamah
apa-apa.Walaupun untuk mendapatkan sedikit rezeki bukannya terlalu sukar. Dia boleh saja melompat ke pohon jejawi sebelah.
Memetik sebiji dua buahnya , itu sudah cukup untuk mengalas perutnya. Tapi Apai tak selera. Mulutnya pahit. Dunianya seakan kosong. Alam fana sekeliling
seperti tiada wujud. Saujana dan bolong.
Yang Apai nampak cuma satu; Indai
‘Indai,
bersabarlah sayang …..!’ desis Apai sendirian sambil menarik nafas dalam. Udara
yang masuk terasa berat dan tersekat-sekat.
Apai
bangkit meniti ke hujung dahan, lalu bertinggung di atas simpulan akar beringin
yang membelit dahan jelutong sebesar kaki gajah. Dari situ dia dengan mudah menjenguk ke bawah,
ke arah rumah Pemburu di mana Indai berada. Samar-samar dia seakan dapat
menangkap kelibat Indai dalam sangkar besi. Indailah itu; yang tak henti mengitari
dari dinding ke dinding penuh keresahan.
Kadang-kadang Indai menjerit-jerit
sambil menggoncang bilah –bilah jerjak besi sebesar lengannya . Kadangkala Indai
tersedu mengongoi meratapi nasib yang menimpa dirinya penuh kehibaan. Semuanya
membuatkan Apai turut tidak jerab tidur.
Apai turut menangis sendirian. Lopakan mata Apai cepat tergenang. Air matanya
menitis tanpa dapat diempang.
Tetapi
sesekali bila amarah kejantanan menyirap naik, Apai dapat rasa urat darah,
otot, sendi dan tulang belulangnya seakan dijalari sesuatu. Bulu-bulu
badannya ceracak meremang macam landak terjerumuh ular sawa. Ketika itu dia
bingkas melompat berdiri. Seakan tak upaya lagi menangkis gelombang api yang
bergulung-gulung datang menghanguskan sukmanya. Telinga Apai rasa pijar, lebih pijar dari tergigit cabai burung
sesat di tengah huma. Kesabaran menjadi tipis melayang-layang. Semua membuatkan
Apai bagai lupa diri. Di luar sedarnya Apai
menyeringai, meraung ke langit sambil melompat dan menerjah dahan-dahan melangkau pucuk –pucuk pokok. Sepantas itu pula
tangannya menyambar julai-julai ranting. Menghayunkan dirinya dari pohon ke
pohon. Tahu-tahu dia sudah berada di atas bumbung rumah gubuk Pemburu keparat
itu.
Dan
seperti biasa dia bergegas meluru ke bawah pokok manggis berhampiran reban ayam
bertemu Indai yang dipenjarakan . Rasa gentar, bimbang dan takut hilang ruyup
entah ke mana.
Apai tahu kehadirannya memang disedari
oleh Pemburu. Apai sendiri ternampak Pemburu dan isterinya bercakap sesuatu
sambil menunjuk ke arah sangkar besi di mana Apai mengunjungi Indai. Anehnya
dia tidak dipengapakan. Jauh sekali dia diusir dengan rejaman batu atau
dihambat dengan peluru penabur. Namun sikap Pemburu yang luar biasa itu dapat
dibaca oleh Apai. Apai bukannya bodoh. Apai dapat mencium rahsia disebaliknya.
Segala-galanya adalah kepura-puraan cuma.
Apai mesti lebih berhati-hati dan
waspada.
Indai akan dijadikan denak untuk memerangkap dirinya. Itulah yang
didengari sendiri dari mulut Pemburu ketika berbual dengan isterinya suatu
hari. Apai sedar sasaran asal Pemburu adalah dirinya, bukan Indai. Rahang jebak maut Pemburu yang sentiasa
ternganga itu mensasarkan kaum puaknya yang jantan, bukan betina
macam Indai . Kaum puak Apai yang jantan lebih berharga untuk
didagangkan. Sudah tidak menjadi rahsia lagi, berapa banyak kaum puak Apai dari
kalangan jantan yang diperangkap,
dirantai leher lalu dijadikan abdi sepanjang hayat untuk memanjat kelapa, petai
dan macam-macam.
Setahu
Apai, menjadi kelaziman pemburu-pemburu jika kaum puaknya yang betina terkena perangkap akan dilepaskan saja. Seolah-olah
kaum puak Apai dari kalangan betina tak ada nilai langsung. Anehnya kelaziman-kelaziman
itu tidak berlaku pula terhadap Indainya. Dia tidak dilepas-bebaskan. Dia masih
dikurung dalam sangkar besi. Apai tidak pernah terfikir perkara itu. Dulu dia
yakin Indai akhirnya akan dilepaskan
juga. Malah keyakinan itulah menyebabkan dia putus-putus memujuk Indai agar
bersabar.
Harapan untuk melihat
Indainya dibebaskan semakin pudar dan menipis dari hari ke sehari.
Nampaknya Sang Pemburu itu benar-benar mahu terus mengurung Indai dalam sangkar besi
itu. Indainya mahu dijadikan umpanan untuk memikat bukan saja dirinya tapi juga
jantan-jantan yang lain. Rahsia ini tidak pernah diberitahu kepada Indai.
Apai
sedar sifat-sifat dan penampilan Indai cukup sempurna. Suaranya. Paras rupanya.
Lenggang lengguknya. Apa lagi dengan renungan
mata bundarnya, bening dan redup. Wajahnya putih bersih. Tubuhnya disaluti bulu kuning keperangan lembut bagai sutera dewangga. Dada Indai yang
bidang dihiasi dengan bulu-bulu putih kekuningan. Mulus bagai baldu. Suara
Indai yang lembut merdu adalah serunai hikmat yang pasti dapat mengundang
puluhan jantan jalang menyeberangi bukit
bukau ke situ.
Menelah
segala kemungkinan api cemburu di dadanya tiba-tiba seperti dihembus-hembus .
Tidak. Dia tak akan sekali-kali membenarkan Indainya menjadi barang umpanan. Indai
adalah miliknya. Apai tahu Indai juga tidak merelakannya. Dia kenal Indai bukan
sehari dua. Indai bukan seekor betina
murahan. Indai cukup menjaga maruahnya.
Masih
jelas dalam ingatannya bagaimana sukarnya untuk menawan hati Indai dulu. Tidak
seperti kaum puaknya yang dilahirkan berpasangan; sebagai seekor jantan tunggal, dia terpaksa
mencari pasangan dari kalangan betina yang dilahirkan tunggal juga. Dia rasa
amat bertuah diketemukan dengan Indai. Tapi untuk memiliki cinta kasih Indai
tidak semudahnya. Indai bukan betina sebarangan yang mudah ditemui di denai-denai
belukar. Indai adalah perawan rimba yang menjadi idaman ramai jejaka rimba.
Untuk menakluki hati Indai mereka terpaksa bertarung dalam suatu sayembara maha
dahsyat. Berkelahi dan menumpahkan darah. Yang tewas terpaksa mencawat ekor
lalu berundur. Membawa diri bersama kekecewaan
menyeberangi tujuh bukit; begitulah perjanjian yang dimetrai sebelum
pertarungan. Akhirnya selepas berjaya melepasi ujian demi ujian Apai berbangga
kerana muncul menjuarai sayembara itu.
Demi
Indai, Apai sanggup buat apa saja. Apai sanggup petaruhkan jiwanya. Tiada
ertinya hidup tanpa Indai. Kadang-kadang
terbetik juga dalam kepalanya untuk bertindak lebih nekad. Kerana
pada perkiraan Apai, Pemburu itu tidaklah segagah mana; walaupun susuk
tubuhnya dua atau tiga kali ganda tubuh Apai.
Apai yakin dia mampu menewaskan Pemburu. Kehebatan Pemburu hanya bergantung
kepada senapang berlaras duanya. Kalau tidak masakan senapangnya digalas ke
mana- mana. Jarang sekali tidak berpisah dengan senjata maut itu.
Walau
apa pun yang menjadi azimat keperkasaan Pemburu, Apai rasa itu bukan halangan. Sumber
kekuatan maha hebat ialah Allah Taala, bukan siapa-siapa. Apai mampu membunuh
Pemburu itu kalau dia mahu. Dia boleh saja menyergap dari mana-mana arah. Mencelapak ke atas bahu terus mencakar mukanya. Mengopek biji matanya dengan kukunya
yang lebih tajam dari buluh sembilu. Gigi siongnya mampu mengoyak-rabakkan
telinganya. Gigi itu juga boleh dengan pantas memutuskan urat mareh di leher Pemburu.
Untuk
melunaskan dendamnya Apai juga boleh bertindak menyerang isteri Pemburu. Si
isteri yang berjalan tergedek-gedek dengan perutnya yang memboyot itu boleh
ditumbangkan Apai bila-bila masa. Kalau pemburu sampai hati bertindak ganas
memenjarakan Indainya kenapa dia tidak boleh berbuat demikian terhadap isteri
Pemburu.
Lebih
jauh lagi, untuk memuaskan amarah kesumatnya, Apai boleh membakar hangus rumah gubuk
tempat tinggal Pemburu laki bini. Dia boleh dapatkan puntung-puntung api dari
huma yang sedang diperun di balik bukit. Puntung-puntung bara itu akan dibawa Apai
ke rumah Pemburu lalu dilontar ke atas bumbung . Apai yakin sekelip mata saja rumah gubuk itu akan
tinggal tunggul-tunggul arang dan butiran abu .
Tapi
mampukah semua yang terencana dalam
kepalanya itu akan membebaskan Indai dari penjara sangkar maut itu. Bolehkah Indai kembali ke
pangkuannya dengan selamat. Apai rasa
dia terpaksa berfikir banyak kali sebelum nekad bertindak.
Namun
walau apa pun yang terjadi Indai wajib dibebaskan.
“ Indai…ini
aku..” bisik Apai sambil menghulurkan
tangannya di celah-celah kawat mata punai yang melengkungi sangkar maut
itu. Dia menyentuh bahu Indai dan
mengusapnya lembut. Indai membuka kelopak matanya perlahan . Kelopak matanya
melekit oleh terlalu banyak genangan air mata .
“Kaukah
itu ,Apai ” Indai bersuara lemah. Dengar suara Apai dia mulai sebak lagi.
“Aku
bawakan kau, buah jejawi ranum, rasalah”,kata Apai sambil cuba menghulurkan
jambak buah jejawi melalui jerjak besi.
“Mulutku rasa pahit. Aku tak ingin langsung hendak makan”, jawap Indai
sambil matanya jatuh ke sudut sangkar. Ada sesikat pisang kelat yang dimasukkan
Pemburu kelmarin. Tapi tidak disentuh pun oleh Indai.
“Kau perlu makan sikit.”
“Aku tak boleh telan.”
“Nanti kau sakit.”
“
Biarlah.”
“ Tak boleh macam ‘tu. Dalam perut kau itu ada anak kita. Kau perlu
jaga kesihatan dia juga,” tambah Apai, sambil mengelus-elus bulu-bulu lengan Indai
yang halus lembut bak kapas dipusar.
Mendengar itu Indai cepat- cepat kembali kepada dirinya. Bagai orang
pengsan disimbah air. Indai cepat-cepat sedar yang dia sedang
bunting. Dalam perutnya ada janin sedang membesar. Pada perkiraan Indai telah
masuk bulan kedua. Lagi empat bulan setengah anak itu akan menjengah dunia,
kerana kebiasaan bagi kaum puak mereka, Macaca
Namestrina, tempoh bunting Cuma 170 hari.
Bagaimana kalau tiba masanya nanti dia masih di situ. Dan melahirkan
anak di situ juga. Mata Indai kembali berkaca lagi.
Indai
masih ingat pada pagi yang redup nyaman , ketika dia membisikan kepada Apai
bahawa dia telah bunting, Apai bukan main gembira sekali. Dia melonjak-lonjak
lalu menghayunkan dirinya bergayutan dari dahan ke dahan, seolah-olah ahli
jimnastik paling handal. Dari kecubung pohon pulai paling tinggi , Apai melaung
kegirangan. Suaranya yang garau itu melantun-lantun ke segenap lembah
bukit-bukau batu kapur di situ.
“Hari ini kau tak usah keluar, biar aku saja yang keluar cari makanan.
Kau berehatlah,” kata Apai ketika mereka masih lagi menunggu kemunculan
matahari di atas dahan keruing tidak jauh dari mulut gua batu kapur kediaman
mereka. Pagi itu sejuk sugguh. Semalaman
hujan menyirami tanah- tanih. Wap putih yang nipis bagaikan terapung-apung
bergerak keluar dari mulut gua. Sekumpulan kelelawar pulang kesiangan melayah
pantas ke rahang gua, seolah-olah terlalu
takut akan sinar matahari.
“Kau nak makan apa, biar aku cari?”
pertanyaan Apai segera mematikan gerak fikir Indai yang merayap di selubung kegirangan.
“Mungkin menyusahkan kau.”
“Aku akan dapatkan”
“Boleh jadi tidak ada di sekitar
sini.”
“Aku akan cari sampai dapat,
cakaplah”
“Jagung muda”
“Jagung?”
“Jagung pulut muda, wangi dan manis sungguh… Tapi aku tak mahu
menyusahkan kau.”
“Tak apa …kerana mengidam, bunting sulung
pula…tujuh bukit pun aku sanggup jelajah” Usik Apai sambil menjolok pinggang Indai.
Indai
terkekeh-kekeh kegelian.
Dan seingat Indai, itulah detik keceriaan dan tawa riangnya yang paling
akhir. Kerana sejak pagi itu tiada lagi tawa riang menghiasi hidupnya bersama
Apai. Segala-galanya kepahitan dengan rendaman air mata, baik dia, baik Apai.
Sepeninggalan Apai pergi
mendapatkan jagung muda idamannya, Indai tak kemana-mana. Masa dihabiskan
dengan tidur dan bermalas-malas. Sesakali terhimbau detik-detik manisnya
bersama Apai, dia senyum-senyum sendirian. Indai tahu Apainya adalah seekor
jantan yang bertanggung-jawab. Pengasih dan cukup melindungi. Semua kehendak dan
permintaannya tak pernah dihampakan Apai. Bersama Apai dia berasa selamat.
Hidung Indai tiba-tiba bergerak-gerak tercium bau yang cukup
menyenangkan. Mustahil itu bau jagung muda yang dibawa pulang oleh Apai. Apai
baru saja melangkah pergi. Bukan senang untuk mendapatkan jagung muda itu, Apai
terpaksa menjengah dari huma-ke huma. Apai terpaksa berhati-hati kerana
terpaksa mempertaruhkan nyawanya. Silap-silap kepala Apai boleh berkecai ditembusi
peluru penabur peladang yang naik radang.
Indai menapak turun dari lohong gua. Menyusuri ranting keruing yang
daunannya bagai tabir hijau melindungi bahagian lohong gua sebesar anak gajah,
kediaman mereka itu daripada terik matahari. Sambil bercerangguh di capang keruing,
Indai menyisir bulu-bulu di kepalanya dengan jari-jari yang dibasahinya dengan butiran
embun di hujung daun-daun keruing. Bau manis
yang terapung dan menyilir di udara pagi menyusupi jauh ke saraf
derianya. Sesekali macam bau jambak kembang mempelas. Sesekali pula macam kuntuman
capa bukit. Bau itu betul-betul menguja. Sedar-sedar Indai sudah terjun ke
tanah. Terus terhendap-hendap sambil menghidu menyonsong angin.
‘Pisang mas…!’ jerit Indai tanpa dapat dikawal perasaan kegirangannya.
Sambil melompat dan menari-nari
pandangnya tak lepas pada sesikat pisang mas yang tergantung separuh tersorok
dicelah daun tunjuk langit. Liurnya tergecur tak dapat ditahan-tahan. Tambahan
pula perutnya telah sepagian berkeroncongan. Naluri keinginan mendesak-desak
mengatasi apa-apa saja pertimbangan dan kemunkinan. Bergegas saja Indai meluru
ke depan melonjak lalu menyambar pisang masak merkah yang terbuai-buai. Belum sempat dia mengilek
pisang ranum yang menggecurkan siapa saja itu, perangkap jebak yang dipasang
pemburu membidik lalu menyerkap. Badannya seakan terpelanting lalu tertampan
dengan dinding kawat mata punai perangkap.
Indai
lama terduduk. Pandangan Indai gelap dan berbinau. Tak tahu apa yang perlu
dilakukan. Selain dari mengelupur dan menggelepar. Meraung. Meratap. Menjerit.
Memanggil-manggil Apainya.
“Bersabarlah
sayang, aku akan usaha untuk bebaskan kau, masanya akan tiba juga,” sekali lagi
Apai menghulurkan tangannya ke dalam sangkar besi. Jari-jari Indai digenggamnya
erat.
Mata Apai tiba-tiba tertangkap kelibat pacuan empat roda, Hilux milik Pemburu, terangguk-angguk
masuk ke halaman.
“Sayang, bialah aku beredar dulu.
Nampaknya macam Pemburu,” kata Apai.
Indai melepaskan
Apai dengan pandangan sayu.
Apai
bergerak susup sasap meninggalkan Indai. Senyap-senyap Apai sudah tercerangguh
di atas perabung rumah Pemburu itu. Sambil menyorot ke halaman dia nampak
pemburu keluar dari pintu bahagian pemandu kereta . Tengok muka Pemburu dendam
dan kebencian Apai mengebu-ngebu.
Pemburu bergerak ke pintu kereta sebelah kiri lalu membukanya. Isteri Pemburu
perlahan-lahan menjulurkan kakinya ke tanah. Melangkah turun sambil mencempung
sesuatu. Apai mengamati dan cuba menajamkan pandangannya. Perempuan itu mengatur langkah lambat-lambat
dan cukup berhati-hati. Mukanya sedikit pucat macam kurang sihat. Dia mendakap
sesuatu berbalut tuala putih ke dadanya.
“Oh,
perempuan ‘tu dah bersalin.” Desis Apai sendirian .Untuk mendapat pandangan
yang jelas dia menapak selangkah dua menuruni perabung, berlindung di balik
daun manggis yang merimbun di atas bumbung rumah gubuk itu.
Sang
pemburu memimpin tangan isterinya. Sambil menuju ke dalam rumah, mereka silih
berganti menciumi bayi yang masih merah itu. Kaki si kecil kelihatan
terkodek-kodek. Hati Apai makin pedih dicurahi cuka dendam sekian lama terpendam.
‘Manusia
keparat. Opportunist terkutuk. Hanya
tahu memikirkan kepentingkan diri sendiri,’ seranah Apai dalam hati.
“Sampai bila, kau mahu biarkan Indaimu dalam sangkar maut itu?”
Apai
tiba-tiba saja teringatkan kata-kata kaum puaknya dari suku monyet suatu hari.
“Apa
kau ingat, manusia itu akan lepaskan
binimu senang-senang!’ tambah monyet tua yang berbadan langsing itu.
“Entahlah, otak aku dah buntu”
“Jangan pakai entah-entah saja. Mahu otak binimu jadi makanan manusia
pelahap tu?”
“Makan otak?!”
“Tak
tahukah. Sudah banyak suku puak kami Macaca
fascicularis digergaji tempurung kepala, lalu otak mereka dicungkil dengan sudu
dan garpu, diratah hidup-hidup di restoran makanan eksotika.”
“
Mustahil.” ujar Apai ragu-ragu.
“ Tak
percaya? Kadang-kadang manusia jauh lebih ganas dari haiwan tahu! Ini buka
cerita rekaan; Ada suku puak kami yang berjaya terlepas, setelah meronta-ronta
ketika kepalanya di apit dan tempurung kepalanya mahu digergaji.”
“Bukankah, ada saintis mereka, dalam buku The Origin of Species , kata
manusia asalnya dari titis keturunan kaum puak kita juga. Masakan mereka
tergamak melahap otak leluhur mereka sendiri?”
“Hmm,
tak tahulah sampai mana kebenarannya buku itu. Tapi dalam kitab suci ada cerita
sebaliknya; ada kaum manusia yang kena sumpah jadi kera kerana engkarkan arahan
larangan menangkap ikan pada hari sabtu.Tapi percayalah; manusia kadang-kadang
boleh bertindak lebih ganas, lebih zalim dan lebih kejam dari carnivores.”
Lamunan
Apai tiba terbunuh oleh suara tangisan bayi dari dalam rumah Pemburu. Apai turun lebih rendah. Melalui tingkap yang
terbuka dia mengintai melihat apa yang
berlaku di dalam rumah. Kaki bayi kecil itu terkuit-kuit apabila badannya cuba dibedung
oleh ibunya.
Mengingati
kata-kata monyet tua itu Apai termenung panjang. Diam-diam hati kecilnya makin
dihurungi bimbang. Dia mesti cari jalan untuk membebaskan Indai. Indai wajib
dibebaskan segera. Dia mesti bertindak pantas sebelum terlambat. Kalau tidak
dia akan menyesal tak sudah.
Walau apa pun yang akan terjadi dia mesti
bertindak. Dia nekad.
Sekarang Apai sudah nampak jalannya.
Jalan lain tidak ada. Semua lorong ke arah
pembebasan Indai tertutup rapat, kecuali jalan itu.
Apai
kembali teringatkan kata-kata monyet tua, sahabatnya dulu; Pemburu itu tidak
dengan mudah memerdekan Indainya begitu saja. Namun Apai yakin, kalau ada
sesuatu yang boleh dijadikan umpanan untuk tawar menawar, Pemburu akan terpaksa berfikir
banyak kali. Dan kuasa tawar menawar itu menjadi semakin mahal sekiranya yang
akan dijadikan tebusan itu benda paling berharga dan disayangi. Dan untuk itu,
Apai sudah tahu apakah yang menjadi buah hati kesayangan Pemburu terkutuk itu.
Dari atas bumbung , Apai meluru turun melalui pokok manggis. Daun pintu
bahagian dapur rumah itu kelihatan terbuka sebelah. Apai berjengkek-jengkek
merapati pintu. Jengok sejenak ke dalam. Hati berdebar juga. Tak Nampak sesiapa
di situ. Tak pasti di mana Pemburu dan isterinya berada. Dengan tekad yang
nekad Apai melangkah setapak demi setapak ke dalam rumah. Apai tahu di mana
bayi kecil itu berada. Apai sudah pastikan tadi ketika mengintip dari julai pokok
manggis lewat jendela terbuka.
Apai terus melangkah. Senyap dan waspada. Di
hadapannya, si kecil yang masih merah itu, begitu nyenyak sekali dalam bedungan
atas tilam kecil serba baru. Perlahan-lahan Apai mengangkat lalu mencempung
bayi itu. Mendekapkannya ke dada. ‘ Mujurlah tidak seberat mana,” bisik hati
Apai.
Dengan pantas tapi penuh hati-hati, bayi itu di larikan keluar.
Mula-mula dia akan membawanya ke sangkar di mana Indai di kurung. Dia akan menunjukkan bayi kecil manusia itu
kepada Indai. Dia akan menjelaskan rancangannya kepada Indai. Bagaimana tawar menawar itu akan berlangsung
Apa yang perlu Indai lakukan. Dia jua akan memberitahu Indai tentang bahaya
serta risiko-risikonya juga.
Gegendang
telinganya segera tertangkap suasana riuh rendah dari arah dalam rumah. Itu suara isteri Pemburu. Suara cemas diikuti
dengan tangisan yang meletus tiba-tiba.
Keadaan kelam kabut. Ayam-ayam di reban turut riuh rendah. Terketuk-ketuk.
Masing-masing tercangak-cangak macam terpandang kelibat sewah liar mengintai.
Cepat Apai melarikan bayi itu ke arah
sangkar di mana Indai dipenjarakan berhampiran reban ayam. Indai kelihatan
terkapa-kapa tidak tahu hujung pangkal.
“Apa yang kau bawa tu?” Soal Indai melihat ketibaan Apai separuh cemas.
“ Syyyy ini bayi manusia. Anak pemburu
yang baru lahir tu.” Jawap Apai sambil melompat lalu bercerengguh di atas
sangkar besi. Bayi didakap erat ke dadanya.
“Kau larikan?!”
“Aku tawan dia untuk dijadikan tebusan
dengan dirimu.”
“Pemburu tahu?”
“Aku dengar suara riuh rendah , jerit- tangis
dari arah dalam rumah.”
“ Kau bahayakan diri.”
“Tidak!”
“ Kau akan dihukum.”
“Tidak.”
“Peluru Pemburu itu tidak kenal belas.”
“Dia
akan fikir banyak kali, selagi bayi ini bersama ku. Demi bayi kesayangan mereka
laki bini,aku yakin dia tidak akan menembak membuta-tuli. Jika terdesak aku
akan larikan bayi ini ke atas bumbung rumah ‘ni. Mungkin juga ke puncak
jelutong sana”
“Kembalikan dia pada emaknya.” Kata Indai
apabila dia melihat bibir bayi itu mula tersebek-sebek dan mula mahu menangis.
“Tidak. Dia akan kujadikan taruhan untuk
membebaskan kau.”
“Dia tak bersalah. Kasihan.”
“Kau juga tak bersalah. Tapi dikurung tanpa
belas kasihan.”
Si kecil itu mula mengeluarkan
suaranya.Terkuek-kuek. Mula-mula perlahan. Kemudian semakin kuat. Apai mula
cemas. Kemudian Apai nampak pemburu bersama isterinya meluru keluar. Si isteri
meraung cemas dan panik sambil menunjuk ke arah Apai. Apai mendakap bayi itu
kemas-kemas. Pemburu bergegas ke dalam kemudian keluar dengan sepucuk senapang.
“Jangan tembak, anak kita bersama beruk jantan
tu.” Jerit Si isteri menahan Pemburu yang mengangkat senapang mahu membidik.
“Cepat lari selamatkan diri.” Desak Indai.
“Tidak, dia tak akan berani menembak.” Tegas
Apai.
“Lepaskan bayi itu. Letak perlahan-lahan di
situ. Kasihan dia tak berdosa.” Pujuk Indai
Apai
serba salah. Dengan pujuk rayu Indai
yang lembut itu dia terpaksa mengalah. Begitulah selalunya; dengan Indainya dia
macam tidak ada pilihan. Perlahan-lahan dia meletakkan bayi itu ke tanah.
“Cepat , selamatkan dirimu, kata Indai.”
Belum
sempat Apai melompat ke perdu manggis untuk berlindung, dia terdengar satu
letusan. Dia meraba-raba telinganya. Macam ada bendalir panas keluar dari
lubang telinganya.
Bunyi ngauman
injin kenderaan yang masuk ke halaman rumah tiba-tiba menyentap lenyap igauan Apai . Apai memanggungkan
kepalanya lalu menjenguk ke halaman. Ada sebuah Jeep biru kehitaman bergerak
masuk terangguk-angguk, diberhentikan mengejut tidak jauh dari Hilux
pemburu. Injinnya di matikan. Keluar
tiga orang lelaki berpakaian seragam.
‘ Ranjer
Perhilitan..!?’ seru Apai dalam hati. Dia bergegas bangkit. Dari perabung rumah
terus melojak ke dahan manggis. Dia
seakan mahu bersorak. Badannya yang lemah kerana tak menjamah makanan dua tiga
hari tiba-tiba saja bertenaga. Dahan manggis itu dihinggut-hinggutnya sekuat
hati.
‘Cahaya
keadilan telah menjelma’, laung Apai lagi sekuat-kuatnya dalam hati.
Seorang dari ranjer yang memakai vest warna kelabu memanggil Pemburu
keluar lalu menunjukkan kad kuasanya. Dua lagi rakannya bergegas ke arah
sangkar besi apabila terampak kelibat Indai
di dalamnya. Kedua-duanya mengusung sangkar itu keluar ke halaman. Tidak
lama kemudian sangkar bersama Indai di dalamnya di naikkan ke bahagian belakang
Jeep yang terbuka. Pemburu turut
digiring naik ke dalam kenderaan.
Sebaik saja Jeep itu mula bergerak, tanpa
berlengah Apai melompat turun dari dahan manggis terus mendarat ke atas sangkar
Indai.
“Aku akan
bersamamu, sayang” Bisik Apai kepada Indai. Dia yakin detik pembebasan Indainya
akan tiba juga.
( Dewan Sastera Januari 2012/ Memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012)