Wednesday, December 21, 2011

Nostalgia 1

SEBUAH BANGGUL TERPENCIL Mudah untuk difahami; banggul hampir menyamai pulau. Kalau sebuah pulau dikelilingi laut. Banggul sekadar sebuah daratan yang dilengkungi oleh sungai atau sebuah tasik atau paya saja. Kadang-kadang bila berlaku banjir, ada kawasan yang tinggi tidak tenggelam; walhal di sekelilinginya dilengkungi banjir – ia juga dinamai banggul.
sawah yang melengkungi kampung kami


Di negeri kelahiran saya Kedah, banyak tempat yang dinamai banggul. Setengahnya menjadi sinonim dengan tokoh-tokoh terkenal anak kelahirannya, seperti Banggul Derdap, Sik (SN Dato’Shahnon Ahmad), Banggul Besi, Pendang (Allahyarham Sasterwan Dato’A.Rahmad). Desa kelahiran saya pula dinamai Banggul Senu (dalam bahasa pertuturan kami [Siam Sam Sam] dikenali dengan Khok Nai Nu. [Khok~banggul, Nai~ penghulu, Nu ~ Tok Senu].

Berjiran dengan banggul kami, ada beberapa lagi banggul, seperti Banggul Keling dan Banggul Kesinai. Tok Senu dikenangi sebagai peneroka terawal di sini. Saya menjangkakan penerokaan/penempatan di banggul ini telah bermula lebih awal dari tahun 1800-an, berdasarkan pengaruh budaya/bahasa Siam yang hampir mewarnai keseluruhan cara hidup di sini. Banggul Senu, sekadar sebuah desa kecil lagi terpencil (pinjam diskripsi Shahnon Ahmad ~ Ranjau Sepanjang Jalan. Tersorok jauh, kira-kira 40 km melalui jalan darat ke ibu negeri Kedah, Alor Setar. Terdapat 13 buah keluarga, hampir kebanyakan rumah berjejeran di tebing Sungai Kerbau ( cabang dari sungai Kedah). Di seberang sungai sebelah utara memanjang ke barat ialah Kampung Lubuk Keriang, di sebelah timur, Kampung Titi Kera dan di selatannya Kampung Sungai Mati (awal Januari 2010, sebuah rangka kapal layar kurun ke 19 dijumpai tertimbus di sebuah paya di sini).


Seperti kelaziman dengan kelompok masyarakat agraria dunia; sungai merupakan pusat pertumbuhan tamaddun dan budaya agrarian dengan pola tersendiri. Kawasan kediaman, pekan, bukit, sungai dan sebagainya dinamai dengan ciri, corak dan warna setempat ~ demikian di Negeri Kedah, banyak tempat mempunyai nama yang bermula dengan alor, banggul, guar, permatang, paya, kubang dan lain-lain. Banggul kami tidaklah luas, kira-kira 100 relung (70 ekar) saja. Tanah datar dengan hampir keseluruhannya dipenuhi dengan petak-petak sawah dan sedikit paya dan baruh di bahagian yang bersempadan dengan Sungai Mati.. Purata sawah milik sesebuah keluarga adalah kurang dari 10 relung kecuali seorang dua yang memiliki lebih daripada itu. Paling hujung disebelah utara terdapat sebidang sawah hamper 40 relung milik Haji Ali kaya (tidak menetap di sini.) Seingat saya telah pun melewati separuh abat tanah itu terus menerus menjadi pajakan Ah Chua dan Ah kaw dari pekan Tanah Merah, Pendang.


Sehingga 1970-an ( pembinaan Empangan Sungai Muda, Rancangan Penanaman padi 2 kali setahun dan penubuhan MADA mulai diperkenalkan) , jalan perhubungan ialah melalui sungai dengan sampan dan tongkang. Tidak lama kemudian bot berinjin sangkut diperkenalkan. Menerusi jalan darat ialah berbasikal melalui lorong bertanah merah dan batas-batas bendang (permatang). Tiada elektrik . Tiada air paip. Terus dipencilkan dari arus kemajuan sehinggalah dekat-dekat 80-an dan 90-an dimana jalur-jalur cahaya mulai sedikit berkelip – setelah kemerdekaan telah diproklamirkan 40 tahun yang lalu.

No comments:

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...