PROSES
KREATIF SEBUAH CERPEN
(DENDAM
APAI)
PROSES KREATIF adalah jejak-jejak
perjalanan dan penerokaan yang ditempuhi seseorang karyawan dalam menghasikan
sesebuah karya seni, tidak kira dalam apa bidang sekalipun. Ia merupakan satu
sisi pengalaman seni bersifat subjektif dan penuh kerahsiaan yang hanya
dimaklumi dan dirasai oleh karyawan itu sendiri; Bermula dari cetusan idea/
ilham sehinggalah sesebuah karya itu siap dihidangkan kepada khalayak. Tempoh
masa yang diambil tidak menentu. Ada karya yang mampu dilahirkan dalam masa
yang singkat. Ada yang memakan masa bertahun-tahun. Ia boleh merupakan suatu
pengalaman yang selesa dan menyeronokkan tidak kurang juga sebaliknya. SN
A.Samad Said ketika menukangi karya sulungnya, Salina, pernah menyimpulkannya sebagai derita yang bahagia.
Dalam
tradisi penulisan di negara kita tidak banyak buku-buku yang digarap oleh
pengarang khusus menceritakan proses kepengarangan yang dilalui dalam
menghasikan sesebuah karya. Begitupun kita menghargai kehadiran beberapa buah
buku dalam kategori ini yang dapat dijadikan sumber rujukan khususnya kepada
karyawan yang mahu berjinak-jinak dengan penulisan. Di antara yang sempat
dikesan termasuklah; Dari Salina Ke Langit Petang oleh SN A.Samad
Said (DBP, 1979). Jejak Kreatif,
Arenawati (DBP, 1996), Dari Banggol Besi
ke Jalan Lain Ke Hamovniki, A.Rahmad, MKNK, 2005, Kuras-Kuras
Kreatif, Azizi Haji Abdullah (DBP,2007), Proses Kreatif, Satu Pengalaman Rohani, SN Abdullah Hussain (DBP,
2010) atau Bagaimana Saya Menulis,
proses penciptaan cerpen oleh 17 orang
penulis mutakhir, selenggaraan Mawar Safei dan Nisah Haji Haron (DBP, 2011), Pengakuan Penyair, Proses Kepenyairan
34 Penyair Malaysia, ITBM, 2012. Selebihnya terselit di sana sini dalam
buku-buku biografi atau memoir yang dihasilkan oleh beberapa pengarang.
Ada pendapat yang mengangggap proses
kreatif dalam penulisan adalah satu seni (art
of writing ) bukan keahlian maupun kemahiran dalam menukanginya (craft of writing). Oleh yang demikian sebagai satu proses seni,
sudah pasti aspek-aspek pengalaman hidup
dan persekitaran sosial, nilai, budaya, geografi, ekonomi, politik dan
lain-lain seputar kehidupan karyawan ini mempunyai kesan langsung terdapat penglahiran sesebuah karya.
Saya mula menjejaki dunia penulisan secara akrab bermula dalam
tahun 1977, iaitu apabila terpilih mengikuti kursus perguruan di Maktab
Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang. Walaupun begitu minat saya terhadap
sastera dan penulisan berputik lebih
awal lagi, iaitu sejak sebelum ke alam persekolahan.
Dalam genre penulisan cerpen, tidaklah banyak karya-karya yang saya
dihasilkan, iaitu sekitar empat tiga puluh buah saja (sehingga 2019). Walaupun saya mulai menulis cerpen ketika
mengikuti latihan perguruan menerusi bulletin
serta majalah tahunan institusi tersebut. Cerpen pertama saya yang
terbit di media massa ialah Di Keweh
Masih Di Caruk tersiar dalam Dewan
Sastera (Julai 1980). Cerpen-cerpen saya kemudian tersiar secara eceran
dalam akhbar dan majalah tempatan seperti
Mingguan Malaysia, Berita Minggu,
Utusan zaman, Akhbar Watan, Mingguan
Timur, Majalah Dewan Sastera, Sarina,
dan Dewan Tamaddun Islam. Saya juga
ikut menyumbang dalam beberapa buah antologi cerpen bersama seperti Jelapang
2 (Teks Publishing, 1983), Pulangnya
Pemuja Ombak (DBP, 1985), Tafakkur
( DBP, 2011) dan Rusuh Di Hati Putih
(UUM Press, 2016) di samping kumpulan cerpen persendirian Sekali Air Bah, (ITBM, 2015 .
Menceritakan proses kreatif yang
saya lalui dalam menukangi karya, tumpuan saya ialah terhadap karya-karya yang terdapat dalam kumpulan cerpen Sekali
Air Bah). Dalam kumpulan ini
terdapat 17 buah cerpen yang ditulis merentasi dua dekad, 1980-an dan dekat
millennium. Dalam ruang yang terbatas ini, untuk mengenang kembali proses kreatif setiap satu cerpen yang terkandung dalam
kumpulan itu tentulah tidak mungkin. Untuk lebih khusus, saya nanti akan
memilih sebuah saja cerpen dalam kumpulan tersebut untuk dibicarakan.
Secara kasar proses penulisan atau
lebih tepat proses pengkaryaan dari awal sehingga sempurna dihidangankan kepada
khalayak pembaca melalui lima peringkat iaitu persediaan sebelum penulisan atau
mengarang (prewriting), penulisan (writing), semakan/ menulis semula (revision/
rewriting), suntingan (editing)
dan akhir sekali menerbitkan karya tersebut (publishing).
Peringkat persediaan sebelum
memulakan penulisan (prewriting)
adalah sangat penting dan menjadi asas keunggulan sesebuah karya. Ia melibatkan
cetusan idea, percambahan idea di mana idea pokok itu dibangunkan, merancang bentuk pencerekaannya. Seterusnya dalam proses penulisaan, pengarang
akan melalui fasa pembinaan jaluran
naratif berdasarkan idea-idea pencerekaan terdahulu sehingga terbangunnya
sebuah fiksyen.
Dalam fasa cetusan idea awal yang
akhirnya melahirkan beberapa buah cerpen dalam Kumpulan Cerpen Sekali Air Bah, saya ingin
menghubung-kaitkannya dengan teori-teori
sastera yang pada asasnya di cetuskan oleh Plato dan Aristotle iaitu;
o
Teori Mimesis (peniruan/ imitasi).
o
Teori Effect ( Kesan) dan
o
Teori Ekspresi/ Perasaan.
(lihat Pengenalan Kritikan Sastera, M.K.Danziger & W.S.Johnson, DBP,
1991).
Melalui Mimesis, sastera dianggap sebagai hasil pantulan dari cermin
kehidupan (pengalaman manusia) yang ditafsirkan semula oleh pengarang. Teori Effect pula karya sastera lahir daripada
pengamatan pengarang dari pembacaan, penontonan atau pendengaran yang
melibatkan kesan psikologi, emosi perasaan atau mood. Lewat Teori Ekspresi
pula karya sastera dianggap sebagai kebijaksanaan dalaman yang diilhamkan Tuhan
secara spontan ke dalam diri pengarang.
Saya rasa hampir sebahagian besar
dari cerpen-cerpen dalam kumpulan Sekali
Air Bah
cetusan
idea asalnya dapat dipadankan dengan teori Mimesis dimana lahir dari peristiwa dan pengalaman
hidup manusia disekitar diri penulis sendiri.
|
Kumpulan Cerpen, ITBM 2015 |
Cerpen Jantan tercetus dari kisah seorang lelaki tua di kampong penulis
sendiri, dalam tahun 1970an, yang
menentang kehadiran pengawai-pegawai dari Jabatan Veternari yang datang mahu
menembak lembunya yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut dengan alasan untuk
menghalang penyakit itu dari mewabak.
Cerpen Ustaz begitu juga Pingat bersumber
dari persekitaran sekolah tempat penulis bertugas. Seorang ustaz yang sangat
suka berkelakar dengan perkataan double
mening nya. Kemudian di satu pihak lain pula sempena hari keputeraan
Sultan, tidak siapa menyangka tiba-tiba seorang tukang kebun sekolah,kerana
kegiatan kemasyarakatannya dianugerahkan pingat atas kebaktiannya.
Bukit-Bukit
Gondol yang berlatarkan bukit-bukit batu kapur tidak jauh dari Pekan
Kodiang ( berasal dari bahasa Thai Kok
Deng – Pulau Merah). Kisah hidup pemungut baja organik daripada
tahi kelawar yang terdapat di gua-gua batu kapur, di mana nama-nama wataknya adalah dari kalangan
pelajar-pelajar saya sendiri
berketurunan Thai. Kebolehan berbahasa Thai/ Siam sedikit sebanyak membolehkan
saya menyelami kehidupan mereka. Ada pelajar yang sering tidak hadir ke
sekolah, bila ditanya katanya seronok ikut bapa saudara masuk hutan tembak babi.
Sekali
Air Bah- adalah dari pengalaman sebenar penulis sendiri. Rumah saya
terletak beberapa meter saja dari tebing sungai, bah setiap tahun. Ketika zaman
kanak-kanak fenomena air bah adalah suatu yang menyeronokkan. Watak perempuan
tua dalam cerpen itu adalah asosiasi dan refleksi ibu penulis sendiri.
Cerpen Hujan dan Penunggu Fajar terilham dari kunjungan ke sekolah lama
penulis, Raudzatul Ulum, berhampiran Makam Diraja, Langgar, setelah lebih sepuluh tahun meninggalkannya.
Yang tinggal cuma kesan-kesan tapak bangunan ( mulai awal tahun 1970an, sekolah
telah berpindah ke bangunan baru seperti yang ada sekarang di persimpangan
Jalan Langgar – Bukit Pinang. Di belakang bagunan yang telah dirobohkan itu
terletaknya Pondok Tok Syeikh. Pondok-pondok kecil yang dahulunya didiami oleh
penuntut-penuntut ilmu Islam (ghalinya dipanggil Lebai) telah terbiar
ditinggalkan termasuk banguanan balai/ madrasah yang dahulunya menjadi pusat
atau nadi kehidupan pondok. Kedua-dua cerpen ini saya gabungkan dan mengadaptasikannya
ke dalam drama tv Pangung RTM Al Infithaar sempena perayaan maulidurrasul 1984.
Si Keweh Masih Di Caruk (DS, Julai 1980) bersumberkan idea peristiwa
tunjuk perasaan petani-petani di Wisma Negeri, Alor Setar ketika itu yang
menuntut kenaikan harga padi. Ada orang kampung yang tidak mengerti apa-apa
tujuan perhimpunan petani-petani itu, sanggup
berbasikal ke sana. Ramai yang kena tangkap
termasuk dari kampung saya.
Proses pencerekaan berasaskan hasil
pembacaan, penontonan dan pendengaran seperti yang disarankan dalam teori Effect sebenarnya bukanlah suatu yang
terlalu asing dalam fiskyen Melayu. SN Abdulah Hussain pernah
mengaplikasikannya lewat Intan, sebuah cereka Tv ditulis memenuhi permintan
sahabatnya, Zainuddin Nordin, pegawai penerbitan di rtm yang dilakunkan oleh P.Ramlee, yang mengikut
beliau bersumberkan guntingan akhbar mengenai Rasool Mahammad, seorang petani
miskin di Madya Pradesh yang menjumpai sebutir intan ketika membajak
sawahnya,yang sepuluh tahun kemudian, beliau menanggung hutang keliling
pinggang (Proses Kreatif, Satu Pengalaman
Rohani, m.s 111).
Sumber yang sama juga dimanfaatkan
oleh Azizi Haji Abdullah ketika menukangi novel-novelnya yang terkenal, Seorang Tua Di Kaki Gunung dan Sangeetha. Seorang Tua Di Kaki Gunung
yang dikembangkan dari cerpen Cengai Batu,
tercetus idea dari keratan akhbar, kisah yang seorang lelaki oleh kerana tidak
tertahan menaggung kesakitan, meminta isterinya menggergaji pahanya yang
tersepit sebatang tiang oleh runtuhan bangunan ketika berlaku gempa bumi di
Afghanistan. Sangeetha pula
bersumberkan sebuah berita yang berlaku di Guwahati, India (Utusan Malaysia, 25
Jun 2004), seorang lelaki tua, Vijayakarntirtha, masih bujang berusia 93 tahun bertemu jodohnya
dengan janda, Jayotana Bala, 63 tahun
juga pemilik rumah yang disewanya (Proses
Kreatif Novel Sangeetha, Nikmat Dalam Kepayahan oleh Azizi Haji Abdullah,
lihat Sangeetha Dalam Kritikan,
Penerbit USM, 2014).
Saranan kepada penulis-penulis untuk
menyimpan keratan akhbar sebagai sumber atau
bank
idea, memang bermanfat. Kisah-kisah terpencil kehidupan manusia yang walaupun merupakan berita-berita kecil
yang kadang-kadang sekadar berfungsi sebagai penyendal (filler) pada halaman akhbar, tapi menyentuh nurani, mampu dikembangkan menjadi sebuah
fiksyen. Ilham atau idea tidak datang bergolek atau melayang-layang begitu mudah ketika kita benar-benar
memerlukannya. Ketika minda kreatif dalam suasana kontang, membuka kembali fail
yang menyimpan koleksi guntingan akhbar pasti membenikan idea seperti
dianalogikan sebagai awan-awan yang
terapung oleh A. Samad Said dalam Dari Salina Ke Langit Petang. Saya
mempraktikkan saranan-saranan ini ketika
menghasikan cerpen Bukan Hentian Terakhir
dan Dendam Apai. |
Keratan Akhbar KOSMO 7 Oktober 2010
|
Cerpen
Dendam Apai adalah berdasarkan berita
yang tersiar dalam akhbar tabloid
Kosmo,
7 Oktober 2010, mengenai tragedi
kematian yang digigit kera liar (lihat lampiran). Cerpen Dendam Apai kemudian tersiar dalam majalah Dewan Sastera,
Januari 2012 . Jarak masa antara peristiwa benar seperti yang tersiar dalam
akhbar dan cereka yang mengambil latar peristiwa dari kejadian itu ialah
kira-kira satu setengah tahun.
Saya
mula bersara wajib dari perkhidmatan pendidikan ialah pada March 2011
setelah berkhidmatan selama 32 tahun. Meninggalkan rutin harian setiap pagi,
iaitu bangun kemudian bersiap-siap ke sekolah pada peringkat awalnya mewujudkan
seakan satu kelompangan dalam hidup saya. Sebelum bersara memang saya merancang
dan berazam untuk mengisi luangan masa dengan minat dan sedikit bakat yang
dianugerahi Allah; menulis. Kalau boleh setiap hari saya mahu menulis, sementelahan pula saya tidak
mempunyai kebolehan dalam bidang-bidang lain. Tapi apakah yang mahu ditulis. Idea bukan dengan
mudah datang bergolek terutama dalam
penulisan kreatif. Lainlah kalau menulis berita atau rencana.
Ketika menghabiskan cuti penggal akhir persekolhan
2010 iaitu kira-kira 3 bulan sebelum
menjejak kaki ke zon persaraan, mengambil petua SN Abdulah Hussain dan Azizi
Haji Abdullah, saya menyelongkar akhbar
lama. Saya menjumpai berita Bayi Mati Digigit Kera seperti yang tersiar
dalam akhbar Kosmo seperti yang saya
nyatakan terdahulu.
Kisah
yang berlaku di Rasah, Seremban, Negeri Sembilan itu memaparkan
tragedi yang menimpa seorang bayi kepada sepasang suami isteri, yang baru
berusia empat
|
Tersiar dalam Dewan Sastera Januari 2012 |
hari dan belum sempat diberi nama. Mengikut
berita yang tersiar, kehadiran kera-kera liar di taman perumahan tersebut adalah berikutan dari
tindakan penduduk-penduduk di situ sering membuang sisa-sisa makanan, ekoran daripada
itu, ia telah menarik minat haiwan-haiwan
tersebut datang ke situ. Mungkin
kera-kera itu menganggap bayi sebagai makanan, ujar seorang pegawai dari
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Bagaimana pun siasatan
lanjut mendapati pemilik rumah di mana tragedi itu berlaku ada membela sekor
kera betina di dalam sangkar. Kemungkinan besar faktor kera betina yang
terkurung itulah yang menjadi punca kera-kera itu bertumpu ke situ seterusnya
bertindak liar menyerang mangsanya. Sebaik saja dimaklumkan, pegawai operasi
Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban
telah tiba di sana dan mendapati terdapat dua ekor kera di atas pokok
berhampiran rumah mangsa, selepas menghubungi Perhilitan mereka berjaya
menembak mati salah seekor daripadanya yang merupkan seekor kera jantan.
Selepas meneliti
fakta-fakta yang terselit dalam berita ini, saya membulatkan hasrat untuk
menjadikan peristiwa ini sebagai asas untuk digarapkan kepada sebuah cereka. Pokok persoalan yang mula
muncul di minda saya ialah mencari kewajaran-kewajaran yang menyebabkan
kera-kera itu sanggup mencederakan bayi tersebut. Andaian yang dinyatakan dalam
berita tersebut ialah mungkin haiwan-haiwan itu menganggap bayi itu sebagai
makanan; agak kurang meyakinkan, kerana dari segi fakta sains, kera; haiwan
kelas mamalia dengan nama saintifiknya Macaca
Fascicularis makanannya terdiri dari buahan, taruk atau pucuk-pucuk tumbuhan
dan
haiwan-haiwan kecil seperti serangga. Kera bukannya Karnivores. Tak mungkin ia mengganggap bayi sebagai makanan.
Faktor yang paling wajar
dan meyakinkan ialah kehadiran kera betina yang dikurung di dalam sangkar oleh
tuan rumah (bapa kepada bayi yang menjadi mangsa). Dengan mengenepikan
faktor-faktor lain, saya menjadikan menjadikan pemenjaraan kera betina di dalam
sangkar besi itulah sebagai asbab yang
menimbulkan dendam dan kemarahan yang amat sangat kera-kera(saya mengkhususkan
kepada seekor kera saja - iaitu kera jantan yang ditembak mati seperti yang
dinyatakan dalam berita itu) sehingga sanggup mencederakan bayi itu,
beralaskan; tidak dapat tanduk telinga dipulas.
Dalam minda saya
sekarang sedang terjana satu proses
pencerekaan yang bertemakan dendam; dendam kesumat seekor kera jantan terhadap
manusia yang menangkap dan memenjarakan kera betina pasangannya. Saya
menukarkan watak kera jantan dan kera betina
kepada beruk jantan dan beruk betina memandangkan tabiat kera hidup berkumpulan atau berkawanan sehingga
berpuluh-puluh ekor sedangkan kehidupan
beruk (Macaca Nemestrina) pula
menjalani hidup secara berpasangan. Malah ada juga beruk yang hidup
bersendirian dikenali sebagai beruk tunggal. Saya mahu beruk jantan itu hidup menanggung kesunyian dan keresahan dan pada sisi lain menggalas amarah dendam
yang menyala-nyala terhadap pihak ang menangkap dan memenjarakan pasangannya.
Saya telah menetapkan
untuk menggarap cerpen ini dari sudut pandangan yang menyelami ke lubuk jiwa
beruk jantan, yang saya namakan Apai
(dalam bahasa Iban bererti bapa) yang
hidup dalam tak keruan, gundah gulana dan dendam kesumat kerana memisahkan
hidup dengan , pasangannya, Indai
(ibu) secara zalim.
Dalam penggarapan sebuah
cerpen, saya memegang kuat petua yang diperturunkan oleh SN Shahnon Ahmad
(lihat Shahnon Ahmad Dengan Debu Merahnya,
Sharif Shaary, Marwilis Publisher & Distributor Sd.Bhd. Shah Alam. 1992);
bahawa dalam sebuah cerpen, cerita tidak penting yang jadi keutamaan ialah
perwatakan. Cerita sekadar sandaran
untuk menjelaskan perwatakan sehingga menimbulkan kesan kepada pembaca. Aspek
perwatakan mengikut Shahnon tidak sekadar aksi dan reaksi fizikal watak
terhadap peristiwa/ fenomena yang dipaparkan menerusi cerita tetapi termasuk
pemikiran, emosi, ilusi, impian dan angan-angan termasuk dialog dan monolog
yang relevan. Dan ketika ramai penulis dengan bergaya menelusuri jauh ke arah
aliran-aliran avant-garde, saya masih
setia menekuni jalur-jalur realisme.
Untuk memperkuatkan
dendam amarah yang bebara itu saya perlu mencipta asbab yang menyakinkan
sehingga Apai sanggup bertindak menculik dan melarikan bayi kecil pasangan
suami isteri yang saya namakan sebagai Pemburu sebagai tukar ganti kepada
Indainya yang dipenjarakan dalam sangkar besi. Idea dan alasan paling munasabah
yang timbul dalam fikiran saya ialah ikatan rasa cinta yang mendarah daging
antara dua pasangan itu.mPeristiwa atau moment
kisah cinta antara mereka perlu diketengahkan. Saya ujudkan Indai sebagai
perawan rimba yang menjadi impian dan rebutan di antara jejaka-jejaka beruk
jantan. Apai Berjaya memiliki hati Indai setelah menempuhi jalan sukar termasuk
bertarung dalam sayembara berdarah di mana telah dimeterai perjanjian;
mana-mana pihak yang kalah terpaksa membawa diri melangkaui tujuh bukit. Satu
lagi moment yang meruntut perasaan
Apai ialah, pada hari terakhir sebelum dia dipisahkan dengan Indai ialah
perkhabaran yang dibisikkan oleh Indai bawa dia sedang bunting dan mengidamkan
jagung muda. Ketika Apai keluar untuk memenuhi permintaan pasangannya itulah
Indai masuk ke dalam perangkap Pemburu
kerana terliur dengan bau pisang emas yang dijadikan umpan.
Puas Apai memikirkan
berbagai cara dan ikhtiar untuk membebaskan Indai dari kurungan pemburu itu.
Dia pernah berfikir untuk membakar rumah pemburu dengan melemparkan
puntung-puntung api yang boleh didapati dari huma yang sedang dibakar oleh
peladang. Dia juga pernah merancang untuk mencederakan pemburu termasuk
isteriya yang sedang mengandung. Sehinggalah suatu hari dia melihat pemburu
membawa pulang isterinya berserta seorang bayi yang baru di lahirkan di
hospital. Apai bertindak masuk ke dalam
rumah dan melarikan bayi. Sambil fikirannya ligat mencari kaedah bagaimana
untuk memaksa Pemburu membebaskan Indai, ia
membawa bayi itu ke arah sangkar di mana pasangannya terkurung. Bagimanapun oleh desakan naluri keibuan,
Indai membantah tindakan Apai. Apai di suruh meletakkan bayi di situ dan segera
melarikan diri kerana perbuatannya telah disedari oleh pemburu dan isterinya.
Pemburu sedang keluar dengan sepucuk senapang.
Langkah terakhir dalam
perlakaran naratif ialah bagaimana mahu menamatkan fiksyen itu dengan
menghadirkan kesan kepuasan kepada pembaca. Jika pembukaan atau intro sesebuah
karangan itu penting demi mengumpani audien untuk terus membaca, pengakhiran
juga sama penting bagaimana untuk menjadikan pembaca rasa nikmat dan puas serta tidak berasa rugi menghabiskan masa
untuk membacanya. Pada awalnya saya menimbangkan untuk menjadikan segala
perancangan Apai itu benar-benar berlaku dan berakhir dengan kematian Apai
ditembak oleh pemburu ketika ia mahu meninggalkan tempat itu selepas ia meletakkan bayi tersebut berhampiran
sangkar Indai. Pengakhiran ini rasanya telah menjadi klise.
Saya memiliki satu lagi
alternatif iaitu Apai dikejutkan dengan ketibaan pihak Perhilitan ketika dia
berada di atas bumbung rumah pemburu itu dan sedang merancang penculikan bayi
untuk dijadikan tukar ganti dengan Indai. Kedatangan pegawai penguatkuasa
Perhilitan merampas sangkar yang mengurungi Indai dan mendakwa Pemburu kerana memilki haiwan
liar yang dilindungi tanpa kebenaran, dianggap oleh Apai sebagai saat keadilan
sedang menjelma. Dia tahu Indai akhinya akan dibebaskan oleh pihak berwajib
itu. Apai akhinya melompat turun di sisi sangkar besi yang mengurungi Indainya
ketika kenderaan Perlilitan itu sedang bergerak membawa keluar beruk betina
yang terkurung itu meninggalkan rumah tersebut.
Selepas fasa percambahan
idea dan berhasil menurunkan rangka kasar (rought
draf) proses-proses lain adalah
lebih condong kepada bentuk luaran. Ini termasuklah mendapatkan kesahihan maklumat dan fakta
adalah penting untuk meyakinkan pembaca terhadap subjek yang diketengahkan
terutama bila menulis sesuatu yang di luar persekiran dan pengalaman kita.
Kemudahan mencapai maklumat di hujung jari sudah pasti memudahkan kita. Dengan
mudah dan segera saya boleh memperolehi maklumat saintifik termasuk mengenai
tabiat, makanan, perlukisan bentuk fizikal, habitat dan sebagaianya mengenai
beruk.
. Peroses
menulis, menyemak yang melibatkan proses menokoh tambah, mengurang, menukar- ganti
atau membuang ayat-ayat, frasa, perkataan atau mengedit dan menulis semula
adalah proses biasa dan hampir sama pada
semua penulis. Kebiasaan bagi saya akan menulis draf pertama tanpa menghiraukan
kesalahan ejaan, tanda bacaan, perenggan dan lain-lain. Ia akan diperbetulkan
pada draf kedua dan seterusnya. Zaman penulisan menggunakan mesin taip dan
komputer tentulah berbeza. Kalau pada
zaman mesin taip beberapa (sekurang-kurang tiga) draf akan menjadi mangsa bakul sampai sebelum
sampai kepada final draft. Kemudahan
komputer menjadikan kerja-kerja mengarang dan mengedit hampir berjalan
serentak. Selesai menurunkan tanda nokhtah terakhir, saya akan mengenepikan
cerpen itu beberapa hari. Ia akan dibaca sekali lagi secara berhati-hati
mengesani kesalahan ejaan, tatabahasa, membuang dan menokok tambah di sana sini
jika ada idea-idea mutakhir.
Saya mengirimkan cerpen Dendam Apai kepada editor Dewan Sastera, yang dibangunkan dari
3410 patah perkataan, 18 muka surat bertaip langkau 2 baris, bersama sepucuk surat iringan bertarikh 1
November 2010. Tanpa mendapat mendapat apa-apa surat jawapan menyatakaan
peneriman karya, saya menunggu dan
menunggu bulan demi bulan. Saya faham bahawa sebagai penulis tak punya nama
tentulah karya kita tidak disenarai sebagai keutamaan. Tapi saya yakin karya
kita lambat-laun akan tiba juga giliran
dibaca dan dinilai. Akhirnya penantian selama 13 bulan berhasil bila Dendam Apai di siarkan dalam majalah
tersebut dalam terbitan bulan Januari 2012.
Beberapa jam menjejak kaki di KLIA sepulang
dari mengerjakan Haji pada 6 November
2013, ketika sedang menikmati sarapan
pagi pada sebuah cafeteria di situ, saya
menerima panggilan dari dari Seketariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia bahawa Dendam Apai tersenarai sebagai penerima
HSPM dalam kategori cerpen eceran bagi tahun tersebut.
BIODATA
PENULIS:
Zainol Idris
juga mengguna nama pena Zain
Idris At-Tobiary. Lahir dan dibesarkan
dalam kelompok masyarakat tani di Tobiar, Pendang, Kedah.
Mendapat pendidikan asas di SK Haji Idris, Tajar dan pendidikan menengah
di Raudzatul Ulum, Langgar serta Kolej Islam Kelang. Tamat mengikuti latihan
perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan, P. Pinang pada tahun 1977/ 1978,
beliau terus berkhidmat sebagai guru sains di SMK Seri Mahawangsa dan terakhir di SMK Paya Kemunting, Jitra, Kedah
sebelum bersara wajib pada tahun 2011 setelah berkhidmat selama 32 tahun.
Menulis
sejak 1980 menerusi akhbar dan majalah tempatan. Cerpen-cerpen beliau dapat dibaca menerusi Kumpulan cerpen
persendirian Sekali Air Bah (ITBM,
2015) dan beberapa antologi bersama seperti Jelapang
2 (Tek Publishing,1983), Pulangnya
Pemuja Ombak (DBP, 1985) dan Tafakkur
(DBP, 2011). Rusuh Di Hati Putih, UUM
Press, 2016. Selain daripada genre cerpen beliau juga menulis skrip drama Tv,
Puisi dan rencana.
Sepanjang penglibatannya dalam
bidang penulisan beliau berjaya meraih beberapa hadiah penulisan antaranya Hadiah Penulisan Cerpen Berunsur Islam
(1985), Hadiah Penulisan Adaptasi Cerpen
ke Drama Tv (1991) dan Hadiah
Karyawan Darul Aman (1996/ 1997). Dua buah cerpen beliau, Dendam Apai dan Gadung terpilih memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada
tahun 2012 dan 2013. Dalam tahun 2015 puisi beliau Di Lengkung Langit Biru terpilih memenangi hadiah utama kategori puisi
pada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)
dan pada tahun 2017 sebuah puisi beliau Lelaki Yang Keciciran Lidah sekali lagi memenangi kateori yang sama. Menganggotai
Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) sejak 1979 dan terpilih menduduki
Jawatankuasa ASASI bagi sesi 2015-2016 dan 2017- 2018).