Pada tahun 2015 dan 2016, panel
Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) bagi Penilaian Peringkat Akhir Kategori
Cerpen menerima sebanyak 93 buah buku kumpulan cerpen bagi Kategori Kumpulan
Cerpen, dan sebanyak 871 buah cerpen bagi Kategori Cerpen Eceran. Secara
umumnya, karya yang dinilai menunjukkan keupayaan dalam penghasilan karya yang
bermutu dari segi idea, pemikiran, bahasa dan strategi naratif masing-masing.
Cerpen-cerpen yang dinilai didapati mencapai tahap kreativiti sebagai hasil
karya yang bersifat kontemporari dalam menerapkan pelbagai pendekatan dan
aliran. Cerpen-cerpen yang dipertandingkan juga didapati memaparkan pelbagai
subjek seperti perkembangan sosial, pendidikan, politik, budaya setempat, dan
hal-hal yang menyentuh isu-isu semasa pada peringkat kebangsaan dan
antarabangsa.
Meskipun penilaian mengambil kira
semua karya cerpen (kumpulan dan eceran) yang diterbitkan sepanjang tahun 2015
hingga 2016, namun karya-karya yang lolos penilaian awal kebanyakannya
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia, Mingguan Malaysia dan Berita Harian. Penilaian tertumpu
kepada aspek idealisme, pemikiran dan pengolahan karya dalam menyampaikan mesej
melalui penggunaan pendekatan ataupun aliran tertentu. Kebolehan menggarap
bahasa dilihat sebagai keupayaan istimewa pengarang dalam mengolah subjek
hingga menyerlahkan keindahan karyanya. Keharmonian strategi naratif pula
terpancar melalui kesatuan struktur intrinsik dengan ekstrinsik hingga
membangkitkan kesan estetik karya, sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah hasil
seni sastera.
KRITERIA PENILAIAN
Laporan Panel Penilai HSPM 2015/2016
membuat pemilihan cerpen mengikut beberapa kriteria yang meliputi pemikiran,
kreativiti, gaya bahasa dan keseimbangan antara ketiga-tiga kriteria itu. Panel
mengambil kira kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan sama ada
persoalan yang bersifat semasa ataupun mengangkat sejarah atau persoalan lampau
tentang masyarakat tempatan mahupun antarabangsa. Karya mampu mengerakkan
pemikiran dan menyentuh emosi pembaca, dan dalam masa yang sama mementingkan
moral serta etika yang tinggi. Dalam konteks bahasa, karya haruslah
memperlihatkan bahasa yang indah, kreatif, imaginatif, berkesan; kuat menunjang
tema; bukan sahaja membawa makna cerita, bahkan bahasa itu sendiri merupakan
idea, pemikiran dan ideologi. Seterusnya karya harus mempunyai kekuatan
kesatuan organik dalam pengarangannya.
ULASAN KESELURUHAN
Umumnya, cerpen-cerpen yang
dikemukakan untuk penilaian akhir ini menampilkan pelbagai subjek, namun subjek
berkaitan jati diri, politik, dan kehidupan sosial dalam sebuah keluarga
merupakan subjek pilihan kebanyakan pengarang. Selain itu, terdapat cerpen yang
memaparkan subjek keagamaan, tetapi dihubungkan dengan isu-isu semasa yang
melanda masyarakat tempatan dan antarabangsa pada masa kini. Kemudian,
sebahagian lagi cerpen mengemukakan subjek berbentuk kearifan tempatan,
khususnya tentang budaya dan sejarah masyarakat.
Dari segi pengolahan teknik,
didapati pelbagai teknik penulisan cerpen telah dimanfaatkan pengarang. Teknik
naratif yang berasaskan maklumat sejarah, budaya dan politik setempat didapati
mendominasi penghasilan kebanyakan cerpen. Sebahagian besar pengarang memilih
untuk menggunakan pendekatan realisme dan pendekatan tipa induk dalam
menyampaikan mesej karya. Idealisme tentang prinsip kemanusiaan dipilih dengan
memaparkan teknik naratif melalui pendekatan simbolisme dan satira.
Bagaimanapun teknik monolog dalaman yang memanfaatkan aliran kesedaran
merupakan teknik yang banyak digunakan dalam karya.
Terdapat sebahagian cerpen yang
ceritanya disampaikan tanpa plot yang jelas. Bagaimanapun, sebahagian besar
cerpen masih mempamerkan cerita melalui penggunaan plot biasa yang
menghubungkan satu peristiwa dengan satu peristiwa lain melalui hukum sebab
akibat. Cerpen yang menyampaikan idea tentang kehidupan realiti manusia
kontemporari umumnya menggunakan pendekatan realisme. Sebahagian karya yang
lain disampaikan melalui penggunaan simbol, naratif absurd dan pendekatan
realisme baru. Plot dijalin melalui peristiwa realiti dengan peristiwa mistikal
hingga menyebabkan watak-watak mengalami pelbagai rentetan peristiwa yang
bercampur baur antara realiti, ilusi dan imaginasi.
Setelah melalui perbincangan, Panel
Penilai telah menyenarai pendek enam buah kumpulan cerpen seperti senarai di
bawah:
- Pascasejarah,
Fahd Razy, 2015. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
- G.P.S.,
Salina Ibrahim, 2015. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
- Rindu Kedua,
Baharuddin Kahar. 2015. Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Perempuan Berambut Merah, Hafizah Iszahanid, 2015. Institut Terjemahan &
Buku Malaysia.
- Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo, Jasni Matlani, 2015. Institut Terjemahan & Buku
Malaysia.
- Telus Untuk Dia,
Siti Jasmina Ibrahim, 2016. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
17 buah cerpen dibawa kepada
penilaian seterusnya yang lebih rinci seperti senarai di bawah:
- “Dia yang Berlari Kencang dalam Debu Perang”, Mawar
Safei. Berita Harian 20 September 2015.
- “Di dalam Baruk”, Jais Sahok. Berita Harian, 4
Oktober 2015.
- “Desibel Iman”, Nisah Haron. Berita Harian,11
Oktober 2015.
- “Rumah ini Dinding Kacanya Kalis Cahaya,” Siti Jasmina
Ibrahim, Berita Harian, 11 Oktober 2015.
- “Ikan Puyu di dalam Akuarium”, Amelia Hashim, Mingguan
Malaysia, 17 Mei 2015.
- “Rumah”, Rebecca Ilham, Mingguan Malaysia, 8 Mac
2015.
- “Pascasejarah X Negeri Tanpa Matahari”, Fadh Razy, Dewan
Sastera. September 2015.
- “Posmen dalam Televisyen”, Roslan Jomel. Dewan
Sastera April
- “Cerita-cerita Tentang Lidah”, Hafizah Iszahanid, Dewan
Sastera April
- “Kemuncak Pauh
Janggi”, Zainol Idris, Dewan Sastera, Oktober 2015.
- “Isteriku Jadi Kopiah Putih”, Hamed Ismail, Dewan
Sastera, September.
- “Air”, Malim Ghozali PK, Mingguan Malaysia, 6
Mac 2016.
- “Musim Monyet Mabuk”, Zainal Rashid Ahmad, Berita
Harian, 3 April 2016.
- “Matinya Si Pembosan”, Zainal Rashid Ahmad, Dewan
Sastera, November.
- “Rumah Kupu-kupu”, SM Zakir, Berita Harian, 21
Ogos 2016.
- “Anggerik Vanila di Laman Kami”, Adibah Abdullah, Dewan Sastera, November.
- “Apis Dorsata” karya Fudzail terbitan Dewan Sastera, Oktober
Dewan Sastera Oktober 2015 |
Cerpen remaja yang telah dipilih
adalah seperti senarai di bawah:
- “Pisang”, Mohamad Kholid Hamzah, Berita Harian,
13 September 2015.
- “Trisonomi Dua Puluh Satu”, Zulaikha Adam, Mingguan
Malaysia, 1 Mac 2015.
- “Sesar Unjur Kampung Belawai”, Amaruszati Noor Rahim, Mingguan
Malaysia, 24 Mei 2015.
- “Seekor Burung di Luar Sangkar”, Saifullizan Yahaya, Berita
Harian, 6 Ogos 2015.
- “Nusrah, Penyerahan Segugus Tawakal”, Sammaituha Najwa,
Antologi Cerpen Remaja, DBP, 2015.
- “Khabar dari Kota Metafisika”, Ishaq Hanis, Antologi Cerpen
Remaja, DBP, 2015.
- “Kisah Tiga Cerita” A. Muziru Idham, Tunas Cipta,
Jun 2016.
- “Tumit”, Adnie Bahiah, Tunas Cipta, April 2016.
- “Kancil, X-Trail dan Sebuah Bengkel”, Abang Median Abg
Said, September 2016, Dewan Siswa.
Setelah melalui perbincangan yang
rinci melalui perdebatan, penghujahan dan penolakan yang panjang, Panel Penilai
mencapai kata sepakat memperakukan sebuah karya kumpulan dan 10 buah cerpen
eceran iaitu:
Pemenang karya kumpulan Cerpen
Cerita Monyet, Anjing dan Pohon
Ginkgo karya Jasni Matlani terbitan
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2015.
Pemenang Cerpen Eceran
- “Air” karya Malim Ghozali PK terbitan Mingguan
Malaysia, 6 Mac 2016.
- “Apis Dorsata” karya Fudzail terbitan Dewan Sastera,
Oktober.
- “Cerita-cerita Tentang Lidah” karya Hafizah Iszahanid
terbitan Dewan Sastera, Januari 2016.
- “Desibel Iman” karya Nisah Haron terbitan Berita
Harian, 11 Oktober 2015.
- “Dia yang Berlari Kencang dalam Debu Perang” karya
Mawar Safei terbitan
- Berita Harian, 20 September 2015.
- “Musim Monyet Mabuk” karya Zainal Rashid Ahmad terbitan
Berita Harian, 3 April 2016.
- “Pascasejarah X Negeri Tanpa Matahari” karya Fadh Razy
terbitan Dewan Sastera, September 2015.
- “Rumah” karya Rebecca Ilham, terbitan Mingguan
Malaysia, 8 Mac 2015.
- “Rumah ini Dinding Kacanya Kalis Cahaya” karya
Siti Jasmina Ibrahim terbitan Mingguan Malaysia, 4 Januari 2015.
- “Rumah Kupu-Kupu” karya SM Zakir terbitan Berita
Harian, 21 Ogos 2016.
Panel Penilai:
Datin Prof. Dr. Ruzy Suliza Hashim
Prof.
Madya Dr. Asmiaty Ahmad
Encik Che
Abdullah Che Ya
No comments:
Post a Comment