HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA (HSPAM)
2013
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana
Malaysia 2013 (Cerpen)
PENDAHULUAN
BAGI tahun 2013, terdapat dua kategori genre cerpen
yang dinilai, iaitu kategori kumpulan cerpen dan kategori cerpen eceran. Bagi kategori
kumpulan cerpen, panel penilai peringkat saringan telah menerima sejumlah 27
buah kumpulan cerpen terbitan pelbagai syarikat penerbitan. Bagi kategori
cerpen eceran pula, panel saringan menerima sejumlah 567 buah cerpen termasuk
cerpen yang termuat dalam antologi cerpen yang dihasilkan dalam tahun 2013.
Sebanyak 11 buah kumpulan cerpen dan 101 buah cerpen eceran telah berjaya
disaring ke peringkat akhir. Kumpulan cerpen tersebut ialah:
1. Khilaf karya Wan Marzuki Wan Ramli.
2. Serangga di dalam Kepala , karya Roslan Jomel
3. Sepi Makin Memanjang karya Azizi Haji Abdullah
4. Narasi Gua dan Raqim, karya Mawar Shafie
5. Sayang Perahu Mudik Hilir, karya Moh Azam Rezali
6. Di bawah Langit Copenhagen, karya Salina Ibrahim
7. Hanya Beberapa Minit, karya Noridah Mohd Nor
8. Melawan Yang Mustahil, karya Ruhaini Matdarin
9. Hujan Hujung Januari, karya Rebecca Ilham
10. Catatan Cinta Anakanda Bonda karya Kamariah Kamarudin
11. Rebahnya Pohon Rambutan karya Mohd Ali Salim
KRITERIA PENILAIAN
Kedua-dua kategori cerpen ini dinilai
berdasarkan kepada kriteria penilaian yang telah ditentukan oleh pihak urus
setia HSPM, dengan tidak mengetepikan aspek-aspek struktural yang membina karya
ciptaan cerpen. Kriteria penilaian yang dimaksudkan itu adalah seperti yang
berikut:
1. Kekuatan kesatuan organik karya.
2. Kekuatan dan keaslian persoalan yang
ditampilkan secara matang.
3. Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan
kemanusiaan.
4. Keindahan moral.
5. Inovasi dan kreativiti.
6.
KEPUTUSAN
Kategori A: Kumpulan
Cerpen
Pemenang bagi kategori
ini diberikan kepada kumpulan cerpen berjudul Hujan Hujung
Januari yang ditulis oleh Rebecca Ilham, terbitan Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis
Nasional (PENA) 2013.
KEKUATAN KARYA
PEMENANG
Sebanyak 16 buah
cerpen dalam kumpulan cerpen Hujan Hujung Januari menunjukkan
kekuatan dan keunikan tersendiri. Pengarang menonjolkan daya kreativiti
mengungkapkan permasalahan global yang sebelum ini dipandang sepi oleh
masyarakat sebagai isu yang signifikan untuk difikirkan. Melalui paparan
sedemikian, pengarang memperlihatkan keperihatinannya terhadap isu-isu bersifat
tempatan dan global, seperti isu kuasa besar Yahudi-Palestin, Amerika-Iraq,
Rusia-Chechen dengan permasalahan kepupusan minyak, perbezaan budaya Jepun dan
Islam, reformasi, dan keadilan gender. Semua persoalan ini diungkapkan dalam
perspektif Islam.
Kebijaksanaan pengarang melihat isu tempatan
sebagai sandaran kepada isu global menjadikan karya-karyanya terbentuk indah
dalam dua situasi dan dua latar berbeza dalam dialog wacana yang mengungkapkan
suatu pemikiran yang tinggi. Pada cerpen “Ligamen Luka di Timur Tengah”
umpamanya terolah kisah tentang pembedahan ligamen lutut yang bakal dijalani
watak Sufiyah. Namun, kisah ini keseluruhannya berlaku dalam dialog watak-watak
yang memaparkan keperitan umat Islam di Palestin yang dirodok oleh Zionis,
iaitu melalui dialog antara ayah dan Sufiyah. Bentuk pengolahan seperti ini
menjadi semakin menarik apabila persoalan dan pemikiran dilihat secara
saintifik dan berasaskan pengalaman dan kajian mendalam penulis. Pengetahuan
dan pemikiran yang ditonjolkan pengarang memaparkan kerajinan beliau menelaah
setiap subjek yang dijadikan wacana dalam karya beliau.
Teknik pengolahan yang digunakan pengarang
ternyata tidak lagi bersifat konvensional. Struktur cerita yang dikemukakan
menolak plot yang biasa digunakan oleh kebanyakan pengarang cerpen sebelum ini,
sebaliknya dikemukakan dalam satu situasi yang sarat dengan dialog. Melalui
dialog dan aksi watak-wataknya, ditimbulkan cerita dan persoalan. Contohnya terlihat
pada cerpen “Dialog Subuh”, cerpen ini dikemukakan dalam situasi berdialog yang
berlaku ketika watak suami, Nazri dan isteri, Husna menanti waktu subuh. Dalam
keadaan itu, mereka berdialog tentang isu kepupusan minyak mentah yang
dikaitkan dengan surah-surah tertentu yang terkandung dalam al-Quran. Ini
sekali gus menunjukkan keupayaan pengarang menguasai persoalan yang menyentuh
isu-isu material dan spiritual.
Cerpen-cerpen dalam kumpulan ini turut
menonjolkan nilai keislaman yang utuh. Cerpen-cerpen seperti “Dialog Subuh”,
“Momiji Musim Rontok”, “Antara Dua Kaligrafi”, “Bentuk dan Makna” serta
“Madihah-Medea” mengangkat wacana keislaman yang beracuankan Malaysia.
Contohnya, dalam cerpen “Bentuk dan Makna” dan “Antara Dua Kaligrafi”,
pengarang membandingkan seni dan warisan Islam dan mengangkat nilai seni Islam
yang dibentuk di Nusantara.
Kekuatan lain yang
turut ketara pada cerpen-cerpen dalam buku ini ialah pemakaian gaya bahasa.
Hampir keseluruhan cerpen dibentuk dengan struktur ayat-ayat yang bersifat
segar, puitis dan bertenaga. Dalam cerpen “Seribu Burung Jenjang” contohnya,
pelukisan yang menggambarkan suasana di Pulau Miyajima, pengarang menggunakan
ayat seperti yang berikut “Bayu laut di Pulau Miyajima berpuput, enak
menggelinjang serata epidermis yang terdedah. Saya memicingkan mata yang
dipanah rembang senja, namun gagah menoleh punca cahaya”. Selain daripada
itu, keindahan bahasa Rebecca Ihlam tergambar melalui penggunaan metafora
perubatan, minyak, mitos dan lambang-lambang ironi dalam setiap pembinaan
naratifnya.
Kategori B: Cerpen
Eceran
Dengan menggunakan kriteria penilaian yang
sama juga, cerpen kategori ini dinilai. Hasilnya telah mendapatkan
cerpen-cerpen berikut sebagai pemenang.
1. “Istana Cindai” oleh Rosmiaty Shaari
2. “Gulai Tempoyak Ikan Sebarau” oleh Malim
Ghozali PK
3. “Rumah Impian Polan Cupan” oleh Mohamad
Affandi Hassan
4. “Fotokopi” oleh Hassan Baseri Budiman
5. “Gadung” oleh Zainol Idris
6. “Pusaka Ayahanda” oleh Samsudin Ahmad
7. “Manisnya Rambutan Kampung” oleh Zahari
Affandi
8. “Zombi” oleh Fudzail
9. “Catatan Rahsia Sang Ahli Fikir Tertua” oleh
Pelita di dalam Kaca
10. “Kasut” oleh Roslan Jomel
KEKUATAN CERPEN YANG
TERPILIH SEBAGAI PEMENANG:
Cerpen-cerpen yang
telah dipilih sebagai pemenang dalam kategori cerpen eceran memperlihatkan
kemantapan dari segi struktur dan pemikiran yang ditonjolkan bersifat semasa;
pengolahannya terlaksana dalam teknik penulisan yang mantap dan daya kekuatan
kreativiti yang tinggi. Walaupun sebahagian cerpen masih menggunakan teknik
konvensional tetapi pengolahannya terjalin dalam gaya bahasa yang baik dan
menarik.
1. “Istana Cindai” oleh Rosmiaty Shaari
Cerpen berbentuk
interteks yang dikemukakan pengarang ini bernafas feminis mengemukakan watak
Puan Siti Zauyah yang masuk ke dalam istana lama yang mengandungi mannequin.
Sewaktu cuba membetulkan kain cindai sutera cina yang melitupi dandanan sebuah
patung, halusinasi Zauyah menghantar dia berinteraksi dengan beberapa orang
puteri daripada sejarah silam seperti Tun Teja, Mahsuri dan Tun Fatimah.
Tokoh-tokoh yang dihidupkan melalui halusinasi Zauyah menuntut agar wanita
tersebut membebaskan mereka daripada dendam sejarah yang mendera jiwa wanita
yang selama ini belum dapat dileraikan. “Hah mengaku pun tuan!
Malah, ada lagi dendam tuan yang tidak terbela. Bagaimana zaman kanak-kanak
tuan, saban hari melagang hidup nisata, diperangkap, difitnah, dan dewasa
tuan-tak sudah sudah lara menimpa. Pengecutnya tuan berselindung di sebalik
keluh kesah kami yang tidak terbela! Sedangkan tuan lebih lara dari kami
sepanjang usia menjangkau ke riwayat kami, tuan berselindung di sebalik denda
kami!’ Pemikiran pengarang berkaitan permasalahan dendam wanita yang
teraniaya diangkat melalui teknik naratif yang menarik dan kreatif, aksi
watak-watak yang mantap serta dikuatkan dengan gaya bahasa yang segar
menjadikan karya ini menarik dan berkesan.
2.“Gulai Tempoyak Ikan
Sebarau” oleh Malim Ghozali PK
Cerpen ini memaparkan aktiviti dan perasaan
keluarga kampung yang akan menerima kunjungan anak lelaki, Toin dan menantu
orang putih, Jenet atau Jawiyah yang belum pernah bertemu dengan ibu dan ayah
mertua. Itam, ayah Toin, dan ibunya, Siah menyediakan lauk-pauk kampung,
seperti tempoyak ikan sebarau, ikan perimpin goreng, masak lemak cendawan
sisior dengan ubi kayu. Pelbagai rintangan dihadapi Itam ketika cuba mengail
ikan tersebut di sungai. Ironisnya, Toin balik bersendirian dan langsung tidak
makan lauk tempoyak dan masak lemak yang dibuat secara bergotong- royong dengan
jiran sekampung. Rupa-rupanya, Toin telah bercerai talak satu dengan Jenet, dan
semenjak mengidap kencing manis, dia tidak lagi makan durian, ubi dan kuih-kuih
manis.
Cerita ini menjiwai kehidupan orang kampung
yang teruja dengan kedatangan orang Inggeris ke kampung. Emosi ibu bapa yang
beria-ia menyediakan juadah anak dikontraskan dengan emosi Toin yang telah lupa
dengan cara hidup kampung. Perkahwinan ayah dan ibunya yang hampir menjangkau
setengah abad dikontraskan dengan perkahwinan Toin dan Jenet yang baru berumah
tangga selama dua tahun. Itam pandai memujuk isterinya Siah, manakala Toin
mudah sahaja melafazkan talak ke atas isterinya yang mualaf. Secara sinis,
Malim Ghozali PK menunjukkan perbezaan nyata antara realiti kampung dan realiti
kota, yang disampaikan melalui dialog kampung yang ada unsur lucu tetapi
sindirannya terhadap warga metropolitan agak tajam.
3.“Fotokopi”
oleh Hassan Baseri Budiman
Cerita ini mengangkat pelbagai isu berkaitan
bangsa dan bahasa Melayu, pemimpin dan kepimpinan, globalisasi dan kemajuan
teknologi. Semua persoalan tersebut diolah menggunakan teknik persembahan
sebuah drama berjudul ‘Pemakaman Bangsa’. Semua isu yang dikemukakan
ditonjolkan melalui aksi Tuk Wan, iaitu pengarah, merangkap penulis skrip
yang telah melupakan sejarah dan leluhur bangsa Melayu. Persoalan-persoalan
yang dikemukakan tersebut ditimbulkan melalui konflik antara pengarah
(pemimpin), dengan watak-watak pembantu yang melambangkan rakyat. Cerita
tersebut disinkronikkan lagi melalui watak Tuk Wan pencerita yang merupakan
seorang tokoh yang telah membangunkan Lembah Keriang sebenarnya adalah tokoh
yang telah membenamkan bahasa Melayu. Tajuk “Fotokopi” yang digunakan pengarang
dikaitkan tentang dunia pementasan itu ialah fotokopi atau salinan daripada
dunia realiti yang dialami watak ‘aku’.
4.“Gadung” oleh Zainol
Idris
Naratif ini diceritakan secara sederhana dan
gaya bahasa mudah. Pengarang memiliki pengetahuan yang baik tentang alam
kehidupan masyarakat orang asli yang diwakili keluarga Ripin dan Anoi. Keluarga
mereka bergantung hidup pada alam sekitar dan tidak mahu berpindah ke rancangan
tanah yang telah disediakan segala kemudahan. Bagi Ripin, kehidupan di
penempatan tersebut tidak memberikan kebahagiaan kepadanya malah akan
menimbulkan masalah kerana dia sukar mencari sumber alam yang sering digunakan
keluarganya. Struktur cerita dibina mengikut plot yang memaparkan konflik,
ketegangan dan penyelesaian yang berakhir dengan tragedi. Watak digambarkan
bergerak dalam aksi fizikal dan dihidupkan dalam suasana alam semula jadi. Di
samping itu, dipaparkan juga konflik dan permasalahan selama menjalani
kehidupan yang bercorak tradisi. Walau bagaimanapun, Ripin sebenarnya lebih
banyak berhadapan dengan penderitaan daripada kebahagiaan kerana isterinya
telah ditelan oleh ular sawa yang dibawanya pulang.
5.“Pusaka Ayahanda”
oleh Samsudin Ahmad
Cerpen ini memaparkan kisah Syaifuddeen yang
mendapat sebilah keris usang selepas kematian ayahandanya. Adiknya Rahman
mendapat ladang getah dan sawit manakala adik bongsu Hashim menerima tanah
lombong bijih dan segala lombong yang lain. Syaifuddeen merasakan ketidakadilan
wasiat ini kerana berbanding dengan lombong dan ladang sawit serta getah, keris
usang ini seperti tidak berharga. Dia merasa terhina dengan peninggalan wasiat
tersebut. Namun, Syaifuddeen merantau segala tempat untuk mencari tukang keris
yang dapat menggilap mata, hulu dan sarung keris. Dia berjumpa dengan Pak
Pandai Keris yang mengajarnya cara membersih serta menggilap keris itu sehingga
keindahan keris tersebut terpancar. Selepas menjalankan upacara berzikir,
Syaifuddeen baru mengetahui keistimewaan keris tersebut dan mengapa arwah
ayahandanya menghadiahkan setiap anak-anaknya peninggalan yang sesuai dengan
jiwa mereka. Oleh itu, Rahman memang minat berladang manakala Hashim merupakan
seorang pelombong yang rajin. Hadiah keris ini mengembalikan kegemilangan
pusaka keluarganya yang dengan bersisipkan keris orang Melayu kelihatan seperti
berpakaian segak, Syaifuddeen yang menyerupai almarhum datuknya dengan
pemahaman keagamaannya yang tinggi mengukuhkan jati diri watak tersebut.
Keistimewaan cerpen ini terletak kepada
pengimbangan antara adat dan agama. Pengarang memberi pengajaran moral yang
indah menerusi perwatakan Syaifuddeen. Sebagai seorang ahli agama, watak ini
mula-mula lebih mementingkan kekayaan material, namun hadiah keris usang
mengajarnya untuk menjiwai agama Islam tanpa mengetepikan jati diri
kemelayuannya.
6.“Manisnya Rambutan
Kampung” oleh Zahari Affandi
Cerita ini juga
menonjolkan wanita kampung, Mak Engku yang mempunyai pokok rambutan gading yang
manis, lekang, dan lebat buahnya. Buah rambutan ini tidak pernah dijual tetapi
disedekahkan kepada sesiapa sahaja, tidak kira orang Melayu atau orang lain.
Namun, Mak Engku mempunyai pantang larangnya yang dipatuhi mengikut nasihat
datuknya, Tok Ku Syed Sulung. Walaupun Mak Engku mempunyai empat orang anak,
namun mereka jarang mengunjunginya – “yang alim pun lupa langsung hal dunia,
bercakap pasal hukum-hakam agama, tetapi adik-beradik, sanak saudara dan ibu
tua di kampung yang hidup sebatang kara”. Anak bongsu, pelajar jurusan
pertanian, balik ke kampung bersama rakan-rakannya untuk menjamu rambutan
gading, namun cara moden menggunakan mesin gergaji kecil melanggar pantang
larang Mak Engku. Mak Engku menghalau anaknya, Ahmad Rahimi, dengan parang; dia
sanggup hilang anaknya supaya adat menjaga pokok rambutan dijaga. Cerita ini
berakhir dengan tragis apabila Mak Engku pengsan disambar kilat, manakala
anaknya Ahmad Rahimi meninggal dalam kejadian tersebut ketika dia cuba mencuri
buah rambutan ibunya.
Cerpen ini menunjukkan perbezaan orang kampung
dan orang bandar, serta nilai adat dan nilai moden yang mengabaikan tradisi
yang sekian lama diikuti. Secara ironisnya, cerpen ini memaparkan keadaan “biar
mati anak, jangan mati adat” dengan cara literal. Ironi dan kejutan yang dikemukakan
oleh pengarang menyerlahkan perbezaan nilai yang nyata yang menjadi realiti di
dalam komuniti Melayu masa kini.
7.“Zombi” oleh Fudzail
“Zombi” adalah kritikan terhadap tansformasi
sistem pendidikan di sebuah negara maju yang mempertahankan demokrasi.
Pengarang mempertikaikan kelemahan-kelemahan dalam sistem pendidikan pada
peringkat rendah tanpa mengambil kira kemampuan fikiran dan latar kehidupan
pelajar. Silibus yang paling ketara ialah mengajar mata pelajaran yang tidak
seimbang dengan usia dan kemampuan akal fikiran kanak-kanak, memaksa mereka
bergulat dengan permasalahan orang dewasa dan dunia materialistik. Persoalan
tersebut dikemukakan melalui penceritaan yang mengutamakan dialog; antara
Hanani seorang pelajar sarjana dengan Jeanni, seorang ibu tunggal. Melalui
dialog dan naratif yang dibentuk melalui perbandingan sistem pendidikan yang
dialami Hanani dengan generasi Z, terdedah persoalan-persolan yang ingin
dikemukakan pengarang. Kisah ini dikuatkan dengan konflik batin yang ditanggung
oleh kanak-kanak melalui pengamatan Hanani terhadap seorang kanak-kanak yang
menjadi murung, bergantung pada peralatan eletronik yang sekali gus
membantutkan perkembangan kreativiti kanak-kanak tersebut. Penggunaan tajuk
‘zombi’ memancarkan kesan daripada sistem pendidikan yang secara perlahan-lahan
menghilangkan kekuatan jiwa kanak-kanak.
8.“Catatan Rahsia Sang
Ahli Fikir Tertua” oleh Pelita di dalam Kaca
Cerita ini berlegar pada persoalan mengenai
falsafah kerahsiaan. Sesuatu rahsia hanya dapat diketahui melalui daya renungan
(meditasi), pembebasan hawa nafsu dan sikap kurang bercakap. Persoalan falsafah
ini dibangunkan dalam bentuk penceritaan penuh dialog yang berlaku antara
seorang mahaguru dengan murid-muridnya. Falsafah kerahsiaan ini didedahkan melalui
Lao Tze, ahli fikir China yang terkenal. Ini dapat dirumuskan bahawa
pengarangnya bermaksud untuk memperlihatkan adanya pengaruh Islam dalam
falsafah pemikiran ahli fikir China tersebut.
9.“Kasut” oleh
Roslan Jomel
Cerpen ini mengisahkan sepasang suami isteri
yang tidak mendapat cahaya mata untuk sekian lama. Suami cuba meneroka dunia
penulisan kreatif dan cerita yang ditulisnya berkisar mengenai pasangan yang
mempunyai anak yang lahir sebagai kasut. Pengarang menggantungkan kepercayaan
dan menafikan realiti dengan menunjukkan keanehan pasangan suami isteri yang
membelai anak yang berupa kasut.
Cerpen ini menarik kerana cerpen ini merupakan
metafora kepada keanehan dunia kontemporari. Apakah yang dikejar oleh warga
masa kini? Roslan Jomel mengundang kita untuk meneroka apakah yang dianggap
normal, dan apakah realiti sebenar? Cerpen ini yang menggunakan teknik realisme
magis yang memerlukan pembaca menyorot makna yang tersirat dalam cerpen aneh
ini.
10. “Rumah
Impian Polan Cupan” oleh Mohammad Affandi Hassan
Cerpen ini mengisahkan tentang seorang anak
Melayu jati bernama Polan
Cupan berketurunan orang asli yang memiliki otak genius. Semasa belajar
di sekolah rendah dan
menengah dia tidak begitu mendapat perhatian
daripada gurunya
walaupun dia merupakan murid yang cerdik; pandangan
atau idea baik atau agak luar biasa yang
ditimbulkan sering kali diketawakan atau diperlekehkan oleh kebanyakan
guru-gurunya. Biarpun begitu, dia tetap gigih dan bersungguh-sungguh belajar sehingga
keluar Negara dan mendapat ijazah Ph.D dalam bidang sains. Dengan kelulusan itu
dia berjaya mencipta bahan binaan yang bersumberkan bahan-bahan seb yang lebih
besar bagi keperluan rakyat; namun, ini ditentang sama sekali oleh
pemimpin dan tokoh korporat Melayu. Dia menemui kegagalan, tetapi masih
tetap mahu berusaha mencipta “chips” yang boleh membetulkan akhlak dan
ketamakan tokoh-tokoh bangsanya ini.
Cerpen ini mempunyai kekuatan dalam
aspek-aspek penggarapan persoalan dan penggunaan teknik penulisan.
Persoalan terolah dalam nada yang amat sinis; ia mendedahkan bahawa
sebahagian besar daripada tenaga dan kecerdikan anak bangsa tidak dimanfaatkan
oleh pemimpin-pemimpin negara, terutama dalam kalangan mereka yang tamak dan
individualistik. Pengarang memilih sudut pandangan orang ketiga
pencerita; dengan pemilihan begini, pengarang dapat dengan agak bebas
memberikan pendapat dalam gerakan atau aksi watak yang terkawal. Pergerakan
watak dan dialognya terasa bersahaja, hidup dan berkesan. Persoalan-persoalan
penting yang bernada sinis tadi lebih banyak dan terasa hidup terlahir daripada
dialog watak.
KESIMPULAN
Keseluruhan cerpen yang dipilih sebagai
pemenang telah memperlihatkan kekuatan dari segi kepelbagaian isu semasa, yang
berlaku dalam dan luar negara. Permasalahan masyarakat dan negara yang
melihatkan isu bahasa dan jati diri bangsa, isu agama, konflik dan pertembungan
budaya, keadilan sosial, realiti kampung dan kota, pemimpin dan kepemimpinan
dipersembahkan dengan menggunakan pelbagai teknik penceritaan yang menarik dan
segar. Kepelbagaian gaya pengolahan yang kreatif dan inovatif turut
memperlihatkan gabungan kekuatan penulis lama dan baharu yang menunjukkan
perkembangan sihat dalam bidang penulisan cerpen dan seterusnya kesusasteraan
Melayu. Senario ini menonjolkan penulis pelapis yang mampu meneruskan
tradisi kepengarangan Melayu dan membawa pembaharuan dalam jagat kesusasteraan
tanah air.
Disediakan oleh
Prof. Dato’ Dr Hashim Awang
Prof. Ruzy Suliza Hashim
Prof Madya Dr. Asmiaty
Ama