DUNIA BUKU 4
SASTERA
AGRARIA,
DALAM
KERANA MANUSIA BUKAN KERTAS
Kesan
langsung pembacaan naskah Kumpulan Puisi
Kerana
Manusia Bukan Kertas (KMBK) oleh
Ibnu Din Assingkiri (IDA), mengingatkan saya kepada konsep Sastera Agraria yang
pernah diwarwarkan oleh Prof Ismail Hussein pada pertengahan tahun1970an. Selaku
Ketua Satu GAPENA ketika itu, beliau acapkali bercakap tentang sastera yang mampu
dinikmati oleh rakyat jelata. Tidak saja berlegar di kalangan kelompok elitis semata. Golongan Agrarian yang
dimaksudkan beliau ialah golongan peasantry
(iaitu kaum tani, buruh dan nelayan). Apa yang cuba di pelupori oleh Ismail
Hussein di kalangan khalayak sastera tanahair ketika itu, sebenarnya adalah lanjutan
daripada pendirian sekelompok penulis
Amerika dan German pada awal abad kedua-puluh yang menentang kapitalisme
industri dan menganjurkan berbalik kepada tanah (alam)
Apa
yang diserapkan oleh IDA lewat
kebanyakan puisinya, dilihat selari
dengan konsep sastera yang cuba
diperkenalkan oleh Ismail Hussein. Sementelahan pula diperakui sendiri oleh IDA
dalam prakata KMBK – “mahu berkomunikasi secara puitik dengan pembaca dari
pelbagai peringkat khalayak termasuk mereka yang tidak terdedah dengan
pendidikan sastera secara formal”.
|
Ibnu Din Assingkiri |
IDA
nampaknya terus istiqamah dengan pendiriannya terhadap konsep penglahiran
puisi, sebagaimana yang pernah dijelmakan dalam kumpulan puisinya yang
terdahulu, Jejak-Jejak Di Pantai (ITBM, 2015). Pada blurb
buku tersebut tercatat; “ia ditulis kepada semua golongan pembaca dengan tujuan
utamanya untuk mendekatkan puisi (sastera) kepada masyarakat. Pemakainan diksi
yang sederhana, diadun menjadi simbol-simbol yang sesuai, bertujuan untuk tidak
terlalu menyiksa pembaca menggali makna yang ingin disampaikan. Seni puisi
adalah keindahan untuk dinikmati pembaca, bukan untuk dibaca sendiri-sendiri
oleh penulisnya, kalangan penulis atau penggiat sastera semata”
Unsur
dan anasir alam, biotik dan abiotik, hadir dalam kebanyakan puisinya, samada dipetik
secara maujud maupun yang menyusupi jalur
mimpi dan kenangan dalam rupa bentuk mujarad. Objek-objek biasa yang terabai
dan tidak tersangka tiba-tiba muncul berdiri sebagai metafora yang terlihat
indah, segar dan berkesan. Perhatikan;
sudikah kaucari aku
di pasir bersiput tajam
di ketapang melayang
di tanjung terhujung
di teluk yang jauh.
(Hamparan Buih Ombak, hlm.1)
Singkir
Laut, Yan, Kedah; desa kelahiran penyair
adalah sebuah daerah yang unik dari segi geografi dan demografinya.
Dataran yang terhampar dari kaki Gunung Jerai menganjur ke pinggir Selat Melaka
selanjutnya melahirkan kegiatan sosio-ekonomi yang juga unik. Bukan suatu yang
luar biasa seseorang pada sebelah paginya menjadi petani, menyandang tajak dan
cangkul ke bendang atau ke kebun dan sebelah malamnya pula turun kelaut bersama
pukat dan botnya sebagai nelayan. Keunikan pengalaman hidup penyair sebagai
budak kampung yang terdedah dengan kepelbagaian dimensi corak dan cara hidup ini memberi kelebihan dalam penggarapan
puisi-puisinya. Beliau boleh bercakap mengenai laut dan darat dengan selesa tanpa
kekok dan segok.
Di teduh pohon berembang
antara akar bakau
berceracak
seharian kami
meranduk selut
mengutip khazanah
alam
kerang, lala,
siput biji nangka
dan di musim
pasang besar
siput sudu
terdampar di pantai
dekat Kuala
Singkir Laut
(Berguru Dengan Alam, hlm.22)
Bau tanah tatkala hujan
menyentuh bumi
hangat
merungkai beluam
ingatan
tersorok lama
entah di mana
terpacul bagai
rasaksa
Di tenga hari
bau getah sekerap
di baju emak
ditelan aroma
pucuk cemamar
yang dikutip
semasa pulang
dari menoreh di
Tanjung Jaga.
(Bau Tanah Di Timpa Hujan, hlm.24)
Kenangan
hidup dan himbauan nostalgia menjadi intipati dalam kebanyakan puisi-puisi IDA.
Bagi khalayak pembaca dari generasi Y, sementelahan lahir dan membesar di perut kota pula, mungkin berasa sedikit
kesukaran berhadapan dengan sesetengah diksi lalu terkapa-kapa mengklik Kamus Dewan Online. Namun begitu bagi
generasi 50-an ke atas, akan mudah terpanggil untuk sama-sama kembali menyelinap
ke zaman lampau. Seperti kata penyair,
Tatkala hujan bertukar gerimis
Menitik
perlahan-lahan
Di pipi seorang
lelaki. Meleleh
Jatuh ke beluam
ingatan.
Cuba resap dan rasai diksi kata dan
frasa-frasa berikut:
i.
Kuutus surat
berbedak amami
dengan harapan
puisinya mewangi
ii.
kubang kerbau
tempat kami
menggagau ikan
haruan
kadangkala
disengat
keli
iii.
anak kampung zaman
dahulu
menangis hanya
lakonan
saat dirotan
ibu-bapa
iv.
kami menangis di
dalam hati
melihat ibu
tertidur
sambil mengukur
kelapa
v.
sewaktu hari
beralih rembang
tangkul berumpan
ikan duri
diangkat dengan
penuh harap
vi
ayam jantan belum
pun turun
dari dahan nona
sekaya
melantun tembang
rutin
vii.
kuselak halaman
kenanagan
untuk mengenang
ibunda
kebaya nyonya berbatik
panjang
ada untaian melur
di sanggul.
viii
Terdengar bisikan
emak
kepada bapa tentag
beras
hanya berbaki di
lantai guri
Kesederhanan
dalam semua aspek, daripada pemilihan kata-kata, bentuk dan teknik, yang menjadi asas dalam pembinaan sosok setiap
puisi termasuk pemakaiaan alatan susastera secara berhemah menjadi keutamaan.
Namun begitu tidak bererti penyair mengambil jalan mudah atau asal jadi. Selain
dari mementingkan keindahan dan kesan, beliau amat berhati-hati agar tidak terperlus
ke kubang klise.Ia diperakui oleh penyair sendiri:
Sungguh sukar mencari kata
untuk mencitra
makna
dalam seuntai
puisi
` serupa mencari permata
dalam timbunan
kaca
(Asal Kata Adalah Kaca, hlm. 25)
Konsep
sebuah puisi bagi IDA diperjelaskan secara tuntas lewati puisi, Cara
Mudah Menulis Puisi (hlm.14). Berikut diperturunkan sepenuhnya dalam
gaya prosa. Antara ciri yang harus ada pada sebuah puisi mengikut beliau ialah:
“Puisi bukan lahir dari susunan
aksara semata-mata. Ia perlu memiliki
jiwa yang menghantar rasa, pengalaman, meneroka rahsia-rahsia dan
mengandungi ilmu sebagai pelengkap wacana. Diperindahkan melalui kesenian
mengolah bahasa menjadi lunak; Dalam mengajak ke arah kebaikan, kebijakan dan menolak
segala kemungkaran, hal yang paling sukar ialah menjadi suara pembela kepada
mereka yang dibisukan. Puisi harus membentuk diri menjadi acuan pemikiran
generasi kini dan masa depan”
ZAIN IDRIS AT-TOBIARI,
Jitra, Kedah, 18.03.21.