Saturday, February 18, 2012

cerpen 1



                      SEKALI AIR BAH
                                       
                               Oleh:
                                Zainol Idris


  
 Mak tak akan  pindah. Demikian keputusan Mak. Keputusan  muktamad.  Bagi Mak ,ini bukannya pindah tapi lari meninggalkan rumah. 
Mak tak faham bila dikatakan tinggal di rumah  mungkin tak selamat. Pada Mak rumah adalah tempat  paling selamat. Rumah adalah naungan  tempat  berlindung; Bukan saja  teduhan hujan dan panas semata  tapi  benteng kepada segala ketakutan dan mara bahaya. Tembok pendinding kepada segala musuh. Sudah  lama  rumah itu telah menyediakan khidmat terbaik kepada Mak sekeluarga. Di situlah tempat makan minum. Tempat Tidur baring . Sakit demam. Kenduri kendara . Berkelamin. Beranak pinak. Semuanya dalam rumah inilah.
 Pesanan arwah Pak masih Mak pegang; Selain  masjid, rumahlah tempat paling selamat’.Jangan sekali-kali tinggalkan rumah.  Apa-apa pun yang terjadi cepat-cepat masuk dalam rumah’, tambah arwah Pak  lagi.
Sebab itulah ketika  melalui zaman sukar; baik zaman Jepun, baik zaman Bintang Tiga, jarang Pak dengan Mak  meninggalkan rumah. Cuma sekali atau dua mak ikut orang kampung berlindung dalam masjid bila pihak Berikat menjatuhkan bom membuta tuli. Ketika itu Mak baru kahwin dengan Pak.  Pak dengan Mak kahwin muda. Umur masih belasan  tahun. Semuanya akibat takut dikerah Jepun jadi buruh paksa buat landasan keretapi di utara.
Cikteh, datang mengiau-ngiau, menyondol-nyondol betis Mak. Mak cempung Cikteh keluar ke beranda.  Mak bertimbuh  di kepala tangga. Di bawah, air bah  telah merata. Seluruh kampung karam sepenuhnya. Petang semakin larut  ke ambang maghrib.  Batas-batas permatang yang mengepung air dalam petak-petak bendang  sudah tak nampak lagi. Pucuk-pucuk padi tengah bunting siang tadi masih  terkuit-kuit, juga sudah lupus ditelan air. Bah telah mengepung dari semua arah. Banggul itu dulunya seakan sebuah pulau yang dilengkungi sungai sekarang sudah macam laut .
Mak jenguk ke bawah. Arus  air lumpur likat campur kelodak meliar ganas dan  membuak-buak tiba.  Sesekali Kaparan sampah sarap menunda puntung dan reba hanyut melintasi halaman. Daun pisang kering yang entah dari mana  tersangkut dan membelit  pelapik tiang simen setinggi tiga kaki .Tangga yang menjulur dari beranda ke tanah juga telah tenggelam tiga setengah anak tangga . 
Mak hala pandangan  ke arah ban tali air.  Sepanjang  ban berderet motosikal dan beberapa buah  kereta yang baru dipindahkan menjelang petang. Khabarnya air terus naik. Namun semuanya Mak tak kisah.  Tiang rumah Mak tinggi. Tiang kayu bulat merbau pulas dan setengahnya dari kayu pinang baik masih kukuh berdiri atas pelapik tiang setinggi tiga kaki. Kolong rumah Mak bukan saja lulus budak berlari, kerbau lembu pun boleh memboloskan diri, tak bimbang tanduknya tersangkut kayu rasuk.  Lagipun Mak bukannya ada banyak barang yang perlu dipindahkan. Kalau ada pun cuma gerek tua arwah Pak yang terikat di tiang seri bawah rumah. Gerek tua itu sudah lama di situ. Tak ada siapa yang sentuh. Sudah berkarat. Kadang-kadang jadi tempat ayam jantan betina bertenggek. Ada sekali dua Maniam Besi Buruk  minta beli tapi Mak tak jual. Mak kata biarlah, buat kenangan anak cucu.
Seberkas dua kayu api sudah Mak naikkan atas jemuran  sebelah dapur. Untuk hidupkan api dapur  empat lima hari lebih daripada cukup. Mak rasa kalau  banjir tak surut-surut sampai seminggu pun, dapur Mak akan tetap berasap. Beras masih banyak dalam karung  plastik. Ikan sepat kering ada dalam raga  tergantung dekat para dapur. Pekasam sepat benua  pun masih banyak dalam guri.
            “Marilah Toksu, kita pindah. Air tengah  jujuh sampai ‘tu  .Semua orang ‘dah pindah; tinggal Toksu seorang saja!”, ajak Usop JKK sungguh-sungguh . Usop JKK yang tiba bersama pasukan penyelamat dengan bot lepas asar tadi  menanggalkan baju hujannya terus  melompat ke atas beranda .
             Hujan renyai terus menaburkan renjisanya tak henti-henti sejak tiga hari lalu. Langit tetap suram dengan awan-awan kelabu yang ranum memberat.
            “Kau orang nak bawa aku pindah ke mana?” ,soal Mak.
            “Pusat pemindahan dibuka di sekolah. Dah ramai yang  dipindahkan ke sana. Semua  jenis bantuan ada tersedia ; Toksu tak perlu bimbang fasal makan minum, tidur pakai semua.  Toksu berkemaslah, bawa benda-benda penting saja.” kata Usop JKK lagi . Dua orang anak muda bercepiau merah siap dengan jeket kalis hujan  pasukan  penyelamat masih tercangak-cangak dalam bot menepis tikaman hujan yang masih merenyai.
            “Tak apalah, biarlah mereka saja pindah. Lagi pun rumah mereka rendah, air pun dah masuk dalam rumah. Rumah  aku ‘ni rumah kayu . Air tak akan naik sampai mencecah lantai. Aku  selamat di sini. Tak apa, usah bimbangkan aku. Sudah puluhan kali ‘dah  air bah. Tak sekali pun aku pindah randah.” Ujar Mak dengan kedegilannya.
            “Tak boleh Toksu. Air tambah dalam, bukannya  makin surut. Hujan lebat di Hulu Pedu sana.  Arus Sungai Chegar Alur Changlih ‘tu membuak-buak derasnya. Kami bimbang rumah ini akan hanyut dilanda arus. Lagipun Toksu tinggal seorang. Nanti kalau sudah malam lagi susah”
           “Ini bukan bah biasa Nek; ini banjir besar. Dah heboh masuk radio, masuk televisyen. Kami bukan nak menyusahkan Nenek. Kami bimbangkan keselamatan Nenek. Kalau terjadi apa-apa nanti kami pula yang disalahkan.” pujuk salah seorang anak muda bercepiau merah dari dalam bot. Dengar loghat cakapnya, Mak tahu budak-budak Pasukan Penyelamat bercepiau merah bukan orang tempatan.
            “Betul ‘tu Toksu, kalau Kifli dapat tahu, kena bambu  kami  nanti kerana abaikan Toksu,” tambah Usop JKK.
             Mak tetap  dengan ketegarnya.  Mak kata dia yakin selamat dalam rumahnya. Rumah Mak kukuh. Tiang-tiangnya teguh tak akan terusik dengan arus air bah sebesar mana pun. Semuanya sudah teruji bertahun-tahun. Bukan sekali dua  bah melanda. Seingat Mak paling besar bah setakat melupuskan empat anak tangga beranda saja. Masih jauh untuk mencecah lantai.  Kalau arus  deras cuba nak hanyutkan rumah pun tak ke mana.  Keliling rumah Mak banyak pohon-pohon besar yang menumang. Kalau arus bah cuba rempuh, pohon-pohon temusu tiga beradik yang berusia lebih seratus tahun  tumbuh berhampiran telaga itu akan menampan dengan gagahnya..
           Usop JKK macam hilang kata-kata untuk terus berhujah dengan Mak. Dengan muka separa kecewa dia meninggalkan Mak.  Mungkin juga meluat campur sebal dengan kedegilan si tua yang tak makan nasihat itu. Sebelum meninggalkan Mak,Usop JKK hulurkan sekampit beras, dua tin sadin dan sepeket gula ; sumbangan YB , katanya. Dan sebelum bot penyelamat itu bertolak pergi Usop ingatkan Mak lagi; jika bah makin buruk, malam nanti mereka  akan datang lagi untuk pindahkan Mak. Kalau Mak degil juga dia akan dibawa secara paksa.  
         Mak atur langkah ke dapur. Cikteh  ikut Mak sambil menggesel-geselkan  kaki Mak dengan ekornya yang dicawatkan. Mak keluarkan pelita ayan kemudian nyalakan dengan macis. Sudah dua hari elektrik dipotong. Kata Usop JKK elektrik terpaksa dipotong kerana akan membahayakan nyawa. Mak kurang pasti bahaya bagaimana.
        Mak ada simpan lima enam pelita ayan. Selalunya pelita-pelita ini Mak  keluarkan bila  Kifli  anak beranak balik beraya di kampong . Minyak tanah juga selalu ada simpanannya. Kalau habis mak kirimkan Dolah Rebung beli di kedai simpang. Bila sekali sekala  keputusan elektrik mak tak bimbang untuk bergelap. Di kampung elektrik selalu putus kadang-kadang dalam sebulan lebih dari sekali. Sesekali pula walaupun elektrik ada mak pasang pelita juga. Lagipun mak tinggal seorang tak perlu  terang benderang.  Cuma kalau Kifli balik bersama anak bini Mak pasang semua lampu. Kadang-kadang cahayanya melimpah hingga ke halaman.  Maklumlah anak bini Kifli lahir dan dibesarkan di kota. Tentu tak betah suasana kampung yang gelap gelemat .
                  Lepas arwah Pak meninggal, pernah  juga Kifli ajak Mak tinggal dengannya di kota. Tapi Mak tak mahu. Mak tak rela meninggalkan rumah pusaka peninggalan arwah Pak. Rumah yang pak bina dan tukangi dengan tangannya sendiri. Malah ada bahagian-bahagiannya Mak turut  sumbang tenaga. Atap rumbia yang memayungi rumah limas beranjung lima itu tangan Mak sendiri yang menyematnya. Bumbung beratap rumbia itu tetap kekal hingga kini. Kebanyakan bumbung rumah di kampung itu telah bertukar zink atau asbestos  tapi rumah Mak tetap kekal berbumbung rumbia.    
                 Di becah dekat telaga ada rumpun rumbia, rumpun mengkuang dan perdu buluh sigai. Sengaja mak simpan. Malah dalam seminggu dua sekali Dolah Rebung akan datang mengendap pucuk-pucuk rebung yang menombak ke permukaan  tanah. Kalau ada dia akan cantas untuk dijual di Nat Tok Jalai. Sebelum balik  Dolah Rebung akan hulur seringgit dua pada Mak kerana rebung-rebung yang diambilnya.  Tapi Mak tak pernah ambil. Semuanya Mak kira sedekah. Mak tahu Dolah Rebung bukan orang senang. Cari rezeki dengan jual rebung atau pucuk-pucuk ulam  saja.
                Kalau ada atap rumah bocor mak minta tolong Dolah Rebung tetak rumbia. Tebang buluh sigai. Buluh di katam panjang sedepa. Kemudian dibelah sebesar jari  jadikan bilah-bilah mengkawan . Bemban juga masih jenuh di tepi telaga untuk dibuat tali menyemat atap. Sudah siap semuanya Dolah Rebung jugalah mak upah panjat bumbung menyalin mana-mana atap yang bocor. 
               Pernah juga Usop JKK   cadang Mak robohkan rumah tua itu ganti dengan rumah baru. Buat rumah setingkat atas tanah, separuh batu separuh kayu. Usop JKK kata dia boleh rekomenkan nama Mak sebagai warga emas untuk dapatkan rumah program PPRT. Semuanya Mak tolak mentah-mentah.  Mak kata dia bukan golongan rakyat termiskin. Semua serba cukup. Makan pakai tak pernah kurang. Lagipun di mana Kifli nak letak muka nanti; anak  pegawai besar  tiba-tiba ibunya duduk di rumah PPRT. Terdiam juga Usop JKK bila dengar alasan Mak.      
                  Dulu ada budak-budak muda dari Korea dibawa masuk kampong.  Rumah Mak jadi pilihan untuk ditumpangkan budak-budak perempuan Korea itu. Usop JKK kata Mak terpilih jadi mak angkat minah-minah Korea itu kerana rumah Mak masih kekal dengan ciri-ciri rumah Melayu. Lebih seminggu budak-budak itu duduk dengan mak. Mereka nak belajar cara hidup kampung. Malam-malam pasang pelita ayan saja. Makan bersila cara kampong. Tanak nasi dapur kayu. Lauk asam pedas puyu. Pekasam lampam jawa goreng. Jeruk maman. Ulam-ulam dan sambal belacan. Belajar semat atap. Belajar anyam tikar. Mandi air telaga. Tidur berkelambu.  Menitis juga air mata Mak ketika berpelukan  dengan anak-anak angkatnya masa hendak berpisah dulu.
              Lepas sembahyang Maghrib Mak jenguk ke dapur. Nasi masih banyak dalam periuk. Lauk siang tadi juga masih berbaki bawah tudung saji. Mak rasa masih kenyang. Mak senduk nasi masukan dalam pinggan ayan sopek. Ikan goreng separuh Mak gaulkan dengan nasi kemudian Mak sorongkan pinggan itu pada Cikteh yang mengiau-ngiau dan menggelenteng tak sudah.
            Mak capai satu lagi pelita ayan dan nyalakan. Kemudian bawa pelita ayan keluar ke beranda. Hujan masih renyai. Angin lembab dan sejuk sesekali melintas alur dan lahar menyebabkan api pelita meliuk liar  mahu padam. Cepat-cepat  Mak alihkan pelita ke balik daun pintu yang sebelah tertutup.   Mak jenguk ke arah kaki bukit.. Melalui celah-celah pelepah rumbia  ternampak jalur-jalur cahaya dari sekolah yang dijadikan pusat pemindahan. Mungkin Usop JKK telah usahakan sebuah generator mengelakkan  mangsa banjir berada dalam kegelapan.  Mak tahu demi kebajikan kampung Usop JKK memang boleh dipuji. Kalau ada kenduri kendara Usop JKK lah yang mengepalai. Kalau berlaku kematian pun dialah yang ke hulu ke hilir menguruskan itu ini.
           Limpahan  cahaya  kejauhan yang tumpah kepermukaan air yang telah melaut menghasilkan riak-riak berkilauan. Memang betul kata Usop JKK  air tengah jujuh sampai. Empat anak tangga di beranda telah lupus ditelan air. Namun Mak tetap tak bimbang. Mustahil banjir akan terus merajalela sampai melahap ketujuh-tujuh anak tangga. Selama ini belum pernah sampai ke peringkat  itu. Paling besar  cuma mencecah lima anak tangga saja.
           Seingat mak juga, bah tidak pernah menggerunkan anak-anak kampong. Sebaliknya dulu bila terjadi bah, anak-anak kampung menyambutnya macam pesta pula. Lagipun air yang melimpah dari tebing Sungai Chegar Alur Changlih  yang melengkar di tengah kampong itu tidak per nah mengganas sampai meragut nyawa. Air jernih dari Hulu Pedu atau Padang Sanai  itu naik dengan cukup sopan sedikit demi sedikit. Seinci demi seinci meneggelamkan tanah dataran di atas tebing, bukan tiba-tiba menderu dengan arus deras lintang pukang macam apa-apa seperti hari ini .  Kerbau lembu akan diselamatkan dengan dilepaskan tali hidungnya kemudian dihalau ke padang rezap . Kerbau lembu itu akan bebas meragut di Padang Rezap sehingga bah surut. Kambing-kambing  akan diheret ke atas tambak yang memang tersedia pada setiap rumah kampong. Ayam-itik pula dikepung ke atas tambak dibiarkan memagut sagu dari batang rumbia atau ubi gajah.  Kambing-kambing pula galak mengunyah taruk daun rumput tunggul, daun kesinai atau daun nangka yang dilonggokkan dalam tong padi  sepanjang musim bah.
        Musim bah lauk pauk memang jenuh. Anak-anak kampong tak perlu mengharapkan bantuan beras atau ikan sardin macam sekarang. Serba jenis ikan  dari lubuk akan ikut air bah naik ke bendang, ke alur, lahar dan yoi  untuk bertelur. Keli, haruan, lampam, sebarau, pucuk pisang, baung, tengas,sepat ,belida dan puyu bagai berlumba-lumba untuk  naik meneran telur demi meneruskan zuriat masing-masing.
        Diam-diam Mak teringatkan Kifli.
        Dulu Kalau musim bah Kiflilah yang paling seronok. Berendam dalam air bah pagi tumpu ke senja macam anak kerbau. Kehulu ke hilir hora- hore dengan rakit batang pisang berkampuh tiga bersama kawan-kawan sebaya  termasuk Usop JKK dan Dolah Rebung.
       Masa arwah Pak masih ada, Kifli tak pernah lekang dengan Pak. Kifli akan ikut Pak sana-sini naik ber ahu. Boleh dikatakan setiap rumah di persisir tebing Sungai Cegar Alur Changlih ada perahu masing-masing. Kadang-kadang Kifli ikut  Pak cabut ubi kayu yang batas-batasnya mulai ditenggelami bah. Perdu pokok ubi kayu  tak boleh dibiarkan terendam lama dalam  air. Nanti ubinya masuk angin dan mudah bentan. Kalau sudah bentan rebus dua hari pun tak akan empuk lagi. Kalau sudah begitu, ubi-ubi itu akan dilonggokkan di atas tambak saja untuk habuan ayam itik memagut.
         Kifli cukup suka sarapan ubi rabus dengan gula merah campur kelapa kukur . Tambah selera lagi kalau ada pulut kukus dengan pekasam puyu goreng. Selalunya lepas sarapan Kifli ikut Pak naik sampan menjenguk pukat yang dipasang di tepi alor sejak petang kelmarin. Kalau musim banjir, mata-mata pukat itu tidak pernah mungkir memerangkap lampam jawa, lampam sirip merah, pucuk pisang, sebarau , belida atau kelah. Kalau nasib tidak baik pula ular tanah atau ular belalai gajah menggelenting berbelit-belit dicerut mata pukat.
        Bubu-bubu yang Pak tahan dengan Kifli di celah-celah perdu rumbia juga tak pernah kosong bila diangkat. Ada saja yang terkodek-kodek kerana teruja dengan aroma umpan ubi gadung bakar yang dimasukan dalam bubu. Kalau tidak haruan tentu toman. Seringkali juga baung putih kadang-kadang baung kuning meronta garang bila bubu dinaikkan. Paling lekeh tentulah keli Jepun berlemak kuning tercungap-cungap terperangkap dalam injap bubu. Sesekali kalau ada rezeki udang galah sebesar lengan dengan sepit-sepit berlumut hijau terbaring macam uggukan reba.
       Malam-malam tak perlu keluar jauh untuk memancing, musim bah cukup dari atas  beranda saja.  Taut-taut juga boleh dipasang dengan mencacakkan bilah-bilahnya pada perdu pisang . Bila terdengar bunyi kocakan air menandakan ada taut yang telah mengena, cepat-cepat Kifli capai lampu suluh membawa ikan balik ke atas beranda.
       Pak juga rajin pasang bubu seluang ketika bah. Bubu berinjap  sebuah tuke buluh akan diisikan dengan dedak beras  yang dikepal bersama tanah liat sebesar lengan budak. Dedak beras yang ringan akan muncul dari tuke injab terapung-apung  di permukaan air. Anak-anak seluang yang selalunya bergerak dalam kumpulan besar akan teruja dengan  apungan dedak itu. Seekor demi seekor seluang akan menyusup jauh melalui injab ke dalam bubu sehingga habis sekawan. Ketika diangkat hampir secupak anak seluang akan berceriau menggeliding dalam bubu, bekilauan bila tubuhnya yang nipis keperakan dilantuni sinar api pelita. Anak-anak seluang itu biasanya Mak akan masak pindang  serai lengkuas saja. Itulah masakan kegemaran Pak juga Kifli.
         Ikan lampam jawa atau pucuk pisang  kalau musim bah perutnya bengkak merening dipenuhi  telur berlemak . Bila menyiang ikan telur-telur ikan itu mak kumpulkan untuk dibuat  pais.  Telur ikan itu akan dimasukkan ke dalam  daun pisang lepas digaul bumbu yang siap ditumbuk dalam lesung batu.  Kadang-kadang Mak gunakan daun mengkudu berkampuh dengan daun  kunyit untuk membalutnya. Telur ikan yang siap dibungkus itu akan diapit dengan semanggang ranting buluh lalu dipanggang atas bara api. Mak akan balik-balikkan semanggang itu atas bara  pasti betul-betul masak. Apabila dibuka aroma yang  mengecurkan liur siapa saja itu  semerbak terapung satu rumah .
           Tanpa perlu dikeloi lagi Kifli dengan Pak sudah siap melengkungi hidangan atas tikar mengkuang. Kalau musim bah menu Mak tak perlu hebat-hebat. Cukup dengan pindang anak seluang, pais telur ikan, ulam rebusan jantung pisang, pucuk mengkudu atau pucuk ubi dengan air asam cabai patah saja. Semuanya sudah cukup menyelerakan.  Seingat  Mak Kifl makan tidak pernah tidak tambah.
          Tapi akhir-akhir ini Kifli sudah jarang balik.  Sejak kahwin dan beranak pinak, dalam setahun cuma sekali dua saja balik bertandang, itu pun pada hariraya. Dulu ketika masih bujang, Kifli balik setiap minggu. Tidak pernah tidak. Ada sajalah alasannya.  Teringat Mak. Bimbangkan sakit demam Mak. Rindu masakan Mak . Dan macam-macam.   Lama-lama kemudian Kifli akan balik selang seminggu atau dua minggu sekali. Paling lama  sebulan sekali Kifli mesti jenguk Mak hantar duit belanja.
          Kifli pun sekarang bukan muda belia lagi. Umur pun sudah cecah empat puluh. Mak sendiri pun sudah tujuh puluh lebih. Mak faham Kifli tentunya sibuk. Sibuk dengan kerja buatnya. Sibuk dengan rumah tangga dan anak bini. Anak-anak bersekolah lagi. Lagipun jarak kampong dengan kota bukannya dekat. Hendak balik sekali sekala makan sehari suntuk juga. Untuk tinggal sehari dua di kampong kena mohon cuti. Kerja makan gaji bukannya boleh ikut sesuka hati. Boleh buat halai-balai macam duduk di kampung.
         Apa-apa pun Mak tahu kifli tak pernah lupakan Mak.  Walaupun tak boleh balik Kifli tetap telefon bertanyakan khabar. Walaupun bukan setiap hari, Kifli tetap telefon sebulan sekali beritahu Mak yang dia sudah masukan duit belanja dalam buku bank Mak. Semuanya Mak tak kisah. Mak tahu kerja Kifli. Mak faham kesibukan Kifli. Lagipun Mak bukan tak biasa berjauhan dengan Kifli. Lepas sekolah rendah di kampung, Kifli terus masuk sekolah asrama penuh. Dari asrama penuh  langsung ke luar negeri. Habis belajar terus diarahkan kerja  di ibukota. Apa nak buat, Kifli bukan anak Mak dengan Pak saja – dia anak kerajaan; begitulah anggapan orang-orang kampung , kerana sejak kecil sampai dewasa kerajaan yang biaya semua perbelajaan Kifli  .
         Tiba-tiba Mak terdengar suara Cikteh mengeow cemas dari arah dapur. Suara Cikteh agak berlainan dari biasa. Mak faham betul dengan nada suara Cikteh. Mana suara manja. Mana suara tanda lapar.Tapi suara Cikteh kini agak ganjil. Bunyinya seperti tercekik sesuatu. Mustahil pula Cikteh tercekik tulang ikan. Mak capai pelita ayan terus bergegas ke dapur.
          Dengan sorotan cahaya pelita ayan Mak suluh sana sini. Hairan Cikteh tak ada.  Suara ngeowannya pun macam sudah ghaib. Mak keloi panggil nama Cikteh . Tak ada jawapan. Biasanya kalau Mak panggil, Cikteh sahut dengan ngeowan manja.Mak hendap sana sini. Bawah dapur tak ada. Atas para tak ada. Tepi kampit beras tak ada. Dekat tempayan air pun tak ada. Di balik pintu tak ada. Mak tolak pintu menghala ke jemuran yang sedia  renggang.
          Mak terkejut besar nampak Cikteh tercungap-cungap dalam belitan ular sawa sebesar paha. Ekor Cikteh terkodek-kodek menahan belitan yang semakin mencerut. Mak Nampak mata Cikteh makin layu merenungi Mak seolah-olah minta tolong.  Mak rasa jantungnya berdegup cepat. Lutut Mak lemah tiba-tiba. Mak capai puntung kayu api dan cuba mengacah-acah sawa batik sebesar paha itu. Ular itu memanggungkan sedikit kepalanya lalu menjelirkan lidahnya macam tak hairan dengan ancaman Mak. Mak tonyoh kepala ular sawa dengan kayu api. Kerana marah dengan tindakan Mak  sang ular melonggarkan belitannya pada badan Cikteh. Cikteh melompat keluar dari gelongan ular lalu berlindung di belakang  Mak. Sang ular yang tidak puasa hati dan marah melibas ekornya pada kaki Mak. Sekali bedal Mak terhuyong ke depan. Ular terus membelit kaki Mak.
             “Tolong…tolong…tolong”, Mak menjerit sekuat hati. Namun Mak rasa suaranya tidak mampu melepasi tenggoroknya. Belitan ular sawa batik sebesar paha semakin mencerut bahagian kaki Mak. Mak rasa kakinya macam kena berkas.
                 Mak tersentak. Kemudian antara dengar dan tidak telinga Mak tertangkap bunyi macam  injin motor bot menghampiri beranda. Ada suara riuh rendah di luar. Diikuti dengan bunyi denduman kuat pada daun pintu.
                 “Mak!?”
                 “Kifli?!”
                 Mak bangkit duduk. Mak gosok-gosok matanya seperti mahu memastikan apa yang sedang berlaku. Betulkah yang berteleku di hadapannya itu Kifli. Mak pandang keliling. Dalam kesuraman api pelita itu kemudian Mak nampak Usop JKK serta budak-budak muda bercepiau merah pasukan penyelamat yang datang lepas asar tadi.
               “Kenapa Mak tak ikut pindah.  Puas kami keloi Mak, tapi tak ada jawapan. Jadi Kami ambil keputusan pecahkan pintu untuk masuk. Kami bimbang sesuatu yang tak baik berlaku. Lagi pun paras air sedikit lagi saja nak cecah lantai…”.
                “Mak tertidur lepas maghrib tadi. Bila kamu balik?”
               “Baru saja. Saya ikut rombongan Menteri datang nak meninjau kawasan banjir di daerah sini. Abang Usop JKK  kata Mak sorang saja tak mahu pindah. Jadi saya terus ajak dia ke sini. Mak kena pindah sekarang juga ke pusat pemindahan. “, kata Kifli tegas.
               “ Hmh, ikut kamulah Kifli. Mana Cikteh, bawa dia sekali”, mata Mak meliar mencari kucing kesayangannya.
               “Kami dah masukan dalam bot, Toksu.  Sekarang tunggu Toksu saja lagi.”ujar Usop JKK.
                ( Mingguan Utusan Melayu,  7&14 Feb.2 011)
                                         








    

Sunday, February 12, 2012

LIBURAN 2


MEMORY LANE, IPOH PERAK



            Namanya pun agak unik dan sedikit puitis. Namun bagi sesetengah orang  sebut saja  Memory Lane secara automatis  ia akan segera digandingkan dengan  Petaling Street, Lorong Kulit, Jonker street, Nat Kampung Berjaya dan beberapa lagi lokasi yang sekelas dengannya.

           Bagi peminat, pengumpul , lebih-lebih lagi pemburu  barang-barang antik khususnya di Malaysia, nama Memory Lane  sudah pasti tidak terlalu asing.  Ia merupakan tempat longgokan barang-barang terpakai  dari sekecil jarum peniti, skrew, nat, selipar jepun, keris, golok, cangkul, mangkok, , kuali, sehinggalah kepada   telefon bimbit, cakera cd, tempayan, dulang tembaga,  radio tahun 1940-an, gramorphone, tv hitam putih, computer riba,  basikal tua, beca, kereta kuda. Pendek kata sebut apa saja mungkin ada di antara penjaja barang-barang lusuh di sini dapat membantu anda menemuinya.
             Memory Lane  di Jalan Hornley, Ipoh, Perak  kepada antique collector mungkin boleh dianggap lubuk emas,  kerana harga yang ditawarkan adalah berpatutan  dan mampu milik berbanding dengan  harga yang diletakkan di antique gallery  di Bandar-bandar besar.  

             Sebagai peminat barang-barang lama secara kecil-kecilan, hasrat  untuk menjengok  Memory Lane  sebenarnya telah lama mengebu-ngebu – lebih-lebih lagi apabila mendengar cerita-cerita dari teman-teman sehobi yang pernah berpelisiran di sana.  Antara kekangan yang  selalu muncul bagi orang-orang di luar Perak seperti kami ialah jarak perjalanan dan masa .  Lebih-lebih lagi pasar setiap Ahad itu, seawal jam 6.00 pagi sudah beroperasi. Satu-satunya pilihan yang ada bagi mereka yang datang dari luar ialah terpaksa bermalam di Bandaraya Ipoh.   

             Dalam perjalanan ke Nilai, Negeri Sembilan mengambil  barang-barang anak yang tamat belajar di Foundation Programme UIAM, saya dan orang rumah transit sehari semalam  semata-mata  untuk mengunjungi Memory Lane.  Kami sampai di Bandaraya Ipoh  Sabtu petang  dan terus check in  di Hotel Seri  Malaysia di Jalan Sturrock. 

             Petang itu  sambil  mencari  restoran yang sesuai untuk makan malam,  kami meninjau sekitar Ipoh untuk mengenalpasti  lokasi yang menempatkan Memory Lane. Dari  informasi yang diperolehi dari   pelayan restoran tempat kami menikmati makanan malam [ nasi arab] tidak terlalu sukar untuk kami menemuinya. 
Sama seperti  pasar barang-barang  lusuh  [pasar karat bagi sesetenga orang] lain, Memory Lane juga mengambil  tempat di atas  jalan dan lorong-lorong belakang bangunan  atau rumah kedai [pejabat dan kedai-kedai ini ditutup pada hari Ahad.]  Pada sebelah malamnya  di sini di adakan pasar malam di kenali sebagai  “Di Ambang Malam”.  Bagi peminat-peminat antik dari luar, masalah lodging  rasanya tidak timbul kerana beberapa langkah saja  dari  pasar barangan lusuh itu terdapat Hotel Estern yang agak selesa untuk bermalam.   



             Keesokannya, lepas  sarapan, pagi-pagi lagi kami sudah terpacak di Jalan Hornley. Nak tahu apakah barang-barang yang dipasarkan;  Intai-intailah mana yang berkenan  …….

Sunday, January 29, 2012

LIBURAN 1


TEH LEMON DAN  STRAWBERRY

pasarmalam Brinchang
Kali terakhir kami ke Cameron Hinglands  kira-kira 14 atau 15 tahun lampau.  Kedatangan  kali ini  sekadar transit sehari semalam dalam perjalanan ke KL.  Perjalanan mendaki dari Simpang Pulai ke Cameron  lebih kurang 1 jam saja  mengambil jarak 102 km, berbanding  menggunakan jalan Tapah – Cameron Highlands [hampir 2 jam].

Tiba di Brinchang hampir jam 5 petang. Terus check in di Noraini Chalet, sebuah rumah tumpangan sederhana   diubah suai  dari sebuah rumah kediaman. Oleh kerana sekarang bukan pick time , suasana di Brinchang agak lengang.  Angin senja sesekali menderu mencelahi pohonan dan batu-batu bukit masih terasa dingin [mungkin tak sedingin  lebih seratus tahun dahulu  ketika  mulai diterokai olehWilliam  Cameron ] Bukitan dan lembah hijau kebiruan itu seperti tercedera  dengan  parut-parut luka  di sana sini kerana aktiviti manusia.
Rimbunan  teh  di cerun  beralun


Dalam tahun 1885, selaku jurukur kerajaan, William Cameron telah menjalankan satu ekspedisi di kawasan Banjaran Titiwangsa dan telah melaporkan bahawa beliau telah menemui satu daratan tinggi yang bercerun. Gunung-gunung yang melindungi dataran ini kelihatan rendah jika diukur daripada paras ketinggian dataran yang dijangkakan iaitu  antara 1372.5 meter hingga 1403 meter dari paras laut. 
Di Cameron-Bharat Plantation

Lebah kelulut di Bee Farm
Adalah diakui bahawa beliaulah orang yang pertama menyerlahkan kawasan ini dalam sejarah. Selanjutnya beliau telah mengadakan satu ekspedisi penjelajahan di kawasan ini mulai bulan Februari 1885 dan berakhir pada 1 September pada tahun yang sama.  Dengan itu, kawasan tanah tinggi ini dinamakan sebagai Tanah Tinggi Cameron atau CAMERON HIGHLANDS bagi mengenang jasa dan kerja-kerja penerokaan  William Cameron dan pasukan ekpedisinya. 

merah strawberry terus memukau
Pada asalnya, Nama "Hill Station" buat pertama kali telah disebut dalam satu minit mesyuarat oleh Residen Negeri Perak pada tahun 1888. Beliau telah memberikan pandangan mungkin sebuah sanatorium boleh diwujudkan di Cameron Highlands di mana tempat-tempat peranginan, rumah-rumah istirehat, taman-taman dan kawasan-kawasan pertanian boleh diusahakan.
Lembah Sungai Boh      h
Walau apa pun perubahan wajah  oleh hakisan masa dan mekanikal; Cameron  masih unggul sebagai destinasi liburan dalam kelasnya . Kalaupun  bukan faktor suhunya, sekurang-kurannya  perkebunan teh di lereng-lereng dan cerun hijau yang beralun itu masih mampu menyihir pelancung.  Kemerahan strawberry  terusan  menggecurkan liur pengunjungnya.

Dari satu sisi saya melihat Cameron tidak kurang
untuk dibariskan bersama destinasi-destinasi peraginan ternama seperti Kashmir [lokasi popular seringkali menghiasi filem-filem hindi], namun kesempatan ini kurang dimanfaatkan oleh penggiat-penggiat sinema kita
sebagai lokasi perfileman.
Tanaman Strawberry kaedah hydroponic

Petang itu  sambil keluar untuk  mengenalpasti  restoran yang sesuai untuk makan malam nanti, kami sempat menjengok  ke pasar malam Brinchang. Jualannya sudah pasti hasil produk utama bumi Cameron, strawberry, limau, sayuran segar, makanan kering, jeruk, madu lebah , bunga-bunga segar, bunga-bunga kering, pokok orkid, kaktus dll.  Idealnya jika mahu membeli  item-item tersebuat lebih baik mendapatkannya di pasar malam dari mendapatkannya langsung  dari  ladang (walaupun dibenarkan memilih dan memetik buahnya sendiri  - harganya  akan lebih sekali ganda) . Selanjutnya kami  menghala ke Tanah Rata, tapi nampaknya  Bandar utama di daerah perbukitan  Banjaran Titiwangsa itu, sudah mati di awal malam.

Aneka Bungaan di Bee Farm




Di Hillview
melawat kilang Boh
Sejenis bunga unik di Hillview
Ke Cameron kalau tidak merasai aroma teh  atau tidak merasai masam manis strawberry  sudah pasti tidak lengkap. Kami mengunjungi Cameron-Bharat plantation  juga Boh Plantation. Di Boh Plantation  kami agak lama. Selain dari mendaki ke puncak hillview  menikmati pandangan lembah tanaman teh yang  hijau – walaupun tercungap  pasti berakhirnya dengan kepuasan tersendiri bila berdiri di puncak.  Turun dari hillview Sambil menghirup teh  di Tea Garden segala  rasa penat bagai terubat.  Kami juga sempat mengunjungi kilang pemprosesan  yang  masih mengekalkan  pengilangan  secara konvensional .[belum dinaiktaraf  ke peringkat pengkomputeran].

pemandangan dari puncak Hillview
Boh Plantation bermula apabila satu geran yang dianggarkan berjumlah 5,000 ekar tanah telah diberikan kepada Kompeni Boh di Lembah Sungai Boh pada tahun 1929. Stesen-Stesen Percubaan Kerajaan telah dibuka oleh Jabatan Pertanian, Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada awal tahun 1926. Sebuah kilang teh yang kecil telah dibina pada tahun 1931.




Rumah pekerja di Boh Plantation
Di Cactus point

antara bunga yang dijual di Cactus pointint.

Sebelum melanglah pulang kami sempat singgah di Bee Farm, melihat dari dekat bagaimana pemeliharaan lebah secara komersial dijalankan. Walau pun dikatakan sebagai lebah peliharaan , namun lebah-lebah ini  bebas secara natural   mengutip madu dari bungaan rimba belantara terbuka. Di sini juga terdapat  ladang strawberry serta  satu kawasan luas yang dipenuhi tanaman pelbagai bunga mungkin untuk menarik perhatian sang lebah agar terus bermastautin  di situ.

Monday, January 23, 2012

Nostalgia 2


BENDANG DAN KERBAU


         Biasanya bagi kami,  masyarakat tani di utara, perkataan sawah terlalu formal untuk   disebut berbanding dengan bendang.  Pekerjaan bersawah,biasanya diistilahkan sebagai buat bendang. Petani yang mengerjakan sawah dikelompokkan sebagai anak bendang. Seiring dengan itu timbullah frasa-frasa seperti; adatnya anak bendang selalu digelumangi selut dan sebagainya.   
Bendang sekangkang di banggul kami



         Bendang di banggul kami tidaklah terlalu luas. Rata-rata setiap keluarga memiliki kurang dari 10 relung. Begitupun masing-masing tetap punya beberapa petak bendang untuk dikerjakan. Kalau bukan milik sendiri tentulah disewa atau dipajak. Sekurang-kurangnya adalah beras untuk ditanak untuk beberapa bulan ke hadapan. Selebihnya barulah dijual bagi mendapatkan tukaran duit belanja.
Indah dipandang, kadangkala pokok telipuk ini
 menjadi masalah besar kepada taliair
           Sehingga awal tahun 1970-an (Rancangan Pengairan Muda), bendang kami ditanam setahun  sahaja. Tenaga dan kudrat Kerbau masih digunakan untuk menarik tenggala (bajak) dan sisir. Bila tiba musim mengerat(menuai) kudrat sang kerbau sekali lagi digunakan untuk mengheret anok yang sarat dengan guni-guni padi. Seekor kerbau jantan yang gagah mampu mebawa sehingga 4 guni jalur hijau (saiz paling besar). Tidak hairanlah bila setiap keluarga mempunyai beberapa ekor kerbau di dalam kandang. Bapa mempunyai seekor kerbau yang dipeliharanya sendiri untuk keperluan kerja-kerja di bendangnya.
Setinggi-tinggi terbang bangau,
 di belakang kerbau juga dia bertenggek
          Untuk membajak sawah, kerbau dilatih untuk memahami beberapa istilah khusus. Kerbau yang sudah terlatih akan memahami dan patuh apabila diarahkan. Istilah paling asas ialah chee! (jalan), sok! (kanan) cah! (kiri) paleng! (belok). Apabila tiba musim menenggala, riuh- rendah dan kadangkala bersahutan bahasa kerbau tersebut  sana-sini di banggul kami.
Paktani akan mengeluarkan bahasa
arahan tertentu yang dapat difahami dan dipatuhi
 oleh samg kerbau ketika meneggala bendang

Bapa juga mempunyai beberapa ekor kerbau  yang dipawahkan kepada orang. Dalam sistem pawah, seekor kerbau (betina) akan diserahkan kepada seorang untuk dipelihara. Sehinggalah kerbau itu bunting dan mendapat dua ekor anak; seekor menjadi milik yang memelihara dan seekor lagi untuk tuan punya.  Dia boleh terus memelihara induk kerbau itu seterusnya. Kalau mendapat anak , agihannya tetap sama, seekor untuknya , seekor untuk pemilik induk.  Kalau tidak mahu lagi meneruskannya, sang induk akan dikembalikan kepada pemunya. Atau atas persetujuan pemunya ia boleh diserahkan kepada pemawah baru.
Dulu selesai musim menuai kerbau lembu
akan dilepas bebas; sekarang tidak lagi.
          Bapa ada juga kerbau yang dipawahkannya. Biasanya, kalau ada induk kerbau yang melahirkan anak kecil, dapatlah kami merasai susu kerbau. Kadang-kadang dihantar oleh pemawah kerbau bapa. Kalau tidak  saya atau adik-adik akan ditugaskan oleh bapa pergi mengambilnya. Dengan sebuah cerek pagi-pagi lagi kami meredah embun untuk mengambil susu. Susu akan diperah sendiri oleh pemilaharanya. Bukan sebarangan orang boleh memerah. Silap-silap mendapat bahana penendang sang induk. Hanya orang yang biasa dan dikenalinya saja dibenarkan berbuat demikian. Sebelum susunya diperah, si anak kerbau dibenarkan menyusui dahulu. Sekejap, bila susu sang induk mulai mengalir laju, sang anak akan dipisahkan. Seketika kemudian susu yang putih melepak itu akan mulai mengalir sedikit demi sedikit ke dalam tukei  yang terbuat dari seruas buluh betung. Sang anak kerbau tidak dianiayai, baki untuknya tetap akan ditinggalkan. Selesai pemerahan, rezeki sang anak akan diserahkan kembali.
         Susu kerbau yang telah ditanak,memang lazat dipasangkan  bersama pulut kukus dengan sedikit gula. Dimakan bersama tapai pulut lagi sedap. Kalau ada lebihan boleh dibuat dadeh (kegemaran arwah bapa). Paling tidak campurkan dengan kopi o kaw-kaw.


Saturday, January 21, 2012

Travelog Guangzhao 5


ONE LINK DAN PEARL RIVER

pusat bandaraya Guangzhao
Hari ini 29 Julai 2011 -  tengahari dan petang ini, kami akan dibawa shopping  di  One Link iaitu suatu daerah jualan borong (whole sales) terbesar  yang menempatkan pelbagai  zone barangan khusus seperti Silk Centre,  barangan kulit, pakaian wanita, jam, alat tulis dan pelbagai lagi.
terperangkap dalam hujan di One Link

Sungai Mutiara waktu siang
Menurut Sdr Firdaus, salah seorang staf di Anzac  Consultancy , zone yang menempatkan  barangan textiles saja akan memakan masa 4 tahun untuk dilawati ,itu pun jika  kita cuma memperuntukkan kadar masa 4 minit untuk sebuah kedai.  
Selepas makan malam, kami  bawa berpelisiran di Pearl River.  Sungai mutiara atau Zhu Jiang dalam bahasa tempatan  merupakan sungai ketiga terpanjang selepas Sungai Yangtze dan Yellow River.  Berhulukan bahagian tengah - barat China dan Vietnam ia menjalari hampir ke 2400km menuju muaranya di laut China Selatan. Selain Canton dan Hong Hong di muaranya, terdapat lagi dua lagi bandaraya besar iaitu bandar industry Shenzhen sebelah utara dan Macau  di selatan.

semalam di Sungai Mutiara

Berdiri di tebing sungai yang waktu malam dimandikan dengan limpahan neon itu, saya cuba membayangkan suatu ketika dahulu bagaimana sibuknya kapal-kapal dari timur dan barat hilir mudik  ke canton membawa dagangan. Dan  seratus tahun dahulu di sinilah juga tecetus pertempuran hebat antara angkatan miritim  China dan Barat dalam siri Opium War. Ada mayat-mayat hanyut berkaparan ke muara.

Foto kenangan peserta seminar


Pearl River night cruise (atas)
Di Baiyun Airport sebelun berlepas pulang (bawah) 
Kini Pearl River lebih berfungsi sebagai  antara lokasi pelancungan menarik di Guangzhao. Sesuai dengan panggilannya sebagai sungai mutiara, ia Nampak seakan aliran mutiara bergemerlapan  oleh lantunan cahaya dari bangunan-bangunan pencakar langit di kiri kanan tebingnya. Beberapa buah river cruise hilir mudik  membawam pelancung.

Wednesday, January 11, 2012

TRAVELOG GUANGZHAO 4


MASJID TUA DAN MAKAM ABI WAQQAS

Pengambaran Usrah Tv9
Hari ini 28 Julai 2011. Jam 9.00 pagi kami berkumpul di lobi hotel menunggu bas untuk membawa kami   menziarahi  masjid tua dan makam Abi Waqas. Turut serta ialah crew Tv 9 serta Uztaz Muhammad Abdullah yang akan membuat rakaman Rancangan Usrah.

Kedai daging halal
Mengikut Ustaz Muhammad terdapat sedikit kekeliruan  dari segi pensejarahan,samada jasad yang dimakamkan itu ialah Saad bin Abi waqqas, sahabat Rasullullah SAW juga perawi hadist itu atau kemungkinan saudara atau individu lain dari keluarga  Abi Waqas; kerana mengikut Imam Malik, Saad Abi Waqqas, meninggal di Madinah (tak mungkin dibawa menyeberangi benua untuk dimakamkan di Quangzhao ).
Antara makam sahabat
bersama ekspedisi Dakwah Abi Waqqas

Depan makam Abi Waqqas
Masjid dimana terdapatnya makam Abi Waqqas, dikenali sebagai Masjid Hua Sheng, terletak di Guang Ta Lu. Sebuah lagi masjid tua  dikenali sebagai Masjid Xiao Dongying, di Yue Hua Road, Yio Dong Ying.    

depan Masjid Hua Sheng
Walau apa pun kesahihannya, mereka adalah daei dan syuhada yang telah Berjaya mengembangkan Islam ke Asia Timur. Kata Ustaz Muhammad. Antara dialog yang pernah diucapkan oleh Abi Waqas dan para sahabatnya ialah; Sama ada syahid atau Berjaya menyampaikan seruan Islam ke China’ untuk berpatah kembali tidak sekali-kali.
Jam  lebih kurang 10.30 pagi ketika kami bas yang membawa kami melewati sebuah lorong  yang redup dan lengang. Kelihatan  lelaki dan wanita berwajah cina tapi berkopiah dan bertudung. Mereka adalah China muslim hasil peninggalan dari ekspedisi dakwah kira-kita 1400 tahun yang lalu.  Terdapat deretan rumah kedai yang agak tradisional menjual  makanan halal ;daging kambing, buahan, kekacang  dan lain-lain.

Melangkah kaki ke kawasan masjid dan makam yang terletak di sebuah anak bukit, berpayungkan pohon-pohon yang hijau, redup , dingin seolah menyimpan rahsia mistik berabad. Kiacauan burung seakan melantun-lantun dari suatu daerah purba .
rumah api berhampiran  Masjid Xiao Dongying 
  Shabi Well- peringi peninggalan masyarakat  Islam terawal di China

 bersama Imam (kanan) dan pegawai masjid (kiri) HuaSheng.

Sebelum tiba ke kawasan permakaman dengan mendaki sebuah cerun landai kita akan ketemu sebuah masjid di kiri jalan.
Makam Abi Waqqas terletak dalam sebuah bangunan lama yang sempit dan suram.  Ditutupi sehelain kain satin  berwarna hitam.  Dijagai oleh seorang lelaki berwajah campuran arab-cina. Di luar bangunan makam itu terdapat lebih dari sepuluh buah makam para sahabat Abi Waqqas yang sama-sama bertaruh jiwa raga dalam ekspedisi suci itu. Di celah-celah bangunan purba itu turut kelihatan ialah sebuah menara rumah api yang dikatakan turut di bina oleh para sahabat tersebut.

Selepas solat sunat di masjid tua itu, saya tidak melepaskan peluang untuk meneguk air  dari perigi tua yang berusia lebih dari seribu tahun tapi terus mengalirkan airnya yang jernih dan dingin. Perigi  dikenali sebagai Sahabi Well, mengikut keterangan dari seorang penjaga (yang ramah) di situ, ia juga turut digali oleh para pendakwah dari semenanjung arab  tersebut.


  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...