Showing posts with label DUNIA BUKU. Show all posts
Showing posts with label DUNIA BUKU. Show all posts

Tuesday, October 13, 2020

DUNIA BUKU 3

 

LUKA NERING,

SEBUAH NEO-HISTORICAL FICTION

Luka Nering (DBP, 2014)

 

Puas juga menelah-nelah makna sebenar di sebalik penggunaan metafora tumbuhan, sebagai  judul karyanya – LUKA NERING. Sebagaimana  dimaklumi khalayak sastera,  Malim Ghozali Pk jarang meminggirkan kewujudan alam flora dan fauna  dalam kebanyakan hasil karyanya, melalui apa genre sekalipun. Apakah rahsia yang terselindung di sebalik sepohon nering yang tercedera luka? 

Secara kebetulan dalam novel ini ada mengisahkan tentang sepohon pokok nering yang terdapat di kawasan rumah seorang watak yang dikenali sebagai Haji Pohon Nering (nama sebenar Hajidin). Haji Pohon Nering bekas pesakit mental yang telah sembuh, kemudian terkorban menjadi mangsa serangan  naning-naning (tebuan?) yang bersarang di dalam lubang pokok nering  itu, ketika dia cuba membakar sampah-sarap di bawahnya. 

Melalui carian goggle, akhirnya diketemui - pokok nering yang dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Pakia Sumatrana, merupakan sepohon pokok yang tumbuh agam dengan ketinggian mencapai 35 meter, berlilitan sehingga 3 pemeluk. Berbuah serupa petai tapi lebih lebar dan berbiji kecil - sehingga ada pihak yang memanggilnya sebagai petai nering/ petai kerayong. 

Ini merupakan ulang bacaan saya  kali ketiga bagi novel setebal  387 halaman (DBP, 2014) ini. Terakhir ialah lebih kurang 4 tahun lalu (15.09.16). Selazimnya  setiap kali mencerap kembali mana-mana karya sastera yang  baik, pasti akan sentiasa menemui  makna dan  takkulan baru yang tersembunyi. Lebih-lebih lagi karya-karya non-konvensional yang memuatkan lapisan-lapisan makna tersirat. Kemunculan versi terjemahan,“Tree of Sorrow” kemudiannya, yang alihbahasanya ditangani sendiri olah Malim Ghozali, seakan memuktmatkan makna sebenar yang mahu diungkapkan pengarang di sebalik “Luka Nering” yang menjuduli novel keempat karya beliau ini.[(sebelum ini – Redang (DBP, 1988), Janji Paramaribo (DBP, 1990), Daun (DBP, 2008)]. Saya cenderung memaknakan “Tree of Sorrow” sebagai “Pohon Kedukaan” (mungkin kedapatan terjemahan yang lebih jitu). 

Nering ialah pohon yang tumbuh agam dengan ranting dan daun-daunnya yang rimbun; yang dalam karya hebat ini, membawa konotasi tentang kewujudan institusi kesultanan, yang sekian lama dalam  jagat  Melayu menganggapnya sebagai simbol kedaulatan yang memayungi kehidupan rakyat jelata.  Malim Ghozali melalui lakaran jalur naratifnya yang lancar dan berkesan berhasil melukiskan bahawa campur tangan Inggeris lewat Perjanjian Pangkor(1874) telah mejatuhkan system pemerintahan kerajaan  Melayu sekali gus melemahkan kedudukan raja-raja ke dalam jerangkap penjajahan secara tuntas.  Kelukaan pada pohon nering yang agam itu tidak semata-mata oleh  tangan penjajah tapi juga oleh konspirasi dan pencaturan dalaman, tikam menikam dan gunting dalam lipatan  di kalangan kerabat instiusi kesultanan itu sendiri. Kewujudan sistem penggiliran dalam kesultanan negeri Perak  yang unik, menyebabkan secara sulit kedapatan gerakan-gerakan dalam gelap, cubaan  pintas memintas demi menguasai peterana kuasa. 

Manasikana dalam program bicara karya novel Tree of Sorrow  di Akedemi Pengajian Melayu Universiti Malaya (APM, UM) menganggapnya sebagai novel yang membawa gaya naratif yang kuat melalui unsur realisme magis yang membangkitkan emosi dan daya fikir dalam konteks persejarahan tanahair.  Mengisahkan kesetiaan cinta antara anak raja dan rakyat biasa. Persahabatan antara kerabat raja dengan kakitangan dan pesakit-pesakit  hospital sakit mental. (CMH – Central Mental Hospital, Tanjung Rambutan) [BH 9 Nov.2015] 

Pohon Nering (Pakia Sumatrana)

Luka Nering yang terbangun dari 21 pecahan bab, tidak termasuk Prolog dan Epilog ini mengisahkan kehidupan watak utama TC (Tengku Chik), anak saudara Tuanku Sultan yang terpaksa menghabiskan hidupnya di CMH Tanjung Rambutan, atas tuduhan mengidapi sakit mental apabila terlibat dalam tragedi yang membawa kepada kematian DO Osborne. TC yang bertugas sebagai ADO kepada Osborne dan sering berbalah pendirian dan pendapat , dituduh menembak Osborne dalam satu pergelutan pada kejadian di Rumah Rehat. Walau bagaimanapun TC menafikannya, dan mengatakan Osborne tertembak oleh pistolnya sendiri. TC mendakwa dia mempunyai saksi dan bukti-buktinya – termasuk jenis peluru yang menembusi tubuh Osborne adalah dari pistol miliknya sendiri - bagaimanapun TC dinafikan untuk mendapat perbicaraan yang adil sebaliknya dihantar ke rumah sakit jiwa. Tahun demi tahun laporan yang disediakan oleh penguasa rumah sakit mental itu tidak pernah menyebelahi beliau – akibatnya dia terus menjadi penghuni di situ.


 Di CMH, TC bergaul mesra dan bersahabat baik dengan kakitangannya seperti Sister Yuria, Kandasamy, Matron Angelina, termasuk pesakit dan bekas pesakit seperti Doktor Uzai, Arbakyah, Gina, Haji Pohon Nering, Abang Topi, Mr.Brown dan lain-lain. Di wad CMH inilah TC melayan kenangan dan nostalgianya berkisar pada kehidupan masalalu di istana Bukit Chandan, ketika menjadi pelajar di luar Negara, suasana dan cabaran  kerja ketika bertugas sebagai ADO termasuk kenang-kenangan hasil pergaulannya di kalangan masyarakat murba serta perkenalannya dengan Sharifah Atikah.  Malim Ghozali banyak menggunakan teknik  flashback dalam melakar jalur naratif Luka Nering. 

TC yang mendapat pendidikan tinggi di luar negeri, walaupun membesar di istana (dipelihara oleh oleh Tuanku Sultan, setelah kematian dua ibubapanya) bersama sepupunya Ku Robat dan Ku Intan, adalah seorang anak raja yang berhati rakyat. Kehidupannya berdampingan rapat dengan rakyat bawahan malah bercinta juga dengan gadis biasa (Sharifah Atikah, seorang ustazah).     Sikap anti penjajah, bukan saja ditunjukkan melalui pertelagahan dengan bossnya DO Osborne, tapi  terpamir sejak mula lagi, sebagai siswa, dia dengan tegasnya berhujah dengan penyelia kursusnya sendiri, Professor Hutton, tentang sikap kepenjarahan Inggeris terhadap tanah jajahan dan anak negerinya. Pada TC persejarahan Tanah Melayu harus ditulis semula oleh anak watan sendiri – sejarah terlalu banyak yang diselewengkan kerana sudah menjadi kelaziman; sejarah hanya ditulis oleh pihak yang menang. 

Daun (DBP 2008)

Bagi TC kejatuhan Tanah  Melayu di tangan penjajah dan turut  melemahkan kedudukan raja-raja, tidak semata-mata kerana kekuatan mereka, tetapi oleh sikap pengkhianatan di kalangan Melayu sendiri yang termakan gula-gula penjajah. Beliau mengambil contoh tewasnya  Datuk Maharajalela di pasir Salak, kerana pengkhianatan Sayid Mashor. Begitu juga dengan kebangkitan Dol Said melalui Perang Naning dilumpuhkan oleh penjajah kerana pengkhianatan menantunya sendiri, Sayed Shaaban. Sikap bermuka-muka dan gunting dalam lipatan di kalangan kerabat istana akhirnya menjadikan  batang tubuh TC sendiri sebagai mangsa, melalui  pemanipulasian laporan status kesihatan mental, membolehkan  TC kekal sebagai penghuni CMH, tidak sekadar menafikan haknya untuk dihadapkan ke pengadilan, tetapi turut menafikan gilirannya dalam strata pewaris takhta bila berlaku kemangkatan Raja Di Hilir. Tempat yang sepatut diisi oleh beliau terlepas ke tangan sepupunya, Ku Robat, putera Tuanku Sultan sendiri. Bukan setakat itu saja, sepupunya turut mahu merampas kekasihnya, Sharifah Atikah, sedangkan perhubungannya dengan anak gadis Syed Shahdan itu telah sedia dimaklumi oleh Baginda Sultan, Permaisuri Bonda Zah dan Ku Robat terdahulu. 

Dalam epilognya Malim Ghozali seakan  mengakhiri novel dengan persoalan yang tidak terjawab; melalui  beberapa perkhabaran; Kembalinya Dr.Megat Wali mengambil alih dari Dr.Devan untuk menerajui CMH, dan yang paling mengejutkan TC sendiri ialah berita kemangkatan Tuanku Sultan. Dalam keadaan TC bersiap-siap untuk kembali menghadiri istiadat permakaman diraja; Apakah nasib TC juga turut berubah. Bagaimana pengakhirannya penantian Sharifah Atikah yang sanggup menunggu kepulangan TC. Segalanya terpulang kepada intepritasi dan persepsi  pembaca sendiri. 

Melalu satu temuramah sempena majlis bicara karya Tree of Sorrow, Malim Ghozali menyuarakan prinsip ketika menukangi karyanya; “Novel ini saya hasilkan dengan semangat untuk menulis sejarah Tanah Melayu dengan jiwa orang Melayu, sekali gus menyingkap kebenaran walaupun pahit untuk ditelan” (BH, 9 Nov.2015). 

Selama ini bukan tiada ada hasil karya dalam sastera Melayu yang menggarap kehidupan di kalangan masyarakat istana. Ada.  Tapi kebanyakannya melukiskan suasana serba indah menghampiri kehidupan dewa-dewi di alam indera loka, terutama dalam cerita hikayat atau penglipurlara. Setakat ini, saya rasa Malim Ghozali adalah satu-satu pengarang Melayu pasca merdeka yang dengan beraninya mengutarakan permasalahan dan  konfliks yang berlaku di kalangan masyarakat istana yang jarang diterokai. 

Pendapat saya, kekuatan Luka Nering tidak sekadar bergantung kepada penampilan tema dan permasalahan yang jarang disentuh (mungkin kerana dibimbangi menimbulkan kontroversi)  oleh mana-mana pengarang, tapi kerana keindahan naratif yang terhasil dari tangan pengarangnya. Rasanya Luka Nering lebih condong  kepada aliran realisme jika di bandingnya dengan novel garapan Malim Ghozali sebelum ini, ‘Daun’ ; dimana pemikiran watak utamanya ‘Sifar’ ( sang pengarang) sering berbaur dengan jalan pemikiran ‘Tan Da –U ‘(watak dalam novel yang sedang ditulis oleh Sifar). Selari dengan pernyataan pengarangnya sendiri; dalam daun ada daun, dalam cerita ada cerita] 

Malim Ghozali Pk (Mohamed Ghozali bin Abdul Rashid
(04.03.1949 - 18.06.2020)


Pengalaman Malim Ghozali sebagai pengawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) selama 21 tahun  kemudian memilih untuk bersara awal (usia 45 tahun) untuk terlibat sepenuh masa dalam bidang penyelidikan dan penulisan  adalah berbaloi. Berbagai anugerah penulisan berjaya diraih beliau saban tahun. ‘Tree of Sorrow’ sendiri diletakkan dalam barisan antara 160 novel terbaik dunia dan tercalun untuk International Dublin Literary Award 2016. Saya agak terkilan bila Luka Nering yang dijangka akan menjejaki saudaranya, novel Daun (HSPM 2008), untuk meraih novel terbaik Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2014, telah dipinggirkan oleh  penal penilai. Akhirnya Malim Ghozali Pk (04/03/1949 - 18/06/2020) turut menjejaki denai takdir yang sama  dengan sasterawan Azizi Haji Abdullah (04/04/1942 - 11/08/2011) terlepas meraih anugerah Sasterawan Negara ,walaupun dari segi pencapaian kedua-duanya sudah melepasi garis kelayakan. Akhir sekali sama-samalah kita menunggu kemunculan buahtangan Pak Malim yang terakhir yang diterbitkan serentak dalam dua vesi sekali gus, Bahasa Melayu dan Inggeris novel ‘Gunung Cha’ / ‘Mount Cha’, yang khabarnya dalam proses percetakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

ZAINOL IDRIS,

Jitra, 11/10/20

 

 

Wednesday, September 30, 2020

 DUNIA BUKU 2


CINTA FANSURI,

SEBUAH KOLAJ MISTERI CINTA

Tidak pasti pula, ini adalah ulang bacaannya buat kali ke berapa.  Saya jarang mencatatkan tarikhnya setiap kali saya membaca kembali  mana-mana buku.  Tapi yang pasti  saya menatapnya buat kali pertama ialah kira-kira 25 tahun yang lalu berdasarkan tarikh pemilikannya, 5 Mei 1995. Novel karya SN A.Samad Said ini pertama kali terbit  pada tahun 1994 oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd., ISBN 9676526738.

 Buku setebal  156 halaman ini terbahagi kepada dua bahagian: Bahagian 1 ialah Cinta Fansuri Sebuah Novella. Manakala Bahagian 2 mengandungi dua buah cerpen;  Tasik Syahdu dan Kafilah Ledang (catatan perjalanan-P).

 Seperti biasa saya terdera oleh keletihan setiap kali menelaah novel ini, kerana pembacaannya seolah-olah terpaksa merangkak-rangkak. Mengunyah Daerah Zeni (Fajar Bakti, 1985) dan Hujan Pagi (DBP, 1987) tidak sesukar menguliti Cinta Fansuri, walaupun ketiga-tiganya berada dalam wilayah nuansa yang sama; Realisme Margis. Menelaah Cinta Fansuri seolah sedang berhadapan  dengan  teka-teki , permainan silangkata, kadang-kadang seperti bermain Dam Ular atau permainan Naik Tangga, Turun Tangga pula; kerana, ada ketikanya kita terpaksa  undur kembali dan membaca bab-bab terdahulu semula. Saya seringkali hilang punca.  Untuk mendapatkan kembali kontinuitinya,  terpaksalah menyelak kembali helaian-helaian sebelumnya. Begitu pun setelah mula melangkah kaki ke dalamnya, kita mulai merasa keasyikannya dan mahu terus mengembara ke nokhtah terakhirnya, walaupun beberapa kali seakan tersesat dalam rimba aksaranya.

        


Berbanding dengan lain-lain karya SN A. Samad Said, alur penceritaan dalam Cinta Fansuri tidak terlalu fokus kepada permasalahan satu watak utama, yang secara konvensionalnya mendominasi naratif sebuah karya fiksi yang mengalur lewat bab demi bab. Cinta Fansuri seolah sebuah kolaj, terdiri daripada cantuman  beberapa segmen yang menjurus kepada sebuah tema tentang kemisterian cinta. Membaca Cinta Fansuri seakan mengulangi pengalaman menonton atau membaca beberapa naskah drama SN Noordin Hassan yang sering memanfaatkan teknik kolaj dalam kebanyakan karyanya.

Permulaannya kita disuakan dengan watak aku (Juram) dan temannya Milyukadar sedang menunggu penerbangan dari Kucing ke kuala Lumpur (kedua-duanya  anthropologist?) Aku(Juram) terkenangkan kisah pertemuan dengan seorang perempuan berusia 92 tahun dari Edang Epala, ketika mereka sedang menunggu bot di sisi Sungai Matu (Mukah, Sarawak?), yang bercerita tentang datuknya yang pernah membunuh penjajah Inggeris. 

Ketika dalam penantian (di airport/ pengkalan bot ?) sedang Milyukadar tenggelam dalam buku antropologinya, Aku (Juram)pula asyik menatap lembar-demi lembar surat dan catatan-catatan yang terkandung dalam sebuah bungkusan. Dia mengakui sering terganggu dengan kandungannya yang mengundangnya kepada satu peristiwa cinta yang luar biasa - cinta sang pemergi.

Saya berkeyakinan yang Aku (Juram) bertindak sebagai narrator mengisahkan kembali kisah percintaan sebagaimana yang terkandung dalam kolaj-kolaj misteri cinta dalam novel ini. Sekali gus mengingatkan saya kembali kepada Zeni dan adiknya Zedi yang sering tenggelam dalam naskah novel ayah mereka, Lazri Meon (lihat novel Daerah Zeni).

Secara ringkasnya terdapat beberapa kisah cinta dalam novel ini yang berpusar mengorbit kisah percintaan dua zaman, Fansuri dan  Fahiyaton, di mana terselit kisah percintaan Damri dan Wan Siriyah, percintaan Bambrio (Suradi Othman) dan Ratna Murni (Pensyarah di Universitas Gajahmada). Malah kisah Namzirah (peserta bengkel) yang diam-diam jatuh hati pada Damri.

Damri, seniman, pengarang, penulis skrip dan  penolong pengarah yang mula dikenali  ramai tiba-tiba bertindak meninggalkan bengkel drama dan penulisan yang sedang dikelolakan bersama Bambrio di Sabah. Damri secara tergesa-gesa bertolak ke Paris menyahut tugasan yang diberikan oleh Wan Siriyah (kekasihnya) untuk mencari seorang manusia yang bernama Fansuri, demi memenuhi permintaan emak saudaranya, Fahiyaton. Fahiyaton yang kini terlantar di wad hospital, menyesal sangat kerana pernah  mempermainkan cinta Fansuri.  Pembaca terlebih dahulu diperingatkan oleh watak Aku (Juram) bahawa Fansuri yang dikisahkan adalah Fansuri lain - bukan  Fansuri (Hamzah Fansuri) penyair filosuf abad ke 16 itu)

Fansuri mulai berkenalan dengan Fahiyaton dalam satu perteman social di Joo Chiat Place, Singapura. Kemudian mendapat tahu yang Fahiyaton adalah berasal dari kalangan keluarga bangsawan. Pernh bersumpah untuk hidup semati bersaman Fansuri, tiba-tiba memilih untuk berkahwin dengan seorang tuan punya ladang lada hitam yang sedarjat dengan keluarganya. Apabila suaminya mati, Fahiyaton yang sudah janda sekali lagi mempermainkan cinta Fansuri bertindak berkahwin dengan bapa saudara arwah suaminya. Fahiyaton kemudian diceraikan suami keduanya itu, selepas mengahwini teman sosialnya yang lebih muda. Fansuri seterusnya dikecewakan untuk kali ketiga , bila Fahiyaton tidak muncul-muncul  di pejabat Kadi Kandahar Street, sedangkan mereka telah berjanji untuk bernikah.

Foto dari WARKAH EROPAH

Fansuri yang patah hati  belayar mengikuti sebuah kapal kargo di Tanjung Pagar, Singapura dan bersumpah tidak akan mengenali lagi seorang wanita bernama Fahiyaton. Fansuri akhirnya terlantar meladeni kesunyian hidupnya di tengah kota Paris. Fansuri dikisahkan oleh A.Samad Said sebagai menjalankan perniagaan bersama rakan niaganya Shakeel Alim (Sha-Al). Apabila didesak oleh temannya agar mendapatkan pasangan hidup, Fansuri dengan tegasnya berkata, “…kau jangan cuba menjadi ayah dan ibuku.  Cukup kita berniaga saja. Jangan cuba menjodohkan aku dengan sesiapa…”


Ketika mendengar khabar ada seorang lelaki dari Malaysia (Damri) sedang mencarinya, Fansuri terus mengelak,menjauhi dan enggan ditemui.

Lukisan Persekitaran dalam novel ini sebahagian besarnya berkisar pada lokasi iaitu di Sabah tepat berlangsungnya bengkel drama dan penulisan dan Paris di mana Fansuri membuangkan dirinya di samping sepintas lalu menyorotkan kembali perkenalan Fansuri dan Fahiyaton dalam latar masa zaman selepas perang di Singapura  dan  Johor. Jika di amati SN A.Samad Said  dalam proses kreatif menukangi Cinta Fansuri memanfaatkan keseluruhan pengalamannya yang dipungut lewat lawatannya ke Perancis (lihat Warkah Eropah, DBP, 1991) serta pengalamannya mengendalikan Bengkel Drama dan Puisi di seluruh Sabah selama sebulan bersama Marzuki Ali dan Ismaily Bungsu (lihat Diari Kembara SN A.Samad Said, Marwilis Publisher, 1989). Seandainya diperhalusi oleh sesiapa yang pernah membaca  catatan dairi bengkel di Sabah tersebut, dia pasti dapat menebak, perwatakan siapakah yang diasosiasikan dalam watak Bambrio.


Foto dari WARKAH EROPAH

Apakah Damri yang bersusah payah menjejaki manusia misteri itu berjaya menemuinya di Paris. Semuanya akan terjawab( masih dalam berteka-teki) bila dalam Bab 1 yang hanya sepanjang enam baris , kita ketemui ayat “ Dia tidak lagi di katil 28 wad 6. Dia tidak bercinta lagi. Damri berdoa di sisi katil. Kali terakhir seorang jururawat terdengar pesakit itu mngucapkan ‘Sha-Al, kau jangan cuba jodohkan aku dengan sesiapa pun. Aku senang begini…”

Bagaimana pula dengan Fahiyaton, dapatkah dia bertemu semula dengan Fansuri untuk melunaskan kesalannya (yang diusahakan oleh anak saudaranya, Wan Siriyah melalui Damri ?) Pada Bab 19, yang relatifnya juga pendek - cuma terdiri dari empat baris ayat, kita jumpai: “Dia memang tidak lagi di katil 26 Wad 8. Dia memang tidak bercinta lagi. Wan Siriyah  menangis di sisi katil. Kali terakhir seorang doktor melihatnya membasuh cangkir dengan kasar dan berulang kali menjerit, ‘Aku tak kan kahwin seorang pembunuh.’

Selesai menelaahnya; Saya yakin para pembaca juga mempunyai konklusi tersendiri berpandukan interpretasi masing-masing. Dan sudah semestinya ianya masih tidak terlepas dari kerangka teka-teki juga.

 

ZAINOL IDRIS,

Jitra, 30 September 2020.

 



Friday, June 12, 2020

DUNIA BUKU 1


Saga, Utusan Publication,1976
     

SAGA YANG MASIH BERBARA

 

      PKP  menghadkan pergerakan luar. Banyak aktivti bertumpu kepada gerakerja dalaman.  Salah satu daripadanya sudah pastilah aktiviti membaca. Saya memanfaatkan peluang  ini untuk  kembali menelah beberapa buah buku yang ada dalam koleksi.  Semestinya setiap orang mempunyai  kreteria tertentu memilih buku untuk dibaca kembali. Ada membuat cabutan buku mengikut bidang yang diminati. Karya dari penulis kegemaran. Buku-buku yang  mendapat rewiews positif daripada pengkritik dan lain-lain. Saya cuba beralih kepada hasil karya yang teruji dan  mendapat pengiktirafan melalui sayembara dan anugerah tertentu. 

    Antara buku yang menarik perhatian saya ialah SAGA, novel garapan  Abdul Talib Mohd.Hassan, juga dikenali sebagai Al Taha.  Selain dari  menulis novel, beliau juga terkenal sebagai penulis skrip drama. Antara drama beliau popular sedikit masa lalu di kaca Tv ialah Anjang Aki. Al Taha ialah antara penulis yang sangat kreatif dan prolifik sekitar era 80an/90an.  
    Saya mengenali beliau ketika sama-sama beberapa kali menghadiri kursus penulisan skrip cereka tv (teleplay writing) anjuran RTM/IPTAR(Institut Penyiaran Tun Abdul Razak)  sekitar 1980an/1990an.  Keunikan beliau ialah sambil berbual-bual santai bersama teman-teman sekursus, jari-jarinya terus lincah menari di atas butang typewriter, mengetik manuskripnya.Tanpa apa-apa nota atau cacatan - semuanya  spontan diturunkan ke atas kertas putih. Pada hari akhir kursus tiga minggu, beliau sudah pun mengatur temu-janji dengan syarikat penerbitan  untuk menyerahkan manuskrip novelnya.

       Al Taha, seorang pendidiik berasal dari Teluk Anson Perak tetapi menetap di Batu Anam, Simpang Lui, Segamat, Johor. (sudah sekian lama kita tidak mendengar khabar berita mengenai penulis hebat ini, harap ada pihak-pihak tertentu (mungkin Persatuan Penulis Johor/ PPJ  atau Dewan Sastera) dapat menjejakinya.

       SAGA lahir dari Sayembara Novel GAPENA, 1976, di mana hadiahnya disumbangkan oleh Tun Datu Mustaffa, Ketua Menteri Sabah ketika itu. SAGA memenangi tempat pertama, tempat kedua ialah novel Bulan Merah Di Tiga Kuala, oleh Zahari Affandi, (tidak ingat karya yang memenangi tempat ketiga). Majlis penyampaian hadiah untuk pemenang-pemenang sayembara ini telah berlangsung di Balai Besar, Alor Setar, Kedah, sempena perayaan Hari Sastera (1976).

       Novel setebal 354 halaman ini diterbitkan kira-kira 43 tahun yang lalu (cetakan pertama 1976). Telah mengalami ulang-cetak lebih dari 10 kali. Saya tidak pasti ulang-bacaan saya kali ini, masuk kali ke berapa. Bagaimanapun bacaan terakhir mungkin  30 tahun yang lalu.

       Menurut penal penilai sayembara yang di ketuai oleh A.Wahab Ali, SAGA, telah mempamirkan kemampuan pengarangnya membawa pembaharuan kepada novel  Malaysia, samada dari segi tema, persoalan dan teknik persembahan. Ia memperlihatkan kebolehan pengarang melukiskan persoalan-persoalan wataknya dari sudut psikologi yang meyakinkan. Apa yang jelas, mungkin ini adalah satu-satunya  cubaan pertama dalam pernovelan Melayu, di mana lewat 22 bab novel ini, bab demi bab, dilukiskan secara bergilir-gilir  mengikut sudut pandangan (POV)  tiga watak utamanya, Rahmat, Hisyam dan Munirah.

       Intipati novel ini  mengisahkan hubungan unik tiga sahabat; Rahmat, Hisyam dan Munirah yang terlibat dalam perangkap cinta tigasegi.  Munirah asalnya seorang katholik,  Monique Magdalena D’Cruz, gadis kacukan Portugis-Baba Cina; bapanya doctor persendirian Dr.Anthony Johnson D’Cruz, keturunan Portugis  kelahiran Goa, India menetap di Melaka. Manakala ibunya Marie Koh D’Cruz, keturunan Baba Melaka.  Ketiga-tiganya berkenalan sejak zaman persekolahan, di Perak, berlanjutan sehingga ke university. Rahmat-Hisyam-Munirah,  saling mencintai. Namun Rahmat(oleh helah kelicikannya) akhirnya bejaya memperisterikan Munirah.


Abd.Talib Mohd Hassan (kanan) menerima hadiah dari
Tan Sri Abd.Samad Idris, sempena Hari Sastera, Alor Setar, Kedah (1976)

       Ketiga-tiga mereka meninggalkan kerjaya yang berpendapatan lumaian  di Bandar dan mengikut ajakan Rahmat pulang menetap di kampungnya, Batu Ragi, sebuah perkampungan di perdalaman yang hampir terputus dengan dunia luar kecuali melalui jalan sungai. Rahmat  brcita-cita besar mahu membawa masyarakat kampungnya keluar dari kongkongan  nilai tradisional yang membelenggu. Walaupun kehadiran mereka  banyak pembaharuan dari aspek prasarana seperti  pembinaan jalan darat menghubungkan kampong terpencil dengan dunia luar, bergotong-royong membina jambatan-jambatan, sekolah, masjid, menyatukan masyarakat melalui kegiatan berkoperasi, persatuan belia, penghapusan orang tengah, Berjaya mengubah persepsi negative masyarakat dan lain-lain  namun ke Ketiga-tiganya tetap berhadapan dengan perbagai halangan dan rintangan. Bukan saja  terpaksa bersemuka dengan fahaman orthodox golongan tua, juga generasi muda yang berperasaan hasad dan  dengki,  tidak ketinggalan dari gerombolan komunis yang terancam survival mereka oleh tindakan dan pembaharuan yang dibawa Rahmat bertiga.
       Beberapa kali nyawa mereka hampir terancam. Hisyam bersama sifat idealis-romantismnya pula, dengan sikap romeo & happy go lucky (yang dalam diam masih mencintai Munirah) terlibat pula dengan cinta tiga segi bersama 2 gadis (Masita, adik rahmat dan Salwa, sepupu Rahmat).  Unik dan anihnya watak-watak antagonis yang muncul bersilih ganti itu hampir semua mempunyai ikatan kekeluargaan (saga) dengan Rahmat. Dalam banyak keadaan jelas walaupun berhadapan dengan  beberapa kejadian sampai ke tahap mengancam keselamatan, Rahmat masih mahu menyelesaikannya sendiri tanpa  melapurkan kepada pihak berkuasa.

       Apakah kesudahannya perjuangan ketiga-tiga watak gigih ini. Berjayakah mereka  mengharungi halangan dan dugaan yang datang bertalu-talu. Bagaimana dengan cinta gelap Hisyam dengan tiga watak, Munirah-Masita-Salwa yang menakluki hatinya. Semuanya terjawap di helaian-helaian terakhir SAGA. Masih adakah di pasaran? Jika tidak carilah di rak-rak perpustakaan.

       Suatu yang menarik perhatian saya sejak mula menelaah novel ini ialah,  SAGA sangat kaya dengan elemen dan  nilai-nilai cinematic/ filmic . Saya melihat ia mempunyai ramuan-ramuan yang mencukupi untuk eksploit,  bangun sebagai sebuah filem cereka yang mempunyai nilai seni dan komersial sekali gus. Konflik fizikal dan kejiwaan, percintaan, romansa, muzik dan lagu, perkhianatan,  pertarungan (persilatan, tembak menembak, pembakaran), manipulasi alam semulajadi dan lain-lain aspek yang belum diterokai. Saya beranggapan ia setara dengan hasil garapan Uwie Hj Shaari lewat filem Hanyut, yang diadaptasi dari  novel  Almayer’s Foley karya Joseph Conrad itu.   Sayang sekali kerana novel sehebat ini, sekan tercicir dari pandangan pembikin-pembikin filem kita.


Jitra, 10 Jun 2020.


  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...