Monday, December 19, 2011

Dari Dalam Diri


KENAPA DARI HUJUNG KAMPUNG


 وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَ‌جُلٌ يَسْعَىٰ قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْ‌سَلِينَ ﴿٢٠﴾ اتَّبِعُوا مَن لَّا يَسْأَلُكُمْ أَجْرً‌ا وَهُم مُّهْتَدُونَ ﴿٢١﴾ وَمَا لِيَ لَا أَعْبُدُ الَّذِي فَطَرَ‌نِي وَإِلَيْهِ تُرْ‌جَعُونَ ﴿٢٢﴾ أَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِ آلِهَةً إِن يُرِ‌دْنِ الرَّ‌حْمَـٰنُ بِضُرٍّ‌ لَّا تُغْنِ عَنِّي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا وَلَا يُنقِذُونِ ﴿٢٣﴾ إِنِّي إِذًا لَّفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢٤﴾ إِنِّي آمَنتُ بِرَ‌بِّكُمْ فَاسْمَعُونِ 



Dan datanglah dari hujung kota, seorang laki-laki dengan bergegas-gegas Lalu ia berkata: "Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu". Ikutilah orang yang tiada minta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nya-lah kamu (semua) akan dikembalikan? Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selain-Nya jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki kemudharatan terhadapku, niscaya syafa'at mereka tidak memberi manfaat sedikitpun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku? Sesungguhnya aku kalau begitu pasti berada dalam kesesatan yang nyata. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku. (Ya-Sin :20-25)


 Menurut para mufassirin bandar tersebut bernama Antakiah dan lelaki itu dikenali sebagai Habib An-Najjar. Malang sungguh; sudahlah mereka tidak meyahut seruan agar mengikut jalan kebenaran yang dibawa para rasul, sebaliknya lelaki itu telah dibunuh oleh kaumnya sebaik saja beliau selesai menyampaikan seruannya. Ketika beliau berhadapan saat kematiannya,turun malaikat membawa khabar bahagia untuknya bahawa segala dosanya telah diampuni Allah dan dia akan masuk Jannah.. 

Pada tahun 1996 , DBP telah menerbitkan memoir SN Datuk Nordin Hassan, Saya Dari… Hujung Kota (SDHK). Menurut Tan Sri Awang Had Salleh yang menulis pengenalan memoir tersebut, ia bukan sekadar biografi biasa yang mencatat pelbagai sisi data hidup penulisnya, tapi ianya adalah pendirian dan pegangan hidup Nordin sendiri. Latar penghidupannya yang amat kaya-tidak saja dari pengalamannnya merentasi liku-liku dan warna hidup. Tetapi juga rakaman minda juga perjuangannnya, menyendiri dan menyepi untuk mengisi peribadinya sendiri.

Membaca SDHK samalah seperti kita menonton drama-drama pentasnya. Kita dibawa mengikuti kisah dalam kisah dan cerita dalam cerita. Kisah-kisah yang dipaparkan bagaikan kepingan gambar-gambar apabila dicantum menghasilkan kolaj kehidupan pribadi Nordin Si Anak Tanjung penuh tangis dan tawa mengiringi kelahiran naskah-naskah teaternya seperti BukanLalang Ditiup Angin, Jangan Bunuh Rama-Rama, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Cindai, Tiang Seri Tegak Berlima, Di Mana Setangginya dan banyak lagi.

Secara kebetulan pula saya sendiri pernah mendapat mendapat bimbingan daripada beliau dalam penulisan naskah drama ketika menuntut di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (MPPPP-1977/ 1978). SN Nordin Hassan ketika itu bertugas senagai pensyarah Bahasa Inggeris di institut perguruan tersebut. Dia adalah idola kami dalam dunia drama. Bertempat di Dewan Agung, MPPPP,inilah beberapa naskah drama beliau dipentaskan seperti Pintu dan Jangan Bunuh Rama-Rama dengan inisiatif seorang lagi pensyarah dan mentor kami En.Muthalib Hashim.

Dari pentas dan lantai Dewan Agung inilah juga saya mulai mengutip ilmu dalam bidang penulisan skrip drama dan pementasan. Alhamdulillah melalui tunjuk ajar dan bimbingan mereka berdua naskah sulung hasil tulisan saya Lampu telah meraih tiga hadiah utama dalam pestadrama maktab-maktab perguruan seluruh Malaysia 1978; Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik dan Drama Terbaik yang diadakah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai. Dari sinilah kemudiannya membuka laluan kepada saya untuk menulis naskah-naskah untuk drama televisyen.(saya akan menceritakannya di lain ruang).
Banggul Senu sebuah perkampungan kecil yang terapung di tengah persawahan

Berbalik kepada lembaran Saya …Dari Hujung Kampung (SDHK) Saya tidaklah bermaksud untuk menjadikannya setanding dengan memeoir idola saya Cikgu Nordin , Saya Dari Hujung Kota; cukuplah sekadar lebaran untuk saya mencoretkan fikiran, cebisan-cebisan kenangan, hobi dan nota-nota kecil buat dikongsi bersama sekadar yang bermanfaat. Oleh kerana saya lahir dan membesar dalam atmosfera masyarakat kampung (gambar sebahagian dari sawah padi yang melengkungi kampung saya)yang terpencil sudah tentulah corak dan cara hidup, pemikiran , sikap dan pegangan saya lebih kekampungan. Saya ibarat bangau desa yang sudah pasti terbangnya tidak jauh

.Wassalam
untuk menuju ke desa kelahiranku terpaksa melalui jalan (ban) taliair kira-kira 3km dari jalanraya

No comments:

  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...