LUKA NERING,
SEBUAH NEO-HISTORICAL FICTION
 |
Luka Nering (DBP, 2014)
|
Puas juga menelah-nelah makna
sebenar di sebalik penggunaan metafora tumbuhan, sebagai judul karyanya – LUKA NERING.
Sebagaimana dimaklumi khalayak
sastera, Malim Ghozali Pk jarang meminggirkan
kewujudan alam flora dan fauna dalam
kebanyakan hasil karyanya, melalui apa genre sekalipun. Apakah rahsia yang
terselindung di sebalik sepohon nering yang tercedera luka?
Secara kebetulan dalam novel ini ada
mengisahkan tentang sepohon pokok nering yang terdapat di kawasan rumah seorang
watak yang dikenali sebagai Haji Pohon
Nering (nama sebenar Hajidin). Haji Pohon Nering bekas pesakit mental yang
telah sembuh, kemudian terkorban menjadi mangsa serangan naning-naning (tebuan?) yang bersarang di dalam
lubang pokok nering itu, ketika dia cuba
membakar sampah-sarap di bawahnya.
Melalui carian goggle, akhirnya
diketemui - pokok nering yang dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Pakia Sumatrana, merupakan sepohon pokok
yang tumbuh agam dengan ketinggian mencapai 35 meter, berlilitan sehingga 3
pemeluk. Berbuah serupa petai tapi lebih lebar dan berbiji kecil - sehingga ada
pihak yang memanggilnya sebagai petai nering/ petai kerayong.
Ini merupakan ulang bacaan
saya kali ketiga bagi novel setebal 387 halaman (DBP, 2014) ini. Terakhir ialah
lebih kurang 4 tahun lalu (15.09.16). Selazimnya setiap kali mencerap kembali mana-mana karya
sastera yang baik, pasti akan sentiasa
menemui makna dan takkulan baru yang tersembunyi. Lebih-lebih
lagi karya-karya non-konvensional yang memuatkan lapisan-lapisan makna
tersirat. Kemunculan versi terjemahan,“Tree
of Sorrow” kemudiannya, yang alihbahasanya ditangani sendiri olah Malim
Ghozali, seakan memuktmatkan makna sebenar yang mahu diungkapkan pengarang di sebalik
“Luka Nering” yang menjuduli novel keempat karya beliau ini.[(sebelum ini – Redang (DBP, 1988), Janji Paramaribo (DBP, 1990), Daun (DBP, 2008)]. Saya cenderung
memaknakan “Tree of Sorrow” sebagai “Pohon
Kedukaan” (mungkin kedapatan terjemahan yang lebih jitu).
Nering ialah pohon yang tumbuh agam dengan ranting dan daun-daunnya
yang rimbun; yang dalam karya hebat ini, membawa konotasi tentang kewujudan
institusi kesultanan, yang sekian lama dalam jagat Melayu
menganggapnya sebagai simbol kedaulatan yang memayungi kehidupan rakyat
jelata. Malim Ghozali melalui lakaran
jalur naratifnya yang lancar dan berkesan berhasil melukiskan bahawa campur
tangan Inggeris lewat Perjanjian Pangkor(1874) telah mejatuhkan system pemerintahan
kerajaan Melayu sekali gus melemahkan
kedudukan raja-raja ke dalam jerangkap penjajahan secara tuntas. Kelukaan pada pohon nering yang agam itu tidak
semata-mata oleh tangan penjajah tapi
juga oleh konspirasi dan pencaturan dalaman, tikam menikam dan gunting dalam
lipatan di kalangan kerabat instiusi
kesultanan itu sendiri. Kewujudan sistem penggiliran dalam kesultanan negeri
Perak yang unik, menyebabkan secara sulit
kedapatan gerakan-gerakan dalam gelap, cubaan pintas memintas demi menguasai peterana kuasa.
Manasikana dalam program bicara
karya novel Tree of Sorrow di Akedemi Pengajian Melayu Universiti Malaya
(APM, UM) menganggapnya sebagai novel yang membawa gaya naratif yang kuat
melalui unsur realisme magis yang membangkitkan emosi dan daya fikir dalam
konteks persejarahan tanahair. Mengisahkan kesetiaan cinta antara anak raja
dan rakyat biasa. Persahabatan antara kerabat raja dengan kakitangan dan
pesakit-pesakit hospital sakit mental.
(CMH – Central Mental Hospital, Tanjung Rambutan) [BH 9 Nov.2015]
 |
Pohon Nering (Pakia Sumatrana)
|
Luka Nering yang terbangun dari
21 pecahan bab, tidak termasuk Prolog dan Epilog ini mengisahkan kehidupan
watak utama TC (Tengku Chik), anak saudara Tuanku Sultan yang terpaksa
menghabiskan hidupnya di CMH Tanjung Rambutan, atas tuduhan mengidapi sakit
mental apabila terlibat dalam tragedi yang membawa kepada kematian DO Osborne.
TC yang bertugas sebagai ADO kepada Osborne dan sering berbalah pendirian dan pendapat
, dituduh menembak Osborne dalam satu pergelutan pada kejadian di Rumah Rehat.
Walau bagaimanapun TC menafikannya, dan mengatakan Osborne tertembak oleh pistolnya
sendiri. TC mendakwa dia mempunyai saksi dan bukti-buktinya – termasuk jenis
peluru yang menembusi tubuh Osborne adalah dari pistol miliknya sendiri - bagaimanapun
TC dinafikan untuk mendapat perbicaraan yang adil sebaliknya dihantar ke rumah
sakit jiwa. Tahun demi tahun laporan yang disediakan oleh penguasa rumah sakit
mental itu tidak pernah menyebelahi beliau – akibatnya dia terus menjadi
penghuni di situ.

Di CMH, TC bergaul mesra dan
bersahabat baik dengan kakitangannya seperti Sister Yuria, Kandasamy, Matron
Angelina, termasuk pesakit dan bekas pesakit seperti Doktor Uzai, Arbakyah,
Gina, Haji Pohon Nering, Abang Topi, Mr.Brown dan lain-lain. Di wad CMH inilah
TC melayan kenangan dan nostalgianya berkisar pada kehidupan masalalu di istana
Bukit Chandan, ketika menjadi pelajar di luar Negara, suasana dan cabaran kerja ketika bertugas sebagai ADO termasuk
kenang-kenangan hasil pergaulannya di kalangan masyarakat murba serta perkenalannya
dengan Sharifah Atikah. Malim Ghozali
banyak menggunakan teknik flashback
dalam melakar jalur naratif Luka Nering.
TC yang mendapat pendidikan
tinggi di luar negeri, walaupun membesar di istana (dipelihara oleh oleh Tuanku
Sultan, setelah kematian dua ibubapanya) bersama sepupunya Ku Robat dan Ku
Intan, adalah seorang anak raja yang berhati rakyat. Kehidupannya berdampingan
rapat dengan rakyat bawahan malah bercinta juga dengan gadis biasa (Sharifah
Atikah, seorang ustazah). Sikap anti
penjajah, bukan saja ditunjukkan melalui pertelagahan dengan bossnya DO Osborne,
tapi terpamir sejak mula lagi, sebagai
siswa, dia dengan tegasnya berhujah dengan penyelia kursusnya sendiri, Professor
Hutton, tentang sikap kepenjarahan Inggeris terhadap tanah jajahan dan anak
negerinya. Pada TC persejarahan Tanah Melayu harus ditulis semula oleh anak
watan sendiri – sejarah terlalu banyak yang diselewengkan kerana sudah menjadi
kelaziman; sejarah hanya ditulis oleh pihak yang menang.
 |
Daun (DBP 2008)
|
Bagi TC kejatuhan Tanah Melayu di tangan penjajah dan turut melemahkan kedudukan raja-raja, tidak
semata-mata kerana kekuatan mereka, tetapi oleh sikap pengkhianatan di kalangan
Melayu sendiri yang termakan gula-gula penjajah. Beliau mengambil contoh tewasnya
Datuk Maharajalela di pasir Salak, kerana
pengkhianatan Sayid Mashor. Begitu juga dengan kebangkitan Dol Said melalui Perang
Naning dilumpuhkan oleh penjajah kerana pengkhianatan menantunya sendiri, Sayed
Shaaban. Sikap bermuka-muka dan gunting dalam lipatan di kalangan kerabat
istana akhirnya menjadikan batang tubuh
TC sendiri sebagai mangsa, melalui pemanipulasian
laporan status kesihatan mental, membolehkan
TC kekal sebagai penghuni CMH, tidak sekadar menafikan haknya untuk dihadapkan
ke pengadilan, tetapi turut menafikan gilirannya dalam strata pewaris takhta
bila berlaku kemangkatan Raja Di Hilir. Tempat yang sepatut diisi oleh beliau
terlepas ke tangan sepupunya, Ku Robat, putera Tuanku Sultan sendiri. Bukan setakat
itu saja, sepupunya turut mahu merampas kekasihnya, Sharifah Atikah, sedangkan
perhubungannya dengan anak gadis Syed Shahdan itu telah sedia dimaklumi oleh
Baginda Sultan, Permaisuri Bonda Zah dan Ku Robat terdahulu.
Dalam epilognya Malim Ghozali
seakan mengakhiri novel dengan persoalan
yang tidak terjawab; melalui beberapa
perkhabaran; Kembalinya Dr.Megat Wali mengambil alih dari Dr.Devan untuk
menerajui CMH, dan yang paling mengejutkan TC sendiri ialah berita kemangkatan
Tuanku Sultan. Dalam keadaan TC bersiap-siap untuk kembali menghadiri istiadat
permakaman diraja; Apakah nasib TC juga turut berubah. Bagaimana pengakhirannya
penantian Sharifah Atikah yang sanggup menunggu kepulangan TC. Segalanya
terpulang kepada intepritasi dan persepsi pembaca sendiri.
Melalu satu temuramah sempena majlis
bicara karya Tree of Sorrow, Malim
Ghozali menyuarakan prinsip ketika menukangi karyanya; “Novel ini saya hasilkan
dengan semangat untuk menulis sejarah Tanah Melayu dengan jiwa orang Melayu,
sekali gus menyingkap kebenaran walaupun pahit untuk ditelan” (BH, 9 Nov.2015).
Selama ini bukan tiada ada hasil
karya dalam sastera Melayu yang menggarap kehidupan di kalangan masyarakat
istana. Ada. Tapi kebanyakannya
melukiskan suasana serba indah menghampiri kehidupan dewa-dewi di alam indera
loka, terutama dalam cerita hikayat atau penglipurlara. Setakat ini, saya rasa
Malim Ghozali adalah satu-satu pengarang Melayu pasca merdeka yang dengan
beraninya mengutarakan permasalahan dan
konfliks yang berlaku di kalangan masyarakat istana yang jarang
diterokai.
Pendapat saya, kekuatan Luka
Nering tidak sekadar bergantung kepada penampilan tema dan permasalahan yang
jarang disentuh (mungkin kerana dibimbangi menimbulkan kontroversi) oleh mana-mana pengarang, tapi kerana
keindahan naratif yang terhasil dari tangan pengarangnya. Rasanya Luka Nering
lebih condong kepada aliran realisme jika
di bandingnya dengan novel garapan Malim Ghozali sebelum ini, ‘Daun’ ; dimana pemikiran watak utamanya
‘Sifar’ ( sang pengarang) sering
berbaur dengan jalan pemikiran ‘Tan Da –U
‘(watak dalam novel yang sedang ditulis oleh Sifar). Selari dengan pernyataan
pengarangnya sendiri; dalam daun ada
daun, dalam cerita ada cerita]
 |
Malim Ghozali Pk (Mohamed Ghozali bin Abdul Rashid (04.03.1949 - 18.06.2020)
|
Pengalaman Malim Ghozali sebagai
pengawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) selama 21 tahun kemudian memilih untuk bersara awal (usia 45
tahun) untuk terlibat sepenuh masa dalam bidang penyelidikan dan penulisan adalah berbaloi. Berbagai anugerah penulisan berjaya
diraih beliau saban tahun. ‘Tree of
Sorrow’ sendiri diletakkan dalam barisan antara 160 novel terbaik dunia dan
tercalun untuk International Dublin
Literary Award 2016. Saya agak terkilan bila Luka Nering yang dijangka akan
menjejaki saudaranya, novel Daun (HSPM 2008), untuk meraih novel terbaik Hadiah Sastera Perdana
Malaysia (HSPM) 2014, telah
dipinggirkan oleh penal penilai.
Akhirnya Malim Ghozali Pk (04/03/1949 - 18/06/2020) turut menjejaki denai
takdir yang sama dengan sasterawan Azizi
Haji Abdullah (04/04/1942 - 11/08/2011) terlepas meraih anugerah Sasterawan Negara ,walaupun dari segi pencapaian
kedua-duanya sudah melepasi garis kelayakan. Akhir sekali sama-samalah kita
menunggu kemunculan buahtangan Pak Malim yang terakhir yang diterbitkan
serentak dalam dua vesi sekali gus, Bahasa Melayu dan Inggeris novel ‘Gunung Cha’ / ‘Mount Cha’, yang khabarnya
dalam proses percetakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
ZAINOL IDRIS,
Jitra, 11/10/20