Tuesday, December 5, 2017

PERJALANAN SASTERA 2



Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 (Keseluruhan)


1.                PENDAHULUAN

1.1      GAGASAN AWAL pemberian HSPM ini tercetus hasil daripada laporan Jemaah Hakim Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka pada tahun 1970. YAB Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah menubuhkan sebuah panel penilai dengan tugas-tugas khas pada 24 Julai 1971 untuk menilai karya sastera bagi tujuan pengiktirafan. Hadiah berprestij yang dilaksanakan pada setiap tahun ini mula dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera pada tahun 1971 (1971-1976).
1.2       Pemberian Hadiah Karya Sastera ini terhenti pada tahun 1977 sehinggalah pada tahun 1981, Dewan Bahasa dan Pustaka yang mewakili kerajaan Malaysia mengambil inisiatif meneruskan kesinambungan untuk menilai karya sastera. Hadiah ini dilaksanakan secara dwitahunan dan dikenali sebagai Hadiah Sastera Malaysia(1981-1995).
1.3       Hadiah Sastera Malaysia dinaik taraf dan diberikan nama baharu, iaitu Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 1996. Oleh itu, bermula tahun penilaian karya terbit/tersiar 1996/1997, nama tersebut telah dikekalkan selaras dengan prestijnya. Hadiah Sastera Perdana Malaysia dilaksanakan secara tahunan bermula tahun penilaian 2012.

2.                     MATLAMAT
Hadiah Sastera Perdana Malaysia diwujudkan dengan tujuan:
2.1       Memberikan pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada penulis yang menghasilkan karya bermutu;
2.2       Mengenal pasti karya-karya sastera yang bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu;
2.3       Menggalakkan penerbit menerbitkan karya-karya sastera yang bermutu dalam bahasa Melayu.

3.         BENTUK DAN NILAI HADIAH
Hadiah yang diberikan adalah berdasarkan kepada kategori-kategori yang berikut:
3.1       Kategori A – Buku/Kumpulan Karya Perseorangan
Hadiah diberikan kepada sebuah karya yang terbit dalam bentuk buku atau kumpulan karya perseorangan. Nilai hadiah adalah RM10,000.00.
3.1.1   Novel
3.1.2   Kumpulan Cerpen
3.1.3   Kumpulan Puisi
3.1.4   Kumpulan Drama
3.1.5   Kumpulan Esei/Kritikan Sastera
3.1.6   Buku Kajian Sastera
3.1.7   Biografi/Autobiografi
3.2       Kategori B – Karya Eceran
Hadiah diberikan kepada karya sastera eceran yang diterbitkan dalam majalah, jurnal, akhbar dan buku dalam tahun penilaian. Nilai hadiah adalah RM2,000.00.
3.2.1   Puisi               –           10 hadiah
3.2.2   Cerpen           –           10 hadiah
3.2.3   Drama            –           5 hadiah
3.2.4   Esei/Kritikan –        10 hadiah
3.3       Kategori C – Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja
Hadiah diberikan kepada karya sastera yang berbentuk buku atau kumpulan karya untuk bacaan remaja dan kanak-kanak. Nilai hadiah adalah RM5,000.00.
Karya sastera dalam kategori ini adalah seperti berikut:
3.3.1   Kesusasteraan Kanak-kanak
(i)         Novel Kanak-kanak
(ii)        Kumpulan Cerpen Kanak-kanak
(iii)       Kumpulan Puisi Kanak-kanak
(iv)       Kumpulan Drama Kanak-kanak
3.3.2   Kesusasteraan Remaja
(i)         Novel Remaja
(ii)        Kumpulan Cerpen Remaja
(iii)       Kumpulan Puisi Remaja
(iv)       Kumpulan Drama Remaja

4.         DASAR PENILAIAN
4.1 Karya sastera yang dinilai untuk menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 ialah karya yang terbit di Malaysia dan di luar negara pada tahun 2012.
4.2 Penilaian dibuat oleh ahli panel berdasarkan kriteria yang berikut:
(i)         Kekuatan kesatuan organik karya
(ii)        Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang
(iii)       Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan
(iv)       Keindahan moral
(v)        Inovasi dalam kreativiti
4.3 Panel telah meneliti sejumlah besar karya sastera dalam bentuk buku dan bentuk eceran bagi tahun penilaian seperti yang berikut melalui Jadual 1:
I.          Kategori A: Buku/Kumpulan Karya Perseorangan
Bil.
Genre
Jumlah
1.
Novel
43
2.
Kumpulan Cerpen
14
3.
Kumpulan Puisi
27
4.
Kumpulan Drama
27
5.
Kumpulan Esei/Kritikan Sastera
2
6.
Buku Kajian Sastera
4
7.
Biografi/Autobiografi
15
II.         Kategori B: Karya Eceran
Bil.
Genre
Jumlah
1.
Cerpen
526
2.
Puisi
2259
3.
Drama
28
4.
Esei/Kritikan Sastera
250
III.        Kategori C: Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja
(a)       Kesusasteraan Kanak-kanak
Bil.
Genre
Jumlah
1.
Novel Kanak-kanak
10
2.
Kumpulan Cerpen Kanak-kanak
2
3.
Kumpulan Puisi Kanak-kanak
1
4.
Kumpulan Drama Kanak-kanak
1
(b)       Kesusasteraan Remaja
Bil.
Genre
Jumlah
1.
Novel Remaja
19
2.
Kumpulan Cerpen Remaja
2
3.
Kumpulan Puisi Remaja
–
Kumpulan Drama Remaja

5.         KEPUTUSAN
Hasil penelitian terhadap karya-karya tersebut, panel memperakukan bahawa karya-karya yang berikut layak menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012.
PEMENANG HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA 2012
KATEGORI A: (BUKU) – HADIAH BERNILAI RM10,000.00 BAGI SETIAP
PEMENANG
BIL.
GENRE
JUDUL KARYA
PENULIS
SUMBER/TERBITAN
1.
Novel
Penyeberang Sempadan
Anwar Ridhwan
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
2.
Kumpulan Cerpen
Selamat Datang ke Malaywood
Roslan Jomel
ITBM & PENA
3.
Kumpulan Puisi
Alien Mencari Cinta
Ramzah Dambul
ITBM & PENA
4.
Kumpulan Drama
Tiada Pemenang
5.
Kumpulan Esei/Kritikan Sastera
Tiada Pemenang
6.
Buku Kajian Sastera
Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik
Norhayati Ab. Rahman
Penerbit USM
7.
Biografi/ Autobiografi
Kuasa Kata dari Lisan Mengalir ke Lautan Aksara
Mahaya Mohd. Yassin
Analaksana Media


PEMENANG HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA 2012
KATEGORI B: (ECERAN) – HADIAH BERNILAI RM2,000.00 BAGI SETIAP


Zainol Idris bersama Osman Ayob

PEMENANG
GENRE
JUDUL KARYA
PENULIS
SUMBER/TERBITAN
Cerpen
1.
“20 Cerita Tentang Tuhan”
S.M. Zakir
Dewan Sastera, Januari 2012
2.
“Pertemuan dengan Kitul”
Saifullizan Yahaya
Mingguan Malaysia, 12 Februari  2012
3.
“Hanya Tertulis dalam Hati”
Maskiah Masrom
Berita Harian, 20 Mei 2012
4.
“Seorang Lelaki di Tebing Sebatang Sungai”
Faridah Abd. Hamid
Mingguan Malaysia, 4 Mac  2012
5.
“Protes Kari, Kepoh Ferrari”
Fudzail
Mingguan Malaysia, 18 November  2012
6.
“Anatomi Sekeping Hati”
Rebecca Ilham
Mingguan Malaysia, 30 September  2012
7.
“Dendam Apai”
Zainol Idris
Dewan Sastera, Januari 2012
8.
“Alkisah Tuan dan Saksi”
Zainal Rashid Ahmad
Mingguan Malaysia, 15 Januari  2012
9.
“Sebuah Surau, Sebuah Rumah di Tepi Kondominium”
Osman Ayob
Dewan Sastera, Oktober 2012
10.
“Bentuk dan Makna”
Rebecca Ilham
Berita Harian, 5 Februari 2012

PEMENANG HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA 2012
KATEGORI B: (ECERAN) – HADIAH BERNILAI RM2,000.00 BAGI SETIAP
PEMENANG
GENRE
JUDUL KARYA
PENULIS
SUMBER/TERBITAN
Puisi
1.
“Anggur Asmara”
Tuah Sujana
Dewan Sastera, Februari 2012
2.
“Benarkah Matahari Tersangat Pijar?”
Rosli K. Matari
Mingguan Malaysia, 26 Februari  2012
3.
“Songket Teluk Berantai”
Tseni Sastrowardojo
Dewan Sastera, Julai 2012
4.
“Mimpi dari Sebuah Lukisan Ilusi”
Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Pentas, Julai-September 2012
5.
“Aku, Bulan dan Kalbu”
Shamsudin Othman
Dewan Sastera, Oktober 2012
6.
“Percakapan kepada Seorang al-Amin”
Shamsudin Othman
Dewan Sastera, Oktober 2012
7.
“Pidato Ini, Brutus”
Raihani Mohd Saaid
Dewan Sastera, Oktober 2012
8.
“Mariam”
Anwar Ridhwan
Antologi Puisi Takah Lima Puluh, PENA, 2012
9.
“Tulisan”
Mabulmaddin Shaiddin
Antologi Puisi Sinar Siddiq, 2012
10.
“Iktikad”
Juri Durabi
Antologi Puisi Sinar Siddiq, 2012

PEMENANG HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA 2012
KATEGORI B: (ECERAN) – HADIAH BERNILAI RM2,000.00 BAGI SETIAP
PEMENANG
GENRE
JUDUL KARYA
PENULIS
SUMBER/TERBITAN
Drama
1.
“Ini Rumah kita”
Aina Nabila
DBP, JKKN, ABAD dan AKRAB,                   24-25 Disember 2012
2.
“Menara Biru”
Dayangku Mastura
Pentas, Januari – Mac 2012
3.
“Antara Bunyi Gendang Ibu dengan Tari Nihon Buyo”
Senibayan
DBP,                                   2 November 2012
4.
“Dinding”
Dahiri Saini
Dewan Sastera, Mei/Jun 2012

PEMENANG HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA 2012
KATEGORI B: (ECERAN) – HADIAH BERNILAI RM2,000.00 BAGI SETIAP
PEMENANG
GENRE
JUDUL KARYA
PENULIS
SUMBER/TERBITAN
Esei/ Kritikan/ Kajian Sastera
1.
“Srengenge dan Tunggul-tunggul Gerigis:Satu Bacaan Shishosetsu”
Zaleha Ahmat
Kajian Pemikiran SN Shahnon Ahmad, DBP, 2012
2.
“Perang Budaya Ortodoks-Progresif dalam karya-karya Terpilih Shahnon Ahmad: Sebuah Interpretasi Sebuah Interpretasi Percubaan Dialektik Hegelian”
Lim Kim Hui
Kajian Pemikiran SN Shahnon Ahmad, DBP, 2012
3.
“Meneliti Perjudian Melalui Formula “Konflik dan Penyelesaian” Menurut Model Bremond”
Abdul Rassid Haji Subet
Kajian Pemikiran SN S. Othman Kelantan DBP, 2012
4.
“Pahlawan Rimba Malaya: Nasionalis Kiri dan Ambivalen”
Awang Azman Awang Pawi
Kajian Pemikiran SN Keris MasDBP, 2012
5.
“Konsep Ruang dalam Pemikiran Melayu”
Noriah Taslim
Pandangan Dunia Melayu Pancaran Sastera, DBP, 2012
6.
“Kuasa Raja dalam Teks Sastera”
Ding Choo Ming
Bil. 69 Pemikir,  Utusan Karya
7.
“Falsafah Estetik – Logikal dalam Puisi S.M. Zakir”
Arbak Othman
Bil. 69 Pemikir,  Utusan Karya

PEMENANG HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA 2012
KATEGORI C:  KESUSASTERAAN KANAK-KANAK DAN REMAJA
HADIAH BERNILAI RM5,000.00 BAGI SETIAP PEMENANG
a)         KESUSASTERAAN KANAK-KANAK
BIL.
GENRE
JUDUL KARYA
PENULIS
SUMBER/TERBITAN
1.
Novel Kanak-kanak
Tiada Pemenang
2.
Kumpulan Cerpen Kanak-kanak
Lukisan Lisa untuk Ibu
Que Lyana Shuhaimi
Blue-T Publication Sdn. Bhd., 2012
3.
Kumpulan Puisi Kanak-kanak
Bijak si Katak Bijak
Siti Zainon Ismail
ITBM & PENA, 2012
4.
Kumpulan Drama Kanak-kanak
Tiada Pemenang
b)        KESUSASTERAAN REMAJA

BIL.
GENRE
JUDUL KARYA
PENULIS
SUMBER/TERBITAN
1.
Novel Remaja
Ke Pulau Sebatik 1
Nur Mustika
ITBM & PENA, 2012
2.
Kumpulan Cerpen Remaja
Inspirasi Cinta
Rozninah Abd. Azib
ITBM & PENA, 2012
3.
Kumpulan Puisi Remaja
Tiada Pemenang
4.
Kumpulan Drama Remaja
Tiada Pemenang
Dewan Sastera Januari 2012

Sunday, December 9, 2012

NOSTALGIA 5


UNTING SEMAI

Hujan mencurah-curah sekitar april-mei. Kadang-kadang  dari petang membawa ke malam. Gelung-gelung  yang terpokah di permatang telah ditutup rapi. Puas menyedut air melangsaikan kemarau separuh tahun, hingga termuak , petak-petak bendang mula menakungi air. Tunggul—tunggul jerami   mulai tersembam ke tanah  perlahan-lahan dan  mulai mereput. Suara sang katak aneka jenis  bertasbih menghiasi kelam malam yang basah.
Menenggala


Jeda waktu senggang sebenarnya telah  ke penghujung.  Tanpa nota peringatan dari sesiapa, rutin  kerja kami para petani bendang telah bermula. Mana peralatan tenggala, sisir, badai, tajak dan cangkul  yang rosak dibaiki, yang  tumpul diasahi, yang karat diminyaki. Sang kerbau pembajak dipersiapi.
Langkah mula ialah menyediakan  bekas semai (tapak semaian). Lepas  bekas semai  siap barulah  kerja  menggala  bahagian-bahagian  sawah yang lebih luas di mulakan.  Bekas semai biasanya menempati petak yang kecil sahaja. Untuk keluasan tanah 10 relung ( 1 relung  = 0.28 hectar)  tidak sampai satu penjuru. ( ¼ relung) .
Sisir

Siap menenggala, petak  tapak semaian akan disisir. Rumput rampai akan di bersihkan.  Air petak itu akan dikeringkan hingga tampak tanah.  Akhir sekali badai akan ditarik untuk meratakan tapak semaian itu. Menarik badai ialah istilah yang digunakan bermaksud meratakan tanah  dengan menggunakan batang pisang yang dilekatkan pada mata sisir. Sisir ini kemusian akan ditarik oleh kerbau. Kalau petaknya kecil boleh juga ditarik menggunakan tenaga manusia.


Menarik Badai
                                                               
Selesai menarik badai, bapa akan membahagikan  tapak semaian itu kepada beberapa bahagian mengikut berapa jenis padi yang akan dibawa. Kalau enam jenis padi yang akan dibawa pada tahun itu bermakna ada enam tapak. Setiap tapak akan dipisahkan oleh satu parit kecil.                             
Bekas Semai/ Tapak Semaian

Sebelum ditabur benih padi akan direndam selama empat malam untuk mencambahkannya. Jenis-jenis  padi yang biasanya di bawa akan mengambil kira beberapa factor antaranya sudah pasti benih yang menghasikan buah yang lebat, tidak mudah rebah (apabila ditiup angin atau dilanda banjir), tidak liat maksudnya mudah lerai bila dibanting. Soal ketahan dari serangan penyakit tidak pernah timbul. Seingat saya amat  jarang padi diserang penyakit dan lain-lainseperti sekarang.

Kebanyak benih –benih pada ketika itu (tahun 1960-an) dikenali dengan nama-nama  yang cukup tradisional sama ada menggunakan nama tumbuhan, tempat atau nama pemilik asal benih tertentu.  Antara seperti padi Rambai, Bongor, Intan Terpilih, Mat Cantu, Sesat Baharum. Kemudian nama-nama benih padi yang lebih berbau kemodenan muncul  sekitar awal tahun 1970-an (bila Lembaga Kemajuan Kawasan Muda  @MADA) diwujudkan. Benih-padi seperti Bahagia, Sport, Taiwan, Malinja, Mahsuri mula dikenali. Selepas MARDI  ditubuhkan  dan membuat penyelidikan  menghasilkan benih-benih berkualiti melalui kaedah kacukan , benih-benih padi kini dikenali melalui kod sepeti B18, B10 dan berbagai-bagai  lagi.
Unting Semai Sedia Untiuk Ditanam

Mencabut Semai
Kebiasaan bagi kami  masyarakat tani selain dari nasi  beras jawi (beras biasa), nasi pulut juga merupakan  satu kemistian. Pulut merupkan satu-satunya hidangan sarapan pagi yang tak mungkin dilupakan; seumpama nasi lemak bagi masyarakat Bandar. Pulut kukus, pulut tanak, pulut lemak dan pulut kuning  adalah kebiasaan.  Pulut boleh dimakan bersama  ikan masin atau pengkasam,  bersama pisang, cempedak, mempelam, durian, susu kerbau dan berbagai lagi. , Beras pulut juga wujud sebagai  bahan utama  menyediakan kuih sepertu pulut udang, pulut panggang, pulut bata,  buah Melaka, tapai, lepat liat , dodol, peknga dan seribu satu macam lagi.  Dalam menyediakan bekas semai, satu petak kecil akan dikhususkan untuk  pulut.
Menanam secara Berderau (gotong-royong)

Berbeza  dengan padi biasa (jawi), keluasan petak yang akan ditanami pulut adalah kecil, mungkin satu penjuru atau paling banyak setengah relung. Padi pulut sangat liat untuk dibanting (memukul  istilah kami) 10 kali dibanting belum tentu  habis lerai. Benih- benih pulut biasa ialah pulut hitam, pulut susu, pulur macau, pulut wangi dan pulut galah. Pulut galah dikenali dengan rumpunnya yang tinggi hinggga hapus kepala. Butiran buahnya  besar. Sangat sesuai untuk membuat emping.

Bagi pemelihara burung tekukur atau merbuk, membawa padi jenis Biji Terung pasti tidak ketinggalan.  Butiran padi ini kecil dan bulat-bulat seakan biji terung. Digunakan sebagai makanan burung.
Menabur semai  biasanya dikerjakan oleh kaum wanita. Tidak mengambil masa yang lama; dalam 3 atau empat jam tugas ini dapat dilangsaikan. Butiran-butiran padi yang telah bercambah menampakkan akar ulung yang putih itu akan ditabur pada tapat-tapak yang dikhususkan. Ia akan mengambil masa 40 hari sebelum dicabut dan dipindahkan dalam b endang.  Para petani akan berhati dalam hal pembajaan semai. Sekiranya baja ditabur berlebihan, akarnya panjang ke dalam tanah dan sukar untuk mencabutnya nanti.  Kerja-kerja mencabut anak benih padi ini dikenali sebagai cabut semai.
Bendang Siap Ditanam

Mencabut semai biasanya mak lakukan seorang diri saja. Tidak seperti menam padi yang dilakaukan secara berderau (gotong-royong). Anak benih padi yang tumbuh sepanjang 12 inci itu akan dicekak segenggang lalu dicabut  menggunakan kedua belah tangan . Bahagian akarnya akan dibanting ke tapak kaki beberapauntuk mengeluarkan sisa-siasa tanah sehingga bersih.  Ia akan dikumpulkan  sehingga dua cekak dipanggil kepok. Tiap-tiap empat kepuk akan diikat bersama menggunakan tali dari kulit bemban sebagai satu unting.

Unting-unting akan disusun di atas batas-batas bendang. Bahagian akarnya akan dicelup dengan bancuhan baja tali kelawar untuk mencepatkan penjmbuhan akarnya.  Baja organic dari tahu kelawar ini dikenali sebagai Baja Gunung kerana diambil dari gua-gua di Gunung Keriang tidak jauh dari Bandar Alor Setar. Unting-unting semaian ini akan dibiarkan beberapa hari menunggu Hari Menanam .
Melabur (Menabur Terus/ direct seeding)

Bekas semai dan unting semai kini cuma tinggal sebagai kenangan saja kepada generasi seperti kami. Bagi generasi baru walaupun dari keluarga petani, istilah-istilah ini mungkin terlalu asing. Hari ini  penanaman padi menggunakan kaedah melabur atau tabur terus (direct seeding) dimana benih padi akan ditabur terus ke dalam petak-petak sawah dan tiada lagi bekas semai.

Sunday, July 22, 2012

NOSTALGIA 4

PADI-PADI SEMERAH PADI I

 ~MURAI MULAI GALAK ~.


Bagi kami masyarakat tani di utara, padi adalah segala-galanya.  Di sana  bergayut segala impian dan pengharapan. Liuk-lentuk tarian daunan padi oleh  puputan angin adalah gemalai jiwa  yang tidak pernah berpenghujungan  dengan doa dan munajat  agar hasilnya lebat dan berisi. Pada tangkai-tangkai padi itulah  pemutus kata samada harapan pada setiap musim panen menjengah tiba itu menjadi cita-cita yang akan menyala atau sekadar anganan mimpi semata.  “Ada padi semua jadi…, pesan nenek moyang kami.”
Impian dan harapan pak tani tersimpan dalam
butiran padi ini

Sehingga awal tahun 1970-an,  kami di utara menanam padi setahun sekali saja. Segalanya bergantung  harap sepenuhnya pada musim dan cuaca. Selepas tahun 1970, bila empangan Sungai Muda dan Sungai Pedu mula beroperasi membekalkan air melalui taliair [sungai sentap dan parit gila ~istilah orang kampong kami]; tanaman padi berubah menjadi dua kali setahun. Ini bermakna enam bulan masa senggang antara November sehingga April tidak lagi wujud. Kalau dulu antara bulan-bulan tersebut keadaan sawah kering-kontang, merekah terkopak, kini melalui parit-parit gila air disalurkan sehingga melimpah ruah.

alangkah gembiranya dapat
bermain hujan
Mengerjakan sawah banyak bergantung kepada angin dan hujan. Mengikut guru ilmu alam (geografi),  kami; negeri-negeri dipantai barat Tanah Melayu khususnya kawasan utara akan menerima hujan lebat antara May- Oktober, kerana angin barat-daya akan bertiup dari Teluk Benggala membawa kelembapan yang tinggi. Sebaliknya antara bulan November- April pula, negeri-negeri ini  akan mengalami musim kemarau kerana tiupan angin telah beralih arah iaitu bertiup dari timur-laut. Kebanyakan awan tepu yang dibawa dari laut Cina Selatan gugur menyirami di negeri-negeri pantai timur.  Guru ilmu alam kami lantas memberikan petua mudah untuk mengingati musim-musim ini; ingat saja nama seorang gadi MONA ~  May-Oktober [baratdaya], Nov-April [timur-laut].
Sekitar pertengahan mac, perubahan cuaca mulai menunjukkan kemarau akan berakhir. Tiupan angin mulai berubah arah. Musim timur ialah istilah kami yang merujuk kepada  kemarau, sedikit demi sedikit mengundurkan diri. Awan mendung mulai terapung dan memberatl. Langit tidak lagi biru. Burung-burung murai berkicauan galak untuk mengawan. Itulah antara tanda-tanda musim hujan akan menjegah tiba.
Murai Kampung (jantan)

Bagi kami budak-budak kampung, ketibaan musim murai galak semacam suatu keseronokan pula dengan kegiatan memikat burung hitam putih itu. Kicauan murai kedengaran bersahut-sahutan memeriahkan suasana kampung yang sunyi. Burung-burung jantan akan bersiulan dengan kemerduan paling jempol untuk memikat burung-burung betina  mengawan. Murai jantan mempunyai bulu-bulu biru kehijauan berkilauan di bahagian leher, manakla burung betina mempunyai nwarna keseluruhan yang agak pudar.  Selepas mengawan burung betina akan bertelur di dalam sarang yang dibuat di dalam lubang-lubang pada kayu reput, pokok-pokok mati  atau tunggul-tunggul buluh . Biasanya setiap induk akan menghasilkan 2 biji telur berbintik hitam putih.

Memikat murai tidak menggunakan jebak.  Burung denak yang diikat kakinya lalu tumang buluh sejengkal panjang  dan  dipacak ditempat lapang di mana kedengaran kicauan burung-burng jalak (liar). Di keliling denak akan dipacakkan dengan lidi-lidi yang dipalitkan dengan ibu getah. Ibu getah untuk menggetah burung ini dimasak khas dengan adunan minyak kelapa,  damar dan susu getah. Ibu getah yang telah  cukup masak kemudiannya  akan dipalit pada lidi-lidi buluh yang diraut. Lidi-lidi berbentuk seakan pencucuk sate itu yang siap berpalit ibu getah akan dimasukkan ke dalam tabung buluh dipanggil tuke. Ibu getah ini  jika tidak  digunakan akan digantung di atas mata api dapur dan akan tahan bertahun-tahun.
Burung jalak  bila Nampak saja burung denak, akan cukup marah lalu terbang rendah dan menyambar si denak lalu berhempas pulas. Semasa si jalak melayah turun ini bulu-bulu sayapnya akan terkena getah dan terus tewas. Dari pengalaman kami sebagai budak kampong; biasanya jika denak jantan digunakan, burung jalak jantan yang tertangkap dan sebaliknya.
Keli
Hujan sudah mulai turun. Kadang disulami dengan rebut petir di waktu senja. Hujan lebat biasanya memanjang sehingga ke malam. Hujan perolakan ini biasanya turun waktu petang memanjang sehingga seminggu-dua.  Petak-petak sawah yang merkah mulai menyerap dan menelan air hujan yang mencurah-curah. Para petani kampong kami menyandang cangkul meniti batas-batang bendang untuk menutup mana-mana gelung yang masih terpokah Bagi kami budak-budak kampong bemain dalam hujan, kejar mengejar, terloncat-loncat lalu melanyak lopakan air dalam hujan lebat bagaipan pesta yang menyeronokkan pula.
Puyu

Madah bidalan orang tua-tua; kemarau setahun terhapus dengan hujan sehari. Rumput-rumput permatang yang perang direntungi matahari tiba-tiba bernafas lega melepaskan tunas-tunas yang mulai menghijau. Petak-petak sawah mulai digenangi air.

 Induk-induk haruan, keli, puyu dan sepat dari sungai mulai mengkodek-kodek melalui alur dan baruh untuk naik ke bendang meneruskan kesinambungan kemandirian   species masing-masing. Musim ikan naik itulah istilah yang kami gunakan. Kesempatan ini tidak kami biarkan
                                                                        berlalu begitu saja.

Biasanya pada waktu petang di dalam hujan lebat kami akan keluar mencari gelong atau parit yang beraliran deras yang menyambungkan sawah dengan sungai atau alur. Induk-induk haruan, keli dan puyu yang terkodek-kodek memanjat tebing untuk melepaskan diri ke sawah boleh ditangkap begitu saja.

Haruan bendang
Mejelang maghrib Kami akan menahan bubu dan pelompat (lukah) di parit-parit atau gelong-gelong pula untuk memerangkap haruan, puyu atau keli yang galak menyanghgah arus itu. Bagi kami anak-anak kampong, menangkap ikan adalah antara sumber hiburan dengan nilai keseronokan dan kepuasan tersendiri. Selalunya detik-detik sebegini tidak kami lepaskan berlalu begitu saja.
Selalunya bubu akan dipasang digelung atau parit yang mengalirkan air ke sungai atau alur. Mulut dan injab bubu akan menghala ke arah hilir (sungai) pada waktu petang berhujan. Biasanya kalau hujan akan turun sepanjang malam; tandanya ikan-ikan akan jenuh terkodek-kodek memanjat tebing naik melalui parit, alur dan baruh bagi melepaskan diri ke petak-petak bendang untuk bertelur.
Sepat Benua

Esok pagi-pagi lagi kami melihat bubu yang kami tahan petang semalam. Alangkah seronoknya bila melihat haruan, keli, puyu dan sepat benua sendat mengelepar dalam injab bubu kami.  Dan bukan tak biasa pula antara ikan-ikan yang terperangkap itu  turut melengkar malas ular tanah, ular kain buruk atau ular belalai gajah yang kekenyangan.

Friday, July 13, 2012

LIBURAN 3


NAT WANG KELIAN


Saya pernah mengunjungi pekan sempadan itu sebanyak 2 kali iaitu kira-kira 7 atau 8  tahun yang lalu.  Menjejakkan kaki buat kali ketiga, saya kira ia masih tidak banyak berubaha wajah.  Dari Bandar Kangar akan mengambil masa hampir sejam memandu dalam jarak 41 km menuju utara. Melalui pekan-pekan kecil dan perkampungan  sebelum melewati pekan terakhir Kaki Bukit. Dari Kaki Bukit kita terpaksa melalui jalan mendaki bengkang bengkok yang agak sunyi.


NAT ialah bahasa thai yang membawa maksud pekan sehari atau pasar minggu. Dalam jangkamasa seminggu, suatu hari tertentu ditetapkan di mana penduduk suatu tempat keluar berjualbeli atau   memasarkan hasil keluaran masing-masing. Konsep yang sama juga di bawa oleh FAMA melalui Pasartaninya. Di Sabah  pasar ini dikenali sebagai Tamu.


Wang Kelian ialah antara pekan sempadan Malaysia-Thailand yang dibuka kepada penduduk kedua-dua  Negara untuk berjual beli secara bebas. Pekan-pekan lain seumpama ini termasuklah Padang Besar (Perlis/ Satun), Bukit Kayu Hitam/ Danork (Kedah/ Singgora @ Songkla), Durian Burung (Kedah/ Yala), Pengkalan Hulu (Perak/ Yala), Golok dan Takbai (Kelantan/ Narathiwat). Walaupun begitu, dari segi konsep pertukaran barangan antara dua buah negara adalah jauh dari seimbang; barangan keluaran Thailand didapati lebih mendominasi pasaran.


Yang berbeza antara Wang Kelian dengan Pekan-pekan sempadan lain ialah, ia betul-betul mengamalkan kosep “Nat” dimana barangan di pasarkan di bawah khemah-khemah, warung-warung sementara atau dilonggokkan di atas tanah di bahu-bahu jalan. Tiada ada prasarana khusus seperti kedai atau bagunan kekal. Selesai pasar, semuanya akan di robohkan. Yang tinggal Cuma sebatang jalan sempit kira-kira 1km , di kiri kanannya lereng bukit yang menghijau. Yang tinggal kekal ialah bangunan yang menempatkan pos imigresyen/ kastam Malaysia dan Thailand.

Nat Wang Kelian yang di adakan setiap Ahad mungkin ideal untuk shopping barangan keperluan harian dengan harga yang jauh lebih murah.  Ini termasuk barang-barang makanan , buahan, beras wangi atau pulut susu , ikan kering, peralatan rumah tangga seperti periuk belanga dan pinggan mangkok. Yang lain-lain termasuk kain baju yang bermutu sederhana. Kraftangan hasil kerjatangan penduduk-penduduk Selatan Thai juga boleh diperolehi dengan harga yang selesa. Pekan sehari itu sebenarnya mula bernafas sejak sabtu petang, bila peniaga-peniaga mulai tiba dengan dagangan masing-masing.

Majoriti peniaga—peniaga adala masyarakat Melayu-Islam dari Wilayah Satun yang bertutur dalam bahasa Thai dailek selatan disamping  bahasa Melayu Pattani. Urus niaga dibuat dalam matawang Batt dan Ringgit Malaysia. (RM1 +- 10 Batt.) JIka anda mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap, anda boleh terus ke Satun yang terletak lebih kurang 41 km dari Wang Kelian.

Bagi mereka yang mahu ~shopping sakan” dinasihatkan membawa troli/ beg beroda  kerana tempat letak kenderaan agak jauh, lebihr 0.5 km  berjalan kaki.




Monday, July 2, 2012

NOSTALGIA 3


RADIO ANTIK

Dua buah radio tiub  ini adalah antara koleksi antik kami yang tak seberapa itu.  Yang besar itu jenama Nordmende, buatan Germany  keluaran tahun 1956. Kerana saiznya yang besar dan berat pada zamannya ia dikenali sebagai peti radio.  Corong udara juga biasa digunakan untuk merujuk kepada radio.  Saya membelinya dari sebuah kedai , di Jerlun, Kedah, yang menjual perabut terpakai juga menjual barang antik empat tahun lalu. Manakala yang kecil itu pula jenama Phillips  made in Holland, juga keluaran sekitar 1957- 1959. pemberian seorang sahabat dari  Alor Setar,  Haji Abd.Razak Ahmad seorang kakitangan Tabung Haji  (TH Travel)


NORDMENDE, made in Germany
Kedua-dua radio  itu sebenarnya sudah tidak berfungsi lagi. Ia tidak lebih dari antique displayed yang sesekali menghening kenangan  menghimbau kembali  nostalgia masa silam.

Sekitar akhir dekat 50-an dan awal  60-an, rumah kami antara beberapa buah rumah di kampong yang memiliki peti radio.  Radio tiub (diod) itu berjenama Phillips yang agak besar saiznya. Kerana kampong kami tidak mempunyai bekalan elektrik, radio itu menggunakan sejenis batteri (sel) kering yang juga besar saiznya. Batteri berbentuk kiub kira-kira 3kg beratnya boleh tahan sampai 6 bulan berharga $8.00. (nilai sekarang saya kira tidak kurang RM80.00)

Untuk mendapat siaran yang jelas satu antenna perlu diadakan. Ia dibuat dengan meregangkan wayar tertentu menggunakan dua batang buluh panjang. Dari antena satu hujung terminal  wayar kemudian di sambungkan ke bahagian belakang badan radio. Tidak ketinggalan seutas wayar bumi akan disambung dari radio ke tanah setelah hujungnya dimasukkan kedalam sebiji botol berisi air;  kata bapa untuk mengelakkan radio  disambar petir.   Semakin tinggi batang buluh ditegakkan semakin jelaslah siaran yang diperolehi. Biasanya buluh yang digunakan ialah buluh duri atau buluh sigai dengan ketinggian hamper 50-80 kaki.
Bagi warga desa seperti kami radio waktu itu adalah sumber informasi dan hiburan yang penting selain dari wayang gambar (wayang gelap/ wayang pacak) jabatan penerangan. Yang membeli dan membaca akhbar boleh dibilang dengan jari. 

Siaran Radio Malaya adalah stesyen radio utama yang dapat diekses selain dari Radio Singapura. Bagi mereka yang meminati radio mereka juga mampu mengekses radio siaran Indonesia. Ketika era konfrantasi, provokasi ganyang Malaysia oleh Sukarno dapat didengar dengan jelas. Salleh (Haji), abang ipar saya sangat meminati lagu-lagu Hindustan dan selalu mengekses siaran lagu-lagu Hindustan nyanyian Mohd Rafi, Lata Magheskar, Asha Bhosle   dan Mukhes dari Radio India.

PHILLIPS, buatan Holand
Pertandingan (musabaqah) Membaca Al Quran yang diperkenalkan oleh PM Tunku Abdul Rahman,  biasanya diadakan dalam bulan Ramadhan.  Radio sekali lagi menjadi tumpuan. Selepas sembahyang Tarawikh, mereka yang tidak memiliki peti radio akan bertandang kerumah-rumah jiran untuk mengikuti pertandingan tersebut. Bagi kami orang-orang utara, bacaan yang dinanti-nanti sudah pasti Haji Ismail Hashim dari Kedah, yang tahun demi tahun berjaya mempertahankan kejuaraannya.

Siaran warta berita dari radio Malaya (Radio Malaysia selepas 1963) adalah sumber informasi rakyat yang penting. Warna berita akan keudara jam 1.30 tengahari, 5.00 petang  dan 8.00 malam. Penyampai berita yang masih saya ingat antaranya ialah Siti Hawa Zain, Azhar Ahmad, Jamsari Mohammad, Kamaruddin Mohamad, Norazah Aziz dan lain-lain.

Satu kesan yang sudah pasti  mempengaruhi bakat dan minat saya sehingga kemudiannya turut menceburi dalam penulisan skrip drama pentas dan televisyen ialah drama radio.  Dalam dekad 60-an dan 70an  siaran drama seperti sandiwara radio, bangsawan di radio, purbawara, drama dalam syair, Kebun Pak Awang termasuk cerita mata-mata gelap tajaan  Syarikat Minyak Geliga; adalah event-event yang ditunggu-tunggu.
Suara-suara yang sering memeran hero-heroin sudah pasti Karim Mohamad,  Norhiayah Mohd Isa, Norela Samad,  Mahani Ujang ,. Watak-watak antagonis biasanya diperan oleh Helan Abu, Jamal Mohammad, Karim Latif dan beberapa lagi.

Dari Radio Singapura yang dapat diikuti dengan jelas  kita akan dapat mengikuti pentas radio, dan juga bangsawan diudara. Antara suara-suara yang sering dipinjamkan untuk drama  antaranya Osman jailani, M.Ramlii ,Jorah Ahmad, Z. Roslee, Rubiah Suparman. Selepas penutupan Studio Filem Show Brothers Jalan Ampas dan Cathay Keris, suara-suara dari pelakun filem juga sering berkumandang seperti S.Roslee, Ahmad Sabri, Ahmad Nesfu,S.Kadarisman dan lain-lain. Penyanyi pop yeh-yeh suami isteri seperti M.Osman dan Afidah Es juga seringkali menyumbangkan suara mereka dalam lakonan drama radio.
Saya kurang mengingati nama-nama penulis skrip radio era 1960-an dan awal 70-an kecuali beberapa nama antaranya Zain Ariff (yang sering menulis cerita mata-mata gelap (detektif) Yahya Awang, Zakaria M.Z, Osman Dol, Adli Azamin, Zain Hamzah dan Atondra.  Jah Lelawati pula sering mengisi ruangan cerita bangsawan dan cerita bercorak mistri di Radio Singapura. Selain dari menulis skrip beliau juga berlakun dan terkenal dengan suara mistiknya.

Oleh minat yang mendalam saya berusaha mendapatkan contoh-contoh skrip drama radio dengan menulis surat kepada stesen-stesen radio. Alhamdulillah satu naskah skrip contoh telah dihantar oleh Hashim Embi yang ketika itu bertugas sebagai penerbit drama  di Radio Malaysia P.Pinang (di Jalan Burma) . Melalui contoh-contoh skrip itulah saya menghasilkan dua buah skrip drama radio ketika berada di tingkatan 3 dan menunggu keputusan SRP.  Skrip bertulisan tangan di atas kertas fullskap itu saya tidak ingat lagi judu-judulnya.

Walaupun skrip saya tidak diterbitkan, skrip-skrip tersebut mendapat ulasan yang memberangsangkan dari Hashim Embi, ketika dipulangkan untuk dibuat pembetulan. Bagaimanapun penulisan skrip tersebut terbengkalai begitu saja apabila saya terpilih melanjutkan pelajaran dalan tingkatan empat dalam aliran sains (kerana bergelut dengan hafalan, cerakinan   formula, hipotesis, teori  dan berbagai lagi bercorak saintifik, buat beberapa tahun bibit-bibit sastera dan penulisan yang telah berputik dalam diri saya seakan terabai begitu saja .

Namun jalan-jalan awal yang direntas itu mula membuahkan hasil sepuluh tahun kemudian. Walaupun saya tidak melibatkan diri dalam penulisan skrip drama radio, saya melangkah sedikit ke hadapan dengan menceburkan diri dalam penulisan skrip drama tv (teleplay) dimana  beberapa karya  diterbitkan oleh oleh stesen tv tempatan. (akan saya ceritakan di lain lembaran).


































































































  DUNIA BUKU 15 CITRA BUDAYA DAN ORANG TUA   DALAM KUMPULAN CERPEN SEKALI AIR BAH  Oleh  Sohaimi Abdul Aziz  * (Pusat Pengajian Ilmu Keman...